Hukum Terfikir Perkara-Perkara Ghaib
Soalan: Apa hukumnya jika kita terfikir tanpa sengaja atau lintasan hati akan hal-hal hukum seperti adakah syurga itu ada dan lain-lain?
Jawapan: Beriman Kepada Perkara Ghaib
Perkara ghaib ialah perkara yang tidak dapat difikirkan oleh akal, dan maklumat mengenainya juga tidak diketahui kecuali melalui perkhabaran daripada al-Qur’an atau hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam atau kedua-duanya. Oleh itu, setiap orang Islam yang mukallaf adalah wajib beriman dan percaya kepada setiap perkara ghaib yang telah ditsabitkan dalam al-Qur’an atau hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Tanwîr al-Qulûb fî Mu‘âmalah ‘Allâm al-Ghuyûb: 77)
Antara perkara-perkara ghaib itu ialah seperti roh, azab kubur, Hari Kiamat, malaikat, syurga dan neraka. Semua perkara itu wajib diyakini kewujudannya secara qath‘î (pasti) tanpa keraguan sedikitpun dan ia tidak mungkin dapat difikirkan secara logik oleh akal fikiran manusia kerana kesemua perkara ghaib itu hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, kecuali sebahagiannya sahaja kepada rasul yang dikehendakiNya. Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian), maka sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Dalil Pentsabitan Syurga Dan Neraka
Beriman dan percaya tentang kewujudan syurga dan neraka merupakan satu tuntutan dalam i’tiqâd umat Islam. Kewujudannya telah tsabit diterangkan dalam beberapa ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menyediakan syurga yang dipenuhi dengan keni‘matan dan kesenangan sebagai tempat yang kekal bagi sekalian umat Islam yang beriman dan beramal salih. Begitu juga dengan neraka, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menyediakannya khusus bagi mereka yang ingkar, tidak beriman dan kufur terhadap apa yang telah diperintahkanNya dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang beriman serta beramal salih, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat teduh yang sentiasa dinaungi. (Surah an-Nisâ’: 57)
Dalam ayat lain, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). (Surah at-Tahrîm: 6)
Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kami adalah orang-orang yang terakhir (dan) orang-orang yang lebih dahulu pada Hari Kiamat dan kami adalah orang-orang pertama yang masuk syurga. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya (panas) api kamu ini adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada (panas) api Neraka Jahanam. Dan seandainya ia (api di dunia) tidak dapat dipadamkan dengan dua kali siraman air, nescaya kamu tidak dapat memanfaatkannya. Dan sesungguhnya ia (api di dunia) benar-benar berdo‘a kepada Allah ‘Azza wa Jalla, supaya Dia (Allah) tidak mengembalikannya ke dalam neraka (kerana panasnya api di neraka). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Daripada penerangan di atas, jelaslah bahawa ayat-ayat al-Qur’an dan hadits-hadits di atas menyebut tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga dan neraka. Oleh yang demikian umat Islam wajib mengimaninya. Mengingkari atau menolak perkara-perkara ghaib yang tsabit kewujudannya secara qath‘i (pasti) menurut al-Qur’an, sunnah atau ijmâ‘ (kesepakatan para ulama) adalah terkeluar daripada agama Islam. Wal-‘iyâdzubillâh.
