Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Persetujuan Pinjaman Wang ‘Berbunga’: Adakah Masih Dikira Riba?

Soalan: Saya berhasrat membuat satu perniagaan iaitu meminjamkan duit yang berbunga secara peribadi kepada saudara terdekat dan kawan-kawan sahaja. Akan tetapi ditakuti pinjaman tersebut akan menjadi riba kerana saya kurang mengetahui dan faham tentang hal demikian. Setelah mengkaji dengan beberapa orang ustaz mengenai perkara tersebut, sebanyak 75% mengatakan riba dan 25% lagi mengatakan bukan kerana pinjaman tersebut atas dasar persetujuan, perjanjian dan perundingan bersama antara kedua-dua belah pihak dengan niat memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Sebagai contoh: Pinjam $100, dibayar balik sebanyak $130 dalam masa tempoh yang ditetapkan.

Setahu saya bank-bank Islam yang ada di Negara ini juga membuat pinjaman sedemikian. Malahan dengan bayaran balik beserta bunganya yang begitu besar lagi.

Pertanyaan saya di sini:

1. Adakah cara lain untuk membuat pinjaman duit berbunga yang boleh mengelakkan riba?

2. Jika ada, bagaimana caranya dan huraiannya?

Jawapan: Menurut hukum syara‘, apabila seseorang memberikan pinjaman (qardh) seumpama wang kepada orang lain dengan menetapkan syarat yang mendatangkan manfaat kepada orang yang memberikan pinjaman, maka amalan sedemikian itu termasuk dalam mu‘âmalah riba. Termasuklah manfaat yang dimaksudkan dalam hal ini manfaat dalam bentuk memulangkan semula apa yang dipinjam dengan sesuatu yang lebih banyak jumlahnya atau yang lebih baik sifatnya. (Kitab al-Majmû‘: 12/261)

Sebagai contoh, apabila seseorang memberikan pinjaman wang sebanyak $100 kepada orang lain, kemudian dia menetapkan syarat ke atas orang yang diberikan pinjaman itu untuk membayar balik sebanyak $130, maka tambahan daripada jumlah asal yang dipinjam itulah yang dinamakan sebagai riba. (Kitab al-Majmû‘: 12/263)

Dalam istilah ilmu fiqh, amalan riba seperti ini dinamakan sebagai riba al-qardh atau riba al-fadhl. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/34)

Ibnu al-Munzir Rahimahullâh menyatakan bahawa amalan mensyaratkan pemulangan satu jumlah yang melebihi jumlah asal yang dipinjamkan adalah riba menurut ijmâ‘ para ulama.

Ertinya: (Ibnu al-Munzir Rahimahullâh berkata:) Dan ulama telah bersepakat bahawa barang siapa yang memberikan pinjaman kemudian dia mensyaratkan ketika pinjaman dibuat (agar pihak yang meminjam memberikannya) hadiah atau tambahan, lalu dia memberikan pinjaman berdasarkan syarat tersebut, maka mengambil tambahan itu adalah riba. (Al-Ijmâ‘: 136)

Menurut hukum syara‘, hubungan di antara pihak yang memberikan pinjaman (muqridh) dengan yang meminjam (muqtaridh) adalah hubungan tolong-menolong di antara satu sama lain. Jika akad mengandungi syarat yang mendatangkan manfaat atau keuntungan kepada pihak yang memberikan pinjaman, maka tidaklah lagi dinamakan hubungan tersebut sebagai irfaq atau tolong-menolong. (Nihâyah al-Muhtâj: 4/230)

Berkenaan soalan yang diajukan, apabila ada persetujuan, perjanjian dan perundingan bahawa orang yang meminjam hendaklah mengembalikan atau membayar satu jumlah yang melebihi jumlah asal yang dipinjam, maka hal sedemikian samalah ertinya dengan menetapkan syarat ke atasnya untuk menyerahkan atau memberikan suatu manfaat kepada pihak yang memberi pinjaman. Tidak diragukan lagi muamalat seumpama ini termasuk dalam amalan mengambil riba yang diharamkan.

Bahaya Mengambil Riba

Riba adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan telah dijelaskan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa semua pihak yang berurusan dengannya akan mendapat laknat.

Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar). Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum berkata: “Apa dia wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), makan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh perempuan beriman yang menjaga kesucian dan menjauhi perkara keji melakukan zina. ” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)

Jabir Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi riba, orang yang menjadi penulis riba dan dua orang yang menjadi saksi riba. Baginda bersabda: “Mereka itu semuanya sama.” (Hadits riwayat Muslim)

Pembiayaan Kewangan Islam

Di dalam pertanyaan yang diajukan oleh penanya, dua perkara berikut juga dikemukakan:

1. Adakah cara lain untuk membuat pinjaman duit berbunga yang boleh mengelakkan riba?

2. Jika ada, bagaimana caranya dan huraiannya?

Sebagaimana diterangkan di atas, pinjaman duit berbunga adalah ia riba. Tidak ada cara muamalat sedemikian diubah untuk mengelakkan atau menghalalkannya daripada unsur riba.

Adapun berkenaan intitusi kewangan Islam umpamanya Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), amalan yang dijalankan pada kebiasaannya bukanlah amalan memberikan pinjaman duit dalam bentuk ‘berbunga’ (riba), kerana dari apa yang difahamkan oleh bank berkenaan antaranya:

1. Pematuhan syari‘ah adalah menjadi teras dan landasan penubuhan dan operasi perniagaan yang dijalankan oleh BIBD seperti yang termaktub di dalam Momorandum Pertubuhan Syarikat BIBD (Memorandum of Association) dan Perlembagaan Pertubuhan Syarikat BIBD (Article of Association).

2. Pematuhan prinsip syari‘ah tersebut diperuntukkan dengan jelas dalam akta-akta yang berkaitan dengan operasi perbankan Islam:

i. Perintah Perbankan Islam 2008 (Islamic Banking Order 2008)

ii. Perintah Penyeliaan Kewangan Syari‘ah 2006, (SFSB Order 2006)

iii. Perintah Pemegang Pajak Gadai 2002 (Pawnbrokers Order 2002)

3. Bagi memenuhi kehendak Memorandum Pertubuhan Syarikat BIBD (Article of Association) di para 2 dalam Perintah Perbankan Islam 2008 (Islamic Banking Order 2008) di para 2(i), sebuah badan yang dinamakan Badan Penasihat Syari‘ah (BPS) telah ditubuhkan untuk memberikan nasihat operasi bank ini adalah patuh syara‘.

4. Pada peringkat BIBD, pihak pengurusan BIBD hendaklah mendapatkan kelulusan dan pengesahan daripada BPS bahawa segala produk dan perkhidmatan BIBD adalah patuh syara‘ sebelum ia diperkenalkan dan dilaksanakan.

5. Pada peringkat kebangsaan, sistem pematuhan dikawal selia oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melalui Lembaga Penyeliaan Kewangan Syaraiah (LPKS) di mana LPKS adalah sebuah lembaga yang ditubuhkan berdasarkan Perintah Lembaga Penyeliaan Kewangan Syaraiah 2006.

6. Bab (3) Perintah tersebut memperuntukkan kuasa LPKS untuk mengawal pentadbiran dan urusan perniagaan institusi-institusi kewangan berhubung dengan produk Islam dan sebarang perkara yang berkaitan dengannya.

7. Selain dua peringkat pematuhan sebagaimana di para 5 dan 6 di atas pihak pengurusan BIBD melalui Audit Dalaman dan Unit Kawalan dan Semakan Syari‘ah akan memastikan pelaksanaan pematuhan syari‘ah adalah berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh BPS BIBD dan/atau LPKS, AMBD.

8. Mana-mana pendapatan daripada sumber-sumber yang tidak patuh syara‘ (jika ada) akan diasingkan bagi tujuan kebajikan.

Berikut ini antara cara yang diamalkan oleh BIBD untuk mendapatkan produk kemudahan tunai:

1. Produk Pembiayaan secara Bai‘ Bithaman Ajil (BBA).

Sebagai contoh:

Pelanggan memerlukan wang tunai (misalnya $10,000) lalu dia memohon pembiayaan daripada BIBD.

Setelah BIBD meluluskan, pihak Bank akan menjual asetnya berupa hak manfaat sukûk kepada pelanggan (misalnya $12,000) dengan bayaran secara bertangguh selama 6 tahun.

Sesudah pelanggan mempunyai pemilikan terhadap aset yang dibeli daripada bank, pelanggan yang pada asalnya memerlukan wang tunai akan terus menjual kembali aset kepada BIBD dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000).

Hasilnya: Pelanggan yang tadinya memerlukan wang tunai sebanyak $10,000 telah memperolehinya apabila dia menjual aset yang dimilikinya itu kepada bank dan bank membayar secara tunai kepadanya manakala pihak BIBD pula akan memperolehi keuntungan (profit) hasil daripada akad penjualan awal (iaitu sebanyak $2,000) dan pembayaran dibuat secara tangguh selama 6 tahun.

