Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Persoalan Membedah Siasat Mayat

Soalan: Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya telah meneliti antara lain berhubung dengan peruntukan mengenai bedah siasat ke atas mayat dalam Bahagian VII Prosiding Khas – Penggal XXII Inkues, dan Ahli-ahli Majlis Ugama Islam antara lain telah menimbulkan perkara-perkara berikut:

Bab 249D yang memperuntukkan mana-mana bahagian yang berkaitan dengan mayat yang akan dijalankan bedah siasat dan bahagian mayat tersebut hendaklah dihantar kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan; peruntukan ini antara lain bermaksud bahawa mana-mana bahagian mayat yang terpaksa dipotong dari badan mayat berkenaan dan ada kemungkinan bedah siasat ke atas mana-mana bahagian mayat yang dipotong itu akan dijalankan di luar negeri.

Maka dalam perkara ini, adakah ia bersesuaian atau dibenarkan oleh hukum syara‘ yang mana bahagian daripada mayat tersebut telah bercerai dari badan mayat berkenaan? Bagaimanakah pula dengan kedudukan penghormatan ke atas mayat berkenaan, soal-soal pengebumiannya dan mana-mana bahagian mayat yang telah bercerai itu?

Sehubungan dengan itu, dihadapkan perkara ini bagi mendapatkan sebarang pandangan, ulasan atau fatwa Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Berikut disalinkan semula teks peruntukan Bab 249D yang terkandung dalam Bahagian VII Prosiding Khas - Penggal XXII Inkues daripada Draf Perintah Kanun Peraturan Hukuman Jenayah Syariah sebagaimana dipohonkan perhatian mengenainya:

“Bedah siasat ke atas mayat

249D. (1) Setelah menerima maklumat yang dirujuk dalam bab 249C, seorang pegawai perubatan dengan beberapa segera hendaklah melakukan bedah siasat ke atas mayat si mati.

(2) Pegawai perubatan itu, jika perlu untuk menentukan sebab kematian, hendaklah meneruskan pemeriksaan itu kepada pembedahan lanjut mayat itu dan satu analisis bagi apa-apa bahagian yang berkaitan dengannya, dan boleh menyebabkan apa-apa bahagian yang berkaitan dengannya dihantar kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan.”

Perbuatan membedah siasat, melukakan, memotong jasad mayat manusia atau perbuatan-perbuatan lain seumpamanya adalah jelas bertentangan dengan dasar ajaran agama Islam. Pada prinsip syara‘, jasad manusia mempunyai kehormatan yang wajib dipelihara dan tidak harus dicabuli. Perkara ini difahami berdasarkan nash-nash syara‘ seperti firman Allah Ta‘ala yang menyebutkan:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. (Surah al-Isrâ’: 70)

Menurut al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh, ayat ini antara lain menjelaskan tentang kedudukan bangsa manusia sebagai keturunan Nabi Adam ‘Alaihissalâm yang diberikan darjat kemuliaan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan telah diciptakan dalam sebaik-baik keadaan. Manusia telah dikurniakan kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk lain seperti kelebihan akal fikiran, ilmu pengetahuan, keupayaan untuk bertutur dan sebagainya. Dengan kelebihan-kelebihan tersebut, manusia berupaya memikirkan dan membezakan sesuatu perkara, mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk serta mampu memanfaatkan kelebihan-kelebihan alam secara bijaksana sama ada untuk tujuan keagamaan atau keduniaan. (Tafsîr Ibnu Katsir: 7/44-46)

Agama Islam telah memelihara kedudukan ini dengan menjadikan kemuliaan atau kehormatan manusia itu sebagai asas-asas pembentukan hukum dan dasar-dasar yang menggariskan tindak-tanduk apa jua perkara serta melindunginya dengan pelbagai peraturan dan undang-undang. Antara peraturan-peraturan atau undang-undang tersebut termasuklah larangan keras mencabuli kehormatan manusia dengan perlakuan-perlakuan seperti membunuh manusia, menjatuhkan kehormatannya, mempersenda kemuliaan seseorang dan sebagainya. Termasuk juga dalam larangan-larangan tersebut ialah tegahan melakukan kerosakan ke atas diri manusia sama ada ketika seseorang itu masih hidup ataupun setelah dia mati. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 34/216-217)

Sebagai contoh, dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam disebutkan amaran mengenai perbuatan mematahkan tulang mayat kerana ia diserupakan dengan perbuatan mematahkan tulang seseorang ketika dia masih hidup. ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Memecahkan (atau mematahkan) tulang mayat samalah seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Bedah Mayat Menurut Ulama Terdahulu Para ulama terdahulu tidak membincangkan perkara membedah mayat kecuali dalam ruang lingkup yang terhad, iaitu dalam pengecualian-pengecualian dan keadaan-keadaan dharurat tertentu sebagaimana di bawah ini:

i. Membelah perut mayat untuk mengeluarkan janin yang ada harapan untuk hidup.

