Persoalan Berdiang, Mandi Wilâdah Dan Beribadat Ketika Masih Dalam Pantang Selepas Bersalin
Soalan: Saya ingin mendapatkan pandangan atau fatwa mengenai perubatan tradisional selepas bersalin terutama di kalangan orang Brunei iaitu:
1. Berdiang - Adakah perubatan ini masih rasional diamalkan memandangkan ia menggunakan kayu arang yang mengeluarkan api dan asap. Sesetengah orang mengatakan ia adalah unsur memanggil jin dan syaitan? Menurut orang tua-tua pula kesan daripada perubatan ini adalah baik kepada pengamalnya terutama bagi wanita selepas bersalin agar terus kelihatan sihat dan tidak mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti yang banyak terjadi sekarang. Amalan kebanyakan orang muda menggunakan perubatan moden dengan mengambil atau memakan kapsul atau pil-pil selepas bersalin dikatakan boleh menyebabkan timbulnya berbagai penyakit seperti kanser usus, rahim, payudara dan sebagainya.
2. Mandi wilâdah - iaitu mandi selepas beranak. Akan tetapi sesetengah orang kurang mengetahui bahawa mandi ini mesti dilakukan selepas beranak. Mereka hanya mandi seminggu selepas beranak dengan alasan bahawa orang lepas beranak tidak boleh mandi selama seminggu ditakuti ‘kambuh’ selepas beranak sedangkan perkara ini sesuatu yang mesti disegerakan. Adakah mandi selepas beranak ini boleh dilakukan sendiri atau oleh orang tua yang tahu tentang amalan mandi selepas beranak? Ada yang melakukannya secara sendirian atau dibantu oleh orang tua untuk mandi seminggu, 14 hari dan 44 hari.
3. Beribadat ketika masih berpantang - Seorang pesakit memberitahu bahawa beliau selalunya mengalami darah nifâs selama seminggu sahaja. Beliau mengamalkan perubatan tradisional iaitu berdiang yang menyebabkan badannya sentiasa berpeluh dan perlu membersihkan diri untuk beribadat. Adakah beliau mesti menunaikan ibadat wajib seperti sembahyang kerana beliau telah pun bersih syar‘i walaupun dalam keadaan berpantang?
Jawapan: 1. Hukum Berdiang Arang
Salah satu tujuan syariat Islam ialah untuk memelihara nyawa. Antara jalan untuk memelihara nyawa itu ialah dengan berubat untuk mendapat kesembuhan daripada penyakit dan memulihkan kesihatan.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh, hukum berubat bagi orang yang sakit adalah sunat. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 3/217) berdasarkan sebuah hadits daripada Usamah bin Syarik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berubatlah kamu, kerana Allah ‘Azza Wajalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua. (Hadits riwayat Abu Daud)
Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ke-7 di Jeddah, pada 7-12 Zulkaedah 1412H bersamaan 9-14 Mei 1992M telah mengeluarkan resolusi berkenaan hukum berubat, antara lain menyatakan:
“Hukum berubat berbeza mengikut keadaan dan individu: Adakala ia menjadi wajib apabila meninggalkan berubat itu boleh membinasakan nyawa atau salah satu anggota atau melumpuhkan anggota atau penyakit berjangkit yang merbahaya. Ia menjadi sunat jika meninggalkan berubat itu boleh melemahkan badan dan tidak sampai kepada keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi harus jika keadaannya tidak termasuk dalam kedua-dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi makruh jika sesuatu rawatan itu ditakuti boleh mengakibatkan timbulnya penyakit-penyakit yang lebih merumitkan daripada penyakit yang ingin dihilangkan.”
Sebuah hadits daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan Allah juga menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits tersebut menunjukkan tentang anjuran untuk berubat dengan syarat tidak menggunakan rawatan atau perubatan yang diharamkan. Ini termasuk hukum berubat selepas bersalin.
Antara rawatan selepas bersalin itu ialah ‘berdiang’ atau memanaskan badan. Disebutkan dalam A-Z Family Health Encyclopedia, rawatan memanaskan badan digunakan untuk membantu pemulihan tisu otot yang luka atau urat yang terseliuh, dengan merangsang pengaliran darah. Rawatan memanaskan badan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada pemanas badan itu menggunakan peralatan perubatan moden dan terkini seperti pendiang lampu yang menghasilkan sinar infra merah, (A-Z Family Health Encyclopedia: 526) atau peralatan tradisional dan alami; seperti api yang dihasilkan dengan membakar kayu arang.
