Menentukan Arah Qiblat Dan Waktu Sembahyang
Soalan: Bagaimanakah cara menentukan arah qiblat dan waktu mengerjakan sembahyang fardhu ketika berada di atas kapal pelayaran (Cruise Ship) yang berlainan negeri dan tempat?
Jawapan: Cara menentukan arah qiblat dan waktu mengerjakan ibadat sembahyang apabila berada di atas kapal pelayaran atau ketika berada di tempat asing pada dasarnya tetap sama sahaja dengan cara menentukan arah qiblat dan waktu sembahyang ketika berada di daratan atau di tempat sendiri.
Tugas menentukan arah qiblat, bagaimanapun, menjadi lebih mudah apabila berada di kediaman sendiri dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti alat pengesan arah qiblat, mihrâb di dalam masjid dan sebagainya. Begitu juga, cara menentukan masuknya waktu sembahyang adalah lebih mudah dengan adanya taqwîm Hijriyyah yang mengandungi jadual waktu sembahyang lima waktu dan juga media-media massa seperti peti televisyen dan radio yang mengumandangkan laungan azan setiap kali masuknya waktu sembahyang.
Ketika berada dalam pelayaran dan kemudahan-kemudahan seperti di atas tidak dimiliki, maka tatacara menentukan arah qiblat dan waktu sembahyang perlulah dirujuk semula kepada panduan asal yang digariskan oleh syara‘.
Cara Menentukan Arah Qiblat
Menghadap qiblat dalam ibadat sembahyang bererti menghadap Ka‘bah yang berada di Makkah al-Mukarramah. Menghadap qiblat adalah sebahagian daripada syarat sah sembahyang ke atas orang yang mampu melakukannya termasuklah ke atas sesiapa jua yang berada dalam pelayaran. Hanya dalam keadaan-keadaan tertentu tidak disyaratkan menghadap qiblat ketika bersembahyang iaitu apabila seseorang itu berada dalam situasi yang sangat tidak aman atau ketika menunaikan sembahyang sunat dalam perjalanan bermusafir yang diharuskan. Orang yang bermusafir menaiki kapal pelayaran, bagaimanapun, tetap diwajibkan menghadap qiblat ketika mengerjakan sembahyang sunat mahupun fardhu. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/424, 427-430, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209-210, Raudhah ath-Thâlibîn: 1/319 dan Kifâyah al-Akhyâr: 145)
Bagi sesiapa yang berada berdekatan dengan Ka‘bah, arah qiblat yang wajib dihadap ketika bersembahyang ialah ‘ain Ka‘bah itu sendiri; menurut ijmâ‘ fuqahâ’ kedudukan Ka‘bah dalam hal ini hendaklah diketahui secara yakin. Manakala bagi yang berada jauh dari Ka‘bah, menurut fuqahâ’ mazhab asy-Syafi‘e, juga diwajibkan menghadap ‘ain Ka‘bah tetapi memadai kedudukannya diketahui secara zhann sahaja. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/427 dan Fath al-‘Allâm: 2/126)
Menurut hukum syara‘, ada empat tahap bagaimana kedudukan arah qiblat itu boleh diketahui, iaitu:
1. Benar-benar mengetahui kedudukan qiblat, seumpama keadaan orang yang sedang berada dalam Masjid al-Haram yang dapat melihat Ka‘bah secara langsung atau seumpama keadaan orang yang berada di Makkah yang penglihatannya tidak terhalang daripada menyaksikan bangunan Ka‘bah itu sendiri. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/438 dan Fath al-‘Allâm: 2/127)
2. Mengetahuinya berdasarkan perkhabaran orang yang tsiqah (dipercayai) lagi ‘âdil yang benar-benar tahu tentang kedudukan Ka‘bah, seumpama mendengar kata-katanya: “Aku melihat Ka‘bah di arah ini.”