Menurut hukum syara‘, adalah diharuskan untuk membelah perut jasad mayat seorang ibu yang hamil bagi tujuan mengeluarkan janin dari perutnya jika janin dalam perut tersebut mempunyai harapan untuk hidup. Hatta, dalam keadaan mayat telah sempurna dikebumikan, walhal dalam perutnya terdapat janin yang berkemungkinan masih hidup dan usia janin itu pula telah mencapai enam bulan ataupun lebih, maka kubur mayat tersebut hendaklah digali semula dan dibelah perut mayat berkenaan bagi membolehkan janin dikeluarkan.

ii. Membelah perut mayat untuk mengeluarkan harta orang yang ditelannya semasa hidup.

Jika seseorang itu sebelum dia mati menelan harta kepunyaan orang lain, maka dalam keadaan pemilik harta itu melakukan tuntutan terhadap harta tersebut dan tiada sesiapa daripada kalangan ahli waris ataupun orang lain dapat menggantikan harta tersebut dengan yang seumpamanya atau dengan harganya, maka kubur mayat berkenaan hendaklah digali, perutnya dibelah dan harta tersebut dikeluarkan dari perutnya. Harta tersebut seterusnya hendaklah dikembalikan kepada tuan punya harta. (Mughni al-Muhtâj: 1/545)

Pembedahan Mayat Bagi Penyiasatan Jenayah

Sejajar dengan peredaran zaman, para ulama mutakhir ini telah memberikan perhatian yang lebih khusus mengenai perkara membedah siasat mayat kerana kepentingan dan keperluannya yang mendesak pada masa kini. Antara aspek yang diberikan perhatian itu termasuklah perkara membedah siasat mayat bagi tujuan penyiasatan jenayah (at-tasyrîh al-jinâ’iy).

Pembedahan mayat dalam bidang penyiasatan jenayah secara umumnya dilakukan bagi tujuan-tujuan seperti untuk membantu kerja-kerja penyiasatan terhadap sebab-sebab kematian dan juga untuk mengenal pasti jenis kematian. Perbuatan membedah siasat mayat dapat membantu dalam memberikan jawapan terhadap sebarang kesamaran mengenai sesuatu kejadian supaya kebenaran dapat dibuktikan. Antara lain, matlamat besar membedah siasat mayat dalam bidang jenayah ialah untuk:

i. Menjaga keshahîhan hukuman dalam perbicaraan. ii. Menolak kezaliman. iii. Menjaga dan mengelakkan individu terlibat daripada berdendam dan bermusuh-musuhan. (Hukm Tasyrîh al-Insân Baina asy-Syarî‘ah wa al -Qânûn: 13 & 47)

Tidak diragukan lagi bahawa perbuatan membedah siasat mayat dalam hal ini mempunyai peranan dalam soal menegakkan keadilan dan menolak kezaliman. Menegakkan keadilan dan menolak kezaliman itu merupakan dua perkara yang sangat dituntut dalam syariat Islam. Terdapat banyak nash dan dalil yang menunjukkan hal ini, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil dan ihsan. (Surah an-Nahl: 90)

Firman Allah Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (Surah an-Nisâ’: 58)

Selain dua ayat ini, ada banyak lagi ayat al-Qur’an yang menuntut agar keadilan ditegakkan dalam apa jua perkara khususnya dalam bidang kehakiman.

Matlamat di atas dapat dicapai melalui proses-proses penyiasatan jenayah yang menyeluruh dan terperinci yang dibantu antara lain oleh kaedah-kaedah seumpama membedah siasat mayat. Kaedah membedah siasat mayat dikenal pasti boleh membantu pihak mahkamah dan pihak-pihak lain yang berwajib membuktikan kesalahan penjenayah dan melepaskan orang yang tidak bersalah daripada sebarang pertuduhan. Dengan ini, keadilan akan dapat ditegakkan dan kezaliman serta jenayah tidak berleluasa dalam masyarakat.

Atas sebab di atas, ijtihâd para ulama semasa lebih cenderung mengatakan bahawa perbuatan membedah siasat mayat dalam keadaaan dharurat dan hajat seumpama untuk tujuan penyiasatan kes-kes jenayah adalah harus. Termasuk dalam golongan yang berpendapat sedemikian ialah beberapa buah badan kajian fiqh Islam yang dianggotai oleh sebilangan besar ulama-ulama dan tokoh-tokoh ilmuan Islam masa kini. Perkara yang sama juga telah pun dihuraikan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam bilangan 27/2003 yang bertajuk “Penyimpanan Dan Pembuangan Tisu Atau Organ Selepas Bedah Siasat (Post Mortem)”.