Pada kebiasaan masyarakat Brunei, amalan berdiang selepas bersalin adalah untuk tujuan mengambil manfaat daripada rawatan pemanasan badan. Berdasarkan ilmu yang diperolehi melalui pengalaman pengamal rawatan berdiang, keberkesanan rawatan memanaskan badan melalui berdiang itu boleh melancarkan perjalanan darah melalui bahang panas berdiang, mengecutkan semula rahim setelah melahirkan anak, mengelakkan bisa urat, otot badan dan sakit pinggang, sehingga ia mempercepatkan kesembuhan, di samping memiliki badan yang langsing. Selain menggunakan kayu arang sebagai unggun api dalam rawatan berdiang, kayu-kayu lain juga digunakan menurut kebiasaan sesuatu masyarakat. Kayu-kayu dipilih daripada jenis yang baik dan tidak beracun agar asap yang keluar daripada hasil pembakaran kayu tidak memudharatkan kesihatan ibu dan anak.
Dengan perkembangan teknologi, alat pemanas badan atau perdiangan dicipta agar lebih mudah digunakan dan menjimatkan masa dengan hanya memetik suis tenaga elektrik bagi mengeluarkan bahang panas, tidak perlu bersusah untuk menyalakan api, tidak mengeluarkan asap dan tidak kurang pentingnya ialah keselamatan daripada berlaku kebakaran. Namun, pemilihan alat perdiangan adalah terpulang kepada kebiasaan dan kegemaran individu yang menjalani rawatan, sama ada dengan cara tradisional atau moden. Oleh itu, rawatan berdiang selepas bersalin itu hanya untuk mengambil manfaat daripada bahang panas dan bukan daripada asap.
Satu peristiwa yang ada disebut dalam al-Qur’an berkenaan dengan penggunaan api untuk berdiang atau memanaskan badan, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada keluarganya (ketika dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir): “Sesungguhnya aku melihat api, aku akan bawakan khabar daripadanya kepada kamu atau aku bawakan sedikit cebisan api kepada kamu supaya kamu dapat berdiang (memanaskan badan).” (Surah an-Naml: 7)
Ini menunjukkan antara kegunaan api adalah untuk mashlahat kehidupan manusia, seperti untuk memanaskan badan, menerangi kegelapan, memasak, melentur logam dan seumpamanya.
Walau bagaimana pun, dalam mengamalkan sesuatu rawatan atau perubatan itu sekiranya terdapat unsur syirik seperti kegunaan api diang dan asapnya untuk pemujaan jin, maka perbuatan sedemikian adalah haram dan bertentangan dengan aqidah Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya daripada meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
(Surah al-Jinn: 6)
Memuja jin bermakna mempercayai ada kuasa lain selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mampu memberi dan menolak kemudharatan. Perbuatan sedemikian boleh membawa kepada syirik. Syirik itu bererti menyekutukan Allah dengan menyeru atau menyembah selain Dia. (Al-Kabâ’ir: 27) Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu. (Surah Yunus: 106)
Perbuatan syirik adalah dosa besar yang paling besar. (Al-Kabâ’ir: 27) Oleh itu, hukumnya adalah haram. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan suatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)
Oleh yang demikian, mengamalkan sesuatu rawatan perubatan atau pemulihan kesihatan selepas bersalin, seumpama berdiang atau memanaskan badan menggunakan api dengan membakar kayu arang, hukumnya adalah harus, sekalipun ia mengeluarkan asap kerana lazim sesuatu yang dibakar itu mengeluarkan asap, selagi mana pengamalan rawatan tersebut tidak mengandungi unsur syirik seperti ada kepercayaan bahawa asapnya adalah untuk pemujaan jin, maka kepercayaan sedemikian adalah salah dan bertentangan dengan aqidah Islam.
2. Mandi Wilâdah
i. Wilâdah sebab diwajibkan mandi.
Salah satu sebab diwajibkan mandi itu ialah wilâdah atau melahirkan anak iaitu berpisah atau keluar keseluruhan badan anak dari rahim ibunya; sama ada kelahiran itu secara normal (biasa) atau tidak normal (seperti melalui pembedahan). Demikian juga diwajibkan mandi jika yang keluar hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau seketul daging (mudhghah); bagi perempuan yang keguguran. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/211, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/305- 306 dan Hâsyiah asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri: 1/110-111)
ii. Adakah mandi wilâdah diwajibkan segera?
