Membongkar Kubur Lama Di Atas Tapak Projek Loji Penapisan Minyak Aromatik Kraker
Soalan: Sebuah syarikat yang dipilih bagi projek Loji Penapisan Minyak Aromatik Kraker di kawasan Ujung Sapuh telah memaklumkan kepada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) bahawa mereka akan membina jalan raya tepat pada tapak perkuburan Islam tunggal yang terdapat di kawasan tersebut. Ia bertujuan bagi menyesuaikan susun atur pembinaan infrastruktur di keseluruhan kawasan tapak projek tersebut.
Sebelum kerja-kerja kemajuan infrastruktur dan pembinaan jalan raya dilaksanakan, bolehkah kubur lama tersebut dibongkar? Dipohonkan fatwa dan pandangan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Menurut hukum syara‘, jika kubur di dalam kawasan tanah mawât, tanah persendirian atau tanah perkuburan al-musabbalah iaitu tanah perkuburan awam atau tanah perkuburan yang biasa orang-orang Islam mengebumikan mayat di tanah perkuburan tersebut dan tanah perkuburan tersebut tidak lagi digunakan pada masa sekarang dan pada masa akan datang, maka harus digunakan tanah perkuburan lama tersebut bagi tujuan lain selain daripada perkuburan dengan syarat hendaklah semua anggota mayat yang terdapat di dalamnya itu hancur keseluruhannya menjadi tanah. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Majmû‘ ada menjelaskan mengenai perkara ini, katanya:
Ertinya: Bahawasanya harus membongkar kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalam kubur tersebut, dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan di atasnya serta semua perkara yang boleh diambil manfaat daripadanya dan juga memperlakukan (mentasharrufkan) tanah tersebut (seperti menjualnya dan menghibahkannya) dengan kesepakatan para ulama mazhab Syafi‘e mengenainya. Jika tanah tersebut merupakan tanah yang dipinjamkan (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkannya boleh mengambil balik (tanahnya itu) semula. Semua perkara ini adalah apabila tiada lagi kesan bagi mayat; tulang dan lainnya. (Al-Majmû‘: 5/266)
Adapun kawasan yang terdapat kubur Islam tunggal di Ujung Sapuh yang dimaksudkan untuk dibina di atasnya jalan raya iaitu sebahagian daripada infrastruktur bagi projek Loji Penapisan Minyak Aromatik Kraker adalah merupakan kawasan tanah mawât atau tanah milik kerajaan dan ia bukan kawasan yang digunakan bagi perkuburan awam. Maka dengan demikian itu, jika sekiranya semua anggota atau mana-mana bahagian mayat yang terdapat di dalam kubur berkenaan hancur keseluruhannya berdasarkan pengakuan atau pengesahan mereka yang ahli atau mahir dalam bidang berkenaan dengan tanah, adalah harus digunakan untuk membina jalan raya di atasnya sebagaimana yang telah dirancang atau membangunkan apa-apa binaan.
Sebagaimana yang kita dengar penjelasan daripada pihak yang berkenaan, usia kubur tersebut telahpun mencapai lebih seratus tahun dan berdasarkan pengalaman pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam mengendalikan kerja-kerja pembongkaran kubur dan pemindahan mayat adalah dipercayai semua anggota mayat di dalamnya telahpun hancur.
Maka dalam hal ini, sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan hendaklah terlebih dahulu kubur tersebut dibongkar atau digali sebagai langkah untuk memastikan bahawa dalam kubur itu benar-benar tidak ada lagi mana-mana bahagian mayat yang belum hancur. Melainkan jika mayat yang ditanam di dalam kubur berkenaan itu mayat orang yang dikenali akan kewaliannya atau terdiri daripada kalangan orang salih, maka kubur tersebut tidak boleh dibongkar. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/226)
Perkara membina bangunan di atas tapak kubur lama yang diyakini mayat-mayat di dalamnya telahpun hancur keseluruhannya pernah berlaku pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bekas kawasan perkuburan lama tersebut telah dijadikan tapak masjid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Peristiwa ini disebutkan dalam sebuah hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: (Nabi bersabda:) “Wahai suku Najjar, kamu sebutkanlah kepadaku berapa harga kebun kamu ini?” Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya melainkan daripada Allah”. Anas berkata: “Sepengetahuanku di dalam kawasan kebun ini terdapat pohon-pohon kurma, kuburan orang-orang musyrikin dan bekas-bekas runtuhan”. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya pohon-pohon itu ditebang dan kuburan-kuburan itu dibongkar serta bekas runtuhan itu diratakan. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan bahawa boleh membongkar kubur lama dan harus menjual kawasan tanah yang terdapat kubur lama yang telah hancur keseluruhan jasad mayat serta tanah itu tetap menjadi milik persendirian yang boleh diwarisi selama ia tidak diwaqafkan. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam an-Nawawi: 3/1775)
Jika didapati semasa kerja-kerja menggali kubur tersebut bahawa mayat berkenaan belum hancur keseluruhannya yakni masih terdapat bahagian-bahagian mayat seperti tulang dan sebagainya, maka kubur tersebut hendaklah dikekalkan. Walau bagaimanapun sekiranya dengan mengekalkannya kubur berkenaan akan jadi tercemar disebabkan oleh pembangunan yang dibuat di tempat berkenaan, maka kubur berkenaan tidak mengapa dipindahkan ke tanah perkuburan awam kerana menjaga kubur atau mayat itu daripada terdedah kepada penghinaan.