2. Pembiayaan Menggunakan Konsep Tawarruq.

Sebagai contoh:

Pelanggan memerlukan wang tunai (misalnya) dia memohon pembiayaan daripada BIBD. Setelah BIBD meluluskan, pihak BIBD akan membeli komoditi daripada Pembekal A bernilai B$10,000 secara tunai.

Setelah memilik komoditi berkenaan, BIBD akan menjual kepada pelanggan dengan harga murâbahah B$12,000 secara bayaran bertangguh selama 6 tahun.

Komoditi tersebut sekarang berpindah milik daripada BIBD kepada pelanggan. Bagi mendapatkan kecairan (wang tunai), pelanggan diberikan pilihan:

a. Mewakilkan BIBD menjualkan komoditi berkenaan kepada pembekal B dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000)

atau

b. Pelanggan menuntut komoditi berkenaan dihantar kepadanya dan menjualnya sendiri kepada pasaran dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000)

Jika pelanggan memilih untuk mewakilkan BIBD, wang tunai hasil penjualan komoditi tersebut hanya akan diperolehi setelah pihak BIBD menjualkan komoditi berkenaan kepada pembekal B dengan mengkreditkan jumlah berkenaan ke dalam akaun pelanggan.

Hasilnya: Pelanggan yang tadinya memerlukan wang tunai sebanyak $10,000 telah memperolehinya apabila dia menjual komoditi yang dimilikinya kepada pembekal secara terus atau melalui BIBD sebagai wakilnya yang mana pembekal akan membuat pembayaran secara tunai bersamaan dengan jumlah yang diperlukan ($10,000). Bagi pihak BIBD pula akan memperolehi keuntungan (profit) hasil daripada akad murâbahah (iaitu sebanyak $2,000) dan pembayaran dibuat secara tangguh selama 6 tahun.

3. Ar-Rahnu.

Sebagai contoh:

Pelanggan memiliki emas 999.9 sebanyak 10gm dan memerlukan wang tunai.

Pelanggan memohon kepada BIBD Ar-Rahnu menggunakan gadaian Islam (ar-rahnu). Pihak BIBD Ar-Rahnu akan menilai emas pelanggan dan memberikan pinjaman sebanyak 80% daripada pasaran emas semasa.

Sebagai contoh: Nilai 1 gram emas ialah $68 dan pelanggan mempunyai 10 gram emas. BIBD Ar-Rahnu akan memberikan pinjaman 80% daripada nilai 10 gram (10 gram x $68 = $680 x 0.8: $544), sebanyak $544 akan dipinjamkan kepada pelanggan.

Tempoh pembiayaan yang akan diberikan ialah selama 6 bulan (maksima). Kadar upah simpan pula ialah sebanyak B$0.95 bagi setiap nilaian B$100.00 emas yang digadai.

Sesudah tamat tempoh pembiayaan (6 bulan), pelanggan akan membuat penebusan emas tersebut dengan membayar kembali jumlah yang dipinjamkan hasil gadaian emas tadi dan upah simpan selama enam bulan tersebut.

$544 + ($5.17 sen bagi setiap bulan x 6 bulan = $31), maka jumlah keseluruhan perlu dilunaskan selepas tamat tempoh ialah $544 + 31 = $575.

Hasilnya: Pelanggan akan memperolehi wang tunai setelah menggadai emas pemilikannya di mana emas tersebut diletakkan di bawah jagaan BIBD Ar-Rahnu sebagai cagaran yang diberikan. Bagi BIBD Ar-Rahnu pula akan menerima yuran pentadbiran dan duti setem setiap permohonan gadai dan pembayaran upah simpan (setiap bulan).

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah diketahui bahawa amalan pembiayaan kewangan yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan Islam tidak diasaskan kepada akad pinjaman yang membawa kepada amalan mengambil riba. Sebaliknya, apa yang lazim dilaksanakan oleh bank-bank Islam adalah memberikan pembiayaan kewangan berasaskan muamalah-muamalat yang tidak ada kaitan langsung dengan muamalat pinjaman.

Sengaja perkara di atas ini dibawakan supaya penanya dan sesiapa jua yang akan membaca fatwa ini nanti akan memahami bahawa produk-produk dan perkhidmatan institusi kewangan Islam adalah patuh syara‘.

Oleh kerana itu, dakwaan bahawa institusi kewangan Islam mengenakan ‘bunga’ adalah tidak betul, sementara dakwaan bahawa bank Islam mengambil keuntungan ‘begitu besar’ bolehlah dibuat perbandingan dengan bank konvensional.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12072