Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hukum Menyimpan Duit Melalui Pembelian Insurans AIA

Soalan: Dari tahun 90-an hingga sekarang saya telah menyimpan duit saya ke dalam insurans AIA.

Baru-baru ini saya diberitahu bahawa tidak boleh menyimpan duit ke AIA atas alasan AIA adalah insurans bukan Islam. Akan tetapi ejen penjual insurans (beragama Islam) menjelaskan kepada saya bahawa tidak salah membeli insurans AIA dengan syarat niat yang lurus bukannya menginginkan keuntungan semata-mata. Oleh itu, niat sebenar saya ialah menyimpan untuk kegunaan semasa musibah atau kesusahan saja supaya tidak akan menyusahkan keluarga kelak.

Persoalan sekarang:

Apakah hukum menyimpan duit melalui insurans AIA? Tolong berikan penjelasan dengan niat saya di atas.

Jika saya menghentikan/mengeluarkan duit dari AIA, bagaimana dengan duit bonus/tambahan yang diperolehi? Adakah ia dikira duit haram (jika hukumnya haram)?

Jawapan: Produk-produk insurans yang ditawarkan oleh syarikat AIA (American International Assurance) adalah produk-produk yang beroperasi menurut sistem insurans konvensional. Salah satu produk utama yang ditawarkan ialah insurans nyawa.

Insurans konvensional ialah akad atau kontrak yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang (pampasan) atau membayar secara beransur atau membayar sebarang bayaran pampasan (sebagaimana yang telah dipersetujui) kepada pembeli insurans (pencarum) atau pengambil faedah yang telah disyaratkan, apabila terjadi sesuatu kemalangan yang dilindungi seperti yang dijelaskan dalam akad atau kontrak sebagai imbalan kepada pencarum atas bayaran premium yang telah dijelaskannya kepada syarikat insurans seperti yang ditetapkan. (At-Ta’mîn Baina al -Hazhr wa al-Ibâhah: 15)

Berdasarkan perkara ini, adalah jelas bahawa akad insurans konvensional adalah jenis akad mu‘âwadhah iaitu akad pertukaran jual beli antara syarikat insurans dan pencarum. Ini menunjukkan bahawa akad insurans adalah berbentuk perniagaan.

Insurans Nyawa Dalam akad insurans nyawa, pencarum dikehendaki membayar satu jumlah tertentu pada masa yang telah ditetapkan kepada syarikat insurans. Jumlah bayaran tersebut hendaklah dibayar oleh pencarum secara kadar bulanan ataupun seumpamanya, mengikut apa yang telah dipersetujui dalam akad berkenaan. Jika pencarum masih hidup setelah tamat tempoh yang telah ditetapkan, maka syarikat insurans akan membayar semula caruman yang telah dibayar oleh pencarum berserta dengan keuntungan ataupun tanpa keuntungan mengikut syarat yang telah dipersetujui. Jika pencarum meninggal dunia sebelum tamat tempoh yang telah ditetapkan, sekalipun dia baru membayar sekali bayaran caruman sahaja, maka syarikat insurans akan membayar kepada warisnya suatu jumlah sama kadarnya dengan jumlah yang telah dipersetujui dalam akad. (At-Ta’mîn Baina al -Hill wa at-Tahrîm: 21)

Menurut keputusan yang dibuat oleh Majlis Akademi Fiqh Islam (Majma‘ al-Fiqh al-Islami) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama dari seluruh dunia Islam dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam persidangannya yang kedua di Jeddah pada tahun 1985 mengenai dengan insurans, memutuskan bahawa akad insurans perniagaan yang mempunyai premium tetap merupakan akad yang mempunyai unsur gharar (suatu yang tidak jelas dan tidak pasti) yang besar yang merosakkan akad. Oleh sebab itulah, insurans perniagaan ini diharamkan di sisi syara‘. (Majma‘ al-Fiqh al-Islâm: Al- Qarârât wa at-Taushiyât Haul al-Bunûk al-Islâmiyyah wa al-Mâliyyah 1985-2000).

Pengharaman insurans perniagaan dengan segala jenisnya sama ada insurans nyawa, insurans harta perniagaan atau sebagainya adalah berdasarkan beberapa sebab berikut:

1. Akad insurans perniagaan mengandungi unsur gharar. Gharar membawa maksud tidak jelas atau ketidaktentuan dalam akad. Oleh itu adalah amat penting semasa sesuatu akad atau kontrak hendak dimateraikan, apa yang diakadkan atau apa yang dijanjikan hendaklah jelas sehingga tidak lagi boleh menimbulkan apa-apa keraguan atau salah anggapan. Sekiranya keadaan ini timbul, maka tiada lagi kesaksamaan dan keadilan dalam akad. (Takaful Sistem Insurans Islam: 41)

Ketidakpastian atau ketidaktentuan dalam akad ini timbul apabila kedua-dua pihak yang berakad saling tidak mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari, umpamanya, adakah pencarum akan ditimpa kemalangan, berapa kalikah wang caruman akan diterima oleh syarikat insurans dan sebagainya. Akad tersebut adalah berlandaskan kepada spekulasi semata-mata. Dalam hal ini, penyerahan wang pampasan yang hendak diberikan itu tidak dapat ditentukan dengan jelas ketika akad dibuat.

