Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Memindah Kubur Lama Dari Kawasan Projek Pembinaan Longkang Konkrit Dan Kolam Penahanan-Tadahan Damuan

Soalan: Kira-kira sebanyak 20 buah kubur lama orang-orang Islam (kubur Mengaris) telah didapati berada di dalam projek pembinaan longkang konkrit dan kolam penahanan-tadahan Damuan yang akan dilaksanakan.

Tujuan projek tersebut adalah bagi mengawal kebanjiran di kawasan bawah Sungai Damuan (kawasan yang ramai penduduk) dengan memberikan masa penahanan kira-kira dua jam air hujan/banjir sebelum mengalirkannya keluar dari kolam penahanan.

Projek ini dapat membantu mengurangkan tahap dan risiko kebanjiran di samping membantu mengawal daripada kerosakan harta benda kerajaan serta awam di kawasan-kawasan berdekatan.

Dalam keadaan berlakunya hujan lebat atau kebanjiran adalah diperkirakan kolam penahanan akan menakong air di dalam kedalaman 5-6 meter dalam, yang mana kawasan perkuburan tersebut akan ditenggelami oleh air.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa Pehin Mufti adakah boleh kubur-kubur lama orang-orang Islam itu dipindahkan ke tempat yang lebih selamat bagi mengekalkan sejarah dan identiti pemilik kubur tersebut?

Jawapan: Dalam syariat Islam, kubur adalah tempat yang mempunyai kemuliaan kerana menghormati mayat di dalam kubur tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)

Tanah perkuburan adalah hak mayat yang ditanam di situ dan haram mengganggu atau mencerobohinya umpamanya dengan menggali atau membongkar dan memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat atau keperluan mendesak yang diharuskan oleh syara‘.

Antara perkara dharurat yang mengharuskan membongkar kubur ialah jika mayat yang dikebumikan tidak menghadap qiblat, mayat tersebut dikebumikan dalam keadaan belum dimandikan, belum dikafankan atau dikafankan dengan kain milik orang lain yang telah dirampas. Maka dalam hal ini, harus membongkar kubur tersebut untuk menghadapkan mayat ke arah qiblat, untuk dimandikan, untuk dikafankan atau untuk mengembalikan kain kafan yang dirampas kepada pemiliknya. Demikian juga, diharuskan membongkar kubur dan memindahkan mayat daripada tercemar kerana basah atau ditenggelami oleh banjir. (Kitab al-Majmû‘: 5/266 dan Tuhfah al-Muhtâj: 5/203-206)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘, katanya:

Ertinya: Bahawasanya harus membongkar kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalam kubur tersebut, dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan di atasnya serta semua perkara yang boleh diambil manfaat daripadanya dan juga memperlakukan (mentasharrufkan) tanah tersebut (seperti menjualnya dan menghibahkannya) dengan kesepakatan para ulama mazhab Syafi‘e mengenainya. Jika tanah tersebut merupakan tanah yang dipinjamkan (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkannya boleh mengambil balik (tanahnya itu) semula. Semua perkara ini adalah apabila tidak ada lagi kesan bagi mayat; tulang dan lainnya. (Al-Majmû‘: 5/266)

Bertsabit dengan pertanyaan mengenai dengan perkuburan lama yang terkandung di dalam tapak projek kerajaan bagi pembinaan longkang konkrit dan kolam penahanan – tadahan Damuan, maka jika benar-benar diyakini bahawa jasad-jasad mayat di tanah perkuburan tersebut telah hancur menjadi tanah dan tidak lagi ada kesan-kesan mayat dan bahagian-bahagian jasad mayat, maka harus kawasan perkuburan itu digunakan bagi melaksanakan projek pencegahan banjir dan tanpa perlu lagi memindahkan kubur tersebut sebagaimana nash al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas.

Walau bagaimanapun sebelum melaksanakan kerja-kerja projek berkenaan hendaklah terlebih dahulu kubur tersebut dibongkar atau digali sebagai langkah untuk memastikan bahawa mayat dalam kubur lama itu benar-benar tidak ada lagi bahagian jasad mayat yang belum hancur.

Jika didapati semasa kerja menggali kubur-kubur berkenaan bahawa masih terdapat mayat-mayat yang belum hancur keseluruhannya yakni masih terdapat bahagian-bahagian mayat seperti tulangnya dan sebagainya, maka jika dikekalkan kubur-kubur itu akan menyebabkannya tercemar, maka harus bahagian-bahagian mayat yang masih belum hancur itu dipindahkan dan ditanam semula di tanah perkuburan orang-orang Islam yang lain.

Keharusan memindahkan bahagian-bahagian mayat yang masih wujud dan belum hancur di dalam tanah perkuburan tersebut (jika masih ada) adalah bagi menjaga kubur atau mayat daripada tercemar atau terhina jika ia dikekalkan di tapak berkenaan baik semasa projek itu berjalan mahupun setelah selesai projek itu nanti.