Seseorang itu tidak diwajibkan segera mandi jika berlaku sebab yang mewajibkan mandi seperti terhenti nifâs atau wilâdah (melahirkan anak), melainkan jika waktu untuk menunaikan sembahyang telah sempit, maka pada ketika itu, wajib dia menyegerakan mandi, bukan kerana berlaku sebab yang mewajibkan mandi, tetapi untuk menunaikan sembahyang pada waktunya. Sekiranya kewajipan mandi itu tidak ditunaikan sehingga terkeluar dari waktu menunaikan sembahyang, maka dosanya adalah kerana melewatkan sembahyang dan bukan kerana tidak menunaikan kewajipan mandi. Ini bererti kewajipan mandi dengan segera itu ialah berikutan menunaikan kewajipan sembahyang pada waktunya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/304 dan Hâsyiyatân Qalyubi-‘Umairah: 1/71)
Oleh yang demikian, waktu untuk menunaikan kewajipan mandi wilâdah bagi perempuan yang melahirkan anak itu ada beberapa keadaan:
a. Perempuan yang melahirkan anak lalu bersambung terus dengan darah nifâs.
Dalam keadaan ini, perempuan ini mengalami dua sebab yang mewajibkan dia mandi iaitu wilâdah (melahirkan anak) dan nifâs. Syarat sah mandi bagi perempuan yang mengalami nifâs pula ialah setelah nifâsnya berhenti. Oleh itu, mandi wilâdah yang dilakukan semasa darah nifâs masih keluar adalah tidak sah dan sia-sia kerana hadats besar masih belum terangkat kerana nifâsnya.
Maka, perempuan yang melahirkan anak dan bersambung terus dengan keluar darah nifâs, wajib mandi setelah nifâsnya berhenti dan tiba masa hendak menunaikan sembahyang pada waktunya. Dalam hal ini, sah mandi wajibnya dengan sekali mandi, sama ada dia meniatkan kedua-dua sebab yang mewajibkan mandi; wilâdah dan nifâs, atau hanya meniatkan salah satu sebab seperti hanya meniatkan mandi kerana nifâs sahaja dan tidak meniatkan mandi kerana wilâdah atau sebaliknya. Ini kerana mandi itu adalah untuk mengangkat penghalang sembahyang. Jadi, jika salah satu sebab penghalang sudah diniatkan, maka niat tersebut dengan sendirinya sudah memadai untuk mengangkat penghalang sembahyang yang lainnya.
(Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 1/166, Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/304 & 336, Hâsyiyatân Qalyubi-‘Umairah: 1/71, Hâsyiah asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri: 1/110 dan al- Majmû‘: 2/169 & 171)
b. Perempuan yang melahirkan anak dalam keadaan kering; sama ada darah nifâs lewat keluar dalam tempoh yang tidak melebihi 15 hari dari hari melahirkan atau tiada nifâs langsung.
Dalam keadaan ini, oleh kerana darah nifâs tidak keluar sejurus setelah perempuan tersebut melahirkan anak, maka dia diwajibkan mandi wilâdah untuk mendirikan sembahyang apabila tiba masa hendak mendirikan sembahyang pada waktunya. Maka, berjalan ke atasnya hukum-hakam perempuan yang suci semasa ketiadaan nifâs itu seperti wajib sembahyang dan puasa. Kemudian jika dia mendapati darah keluar dalam tempoh yang tidak melebihi 15 hari dari hari melahirkan, maka darah itu adalah darah nifâs. Dalam hal ini, dia diwajibkan mandi sekali lagi setelah darah nifâsnya terhenti untuk mengangkat hadats daripada nifâs.
Namun jika dia mendapati darah keluar setelah melebihi 15 hari dari hari melahirkan, darah itu bukan lagi dinamakan darah nifâs, akan tetapi ia adalah darah haidh. Maka, dia dianggap sebagai perempuan yang tidak mengalami nifâs. Dalam hal ini, dia diwajibkan untuk mandi sekali lagi setelah darah haidhnya terhenti untuk mengangkat hadats daripada haidh.
(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/484-485, Hâsyiah asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri: 1/110 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/126)
iii. Mandi wilâdah dengan bantuan orang lain.