Menurut ulama, juga termasuk dalam pengertian tahap yang kedua ini pengetahuan mengenai arah qiblat yang diperolehi berdasarkan penglihatan terhadap mihrâb (tempat yang dikhaskan bagi imam dalam sembahyang) yang dibuat oleh orang-orang Islam. Begitu juga, termasuk dalam pengertian tahap ini pengetahuan berdasarkan alat petunjuk seperti bait al-ibrah (jarum kompas) yang biasa digunakan di daerah tempat seseorang itu berada. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/441 & 443, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209 dan Fath al- ‘Allâm: 2/127)
3. Pengetahuan berdasarkan ijtihâd terhadap dalil-dalil (petunjuk) arah qiblat. (Nihâyah al- Muhtâj: 1/442-443, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209 dan Fath al-‘Allâm: 2/129)
Ijtihâd secara ‘urf dimaksudkan sebagai “mengerahkan usaha untuk mencapai tujuan”. (Hâsyiatân al-Qalyubi wa ‘Umairah: 1/24) Apabila kedudukan arah qiblat tidak dapat diketahui menerusi dua tahap yang pertama di atas, maka hendaklah seseorang itu berijtihâd mencari arah qiblat bersandarkan dalil-dalil qiblat seperti kedudukan bintang, bulan, angin dan seumpamanya. (Nihâyah al- Muhtâj: 1/442-443 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209)
4. Bertaqlîd kepada seseorang yang tsiqah yang tahu kedudukan arah qiblat berdasarkan ijtihâd. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/444-445, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209 dan Fath al-‘Allâm: 2/129)
Taqlîd ialah: “Menerima pakai cakap orang lain yang menyandarkan pendapatnya kepada ijtihâd.” (Kifâyah al-Akhyâr: 146)
Dalam hal ini, hanya orang yang tidak mampu berijtihâd seperti orang buta diharuskan bertaqlîd kepada ijtihâd orang lain. Orang yang mampu berijtihâd haram bertaqlîd kepada orang lain.
Seorang yang mampu berijtihâd hanya dibolehkan mengikut ijtihâd orang lain dan menunaikan sembahyang berdasarkan ijtihâd orang itu apabila peluang untuk melakukan ijtihâd sudah tiada disebabkan waktu sembahyang yang telah suntuk. Sembahyang yang dikerjakan dalam hal ini bagaimanapun wajiblah diulang semula. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/443-445, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209 dan Fath al-‘Allâm: 2/129)
Al-‘Allâmah Abu Bakar ‘Utsman bin Muhammad Syaththa ad-Dimyathi al-Bakriy Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka sebagai kesimpulan, tahap-tahap (pengetahuan terhadap kedudukan arah) qiblat itu ada empat, iaitu: Mengetahuinya sendiri, (mengetahuinya berdasarkan) perkhabaran orang lain yang tahu tentang kedudukan arah qiblat, ijtihâd dan taqlîd (kepada ijtihâd orang lain). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/209)
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa sesiapa yang hendak mendirikan sembahyang perlulah terlebih dahulu berusaha menentukan arah qiblat sesuai menurut urutan langkah-langkah yang diterangkan di atas.
Orang yang berada dalam kapal pelayaran yang pada kebiasaannya tidak dapat mengetahui kedudukan arah qiblat secara pasti, maka dia perlulah mendapatkan maklumat daripada orang lain yang benar-benar tahu mengenai kedudukan arah qiblat tersebut umpamanya dengan bertanyakan kepada orang berkenaan. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/441)
Maklumat tentang arah qiblat juga boleh diperolehi menerusi bantuan alat-alat pengesan arah qiblat seperti jarum kompas. Jika peralatan seperti itu dapat ditemui di atas kapal yang dinaiki, maka ia hendaklah digunakan. Jika tidak ada, wajiblah berijtihâd dalam erti kata mengerahkan segala usaha untuk mengesan kedudukan arah qiblat berdasarkan dalil-dalil atau petunjuk-petunjuk arah qiblat. Orang yang tidak mampu berijtihâd pula, hendaklah bertaqlîd kepada ijtihâd orang lain.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka jika tidak ditemui orang tsiqah yang disebutkan (keterangannya sebelum ini), maka wajiblah berijtihâd menerusi panduan dalil-dalil yang menunjukkan arah qiblat. Dalil-dalil qiblat itu banyak; yang paling lemah adalah petunjuk daripada arah angin dan yang paling kuat adalah petunjuk daripada bintang kutub; menurut fuqahâ’ merupakan satu bintang kecil dalam lingkungan Ursa Kecil (Ursa Minor), yang berada di antara dua bintang Farqad dan bintang Jadi. Dan (kedudukan) petunjuk (bintang) itu berbeza-beza dengan perbezaan tempat. Di Mesir, ia berada di belakang telinga kiri orang yang bersembahyang.
