Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Memberi Ucapan Selamat Sempena Perayaan Keagamaan Orang Bukan Islam

Soalan: Bolehkah orang Islam memberi ucapan selamat kepada orang bukan Islam sempena hari perayaan keagamaan mereka seperti mengucapkan “Selamat Hari Natal” atau “Merry Christmas”?

Jawapan: Secara umumnya mengucapkan selamat atau tahniah itu adalah perkara yang mustahabb (sunat), dengan syarat ucapan selamat atau tahniah itu pada perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syara‘. Ini kerana ucapan selamat atau tahniah itu merupakan permohonan keberkatan dan do‘a di atas kegembiraan atau ni‘mat yang diperolehi oleh seseorang. Ucapan selamat dan tahniah juga ada kadang-kadang sebagai tanda turut bergembira kerana ni‘mat yang diperolehi oleh seseorang.

Antara munasabah-munasabah yang disunatkan kepada orang Islam mengucapkan selamat atau tahniah ialah, seperti sempena kelahiran anak, pernikahan, kedatangan bulan Ramadhan, Hari Raya, mendapat kegembiraan kerana kejayaan atau ni‘mat dan seumpamanya. Antara rahsia mengapa ucapan tesebut dianjurkan ialah kerana ucapan sedemikian itu boleh menjalin dan merapatkan lagi silaturrahim yang memang dituntut oleh Islam.

Mengucapkan Selamat Kepada Orang Bukan Islam Sempena Hari Perayaan Keagamaan Mereka

Sebagaimana telah diterangkan, bahawa ucapan selamat atau tahniah itu merupakan permohonan keberkatan dan do‘a di atas kegembiraan atau ni‘mat yang diperolehi oleh seseorang, atau sebagai tanda turut bergembira.

Apabila orang Islam mengucapkan selamat atau tahniah kepada orang bukan Islam bersempena dengan hari perayaan keagamaan mereka seperti hari Krismas dan seumpamanya, tidakkah ini bererti dia itu adalah mendo‘akan dan memohonkan keberkatan serta sekaligus menyatakan turut sama bergembira dengan perayaan mereka itu, sedangkan perkara ini jelas bertentangan dengan aqidah Islam?

Selain itu juga ucapan selamat atau tahniah ada menunjukkan di situ unsur redha atau restu. Maka apabila ia diucapkan bersempena dengan hari perayaan keagamaan orang yang bukan Islam itu, tidakkah ini bererti orang yang memberi ucapan itu turut meredhai atau merestui apa yang mereka rayakan, sedangkan Islam melarang redha atau merestui perkara dosa dan kufur dan bertolong-tolongan padanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab az-Zawâjir menyatakan bahawa dosa besar yang keenam puluh dua dan enam puluh tiga ialah redha terhadap maksiat dan membantu dalam maksiat dengan apa jua cara. (Az-Zawâjir: 195)

Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâhu Ta‘âlâ juga menyatakan:

Ertinya: Adapun memberi ucapan tahniah (kepada orang kafir) dengan syi‘ar-syi‘ar kekufuran yang khusus bagi agamanya adalah haram menurut kesepakatan ulama seperti mengucapkan tahniah kepada mereka sempena hari-hari perayaan dan puasa mereka. Umpamanya seseorang berkata kepada mereka: “Semoga mendapat hari raya yang berkat bagimu atau gembira dengan hari raya ini dan sebagainya. Sekalipun jika diandaikan pengucap tahniah itu selamat daripada kekufuran, tetapi yang demikian itu adalah sesuatu perkara yang haram. Ia adalah seumpama mengucapkan tahniah kerana sujud kepada salib.... Maka barang siapa mengucapkan tahniah kepada seorang hamba kerana maksiat atau sesuatu bid‘ah atau kufur maka dirinya telah terdedah kepada kebencian dan kemurkaan Allah…. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 1/161-162)

Kedudukan hukum mengenai persoalan memberi ucapan selamat atau tahniah bersempena hari perayaan agama orang kafir seperti Krismas tidak ada bezanya, sama ada ucapan itu diucapkan melalui mulut ataupun melalui utusan kad. Apatah lagi jika seseorang itu turut hadir dalam perayaan tersebut. Ia adalah haram dan dosa besar dan ditakuti boleh membawa kufur kerana yang dirayakan itu adalah simbol kufur, simbol mengaku dan menjadikan Nabi Isa ‘Alaihissalâm ‘tuhan’ atau ‘anak tuhan’ yang disembah. Jika redha dan bersetuju dengan kufur adalah kufur. (Fatwa Mufti Kerajaan: 3/94)

Sayugia umat Islam beringat dan berhati-hati tentang syirik atau kufur itu adalah amat halusnya, tersembunyi dan sukar dikenali. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyifatkannya seperti rangkakan semut. Bayangkanlah langkah semut.

Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan, katanya:

Maksudnya: Pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berkhutbah kepada kami, Baginda bersabda: “Wahai manusia! Takutlah kamu (jauhilah) syirik ini kerana sesungguhnya ia lebih tersembunyi daripada rangkakan seekor semut”. Lalu berkata seorang (daripada kalangan sahabat) yang dikehendaki Allah untuk berkata (kepada Baginda): “Bagaimanakah caranya kami boleh menghindari diri kami daripadanya sedangkan ia lebih tersembunyi daripada rangkakan seekor semut, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Kamu ucapkanlah: َ Allah! Kami berlindung kepadaMu daripada berlaku syirik terhadapMu dengan suatu kesyirikan yang kami ketahui dan kami memohon ampun kepadamu daripada kesyirikan yang kami tidak mengetahuinya.”) (Hadits riwayat Ahmad dan ath-Thabarani)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12017