Niat Menjadi Imam Pada Pertengahan Sembahyang
Soalan: Ketika kita sedang sembahyang bersendirian di masjid, tiba-tiba ada orang datang menjadi makmum di belakang kita, jadi kita harus menukar niat menjadi imam. Bagaimanakah niat itu harus disebutkan (dibaca)?
Jawapan: Dalam sembahyang berjemaah, orang yang menjadi imam mustahabb (disunatkan) untuk berniat menjadi imam sama ada pada permulaan sembahyangnya atau pada pertengahannya agar dia mendapat fadhilat sembahyang berjemaah. Niat imâmah atau niat menjadi imam bukanlah pula suatu syarat yang menentukan sahnya sembahyang berjemaah atau sebaliknya melainkan dalam sembahyang fardhu Jumaat. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/303 dan Mughni al-Muhtâj: 1/502)
Oleh kerana itu, orang yang sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah, maka disunatkan ke atas orang yang mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam. Imam sembahyang berjemaah akan mendapat pahala sembahyang secara berjemaah bermula daripada ketika dia berniat menjadi imam. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan jika seseorang itu berniat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyangnya, mendapatlah dia fadhilat sembahyang berjemaah itu pada ketika dia memasang niatnya itu. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/303)
Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu dikatakan berniat dengan adanya gerak hati atau kehendak di dalam hatinya untuk menjadi imam.
Niat itu hakikatnya adalah qashd atau kehendak untuk melakukan sesuatu. Ia merupakan perbuatan qalbiyyah iaitu perbuatan yang dilakukan di dalam hati. Tidak menjadi syarat niat itu diungkap dengan ibarat-ibarat atau lafaz-lafaz tertentu bahkan sebaliknya tidak memadai niat itu dilafazkan dengan lisan tetapi tidak pula disertai dengan kemahuan di dalam hati untuk melakukan apa yang dilafazkan itu. (As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/112)
Menurut pendapat ulama mazhab Syafi‘e, bagaimanapun, melafazkan niat dengan lisan apabila melakukan sesuatu ibadat adalah suatu perkara yang disunatkan bagi membantu seseorang menyematkan niat di dalam hati. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/181)
Kerana itu, apabila qashd atau kehendak untuk melakukan sesuatu umpamanya qashd atau kehendak untuk melakukan ibadat diungkap menerusi lafaz-lafaz tertentu, maka akan terbentuklah qashd sebagaimana terbentuknya lafaz-lafaz niat yang biasa diungkap sebagai contoh ketika mengerjakan ibadat sembahyang. Seolah-olah lafaz niat itu adalah perumpamaan atau terjemahan kepada kemahuan untuk mengerjakan ibadat tersebut.
Maka, kehendak untuk menjadi imam apabila hendak diungkap melalui ungkapan-ungkapan tertentu, antara ungkapan yang boleh difahami untuk menyatakan kehendak atau penyenghajaan diri seseorang itu untuk menjadi imam adalah seperti: “Sahaja aku menjadi imam.”
Perlu diingat bahawa tempat niat itu di dalam hati dan tidak menjadi syarat ia dilafazkan. Lebih-lebih lagi dalam pertengahan sembahyang, niat untuk menjadi imam tidak harus dijaharkan atau dilafazkan dengan lisan kerana perbuatan tersebut akan dikira sebagai perbuatan megeluarkan kata-kata yang termasuk dalam perkara-perkara membatalkan sembahyang. (As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/112 dan Mughni al-Muhtâj: 1/411)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12053