Di Iraq, ia di belakang telinga kanannya. Di kebanyakan tempat di negeri Yaman ia berada di hadapannya mengiringi samping di sebelah kirinya dan di Syam ia berada di belakangnya. (Al-Minhâj al-Qawîm: 175-176)
Selain daripada petunjuk-petunjuk yang disebutkan di atas, petunjuk-petunjuk alam yang lain yang boleh digunakan untuk mengesan kedudukan arah qiblat adalah seperti kedudukan matahari, bulan dan juga gunung-ganang. (Fath al-‘Allâm: 2/131)
Kaedah pengesanan arah qiblat juga telah berkembang sejajar dengan perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang berkenaan. Setelah abad ke-7, umpamanya, penghitungan arah qiblat menggunakan kaedah trigonometri ilmu hisab yang dipelopori oleh ilmuan Islam sendiri seperti tokoh-tokoh masyhur al-Khawarizmi, al-Batani, Abu al-Wafa al-Buzjani, Ibnu al-Haitam, al-Biruni, at-Tusi dan lain-lain lagi telah mula berkembang. Kaedah tersebut digunakan seiring dengan penggunaan peralatan-peralatan tertentu seperti rubu‘ al-mujayyab yang membantu mengenal pasti nilai sudut trigonometri. Kaedah dan juga peralatan seperti ini masih digunakan pada masa kini, bahkan dengan adanya peralatan semasa seperti kalkulator, mesin komputer, di samping daftar logaritma yang turut dimajukan, penggunaan peralatan tersebut untuk menghitung kedudukan arah qiblat menjadi lebih mudah dan tepat.
Pada masa kini, peralatan moden seperi theodolite dan total station mempunyai asas dan fungsi yang sama dengan peralatan rubu‘ mujayyab.
Penentuan arah qiblat juga dapat dilakukan pada masa kini dengan bantuan kemudahan satelit, peralatan GPS (Global Positioning System) dan perisian-perisian komputer yang kebanyakannya bebas dimuat turun. Dengan kemudahan-kemudahan ini, koordinat geograpikal sesuatu tempat dapat diketahui dengan cepat dan terperinci. Petunjuk arah Ka‘bah seterusnya dapat ditentukan secara tepat dengan cara membandingkan maklumat koordinat geograpikal Ka‘bah yang berada di Makkah al-Mukarramah dengan koordinat tempat di mana seseorang itu berada. (Mutoha Arkanuddin, Teknik Penentuan Arah Qiblat - Teori dan Aplikasi: 1-2)
Apa yang jelas ialah pada masa kini terdapat banyak kemudahan yang boleh digunakan sebagai alat mengenal pasti kedudukan arah qiblat. Di atas kapal pelayaran, sekiranya peralatan-peralatan seperti di atas boleh ditemui, maka ia hendaklah digunakan bagi tujuan mengesan kedudukan arah qiblat. Kebanyakan kapal pelayaran masa kini pada kebiasaannya telah dilengkapi dengan sekurang-kurangnya salah satu daripada peralatan-peralatan seperti itu.
Sekiranya kapal yang dinaiki tidak dilengkapi dengan peralatan-peralatan seperti di atas, langkah berijtihâd secara tradisi iaitu menerusi pengamatan terhadap dalil-dalil atau petunjuk-petunjuk arah qiblat perlulah diambil kira. Perkara ini bererti perlunya ada latihan dan kemahiran dalam ilmu-ilmu tertentu. Ilmu-ilmu tersebut seharusnya dipelajari lebih awal iaitu sebelum seseorang itu memulakan pelayarannya lagi. Hatta penggunaan kompas sekalipun memerlukan teknik-teknik tertentu untuk dipelajari lebih awal.
