Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kedudukan Kain Jubah Evesham Damask

Soalan: Institut Teknologi Brunei (ITB) akan menggunakan kain corak Evesham Damask berwarna hitam bagi jubah Canselor, Pro Canselor, Ahli-ahli Majlis dan Pegawai-pegawai Utama ITB bagi majlis konvokesyen pertamanya.

Kain Jubah Evesham Damask mempunyai komposisi 58% viscose dan 42% sutera. Kain jubah tersebut akan digabungkan dengan turus pada bahagian dada, hujung tangan, hujung baju dan di belakang jubah. Di samping banang (benang) berwarna perak, banang berwarna kuning keemasan yang digunapakai bagi membuat turus tersebut telahpun diuji di makmal ITB dan disahkan tidak mengandungi emas tulen.

Dalam hubungan ini, dipohonkan jasa baik Pehin Mufti untuk memberikan pandangan mengenai perkara ini, sama ada ia dibenarkan atau tidak.

Jawapan: Menurut hukum syara‘, pakaian yang diperbuat daripada sutera harus dipakai oleh kaum perempuan tetapi tidak harus dipakai oleh kaum lelaki.

Perkara ini adalah bersandarkan kepada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu bahawa Baginda bersabda:

Maksudnya: Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan haram (dipakai oleh kaum lelaki pakaian) yang bercampur antara ibrîsam (sutera apa pun jenisnya) dengan bahan bukan sutera jika timbangan ibrîsam itu lebih banyak, dan harus (dipakai pakaian yang) sebaliknya (timbangan ibrîsam lebih sedikit berbanding bahan bukan sutera). Begitu juga (harus dipakai) jika timbangan keduanya itu sama mengikut qaul yang ashah. (Minhâj ath-Thâlibîn wa ‘Umdah al -Muftîn: 140)

Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj disebutkan bahawa pakaian yang bercampur antara bahan sutera dengan bahan yang lain adalah harus dipakai oleh kaum lelaki jika timbangan sutera adalah lebih ringan berbanding timbangan bahan bukan sutera. Begitu juga, jika timbangan antara bahan sutera dengan bahan bukan sutera adalah sama, menurut pendapat yang ashah pakaian sedemikian juga harus dipakai oleh kaum lelaki. Bagaimanapun, jika timbangan sutera lebih berat berbanding timbangan bahan yang lain, maka haram ke atas kaum lelaki memakainya. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/378)

Berdasarkan keterangan yang diberikan dalam surat pertanyaan di atas, perkara yang dipersoalkan hukumnya ialah memakai jubah daripada kain berjenama Evesham Damask yang diperbuat daripada 42% kandungan bahan sutera dan 58% viscose iaitu bahan bukan sutera. Nisbah peratusan yang diberikan adalah menunjukkan kepada komposisi atau nisbah kandungan bahan yang terdapat dalam kain tanpa pernyataan berat timbangan masing-masing.

Maka, untuk mengenal pasti sama ada bahan sutera itu benar-benar lebih ringan berbanding bahan bukan sutera, timbangan berat kedua-dua bahan yang digunakan pada jubah tersebut adalah perlu untuk dipastikan, meskipun pada kebiasaannya bahan sutera adalah lebih ringan berbanding bahan-bahan yang lain.

Jika telah diketahui timbangan bahan sutera adalah lebih ringan berbanding bahan bukan sutera pada jubah yang dimaksudkan, maka sebagaimana keterangan yang diberikan di atas, haruslah jubah tersebut dipakai oleh kaum lelaki. Sebaliknya, jika timbangan bahan sutera itu lebih berat, maka tidak harus ia dipakai oleh pemakai kaum lelaki sekalipun komposisi atau nisbah kandungan bahan sutera itu lebih sedikit berbanding bahan bukan sutera.

Dalam pertanyaan yang diajukan di atas, turut diterangkan bahawa jubah berkenaan mempunyai turus yang dihasilkan daripada banang (benang) berwarna kuning keemasan. Berdasarkan maklumat yang diberikan, banang berwarna emas itu tidak mengandungi bahan emas tulen. Tetapi, banang berwarna perak yang turut digunakan tidak pula dapat dipastikan sama ada mengandungi bahan perak tulen atau tidak tulen kerana tiadanya peralatan yang bersesuaian untuk menguji kandungan banang perak tersebut.

Perlu juga difahami bahawa sepertimana penggunaan benda-benda yang berasal daripada emas, penggunaan benda-benda yang berasal daripada perak juga adalah mempunyai ruang lingkup yang terbatas dan tertakluk kepada ketentuan-ketentuan yang digariskan oleh syara‘. Sebagai contoh, dalam perkara penggunaan perhiasan-perhiasan diri (al-hulli) yang diperbuat daripada perak, ia diharuskan ke atas kaum perempuan tetapi tidak harus ke atas kaum lelaki melainkan dalam pengecualian memakai cincin perak atas dasar ittibâ‘ perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Begitu juga, dalam perkara penggunaan pakaian yang disulam dengan benang emas atau perak, hanya kaum perempuan yang harus memakainya tetapi tidak harus dipakai oleh kaum lelaki. (Mughni al-Muhtâj: 1/579-580 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/125)

Oleh itu, untuk mempastikan jubah daripada kain berjenama Evesham Damask yang ditanyakan itu benar-benar boleh digunakan khususnya oleh pemakai kaum lelaki, maka perlulah dipastikan bahawa banang perak yang digunakan untuk menghasilkan turus jubah berkenaan juga tidak mengandungi bahan perak tulen. Jika ia mengandungi bahan perak tulen, maka adalah tidak harus ia dipakai oleh pemakai kaum lelaki sekalipun bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan jubah berkenaan terdiri daripada sutera yang lebih ringan timbangannya berbanding bahan bukan sutera, bahan emas yang tidak tulen dan juga bahan-bahan yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12013