Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permohonan Bagi Penubuhan Cawangan Pertubuhan Christian Fellowship Centre In Brunei

Soalan: Pihak Pendaftar Pertubuhan, Ibu Pejabat Pasukan Polis Di Raja Brunei telah menerima permohonan Awang Teo Boon Huat bagi menubuhkan cawangan Christian Fellowship Centre in Brunei di Daerah Belait.

Latar belakang penubuhan Christian Fellowship Centre in Brunei (CFCB) dan cawangannya adalah seperti berikut:

(i) Penubuhan Christian Fellowship Centre in Brunei (CFCB) dan cawangannya seperti berikut:

(a) Permohonan bagi pendaftaran pertubuhan Christian Fellowship Centre in Brunei telah diterima pada 01 September 1969. Permohonan tersebut telah diluluskan pada 13 September 1969 dengan nama Brunei Christian Fellowship Centre. Atas sebab-sebab tertentu, nama pertubuhan berkenaan telah ditukar oleh Pendaftar Pertubuhan menjadi Christian Fellowship Centre in Brunei berkuatkuasa mulai 22 November 1973.

(b) Pertubuhan Christian Fellowship Centre in Brunei mengamalkan konsep inter-denominational iaitu tidak terikat dengan mana-mana mazhab dalam agama Kristian. Oleh yang demikian, pertubuhan berkenaan tidak mempunyai gereja tertentu dan hanya menggunakan alamat No. 4, Blok 2, Ong Geok Lian Flat, Kampong Berangan, Bandar Brunei sebagai alamat kegiatannya. Pada 21 Disember 2008, Pertubuhan ini telah berpindah ke alamat Unit 21-24, Blok B, Lot 39178, Simpang 607-22, Kampong Beribi, Jalan Telanai, Mukim Gadong, Negara Brunei Darussalam sebagai tempat melakukan aktiviti harian mereka.

(c) Keahlian Pertubuhan berkenaan sehingga Mei 2010 ialah seramai lebih kurang tiga ratus (300) orang terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dan warga Malaysia.

(d) Mengenai dengan cawangan Christian Fellowship Centre in Brunei (CFCB), ia telah pun ditubuhkan seawal 15 Februari 1971 dengan menggunakan alamat Lot. No. 1259, Jalan Jaya Negara, Kuala Belait sebagai tempat kegiatan. Cawangan berkenaan kemudiannya berpindah ke alamat Tingkat 2, Lot. No. 83, Jalan Bunga Raya, Kuala Belait pada 01 Februari 1983. Pada 01 November 1987, cawangan berkenaan berpindah lagi ke alamat Lot. No. 4742, Simpang 34, Jalan Panglima, Kuala Belait. Alamat berkenaan masih digunakan sehingga sekarang.

(e) Keahlian cawangan berkenaan sehingga Mei 2010 ialah seramai lebih kurang tiga puluh (30) orang.

(ii) Sebelum tahun 2005, tiada peruntukan di dalam Akta Pertubuhan Penggal 66 mengenai penubuhan cawangan. Akan tetapi, pada tahun 2005, satu Akta telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan dikenali sebagai Perintah Pertubuhan, 2005 (kini dikenali sebagai Akta Pertubuhan Penggal 203), menghendaki setiap cawangan untuk didaftarkan di bawah Bab 27 seperti berikut:

“Pertubuhan berdaftar tidaklah boleh menubuhkan suatu cawangan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dan wujud sejurus sebelum permulaan kuatkuasa Akta ini adalah bukan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang jika pertubuhan berdaftar itu memohon kepada Pendaftar secara bertulis bagi mendapatkan kebenarannya.”