Menurt qaul ashah dalam mazhab Syafi‘e, adalah menjadi satu kewajipan fardhu ‘Ain ke atas seorang mukallaf untuk mempelajari dalil-dalil qiblat ketika hendak bermusafir kerana keperluan pelayaran secara umum. Sementara orang yang tidak bermusafir pula, mempelajarinya adalah fardhu Kifayah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/446)
Sekiranya orang yang mampu berijtihâd tetap tidak dapat menentukan arah qiblat setelah dia melakukan ijtihâd disebabkan faktor-faktor seperti keadaan cuaca yang berawan tebal, maka sembahyang harus dikerjakan dengan cara menghadap ke arah mana sahaja atas dasar menghormati waktu. Orang yang mampu berijtihâd dalam hal ini tetap tidak harus bertaqlîd kepada ijtihâd orang lain melainkan dalam keadaan, sebagaimana diterangkan sebelum ini, kesempatannya untuk berijtihâd telah tiada disebabkan waktu sembahyang telah suntuk. Sembahyang yang dikerjakan dalam keadaan ini adalah wajib diqadha’ setelah kedudukan arah qiblat dapat diketahui.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan jika orang yang mampu berijtihâd menjadi bingung, tiada nyata baginya sesuatu disebabkan awan tebal atau disebabkan oleh petunjuk-petunjuk yang (tidak pasti kerana) bersalah-salahan, dia tidak boleh bertaqlîd (mengikut ijtihâd orang lain) kerana kedudukannya sebagai seorang yang mampu berijtihâd. Kebingungan itu suatu perkara mendatang yang pada kebiasaannya akan hilang dalam sedikit masa. Dia hendaklah sembahyang dengan apa cara (menghadap ke arah mana sekalipun) demi kehormatan waktu sembahyang dan sembahyang yang dikerjakannya dalam keadaan itu hendaklah diqadha’ kerana hal seperti ini jarang berlaku. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/443)
Cara Mengetahui Waktu Sembahyang
Juga menjadi syarat daripada syarat-syarat sah sembahyang, mengerjakan sembahyang pada waktunya yang telah ditentukan. Oleh kerana itu, adalah wajib ke atas sesiapa yang hendak mengerjakan sembahyang untuk mengetahui waktu sembahyang telah masuk sama ada secara yakin atau zhann. Tidak sah menunaikan sembahyang sebelum mengetahui waktunya telah masuk sekalipun jika sembahyang yang didirikan kebetulan dikerjakan pada waktunya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196, Fath al-‘Allâm: 2/163 dan Kifâyah al-Akhyâr: 144)
Menurut syara‘, terdapat tiga tahap bagaimana mengetahui masuk waktu sembahyang itu, iaitu:
1. Mengetahuinya secara yakin iaitu seumpama melihat atau mengetahui sendiri tanda-tanda yang menunjukkan waktu sembahyang telah masuk. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/379- 380, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196 dan Fath al-‘Allâm: 2/171-175)
Tanda-tanda masuknya waktu sembahyang itu adalah seperti berikut:
i. Waktu Zhuhur dengan wujudnya bayang-bayang sesuatu benda setelah tergelincirnya matahari ke arah barat.
ii. Waktu ‘Ashar apabila bayang-bayang sesuatu benda menjadi sama panjangnya dengan benda itu sendiri.
iii. Waktu Maghrib dengan terbenamnya matahari, atau dengan nyatanya kegelapan malam dari arah Timur.
iv. Waktu ‘Isya’ dengan hilangnya cahaya merah (saki-baki kesan cahaya matahari yang timbul ketika terbenam).
