Kedai Makan/Restoran Orang Islam Beroperasi Di Siang Hari Bulan Ramadhan
Soalan: Apakah hukumnya kedai makan/restoran kepunyaan orang Islam beroperasi menyajikan makanan/minuman kepada orang bukan Islam pada siang hari di bulan Ramadhan?
Jawapan: Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Memuliakan bulan ini merupakan satu tuntutan ke atas orang Islam. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam, lebih-lebih lagi pemerintah Islam untuk memastikan kesucian dan kehormatan syi‘âr agama Islam seperti bulan Ramadhan ini terpelihara dan dihormati oleh semua penduduk yang bernaung tinggal di bawah pemerintahannya.
Maka untuk itu pemerintah adalah berkewajipan untuk membuat peraturan demi mencegah perlakuan atau tindakan yang boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadhan, apatah lagi perlakuan atau tindakan yang terang-terang boleh mempersenda dan mencemarkan hukum syara‘.
Puasa dalam bulan Ramadhan adalah salah satu kewajiban ke atas setiap orang Islam. Antara kewajipan itu ialah menahan diri daripada makan dan minum di siang hari. Tidak makan dan tidak minum di siang hari itu, lebih-lebih lagi di khalayak ramai merupakan salah satu syi‘âr bulan Ramadhan. Oleh kerana itu, orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan kerana keuzuran sekalipun, adalah dituntut untuk tidak makan dan minum di khalayak ramai demi menjaga atau memelihara kehormatan bulan Ramadhan dan orang-orang Islam lain yang sedang berpuasa.
Jika orang yang tidak berpuasa kerana keuzuran pun dituntut untuk tidak makan dan minum di khalayak ramai demi menghormati bulan Ramadan dan menghormati orang-orang Islam lain yang sedang berpuasa, apatah lagi mereka yang tidak mempunyai sebarang keuzuran untuk berpuasa, termasuk orang bukan Islam adalah lebih-lebih lagi dituntut untuk tidak makan dan minum di khalayak ramai demi menghormati bulan yang mulia ini dan sekaligus menghormati orang-orang Islam lain yang sedang berpuasa.
Bahkan, orang yang memberi makan dan minum kepada orang Islam yang diwajibkan ke atasnya berpuasa atau kepada orang bukan Islam, pada siang hari bulan Ramadhan, hukumnya adalah haram, kerana perbuatannya itu dianggap memberi pertolongan dan bersetuju kepada perkara maksiat. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dalam hal ini, Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj fi Syarh al-Minhâj menyebutkan:
Maksudnya: Adalah haram orang Islam memberi makan kepadanya (orang bukan Islam) pada siang hari bulan Ramadhan kerana ia merupakan pertolongan kepada perkara maksiat.
Manakala al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Habîb ‘alâ Syar h al-Khathib juga menyebutkan:
Maksudnya: Dan tidak boleh (haram) bagi orang Islam menolong orang kafir di atas perkara yang tidak halal di sisi kita (orang Islam) melakukannya seperti makan dan minum di siang hari Ramadhan sama ada sebagai tetamu ataupun selainnya kerana ia merupakan pertolongan ke atas perkara maksiat.
Daripada nash al-Qur’an dan kitab di atas, maka jelas kepada kita, tidak ada ruang untuk sebarang restoran atau premis makanan milik orang Islam untuk menyaji atau menghidang makanan dan minuman pada siang hari di bulan Ramadhan kepada sesiapa jua, meliputi kepada orang-orang Islam sendiri dan juga orang bukan Islam. Jika dibuat juga oleh restoran atau premis tersebut, maka hukumnya adalah haram dan pemiliknya orang Islam yang berkenaan adalah berdosa dan mendapat murka Allah. Maka dalam hubungan ini sebagai langkah berjaga-jaga dan pencegahan, sayugia pihak berkuasa negara Islam akan mengadakan peraturan atau undang-undang mengenainya supaya tidak akan berbangkit lagi kekeliruan atau pelanggaran terhadapnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12009