(iii) Berdasarkan kepada peruntukan di atas, setiap cawangan yang telah ditubuhkan sebelum berkuatkuasa Akta tersebut hendaklah memohon untuk mendapatkan kebenaran bagi penubuhan cawangan tersebut. Kegagalan pihak pertubuhan untuk mendapatkan kebenaran bagi penubuhan cawangan tersebut akan menjadikan cawangan tersebut sebagai suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan sebarang fatwa dan pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Peraturan Bagi Orang Bukan Islam di Negara Islam

Menurut hukum Islam, orang-orang bukan Islam yang berada di dalam negara Islam adalah tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara berikut:

1. Mengadakan perkumpulan beramai-ramai bagi menjalankan kesesatan mereka, melainkan perkumpulan itu tidak dizahirkan di kalangan orang Islam, seumpama hanya golongan mereka bersendirian di dalam sebuah kampung.

2. Mengadakan tempat-tempat berkumpul untuk beribadat seperti gereja atau seumpamanya, sama ada tempat tersebut digunakan hanya untuk beribadat atau bersama kegiatan lain. Ini kerana terdapat padanya maksiat. Tidak harus pemerintah Islam mengizinkannya dan tidak harus seorang Islam membantu atau diupah untuk mengadakannya.

Maka, tempat ibadat itu hendaklah diroboh jika telah diadakan di dalam negeri yang dibuka oleh orang Islam atau penduduknya masuk Islam. Begitu juga dengan negeri yang dibuka dengan paksa atau damai tanpa syarat mengekalkan tempat ibadat mereka, kerana negeri itu telah menjadi milik orang Islam. Dengan demikian juga, batal perjanjian yang membenarkan mereka mengadakannya.

Namun tempat ibadat itu dikekalkan jika ia telah ada tanpa diketahui asal kewujudannya; sama ada setelah negeri itu dibuka oleh orang Islam, atau setelah penduduknya masuk Islam, atau yang dibuka secara paksa atau damai. Demikian juga jika negeri itu dibuka dengan damai dengan syarat mengadakan atau mengekalkan tempat ibadat mereka.

3. Memperdengarkan kepada orang-orang Islam kepercayaan syirik mereka seperti Allah itu salah satu daripada tiga elemen (fahaman Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga elemen; tuhan bapa, tuhan anak dan rûh al-quds), Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.

4. Memperdengarkan kepada orang-orang Islam ucapan buruk mereka mengenai ‘Uzair dan al-Masih ‘Alaihimashshalâtu wassalâm bahawa kedua-duanya adalah putera Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan juga al-Qur’an bukan daripada Allah.

5. Menzahirkan perkara mungkar di hadapan orang Islam seperti arak, khinzîr, nâqûs (benda yang digendang oleh orang-orang Nashrani untuk memaklumkan waktu-waktu sembahyang mereka), perayaan mereka, upacara pengebumian jenazah mereka, menghidangkan arak dan khinzîr kepada orang-orang Islam, menzahirkan makan dan minum di bulan Ramadhan, menaikkan suara di hadapan orang Islam seperti ratapan ke atas mayat, bacaan Taurat dan Injil, sekalipun di dalam gereja atau tempat-tempat ibadat mereka, kerana terdapat padanya kerosakan-kerosakan dan menzahirkan syi‘ar kekufuran.

(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/364-6, 374, Asnâ al-Mathâlib: 8/558-560, 566 dan al-Umm: 4/218-9)

Daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Setiap negeri yang menjadi negeri orang-orang Islam, tidak dibina di dalamnya gereja Yahudi dan tidak juga gereja Kristian dan tidak digendang di dalamnya nâqûs dan tidak dijual di dalamnya daging khinzir. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Maka, pemerintah sesebuah negeri Islam adalah wajib menegah orang-orang bukan Islam yang berada di negeri Islam itu daripada melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan.

Walau bagaimana pun, mereka boleh bersembahyang di rumah-rumah mereka tetapi bukan dalam bentuk perkumpulan, tanpa mengangkat suara dan tanpa membunyikan loceng-loceng. Orang-orang Islam pula harus membiarkan mereka selama mana apa-apa yang mereka lakukan itu tidak dizahirkan (seumpama hanya golongan mereka bersendirian di dalam sebuah kampung), tidak menimbulkan gangguan ke atas seorang Islam dan tidak juga menzalimi sesiapa pun.