v. Waktu Subuh dengan terlihatnya fajar shâdiq. (Mughni al-Muhtâj: 1/170-174 dan Fath al-‘Allâm: 2/171)
Menurut fuqahâ’, juga termasuk dalam pengertian tahap yang pertama ini perkhabaran daripada orang yang tsiqah yang tahu tentang masuknya waktu sembahyang secara yakin atau dengan mendengar azan yang dilaungkan oleh seorang yang tsiqah pada waktu siang hari. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/380, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196 dan Fath al- ‘Allâm: 2/171)
Begitu juga, termasuk dalam pengertian tahap pertama ini ialah pengetahuan tentang masuknya waktu sembahyang berdasarkan alat-alat penunjuk atau pengukur waktu seperti jam matahari (mizwalah/sundial) dan jam (sâ‘ah/watch) yang telah diperiksa memberikan maklumat yang betul. (Fath al-‘Allâm: 2/172 dan Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 1/281)
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, seseorang yang berupaya mengetahui masuknya waktu sembahyang boleh memilih untuk sama ada menggunakan maklumat tentang masuknya waktu sembahyang berdasarkan pengetahuannya sendiri ataupun menerima pakai perkhabaran orang tsiqah yang tahu tentang masuknya waktu sembahyang itu. Kedua-dua maklumat ini adalah sumber untuk mengetahui masuknya waktu sembahyang tahap yang pertama. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196 dan Hâsyiah al- Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 1/281)
2. Mengetahuinya secara ijtihâd berdasarkan dalil-dalil zhanni yang tidak memberikan petunjuk secara langsung tentang bila masuknya waktu sembahyang itu seperti dalil-dalil dalam bentuk sukat-sukat tempoh masa yang diambil untuk membaca wirid-wirid atau ayat-ayat al-Qur’an tertentu ataupun sukat-sukat tempoh masa sesuatu pekerjaan biasa dihabiskan.
Ijtihâd dalam hal ini bermaksud: “Membuat petanda sebagai sandaran ijtihâd.”
Juga boleh dijadikan petanda sebagai sandaran ijtihâd dalam menentukan masuknya waktu sembahyang itu ialah kokokan ayam yang dikenal pasti berkokok pada waktu-waktu tertentu, azan yang didengar daripada seseorang yang tidak diketahui sifat ‘adâlahnya (‘âdil) atau daripada sesiapa yang tidak diketahui bahawa azannya atau perkhabarannya itu adalah berdasarkan pengetahuannya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196 dan Fath al-‘Allâm: 2/172)
3. Pengetahuan berdasarkan taqlîd kepada seseorang yang tsiqah yang tahu tentang bila masuknya waktu sembahyang itu, sekalipun pengetahuannya adalah berdasarkan ijtihâd.
Dalam hal ini, seorang yang celik hanya boleh bertaqlîd kepada orang lain apabila dia tidak mampu untuk berijtihâd sendiri. Manakala, orang buta harus bertaqlîd kepada ijtihâd orang lain sekalipun dia mempunyai kemampuan untuk berijtihâd. (Nihâyah al- Muhtâj: 1/ 380, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/196 dan Fath al-‘Allâm: 2/174)
Asy-Syeikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan sebagai hasil bahawasanya (pengetahuan tentang masuknya) waktu sembahyang itu ada tiga tahap. Pertama: Beramal dengan pengetahuan sendiri atau perkhabaran seorang yang tsiqah. Kedua: Ijtihâd. Ketiga: Taqlîd. (Al-Bujairimi ‘ala al- Khathib: 2/40)
Demikian keterangan mengenai cara menentukan qiblat dan bagaimana mengetahui masuknya waktu sembahyang. Tidak dinafikan bahawa tatkala berada dalam pelayaran, terdapat masyaqqah atau kesukaran-kesukaran tertentu bakal dihadapi oleh sesiapa yang melakukan pelayaran termasuklah kesukaran-kesukaran berkaitan dengan kewajipan memenuhi tuntutan-tuntutan agama.
Kesukaran-kesukaran tersebut boleh ditangani dengan adanya pemahaman dan kesedaran terhadap ajaran-ajaran agama Islam umpamanya dengan memahami adanya keringanan dalam bentuk rukhshah yang diberikan ke atas sesiapa yang melakukan pelayaran atau bermusafir.
Begitu juga, kesukaran-kesukaran tatkala bermusafir dapat diminimumkan dengan cara membuat persediaan yang sewajarnya sebelum melakukan pelayaran lagi. Ilmu-ilmu serta maklumat-maklumat yang diperlukan patut dipelajari dan diperolehi termasuklah ilmu-ilmu dan maklumat-maklumat yang berhubungkait dengan cara menentukan arah qiblat dan waktu sembahyang umpamanya. Perkara-perkara ini sewajarnya disiapkan lebih awal sebagaimana bekal atau barang-barang keperluan telah disediakan lebih awal lagi sebelum seseorang itu memulakan perjalanannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12045