Adapun lintasan pemikiran yang cuba meragukan keyakinan kita terhadap perkara-perkara ghaib sebagaimana yang ditanya di atas, ia adalah bisikan dan hasutan syaitan yang mahukan kita berlaku kufur terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dalam al-Qur’an telah pun menyebutkan dengan jelas bagaimana iblis dan konco-konconya akan sentiasa menghasut manusia (keturunan Nabi Adam ‘Alaihissalâm) agar mereka terpesong daripada menurut syariat Allah yang sebenar.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan daripada sebarang syirik.” (Surah al-Hijr: 39-40)
Usaha iblis untuk menggoyahkan iman anak-anak Adam akan sentiasa ada, dalam apa cara dan bentuk sekalipun, sama ada secara yang kita sedari ataupun tidak. Kesungguhan, janji dan sumpah syaitan untuk menyesatkan manusia itu tidak pernah padam. Perkara ini dinyatakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka benar-benar membelah telinga binatang-binatang ternak itu dan akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah) lalu mereka benar-benar mengubahnya. Dan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang nyata. (Surah an-Nisâ’: 119)
Oleh itu, bisikan buruk yang datang tanpa disengajakan itu janganlah dituruti dan segeralah mengingat Allah. Mudah-mudahan ia merupakan satu perkara yang dimaafkan dan tidak mempengaruhi hati kita untuk berlaku kufur terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah memberikan maaf bagi umatku atas apa yang dibisikkan atau yang berlaku di hatinya, selama mana dia belum (memperakukan perkara tersebut) dengan cara melakukan atau mengucapkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kemampuan kita menepis waswas yang timbul itu serta menolaknya dengan hati sehingga tidak dapat menguasai minda dan tidak menggoncangkan iman kita, maka ia merupakan satu petanda bahawa kita mempunyai keimanan yang kukuh.
Telah diceritakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Beberapa orang sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah datang lalu bertanya kepada Baginda: “Sesungguhnya kami mendapati (merasakan) dalam hati-hati kami apa yang masing-masing kami menganggap (dosanya) besar bila diucapkan”. Baginda bertanya: “Apakah kamu merasakannya?” Mereka menjawab: “Ya”, Baginda bersabda: “Itulah keimanan yang nyata.” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh bahawa maksud ‘keimanan yang nyata’ itu ialah merasa berat (berdosa) untuk mengatakan apa yang terlintas di fikiran. Perasaan tersebut dan perasaan sangat takut untuk mengatakannya apalagi meyakini perkara yang menjadi waswas itu hanya dimiliki oleh orang yang imannya benar-benar sempurna dan bersih daripada keraguan atau kebimbangan. Bahkan ada juga yang mengatakan bahawa makna sabda Baginda itu ialah syaitan hanya mampu membisikkan atau menimbulkan rasa waswas kepada orang yang tidak dapat disesatkannya. Maka syaitan akan terus membisikkan sesuatu yang buruk kepadanya kerana merasa tidak berupaya untuk menyesatkannya.
Berdasarkan hadits tersebut dapat disimpulkan bahawa bisikan buruk itu timbul disebabkan keimanan yang murni, atau bisikan buruk adalah petanda iman yang murni. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 1/841)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi. Serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (Surah al-Hujurât: 15)
Walau bagaimanapun, perasaan waswas buruk itu tidak boleh dianggap remeh. Bahkan ia adalah perkara yang membimbangkan dan perlu ditangani dengan cara yang betul, kerana jika perasaan tersebut tidak mampu ditolak malah kita ikut membenarkannya, maka kita adalah termasuk ke dalam golongan orang-orang yang munâfiq. (Ma‘ârij al-Qabûl bi Syarh Sulmi al- Ushûl ilâ ‘Ilmi al-Ushûl: 2/419)
Menolak Perasaan Waswas
Sebagai manusia, kita memang tidak terlepas daripada berperasaan waswas. Ia merupakan permainan syaitan yang menghasut manusia supaya meragui kebenaran agama Islam sehingga timbul pertanyaan seperti siapakah yang menciptakan Allah, adakah syurga dan neraka itu wujud dan sebagainya. Dari itu apabila timbulnya perasaan waswas seperti ini,
Perkara ini diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Baginda bersabda:
Maksudnya: Manusia tidak akan terlepas daripada sentiasa bertanya hingga dikatakan: “Ini, Allah menciptakan makhluk, lalu siapakah yang menciptakan Allah, maka barang siapa mendapatkan sesuatu daripada hal tersebut, maka hendaklah dia berkata: “Aku beriman dengan Allah.” (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu, lalu dia berkata: “Siapakah yang menciptakan begini dan begitu?” Sehinggalah dia berkata kepadanya: “Siapakah yang menciptakan Tuhanmu?” Maka apabila telah sampai kepada hal tersebut, maka hendaklah dia berlindung dengan Allah dan hendaklah dia menghentikannya (waswas tersebut). (Hadits riwayat Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12005