Apa yang dimaksudkan dengan menzahirkan itu ialah ia boleh dilihat tanpa perlu diintip. Jika mereka menzahirkan juga, maka mereka boleh dita‘dzîr (hukuman yang tiada dihadkan dalam syara‘), seperti arak yang dizahirkan itu ditumpahkan dan nâqûs dibinasakan. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/374 dan al-Umm: 4/219)

Permohonan Orang Bukan Islam Membuat Pertubuhan Yang Berunsur Keagamaan Mereka di Negara Islam

Berdasarkan laporan yang dimuatkan dalam lampiran-lampiran yang disertakan, didapati:

1. Objektif pertubuhan ‘Christian Fellowship Centre in Brunei’ itu adalah: “To have Christian fellowship and outreach of the Gospel.” Ertinya: “Untuk mendapatkan keahlian Kristian dan melaksanakan ajaran Gospel.”

2. Tempat perjumpaan dijalankan adalah untuk menjalankan perjumpaan-perjumpaan evangelika iaitu upacara keagamaan seperti sembahyang menurut ajaran Kristian Gospel dan kegiatan-kegiatan lain.

3. Terdapat laporan beberapa tahun kebelakangan daripada Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan mengenai penyalahgunaan premis oleh pihak Christian Fellowship Centre in Brunei yang telah digunakan bagi tujuan yang bercanggah dengan kebenaran asal. Namun, perkara tersebut telah ditangani oleh pihak Jabatan Bandaran.

Jelas daripada objektif pertubuhan tersebut dan laporan-laporan lain, bahawa pihak Christian Fellowship Centre in Brunei telah menjalankan aktiviti “missionary” dan upacara keagamaan secara beramai-ramai dan kegiatan-kegiatan yang membawa kepada penyebaran perkara kufur dan sesat di Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam. Perkara ini bertentangan dengan kehendak hukum Islam seperti yang telah dijelaskan. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan untuk menegah dan menyekat aktiviti-aktiviti tersebut. Tindakan ini adalah demi memelihara agama Islam dan aqidah umat Islam di negara ini serta juga sebagai langkah berhati-hati timbulnya sebarang respons negatif daripada masyarakat.

Ini dikuatkan lagi dengan fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz yang menyebut:

“Islam tiada membenarkan orang-orang atau kumpulan-kumpulan pada menubuhkan badan-badan bagi menyiarkan kufur dan sesat di dalam negeri Islam.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 18/1970)

Kita telah maklum bahawa fahaman orang-orang Kristian itu adalah fahaman yang syirik dan kewajipan pemerintah Islam tidak membiarkan fahaman syirik ini bertapak, lebih-lebih lagi membiarkannya dikembangluaskan kepada orang lain. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah al-Masih ibnu Maryam. Padahal al-Masih (sendiri) telah berkata: “Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhan kamu. Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu maka sesungguhnya Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat kembalinya ialah neraka. Dan tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun.” Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah adalah salah satu daripada yang tiga (fahaman Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga elemen; tuhan bapa, tuhan anak dan rûh al-quds). Padahal tidak ada tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu sudah tentu orang-orang yang (terus-menerus) kafir di antara mereka akan ditimpa azab yang pedih.” (Surah al-Mâ’idah: 72-73)

Oleh itu, membenarkan permohonan orang bukan Islam menubuhkan pertubuhan bagi membolehkan mereka menjalankan penyebaran agama mereka dan lain-lain ajaran serta fahaman yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘, adalah seumpama bersetuju membantu mengembangkan atau mempertahankan agama lain dan kepercayaan syirik. Perkara ini adalah dilarang keras dan termasuk perkara mungkar di dalam Islam. Kita ditegah untuk bersetuju termasuk saling membantu dalam perkara mungkar sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). (Surah al-Mâ’idah: 2)

Malah setiap perkara mungkar itu wajib ditegah dan dibasmi. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan, serta laranglah (manusia) daripada melakukan perbuatan yang mungkar. (Surah Luqman: 17)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12065