Mandi mengangkat hadats besar termasuk mandi wilâdah itu, boleh dilakukan sendiri sekalipun tanpa bantuan orang lain. Namun tidak juga mengapa mandi mengangkat hadats itu dibantu orang lain sekiranya tidak mampu melakukannya sendiri seumpama orang sakit atau tidak begitu sihat dan cergas untuk melakukan sendiri.
Yang penting seseorang itu wajib mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah dan rukun-rukun mandi untuk mengangkat hadats besar. Umpamanya syarat sah mandi bagi perempuan nifâs itu ialah berhenti darah nifâs. Oleh itu tidak sah mandi mengangkat hadats jika darah nifâs masih keluar. Adapun rukun-rukun mandi itu ialah niat mengangkat hadats dan meratakan air ke seluruh badan dan rambut.
Niat mandi itu hendaklah diniatkan sendiri dan tidak memadai diniatkan oleh orang lain, sama ada dia berniat mengangkat hadats besar (wilâdah, nifâs, haidh atau seumpamanya), membolehkan sembahyang atau menunaikan mandi wajib. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/321-322) Ini berdasarkan hadits daripada Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Air yang digunakan untuk mengangkat hadats itu pula disyaratkan air muthlaq iaitu air yang tidak bercampur dengan apa-apa seperti bunga atau daun-daunan. (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 1/20) Firman Allah:
Tafsirnya: Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya. (Surah al-Anfâl: 11)
Oleh yang demikian, mandi bersempena hari sebagaimana yang disebutkan dalam soalan yang diajukan seumpama mandi seminggu, 14 hari atau 44 hari setelah bersalin, dengan bantuan orang tua yang dijemput seperti yang biasa berlaku dalam masyarakat kita, bukanlah mandi wilâdah atau mandi mengangkat hadats yang disyariatkan. Kebiasaannya mandi tersebut hanya berupa mandi adat untuk tujuan perubatan bagi menyegarkan badan, malah ia sering diikuti dengan rawatan selepas bersalin yang lain seperti bertangas, berurut, berbengkung dan seumpamanya.
Mandi tersebut tidak memadai untuk mengangkat hadats besar sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat sah dan rukun-rukun mandi yang telah disebutkan. Umpamanya masih dalam keadaan nifâs, niat dibaca oleh orang lain atau menggunakan air yang dicampur daun-daunan, maka air tersebut tidak sah untuk mengangkat hadats. Berlainan jika segala syarat sah dan rukun mandi mengangkat hadats itu dapat dipenuhi, seperti sudah berhenti darah nifâs, niat dibaca sendiri dan menggunakan air muthlaq, maka mandi yang dibantu orang lain itu boleh diniatkan terus sebagai mandi wilâdah atau mengangkat hadats besar.
3. Beribadat Ketika Masih Berpantang
Berpantang bermaksud terdapat sesuatu yang dilarang melakukannya. Pada kebiasaan masyarakat Brunei, berpantang setelah bersalin itu adalah kerana nifâs, adat atau kesihatan.
Perkara yang dipantang atau diharamkan semasa tempoh nifâs itu ialah:
i. Sembahyang. ii. Thawaf. iii. Memegang Mushhaf al-Qur’an. iv. Menetap di dalam masjid. v. Masuk melintas di dalam masjid jika takut mengotorinya. vi. Membaca al-Qur’an dengan melafazkannya sekira-kira dapat didengar sendiri. vii. Puasa. viii. Jimâ‘. ix. Istimtâ‘ atau bersenang-senang pada anggota antara pusat hingga lutut. x. Thalaq.
(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/177-178, 315-316, 319, 454-455, 457 & 459-460)
Walau bagaimanapun, perempuan yang masih dalam tempoh nifâs masih dapat melakukan ibadat yang diharuskan bagi mereka seperti berikut:
i. Membaca al-Qur’an di dalam hati, sekalipun menggerak bibir, dengan syarat tidak dapat didengar diri sendiri.
ii. Melihat Mushhaf al-Qur’an tanpa menyentuhnya.
iii. Membaca ayat al-Qur’an yang berupa zikir, nasihat, kisah dan hukum dengan syarat tidak meniatkan bacaan tersebut sebagai al-Qur’an, tetapi meniatkannya sebagai zikir atau ucapan biasa semata-mata. Sebagai contoh: Ucapan basmalah ketika makan, hamdalah selepas makan, zikir (سبحان الذي سخرلنا هذا) ketika naik kenderaan dan zikir َن (إ
هلل وإ َن إليه راجعون) ketika ditimpa musibah.
iv. Mendengar bacaan al-Qur’an.
v. Memperbanyak istighfâr.
vi. Bersedekah.
viii. Melakukan perkara-perkara kebajikan dan ketaatan.