Perihal hukum pemindahan kubur kerana ditakuti menghinakan kubur pernah difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz mengenai tanah perkuburan Islam yang terkandung di dalam Rancangan Penambahan Lapangan Terbang Baru, beliau berkata:

“Harus dipindahkan kubur-kubur itu ke lain tempat apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina dan tiadalah berdosa akan memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang syuhadâ’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu dari kena basah.” (Siri fatwa:13/68)

Beliau dalam fatwa yang sama ada menyebutkan peristiwa pemindahan kubur kerana mayat-mayat di dalamnya terkena basah. Beliau berkata: “Tersebut dalam kitab Wafâ’ al-Wafâ bi Akhbâr Dâr al-Mushthafâ Shallallâhu ‘alaihi wasallam menurut riwayat-riwayat yang sah bahawa sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang-orang syahîd (shuhadâ’) dari kubur-kubur ketika Khalifah Mu‘awiyah telah mengalirkan mata air yang bernama (‘Ain al-Ghâbah) dan terkena basah pada kubur syuhadâ’ itu.”

Terdapat juga satu peristiwa yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ yang ada disebutkan di dalam kitab al-Ma‘ârif yang diceritakan oleh Ibnu Qutaibah dan lain-lain bahawa Thalhah bin ‘Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga - Radhiallâhu ‘anhum) telah dikebumikan selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah Radhiallâhu ‘anhu mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah pun menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah. (Al-Majmû‘: 5/273)

Selain kerana menjaga kubur-kubur itu daripada tercemar, keharusan memindahkan bahagian jasad-jasad mayat (jika masih ada) adalah kerana projek kerajaan tersebut dilihat mempunyai mashlahat umum dan sangat diperlukan oleh orang-orang yang hidup. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam pertanyaan di atas, pembinaan kolam penahanan ini akan dapat membantu mengurangkan tahap dan risiko kebanjiran dan dapat membantu dan mengawal kerosakan harta benda kerajaan dan awam. Ini bermakna ia memberikan manfaat yang lebih umum. Dalam syariat Islam mashlahat umum adalah sama kedudukannya dengan dharurat khusus. Bahkan mashlahat umum itu lebih kuat atau diutamakan daripada dharurat atau mashlahat yang khusus. (Qawâ’id al-Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm: 1/326-327)

Dalam hal ini melaksanakan projek kerajaan sedemikian adalah dinilai sebagai mempunyai ( ُ لَحَةحُالحمَصهةالحعَام ) iaitu mashlahat umum kerana memberi manfaat kepada orang ramai dengan mengelakkan mereka daripada kemudharatan dan kesusahan disebabkan banjir. Manakala mengekalkan kubur tersebut termasuk dalam perkara ( ُ هرُورَةُالضهةا ْلح َاص ) dharurat khusus yang hanya berkaitan dengan mayat di kubur tersebut.

Oleh yang demikian berdasarkan kaedah-kaedah syara‘ yang umum seperti kaedah ( ُ لَحَةحَ الحمَص ئَيهةحح ُزلَحَة َ الحهمَة عَلَى الحمَصالحكُلَيهة ُ مُقَد) iaitu mashlahat atau kepentingan majoriti didahulukan daripada

tertentu ditanggung demi mengelak kemudharatan yang lebih umum, maka harus bahagian daripada jasad-jasad mayat yang masih belum hancur jika didapati di tanah perkuburan tersebut untuk dipindahkan dan ditanam di tanah perkuburan orang-orang Islam yang lain.

Maka, dalam hal projek kerajaan bagi pembinaan longkang konkrit dan kolam penahanan-tadahan Damuan ini sebelum melaksanakan dan meneruskan projek hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut:

1. Jika dipercayai mayat dalam kubur lama tersebut telah hancur keseluruhannya dengan mengambil kira pengalaman dan pandangan daripada pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam dan setelah digali untuk kepastian tidak mendapati kesan-kesan mayat, maka bolehlah projek yang melibatkan tapak perkuburan lama itu dilaksanakan tanpa perlu memindah kubur berkenaan.

2. Jika didapati ada bahagian mayat yang belum hancur keseluruhannya ketika menggali kubur berkenaan, maka bahagian-bahagian mayat itu hendaklah dipindahkan ke tanah perkuburan awam yang lebih selamat supaya terhindar daripada terhina. Setelah selesai pemindahannya bolehlah menggunakan tempat tersebut menjadi tapak projek yang dimaksudkan.

3. Kerja-kerja menggali, memindah dan menanam bahagian mayat untuk ditanam ke tanah perkuburan awam yang lain hendaklah dilakukan oleh pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam. Semasa kerja-kerja menggali, memindah dan menanam hendaklah diselia dan disaksikan oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya penghormatan terhadap mayat terpelihara dan tidak terabai.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12036