Membina Dua Buah Masjid Di Dalam Sebuah Kampung
Soalan: Apakah boleh membina dua buah masjid dalam satu kampung di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau yang mempunyai 4,000 buah rumah dan dianggarkan seramai 16,000 orang penduduk?
Jawapan: Membina dua buah masjid di dalam sebuah kampung akan menyebabkan berlakunya dua sembahyang fardhu Jumaat di dalam sebuah kampung. Perkara berbilang-bilang sembahyang fardhu Jumaat di dalam satu tempat atau kampung adalah tidak diharuskan.
Asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh, pengarang kitab Fath al-Mu‘în menyebutkan antara syarat sah sembahyang fardhu Jumaat katanya:
Ertinya: Antara syarat sah sembahyang Jumaat ialah: Hendaklah sembahyang Jumaat itu tidak didahului atau diiringi takbîratul-ihrâmnya oleh sembahyang Jumaat lain yang dilaksanakan pada tempat itu. (Fath al-Mu‘în: 2/61)
Syarat di atas ditetapkan adalah untuk menegah daripada berlakunya berbilang-bilang sembahyang fardhu Jumaat di dalam satu tempat. (Fath al-Wahhâb: 74)
Melihat kepada persoalan yang dikemukakan iaitu dalam hal pembinaan dua buah masjid di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau yang akan menempatkan 4000 buah rumah dan dianggarkan akan didiami oleh 16 ribu orang penduduk memanglah amat sukar untuk ditampung oleh sebuah masjid dalam satu masa khususnya sembahyang fardhu Jumaat. Sekiranya pihak berkenaan bercadang untuk membina dua buah masjid, hendaklah dipastikan supaya tidak berlaku perkara dua sembahyang fardhu Jumaat dilaksanakan dalam sebuah kampung. Dari itu, adalah elok kawasan rancangan perumahan tersebut dibahagikan atau dipecahkan sekurang-kurangnya menjadi dua bahagian atau kawasan dan ditetapkan setiap bahagian atau kawasan dengan namanya yang tersendiri. Umpamanya satu bahagian dinamakan Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau ‘A’ dan bahagian atau kawasan yang satu lagi dinamakan Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau ‘B’. Maka penduduk kampung atau ahl al-qaryah di setiap bahagian atau kawasan ditetapkan untuk menjadi ahli jemaah masjid yang dibina untuk bahagian tersebut.
Ini kerana, dalam hal kefardhuan mendirikan sembahyang fardhu Jumaat, setiap kampung dengan namanya yang khusus sekalipun kampung-kampung itu berbilang-bilang dan berhampiran adalah dikira sebagai satu tempat yang tersendiri dan mempuyai hukum melaksanakan atau menyelenggarakan sembahyang fardhu Jumaatnya tersendiri. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj ada menyebutkan bahawa Ibnu ‘Ujail berkata:
Ertinya: Apabila ada beberapa tempat (kampung-kampung) yang berdekatan serta masing-masing tempat itu mempunyai nama tersendiri (iaitu mempunyai namanya yang khusus), maka masing-masing tempat itu mempunyai hukum yang tersendiri (dalam menyelengarakan sembahyang fardhu Jumaat). (Tuhfah al-Muhtâj: 2/462)
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, pengarang kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan maksud perkataaan ( ُ حمُهفَلَكُل ٍ حُك) dengan berkata:
Ertinya: Iaitu setiap kampung daripada kampung-kampung itu ada hukumnya yang khusus baginya. Maka jika sekiranya setiap kampung itu mempunyai cukup 40 orang ahli Jumaat, wajiblah mereka mendirikan sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya kurang maka tidak wajib mereka mendirikannya.... (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/60)
Maka dengan pembahagian kawasan rancangan perumahan tersebut kepada dua kawasan misalnya Rancangan Perumahan Kampung Mengkubau “A” dan “B”, ia menjadi dua buah kampung atau kawasan perumahan yang tersendiri dengan masjidnya yang khusus. Dengan demikian, tidak timbul isu dua sembahyang fardhu Jumaat didirikan di dalam sebuah kampung.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12021
