Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Membina Sekolah Di Atas Tanah Kerajaan Yang Digazet Atas Nama Pembinaan Masjid

Soalan: Sebidang tanah seluas 13 ekar telah digazetkan bagi pembinaan masjid. Keluasan yang diperlukan bagi membina masjid di tanah berkenaan adalah mencukupi 5 ekar sahaja. Oleh yang demikian keluasan tanah yang selebihnya iaitu 8 ekar dicadangkan untuk pembinaan Sekolah Arab yang akan melibatkan pembinaan surau dan kemudahan pendidikan agama yang bersesuaian. Pembinaan Sekolah Arab ini sangat diperlukan dalam waktu terdekat bagi menampung keramaian pelajar Sekolah Arab yang semakin bertambah.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai pembinaan masjid dan Sekolah Arab di atas tanah yang digazet atas nama pembinaan masjid.

Jawapan: Tanah milik persendirian, apabila diwaqafkan kerana masjid oleh pemiliknya, maka tanah tersebut dihukumkan masjid (yakni menjadi masjid) sekalipun belum didirikan bangunan masjid di atas tanah tersebut. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Bahawa perkataan seseorang: “Saya jadikan sekeping tanah ini masjid”, maka jadilah tanah itu masjid dengan katanya itu. (Minhâj ath-Thâlibîn: 3/152 )

Tanah tersebut menjadi masjid sekalipun tanpa pemiliknya melafazkan perkataan “waqaf” untuk menjadikannya masjid kerana dengan disebutkan masjid ke atas suatu tanah, maka dengan sendirinya ia telah menjadi waqaf sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh:

Ertinya: Kerana masjid tidak lain hanyalah semata-semata untuk menjadi waqaf. (Mughni al-Muhtâj: 2/512)

Tanah yang diwaqafkan oleh pemiliknya untuk dijadikan masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan yang lain daripada masjid kerana ia telah menjadi masjid. Tanah waqaf masjid tersebut hendaklah digunakan untuk masjid sahaja. Ini kerana syarat orang yang mewaqafkan itu hendaklah dipakai dan wajib diturut selagi tidak menyalahi syara‘.

Adapun tanah rezab kerajaan yang diperuntukkan atau yang telah digazetkan untuk pembinaan masjid, selagi belum didirikan masjid di atasnya, belum dipagar atau belum dibuat tembok dengan watas (batasan) untuk tujuan masjid, maka tanah tersebut tidak dihukumkan masjid. Ia dihukumkan masjid apabila telah dipagar, dibuat tembok atau didinding sekalipun belum diatap.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz ada menjelaskan dalam fatwanya mengenai perkara masjid di atas tanah mawât, beliau berkata:

“Dengan dipagar atau ditembok dengan watas atau seumpamanya, maka jadilah tanah mawât itu masjid dengan tiada dikehendakkan didirikan bangunan di atas tanah mawât yang ditembok atau dipagar itu, sebagaimana kata al-‘Allâmah al-Qalyubi dalam al-Minhâj dan disetuju akan dia al-‘Allâmah al-Bujairimi dalam al-Manhaj.” (Siri Fatwa: 22/71)

Al-Imam al-Qalyubi Rahimahullâh di dalam Hâsyiahnya menyatakan:

Ertinya: Jika dia kepung sekeliling sekeping tanah (di tanah mawât) kerana hendak dijadikan masjid, maka jadilah tanah yang didinding itu masjid, sekalipun dia tidak berlafaz pada menjadikannya masjid atau sekalipun dia tidak membina, mendirikan bangunan di atasnya, atau tidak diatapkan. Dan seumpama masjid itu hukum tanah lapang kerana sembahyang Hari Raya. Al-Imam as-Subki mensyaratkan pada masjid di tanah mawât itu hendaklah diatapkan. (Hâsyiah al-Qalyubi ‘ala al-Minhâj: 3/138)

Perkara yang berkaitan dengan masjid di atas tanah mawât yang disebutkan di atas adalah sama hukumnya dengan tanah rezab kerajaan yang telah digazet untuk masjid, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam fatwanya:

“Erti tanah mawât itu ialah tanah yang belum pernah di‘imârah atau diihyâkan ia oleh orang Islam dan tanah mawât itu seakan-akan tanah rezab kerajaan kerana untuk masjid.” (Siri Fatwa: 3/1967 )

Maka berhubung pertanyaan di atas mengenai tanah seluas 13 ekar yang telah digazetkan bagi pembinaan masjid, keseluruhan tanah tersebut tidak dihukumkan masjid melainkan jika ada kawasan yang didirikan bangunan masjid di atasnya, telah dipagar, dibuat tembok (dinding) dengan watas (batas) atau seumpamanya sebagai tanda bangunan atau tapak masjid.

Apabila telah ada tanda tersebut, maka hukum-hakam mengenai masjid berjalan antaranya ialah bangunan masjid itu adalah dikira waqaf. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa masjid tidak lain hanyalah semata-mata untuk menjadi waqaf.

Oleh yang demikian, tanah seluas 13 ekar yang telah digazetkan atas nama pembinaan masjid tersebut boleh dibangunkan masjid di atas sebahagian tanah tersebut dan boleh juga dibangunkan Sekolah Arab yang dimaksudkan di sebahagiannya lagi. Hatta untuk menggunakan keseluruhan tanah tersebut bagi pembinaan Sekolah Arab yang juga melibatkan pembinaan surau dan kemudahan pendidikan agama yang bersesuaian adalah juga diharuskan selagi mana bangunan itu tidak dibina di atas tanah yang telahpun dipagar atau didinding atau seumpamanya sebagai tanda bangunan atau tapak masjid sebagaimana yang dijelaskan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12025