Pengagihan Kutipan Wang Derma Anak-Anak Yatim
Soalan: Sejak penubuhan Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) pada tahun 1998, DANA telah berhasil mengumpulkan sejumlah sumbangan kewangan daripada para dermawan yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan perniagaan dan perusahaan, persatuan dan pertubuhan, badan-badan amal, keluarga dan orang perseorangan.
Bagi menyalurkan sumbangan-sumbangan yang diterima oleh DANA kepada anak-anak yatim, beberapa projek bantuan khusus bagi anak-anak yatim telah dilaksanakan oleh DANA. Walau bagaimanapun berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima dan perbelanjaan yang digunakan, memang terdapat baki sumbangan yang tidak digunakan dan jumlah baki terkumpul setiap tahun. Jumlah keseluruhan baki yang ada pada masa ini ialah sebanyak B$7,035,721.18 (Tujuh Juta Tiga Puluh Lima Ribu Tujuh Ratus Dua Puluh Satu dan Lapan Belas Sen).
Sehubungan dengan ini, sukacita dipohonkan agar Pehin Mufti akan dapat memberikan nasihat dan ketetapan mengenai kedudukan kumpulan baki sumbangan tersebut. Apakah jumlah sumbangan yang diperolehi dalam satu tahun mesti dipergunakan sepenuhnya atau bolehkah sebahagian daripadanya disimpan bagi kegunaan anak yatim pada tahun-tahun mendatang?
Jawapan: Amanah merupakan satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan tidak kira sama ada ia berupa perkara yang besar ataupun kecil, susah ataupun senang. Ia bukanlah satu tugasan yang mudah untuk dipikul apatah lagi jika amanah tersebut terkait dengan hak orang lain.
Tanggungjawab mengurus hal ehwal kebajikan dan harta anak-anak yatim adalah suatu amanah. Sekalipun memikul amanah seperti ini merupakan tugas yang berat, namun apabila ia dilaksanakan dengan baik, maka dia akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan akan dianugerahkan tempat yang mulia di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di syurga kelak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penjaga anak yatim, (terdiri daripada) kerabatnya atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga, dan Malik mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu. (Hadits riwayat Muslim)
Bahkan pengendali kutipan dan agihan derma, sama ada derma untuk anak-anak yatim ataupun selainnya akan mendapat pahala sepertimana yang diperolehi oleh mereka yang bersedekah.
Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah adalah orang yang melaksanakan (tanggungjawabnya) - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “Orang yang memberikan apa yang diperintahkan kepadanya - dia (penyimpan harta) melaksanakan dengan sempurna, jimat lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada orang-orang yang bersedekah (akan mendapat pahala seperti orang yang bersedekah).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun sebaliknya, jika seseorang itu mensia-siakan kebajikan anak-anak yatim sepertimana yang telah diamanahkan dan memakan harta mereka, maka dia akan mendapat dosa yang besar dan tidak akan merasai keni‘matan syurga.
Daripada Abu Hurairah Radhialllâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara (dosa-dosa besar) yang merosakkan. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, apakah perkara-perkara itu?” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah (syirik), sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang beriman, yang lalai (daripada memikirkan sebarang kejahatan).”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Empat (golongan) diputuskan oleh Allah bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak dirasakan kepada mereka keni‘matannya, (iaitu) orang yang ketagih minum arak, orang yang makan harta riba, orang yang makan harta anak yatim tanpa hak (cara yang benar) dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Pengagihan Derma Anak Yatim
Setiap pemberian atau derma wajib disempurnakan serta diberikan dan disalurkan kepada tujuannya yang tertentu sesuai dengan maksud dan niat penderma.
Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma atau pihak penganjur hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dikutip. Umpamanya jika derma diniatkan atau ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlîl, membaiki masjid, dana biasiswa pelajaran anak-anak yatim atau pembinaan sekolah, maka hendaklah pemegang amanah derma menyalurkan derma itu menurut niat orang yang berderma.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Begitu juga dengan kutipan derma anak-anak yatim, ia wajib diserahkan kepada anak-anak yatim dalam apa jua bentuk perbelanjaan sama ada untuk hal-ehwal kebajikan mereka, keperluan sekolah dan sebagainya asalkan ia tidak tersasar daripada kebajikan anak-anak yatim. Apabila ini dilakukan, maka niat penderma untuk bersedekah kepada anak-anak yatim itu akan terlaksana.