Penghinaan terhadap kubur jika bahagian-bahagian mayat itu dikekalkan mungkin saja berlaku semasa melakukan kerja-kerja membina jalan raya atau menggali tanah di kawasan yang berhampiran kubur tersebut untuk menanam paip bersaiz besar bagi saliran minyak atau seumpamanya. Ataupun apabila siap nanti akan menyebabkan kubur tersebut tidak dihormati oleh para pekerja khususnya mereka yang bukan beragama Islam, atau mayat dalam kubur berkenaan terdedah kepada kebocoran cecair seperti minyak atau bahan kimia daripada paip-paip yang ditanam di dalam tanah.
Perihal hukum pemindahan kubur kerana ditakuti menghinakan kubur pernah difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz mengenai tanah perkuburan Islam yang terkandung di dalam Rancangan Penambahan Lapangan Terbang Baru, beliau berkata: “Harus dipindahkan kubur-kubur itu ke lain tempat apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina dan tiadalah berdosa akan memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang syuhadâ’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu dari kena basah.” (Siri fatwa:13/1968)
Beliau dalam fatwa yang sama ada menyebutkan peristiwa pemindahan kubur kerana mayat-mayat di dalamnya terkena basah. Beliau berkata: “Tersebut dalam kitab Wafa’ al-Wafa bi Akhbâr Dâr al-Mushthafâ Shallallâhu ‘alaihi wasallam menurut riwayat-riwayat yang sah bahawa sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang-orang syahîd (shuhadâ‘) dari kubur-kubur ketika Khalifah Mu‘awiyah telah mengalirkan mata air yang bernama (‘Ain al-Ghâbah) dan terkena basah pada kubur syuhadâ’ itu.“
Terdapat juga satu peristiwa yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ yang ada disebutkan di dalam kitab al-Ma‘ârif yang diceritakan oleh Ibnu Qutaibah dan lain-lain bahawa Thalhah bin ‘Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga - Radhiallâhu ‘anhum) telah dikebumikan selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah Radhiallâhu ‘anhu mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah pun menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah. (Al-Majmû‘: 5/273)
Maka sebagai kesimpulan dalam hal projek Loji Penapisan Minyak Aromatik Kraker di tapak yang melibatkan perkuburan lama ini, pihak yang berkenaan iaitu Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei sebelum melaksanakan dan meneruskan projek hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut:
1. Jika dipercayai mayat dalam kubur lama telah hancur keseluruhannya berdasarkan faktor usia kubur seperti yang dikatakan mencapai umur lebih seratus tahun dengan mengambil kira pengalaman pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam dan setelah digali untuk kepastian tidak mendapati kesan-kesan mayat, maka bolehlah dibina jalan raya yang dimaksudkan di atasnya.
2. Jika didapati mayat belum hancur keseluruhannya, maka bolehlah bahagian-bahagian mayat itu dipindahkan ke tanah perkuburan awam kerana menghindarkannya daripada terhina. Setelah selesai pemindahannya barulah boleh digunakan tempat tersebut.
3. Kerja menggali, memindahkan dan menanam bahagian mayat di tanah perkuburan awam hendaklah dilakukan oleh pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam dan semasa kerja menggali, memindah dan menanam hendaklah diselia dan disaksikan oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya penghormatan terhadap mayat terpelihara dan tidak terabai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12032
