Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permainan Lotto

Soalan: Permainan Lotto pada akhir-akhir ini sangat popular diadakan di majlis-majlis seperti sambutan hari jadi dan sebagainya. Pada lazimnya, hadiah-hadiah disediakan oleh tuan rumah dan ahli-ahli keluarga. Apakah pandangan Pehin Mufti mengenai permainan Lotto ini?

Jawapan: Setiap permainan, apa pun jua jenisnya, akan menyangkut soal perjudian apabila ia menjadi satu bentuk persaingan atau peraduan yang melibatkan hadiah pertandingan.

Bagaimanapun, tidak bererti semata-mata wujudnya hadiah pertandingan akan menyebabkan sesuatu persaingan atau peraduan itu bertukar menjadi satu bentuk perjudian. Untuk mengenal pasti jenis hadiah pertandingan yang membawa unsur perjudian, perkara ini hendaklah dilihat daripada aspek penyumbang hadiah berkenaan.

Dalam mana-mana peraduan, hadiah pertandingan pada kebiasaannya akan disumbangkan oleh salah satu daripada tiga pihak berikut iaitu:

1. Setiap peserta pertandingan.

2. Salah seorang atau sebahagian daripada orang yang ikut serta bertanding.

3. Pihak ketiga, iaitu orang yang tidak ikut serta dalam pertandingan.

Hadiah yang harus dipertandingkan itu ialah hadiah yang disumbangkan oleh pihak kedua dan ketiga di atas. Hadiah yang disumbangkan oleh pihak pertama pula iaitu hadiah sumbangan setiap para peserta, jika pertandingan yang diadakan itu menyebabkan ada pihak yang tidak mendapat hadiah, maka jenis hadiah sedemikian inilah yang membawa kepada pertaruhan atau perjudian yang diharamkan. (Mughni al-Muhtâj: 4/422)

Sebagai contoh, A, B, dan C kesemuanya adalah peserta dalam peraduan yang diadakan. Masing-masing menyumbang sejumlah wang untuk membeli satu hadiah pertandingan yang menjadi rebutan. Setelah peraduan berakhir, A menjadi pemenang dan dia mendapat hadiah pertandingan. Sebagai pemenang, A dikira mendapat keuntungan, manakala B dan C dianggap menanggung kerugian kerana tidak mendapat hadiah, bahkan kehilangan wang yang telah dipertaruhkan melalui pembelian hadiah. Maka hal seumpama ini adalah perjudian.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka jika (peserta-peserta peraduan) meletakkan syarat bahawasanya sesiapa antara mereka menjadi pemenang, maka baginya (peserta yang menang untuk mendapatkan) barang yang dipertaruhkan oleh peserta yang kalah, tidak sah peraduan itu kecuali dengan (adanya) muhallil (pihak atau peserta yang menjadikan peraduan yang haram disertai itu kepada halal untuk disertai, iaitu pihak atau peserta yang tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam peraduan). (Minhâj ath-Thâlibîn dalam Mughni al-Muhtâj: 4/422)

Daripada keterangan penanya dalam soalan yang diajukan, dinyatakan bahawa hadiah-hadiah permainan adalah disediakan oleh tuan rumah dan ahli-ahli keluarga. Sekiranya tuan tumah dan ahli-ahli keluarga turut menyertai permainan yang dimaksudkan sedangkan peserta-peserta lain tidak perlu memberikan apa-apa sumbangan, ini bererti hadiah permainan tersebut telah disumbangkan oleh sebahagian daripada peserta. Jika tuan rumah dan ahli-ahli keluarga tidak ikut serta dalam permainan tersebut, maka hadiah dikira sebagai sumbangan daripada pihak ketiga iaitu pihak yang tidak ikut serta dalam permainan. Dalam kedua-dua hal ini, hadiah permainan atau pertandingan itu tidak dianggap sebagai hadiah yang menyebabkan berlakunya unsur perjudian yang diharamkan.

Maka, melihat kepada aspek penglibatan hadiah mengikut keadaan yang dinyatakan dalam pertanyaan di atas, ia seperti tidak ada tegahan menurut syara‘. Namun saya melihat, walaupun andainya tuan rumah dan ahli-ahli keluarga tidak terlibat di dalam permainan ini, selain mereka hanya penyumbang hadiah semata-mata, tetapi di sini bukanlah jaminan putus untuk mereka itu tidak mungkin terlibat dalam permainan kerana peraturan, syarat atau keadaan bila-bila masa boleh berubah. Lagipun, apabila disebut Lotto, masyarakat sudah sekian lama menganggapnya judi. Mereka tidak melihat lain kecuali judi. Pendeknya sudah biasa atau lazim didengar Lotto itu judi, membawa kesan buruk kepada masyarakat, seperti pengamalnya mengabaikan keluarga, suka berhutang atau bergadai bergolok serta membuang masa dengan sia-sia.

Oleh itu sebagai irsyâd jua, adalah mustahak menghindari satu-satu majlis keramaian seperti perkahwinan atau pernikahan daripada permainan Lotto yang kontroversi itu. Lotto atau nama Lotto itu sudah lama dilihat sebagai tidak bagus atau tercela oleh masyarakat Islam khasnya dan malah sampai sekarang anggapan itu tidak berubah.

Ajaran Islam melalui hadits Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah menganjurkan supaya kita meninggalkan perkara-perkara yang tidak indah atau tidak bagus bagi seorang Islam itu, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Daripada keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak berguna baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menerangkan kebagusan Islam bagi seorang Islam, kebagusan yang menambahkan lagi kesempurnaannya.

Kebagusan Islam bagi seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak berguna kepadanya bagi kehidupan dunia dan agamanya, sama ada yang berupa perkataan yang sia-sia mahupun yang berupa perbuatan kosong yang menghabiskan waktu dan umur dengan percuma.

Pendeknya, antara perkara-perkara yang mengelokkan dan membaguskan Islam seseorang itu ialah dengan melakukan amalan yang dipandang baik dan bagus, serta dibuat dengan niat yang suci untuk kebaikan dunia dan akhirat. Perlu diingat juga bahawa apa yang dimahukan daripada sebuah perkahwinan atau pernikahan itu ialah keberkatan. Tidak akan datang berkat dengan pekerjaan yang sia-sia.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12061