Apabila suatu kutipan derma yang dipohonkan daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu dan di sana ada disebutkan persyaratan atau makluman mengenai cara pengagihannya, maka pihak pengendali derma tersebut hendaklah menyerahkan dan menyalurkan wang derma berkenaan mengikut persyaratan tersebut. Namun jika tidak disebutkan sebarang persyaratan atau makluman mengenai cara pengagihannya, bahkan niat atau tujuan orang yang menderma itu juga tidak diketahui dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘urf) ketika menyalurkan derma-derma tersebut. Dalam perkara ini, ia hendaklah ditinjau dan dilihat kepada fungsi institusi yang bertanggungjawab mengendalikan wang derma tersebut yang merupakan sebuah dana.
‘Dana’ secara umumnya merupakan yayasan amal iaitu satu pertubuhan yang dibentuk untuk mengusaha dan mengendalikan sesuatu projek atau aktiviti untuk jangka masa yang berterusan. Berdasarkan penjelasan yang diterima daripada pihak pengurusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, fungsi dan dasar penubuhan Dana Pengiran Muda Mahkota Al- Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim adalah untuk mengasuh dan membentuk anak-anak yatim menjadi generasi berilmu pengetahuan dan berkemahiran, berakhlak mulia selaras dengan konsep Negara Melayu Islam Beraja, yang taat setia kepada raja, agama dan negaranya. Selain itu, ia juga berfungsi dan berperanan mengurus kebajikan anak-anak yatim bagi jangka waktu yang berterusan melalui sumbangan dan kutipan derma daripada institusi-institusi kerajaan dan swasta serta orang ramai.
Berdasarkan fungsi di atas, jelas bahawa kegunaan wang derma yang dikutip itu adalah tidak hanya terhad untuk jangka waktu tertentu sahaja dan tidak hanya khusus diserahkan kepada anak-anak yatim yang tertentu seperti terhad kepada anak-anak yatim yang berdaftar pada tahun berkenaan sahaja. Wang derma tersebut tidak termasuk sebagai hak atau milik mustaqar (milik tetap) kepada individu tertentu di kalangan mereka selagi mereka belum menerimanya.
Cara penyaluran wang derma tersebut juga difahami adalah sama seperti cara membelanjakan wang tabung masjid. Wang tabung masjid yang dihimpunkan melalui sedekah daripada orang awam dan sebagainya digunakan dan dibelanjakan mengikut cara kebiasaannya ia dibelanjakan. Umpamanya untuk kegunaan masjid seperti membeli perkakas-perkakas masjid atau untuk mashlahat para jemaah masjid seperti membuat jamuan bagi ahli jemaah masjid yang datang ke masjid itu kerana masjlis-majlis ta‘lîm atau pengajian yang dihubungkan dengan hari-hari kebesaran Islam dan sebagainya. Penggunaan wang tersebut adalah untuk jangka waktu yang berpanjangan tanpa terikat dengan tempoh tertentu untuk menggunakan wang tersebut.