(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/319-320 dan Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 1/699)
Tempoh nifâs paling lama ialah 60 hari, biasanya ialah 40 hari dan paling sedikit ialah sekejap sahaja. Oleh itu, nifâs yang hanya sekejap tidak menggugurkan kewajipan sembahyang. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/485) Maka perempuan yang telah berhenti nifâsnya, wajib mandi bagi mengangkat hadats dan mendirikan kewajipan-kewajipan ibadat yang dituntut seperti sembahyang dan puasa, sekalipun dia masih menjalani rawatan selepas bersalin seperti berdiang.
Dari segi adat dan kesihatan pula, pemakanan dan rawatan perubatan seseorang setelah bersalin itu dijaga rapi seperti dipantang atau dilarang memakan makanan dan melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan tidak sedap badan atau melambatkan proses penyembuhan. Selain rawatan berdiang yang telah disebutkan, terdapat juga adat sesetengah masyarakat yang biasa mengamalkan ubat tapal pada perut, pilis di dahi, berbengkung, mengikat tali pada perut bagi membantu mengangkat kembali rahim dan ada juga yang mengikat tali pada ibu jari kaki.
Apa yang perlu dipastikan oleh perempuan yang sudah suci daripada nifâs tetapi masih menjalani pantang atau rawatan selepas bersalin itu ialah kesucian daripada hadats dan kebersihan daripada najis sebelum melakukan ibadat seperti sembahyang, kerana antara syarat sah melakukan kewajipan ibadat sembahyang ialah:
i. Suci daripada hadats; sama ada kecil atau besar.
ii. Bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang.
(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 2/138 & 142)
Oleh itu, dia perlu memastikan bengkung, tali dan ubat yang digunakan tidak mengandungi atau menanggung najis, serta tidak menghalangnya untuk mengangkat hadats besar mahupun kecil. Berkenaan peluh yang keluar akibat berdiang seperti yang disebut dalam soalan, bukanlah najis yang wajib dibersihkan bagi menentukan sah ibadat. Sembahyang tetap sah dalam keadaan seseorang itu berpeluh. Namun sebaiknya dia membersihkan diri terlebih dahulu agar bau-bauan yang timbul daripada peluh akibat berdiang itu dapat dielakkan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)
Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Sesiapa makan daripada sayuran ini (bawang putih), maka jangan dia mendekati masjid kami sehingga hilang baunya. (Hadits riwayat Muslim)
Termasuk dalam maksud hadits di atas, segala bau yang kurang menyenangkan sama ada daripada makanan atau selainnya, kerana bau busuk itu mengganggu para malaikat, sebagaimana juga ia mengganggu manusia. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 3/1850- 1851)
Berikut disimpulkan jawapan bagi soalan yang diajukan:
1. Mana-mana adat atau rawatan selepas bersalin yang dilakukan bagi tujuan perubatan atau menyegarkan badan seperti berdiang menggunakan arang atau mandi adat itu, hukumnya adalah harus, melainkan jika terdapat unsur syirik atau kepercayaan yang menyalahi aqidah seperti pemujaan jin atau kepercayaan ada kuasa selain Allah yang mampu mendatangkan musibah atau manfaat jika melakukan sesuatu adat atau rawatan itu, maka hukumnya adalah haram.
2. Mandi wilâdah atau selepas beranak adalah wajib, namun ia tidak wajib dilakukan segera melainkan untuk menunaikan sembahyang pada waktunya. Ia boleh dilakukan sendiri, tetapi tidak juga mengapa jika dibantu orang lain sekiranya tidak mampu melakukannya sendiri, dengan menjaga batas aurat, memelihara syarat sah dan rukun-rukun mandi wajib agar mandi wajib yang dilakukan adalah sah.
3. Perempuan di dalam tempoh pantang kerana nifâs masih boleh melakukan ibadat-ibadat yang diharuskan bagi mereka seperti berzikir. Dia wajib mandi dan melakukan kewajipan yang dituntut seperti sembahyang dan puasa apabila telah suci daripada nifâs sekalipun masih menjalani pantang atau rawatan selepas bersalin, seperti berdiang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12076