Selain ‘tidak jelas’ atau ‘tiada ketentuan’ yang membawa kepada unsur gharar, sesuatu akad itu juga dikatakan gharar jika kesannya (akibatnya), salah satu pihak akan menanggung beban kerugian dan hilang hak. Sebaliknya daripada kerugian ini, satu pihak lagi akan mendapat faedah yang tidak sepatutnya diperoleh di bawah akad yang kedua-dua pihak meterai itu. (Takaful Sistem Insurans Islam: 44)

Apabila terjadi sesuatu yang tidak jelas dalam akad dan kesan daripada akad itu menyebabkan ketidakadilan di antara dua pihak yang berakad, maka ia jelas menggambarkan bahawa transaksi muamalat yang dilakukan itu mengandungi unsur gharar.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan terang mengharamkan jual beli yang mengandungi unsur gharar dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang jual beli secara rambang (dengan cara melontar batu kerikil ke atas benda yang dijual) dan jual beli (yang sifatnya) tidak jelas. (Hadits riwayat Muslim)

2. Akad insurans perniagaan mempunyai unsur perjudian (maisir) kerana mengandungi pertaruhan dalam pertukaran harta iaitu bertaruh pada sesuatu yang tidak pasti dan ia bergantung kepada nasib untuk mendapatkan bayaran pampasan.

Sebagai contoh, dalam sesetengah produk insurans konvensional seperti kebanyakan produk insurans kenderaan, pencarum akan mendapat pampasan yang lumayan apabila berlaku kemalangan. Dalam hal ini, pencarum dikira mendapat satu keuntungan kerana dengan carumannya yang sedikit dia boleh mendapat sejumlah wang yang banyak. Sebaliknya, jika tidak berlaku sebarang kemalangan, maka pencarum akan menanggung kerugian kerana wang premium yang telah dicarum akan terus diambil oleh syarikat insurans.

Muamalat seumpama ini termasuk dalam kategori judi. Judi itu jelas haram sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

3. Insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasa’ yang diharamkan oleh syara‘.

Riba al-fadhl berlaku apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pencarum dengan jumlah yang lebih tinggi daripada wang caruman yang telah dibayar oleh pencarum. Apabila terjadi kemalangan ke atas pencarum sebelum tempoh matangnya, maka pencarum akan diberi wang pampasan yang melebihi jumlah caruman yang telah dibayarnya. Jumlah yang lebih itulah dinamakan sebagai riba al-fadhl.

Di samping itu, penangguhan bayaran pada satu masa tertentu (bergantung kepada bila berlakunya kemalangan) kepada pencarum dikategorikan pula sebagai riba an-nasa’. Kedua-dua jenis riba ini (al-fadhl dan an-nasa’) adalah haram dalam Islam. (Takmilah al-Majmû‘: 13/254)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Demikian ketentuan hukum mengenai insurans konvensional termasuk produk insurans nyawa yang ditawarkan oleh syarikat AIA.

Oleh itu, hukum bermuamalat dengan insurans nyawa atau segala jenis bentuk insurans perniagaan yang dijalankan secara konvensional adalah haram dan tidak sah dari sudut syara‘ walau apa sekalipun niat atau tujuan orang yang melakukan muamalat seumpama itu.

Wang Faedah Insurans

Adapun wang faedah (interest) hasil penyimpanan wang dalam syarikat insurans, bukanlah milik penyimpan wang dan bukan juga milik syarikat insurans itu. Wang faedah itu adalah wang haram kerana ia diperolehi daripada akad muamalat yang tidak sah dan mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti gharar, maisir dan juga riba. Menurut hukum syara‘, wang atau harta seumpama itu adalah dianggap wang atau harta yang tidak diketahui siapa tuannya. Harta tersebut wajib diserahkan kepada Baitul-Mal untuk disalurkan kepada mashlahat orang Islam.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyimpan wang sebanyak $1000 dan setelah berlalu satu tempoh masa tertentu simpanannya itu menghasilkan wang faedah sebanyak $200. Wang faedah sebanyak $200 itulah yang wajib diserahkan kepada Baitul-Mal.

Jelasnya, hukum bermuamalat dengan syarikat insurans konvensional seumpama menyimpan duit melalui pembelian polisi-polisi insurans dalam syarikat seperti syarikat AIA dan juga mengambil faedah daripada hasil penyimpanan duit adalah haram. Faedah daripada hasil penyimpanan duit tersebut pula wajib disalurkan pada jalan kebajikan umum.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12001