Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Memindahkah Kubur Lama Di Atas Tanah Persendirian Untuk Tujuan Membangun Rumah

Soalan: Sebuah syarikat telah dilantik untuk membuat kerja-kerja mengukur Topograpical Survey. Dalam mereka menjalankan kerja-kerja tersebut pihak juru ukur telah menjumpai sebuah kubur lama di atas tapak tanah berkenaan.

Perkuburan itu tidaklah diketahui pewarisnya dan pihak pemilik tanah berhasrat untuk menggunakan tapak tersebut untuk membina rumah kediaman.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini, adakah dibenarkan atau tidak perkuburan tersebut dipindah seperti hasrat pemohon?

Jawapan: Dalam syariat Islam, kubur adalah tempat yang mempunyai kemuliaan kerana untuk menghormati mayat di dalam kubur tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)

Kawasan perkuburan yang tertanam mayat itu pula adalah hak mayat yang ditanam di situ. Kawasan tersebut tidak boleh diganggu atau dicerobohi umpamanya dengan menggalinya atau memindahkan mayat di dalamnya ke tempat lain kecuali jika terdapat keperluan atau sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘.

Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj berkata:

Ertinya: (Dan menggali mayat setelah ditanam) dan sebelum hancur luluh kesemua bahagian mayat yang nyata dengan perkhabaran daripada pakar yang mengetahui darihal tanah di tempat itu (untuk dipindahkan) sekalipun ke Makkah dan (untuk selain memindahkannya) seperti untuk mengkafankannya dan untuk menyembahyangkannya (adalah haram) kerana pada yang demikian itu menceroboh kehormatan mayat (melainkan kerana dharurat). (Tuhfah al-Muhtâj: 3/233-234)

Maka berdasarkan daripada penjelasan ulama seperti yang tersebut di atas, adalah haram membongkar kubur melainkan kerana dharurat. Walau bagaimanapun adalah harus tapak kubur yang sudah lama digunakan bagi tujuan lain dengan syarat hendaklah semua anggota mayat yang terdapat di dalamnya itu hancur keseluruhannya menjadi tanah. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ ada menjelaskan mengenai perkara ini, katanya:

Ertinya: Bahawasanya harus membongkar kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalam kubur tersebut, dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan di atasnya serta semua perkara yang boleh diambil manfaat daripadanya dan juga memperlakukan (mentasharrufkan) tanah tersebut (seperti menjualnya dan menghibahkannya) dengan kesepakatan para ulama mazhab Syafi‘e mengenainya. Jika tanah tersebut merupakan tanah yang dipinjamkan (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkannya boleh mengambil balik (tanahnya itu) semula. Semua perkara ini adalah apabila tiada lagi kesan bagi mayat; tulang dan lainnya. (Al-Majmû‘: 5/266)

Maka mengenai dengan hasrat pemilik tanah yang hendak memindahkan kubur lama kerana hendak membangunkan rumah kediaman di tapak kubur tersebut adalah tidak menyalahi hukum syara‘ sekiranya tapak tersebut benar-benar diperlukan untuk pembinaan rumah berkenaan dan kubur berkenaan hendaklah dipindahkan ke tapak perkuburan awam. Selain itu, adalah harus juga menggunakan tapak kubur berkenaan untuk dibina rumah kediaman jika jasad mayat dalam kubur tersebut telah hancur menjadi tanah. Walau bagaimanapun dalam melaksanakan kerja-kerja menggali dan memindahkan mayat di tanah berkenaan, hendaklah dirujukkan kepada pihak yang berkenaan seperti Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Jika pihak yang berkenaan mendapati mayat telah hancur keseluruhannya, maka bolehlah dimulakan projek pembinaan rumah kediaman tersebut. Tetapi jika ditemui bahagian mayat yang masih wujud seperti tulang, rambut dan sebagainya maka hendaklah dikumpul dan dipindahkan ke tempat tanah perkuburan awam. Kerja-kerja ini hendaklah dilakukan dengan penuh teliti dan cermat demi untuk menjaga kehormatan dan kemuliaan mayat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12041