Ini berbeza dengan harta zakat yang status pemilikan ashnâf yang berhak ke atasnya merupakan milik mustaqar (tetap) jika bilangan orang yang berhak dalam setiap ashnâf itu terbatas seramai tiga orang atau kurang pada waktu zakat wajib dikeluarkan. Harta zakat tersebut wajib diserahkan kepada mereka dan mereka berhak ke atasnya sekalipun mereka belum menerimanya dan hak mereka ke atas harta tersebut tidak akan terjejas sekalipun mereka meninggal dunia atau menjadi kaya setelah waktu zakat wajib dikeluarkan. Melainkan jika bilangan orang yang berhak dalam setiap ashnâf itu melebihi daripada tiga orang, maka harta zakat tersebut belum dianggap milik mereka selagi mereka belum menerimanya. Adapun harta zakat tersebut wajib diserahkan kepada ashnâf zakat yang ada sahaja pada ketika zakat itu wajib dikeluarkan (diserahkan). Manakala ashnâf yang tidak ada pada ketika itu, maka tidak ada lagi bahagian yang diperuntukkan untuknya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 7/216-218, Mughni al-Muhtâj: 4/189-190 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/328)
Dari itu, wang derma yang dikutip dalam tempoh setahun oleh pihak Dana itu tidak semestinya dihabiskan dan diserahkan kesemuanya kepada anak-anak yatim yang berdaftar pada tahun berkenaan sahaja. Wang derma tersebut harus diserahkan mengikut kadar keperluan mereka sahaja sekalipun wang tersebut masih berbaki selama mana kebajikan anak-anak yatim terpenuhi dan mencukupi serta kesejahteraan mereka terjamin. Manakala baki wang derma tersebut bolehlah dihimpunkan dan disimpan sebagai peruntukan bagi kegunaan mereka dan anak-anak yatim yang berdaftar pada tahun berikutnya.
Walau bagaimanapun, dalam menangani masalah wang derma yang berbaki terlalu banyak sehingga mencecah jutaan ringgit dan tidak digunakan itu perlu pula dikaji dan diteliti, apakah wang derma yang disalurkan melalui projek bantuan khusus itu sudah dianggap memenuhi maksud penubuhan Dana berkenaan dalam menunaikan keperluan dan menjamin kesejahteraan anak-anak yatim?
Jika keperluan anak-anak yatim seperti keperluan sekolah, pengangkutan, pakaian, sara hidup, perubatan, keperluan harian dan sebagainya telah mencukupi dan terpenuhi serta kesejahteraan dan kebajikan mereka terjamin, maka sebarang wang derma yang berbaki tidaklah ada salah menurut hukum syara‘ bagi pihak Dana untuk tidak menghabiskan wang derma berkenaan dan baki wang tersebut bolehlah disimpan bagi kegunaan anak-anak yatim pada tahun-tahun mendatang.
Malah, adalah lebih baik apabila keperluan anak-anak yatim mencukupi dan pada masa yang sama wang derma masih banyak tersisa atau berbaki untuk kegunaan jangka panjang. Tetapi jika dengan cara pengagihan yang dilaksanakan sekarang, keperluan anak-anak yatim tersebut masih tidak mencukupi dan jika dicukupkan, wang derma tersebut akan habis, maka dalam hal ini wang derma tersebut tidak sepatutnya ditahan sehingga berbaki.
Oleh kerana Dana Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai lembaganya, adalah teratur bagi lembaga ini memikirkan bagaimana membelanjakan baki wang tersebut dengan bijaksana selama mana tujuannya itu adalah untuk kebaikan dan kebajikan anak-anak yatim terutama tentang pelajaran mereka dengan tidak berlaku pembaziran. Mungkin juga difikirkan adakah telah sampai masanya anak-anak yatim itu dibangunkan bagi mereka rumah perlindungan atau rumah anak-anak yatim yang lengkap dengan segala keperluannya?
Untuk menghilangkan segala kewalangan tentang pengagihan wang dana kepada anak-anak yatim ini, eloklah bagi pihak pemegang amanah dana menentukan syarat-syarat dana itu dibuka untuk tujuan apa dan perkara ini hendaklah dimaklumkan kepada semua pihak daripada kalangan orang ramai atau lain-lain pihak, siapa selaku calon-calon penderma. Apabila dibuat yang demikian itu, maka mudahlah bagi pihak pemegang amanah dana untuk menjalankan urusan dan pentadbirannya, termasuk perkara pengagihan hasil derma kepada anak-anak yatim. Jika tidak dibuat syarat atau tidak dinyatakan tujuan pengisian dana itu atau tujuan dinyatakan secara umum sahaja, semata-mata untuk anak-anak yatim, maka ini boleh saja hukumnya: Semua hasil kutipan diagihkan seluruhnya kepada anak-anak yatim yang ada, berdasarkan tujuan atau niat penderma adalah semata-mata untuk anak-anak yatim sebagaimana disyaratkan begitu tanpa lain-lain tujuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12057