Hujjah Pengharusan

Golongan yang mengharuskan pembedahan terhadap tubuh manusia dalam konteks penyiasatan kes jenayah umumnya menyandarkan hujjah pengharusan tersebut kepada qiyâs terhadap keperluan dalam bidang tersebut dengan keadaan dharurat yang disebutkan fuqahâ’ terdahulu. Sebagaimana diharuskan bahkan diwajibkan membedah perut mayat bagi mengeluarkan janin yang berada di dalam perutnya atas dasar memelihara nyawa dan mengekalkan kehidupan manusia, maka begitu juga harus membedah perut mayat atau melakukan anatomi ke atas jasad mayat untuk mengetahui punca-punca perlakuan jenayah. Demikian juga, sebagaimana diharuskan membedah perut mayat untuk mengeluarkan harta yang ditelan masuk ke dalam perutnya, begitu juga diharuskan membedah siasat mayat bagi tujuan-tujuan yang membawa mashlahat-mashlahat tertentu. (Hukm Tasyrîh al-Insân Baina asy-Syarî‘ah wa al -Qânûn: 38-39 dan Ahkâm Tasharruf bi al-Jatstsâts fi al-Fiqh al-Islâmi: 138-139)

Berkata asy-Syeikh ad-Dajawi Rahimahullâh yang dipetik kata-katanya dalam kitab Hukm Tasyrîh al-Insân Baina asy-Syarî‘ah wa al -Qânûn:

“Perkara ini, iaitu tujuan-tujuan yang menyebabkan jasad manusia itu dibedah siasat, adalah lebih utama kerana manfaatnya terhadap manusia, terhadap kerja-kerja penyiasatan kes-kes jenayah dan sebagainya. Kami berpandangan berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh fuqahâ’ dan nyata dalam kitab-kitab mereka bahawa apabila mayat yang (semasa hidupnya) menelan sesuatu harta, perutnya boleh dibelah bagi mengeluarkan harta tersebut, sekalipun nilainya hanya sedikit. Apabila diqiyâskan harta yang nilainya sedikit itu dengan apa yang telah kita sebutkan mengenai faedah-faedah dan manfaat-manfaat (membedah siasat mayat bagi tujuan penyiasatan jenayah), kita mendapati keharusan perkara tersebut bagi tujuan menolak mafsadah (kerosakan yang akan berlaku sekiranya bedah siasat tidak dijalankan) dan mendatangkan mashlahat adalah lebih utama berbanding keharusan mengeluarkan harta yang nilainya sedikit itu. Perkara ini, menurut pendapat saya (asy-Syeikh ad-Dajawi Rahimahullâh), adalah qiyâs aulâwi (qiyâs mengenai suatu perkara yang lebih utama berbanding perkara asal yang diqiyâskan). (Hukm Tasyrîh al-Insân Baina asy-Syarî‘ah wa al-Qânûn: 39)

Selain itu, pendapat golongan yang mengharuskan perbuatan membedah siasat mayat atas tujuan penyiasatan jenayah juga mengambil kira kaedah fiqhiyyah yang menyatakan:

Ertinya: Apabila bertembung dua kerosakan hendaklah dihindarkan mudharat yang lebih besar antara kedua-duanya dengan melakukan mudharat yang lebih ringan antara kedua-duanya. (As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/145)

Tidak diragukan bahawa perbuatan membedah siasat mayat itu membawa mafsadah atau kerosakan tertentu khususnya kerosakan berkaitan kedudukan kehormatan mayat. Bagaimanapun, di sebalik kerosakan tersebut terdapat kerosakan lain yang lebih besar dan lebih perlu dihindarkan iaitu ketidakadilan atau pentsabitan hukuman yang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya yang seterusnya akan menyebabkan seseorang itu kehilangan haknya, kecuali dengan melakukan pembedahan.

Mashlahat membedah siasat mayat adalah mashlahat umum yang tidak hanya tertumpu kepada individu-individu atau pihak-pihak tertentu, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya. Sebaliknya, mashlahat memelihara jasad manusia adalah mashlahat khas yang berkait dengan hak inidividu.

Apabila bertembung dua kemashlahatan, maka mashlahat yang lebih umum yang berkait dengan kepentingan orang ramai adalah didahulukan berbanding mashlahat individu. Begitu juga, jika bertembung dua kerosakan, maka kerosakan yang lebih besar adalah lebih perlu dihindarkan sekalipun jika hal tersebut bermakna kerosakan yang lebih kecil terpaksa dilakukan. (Hukm Tasyrîh al-Insân Baina asy-Syarî‘ah wa al -Qânûn: 40 dan Ahkâm Tasharruf bi al-Jatstsâts fi al-Fiqh al-Islâmi: 138-139)

Sekiranya proses bedah siasat tidak dapat dijalankan, kemungkinan besar kebenaran tidak akan dapat dibuktikan dan keadilan tidak dapat ditegakkan. Bukankah hal ini akan mengundang ketidakstabilan dalam hidup masyarakat? Penjenayah akan terus bermaharajalela dengan jenayah yang mereka lakukan dan orang yang tidak bersalah atau dizalimi akan terus memendam sengketa dan dendam kesumat yang berpanjangan.

Keharusan melakukan bedah siasat untuk tujuan penyiasatan jenayah juga mengambil kira kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Dharurat itu mengharuskan perkara yang dilarang. (As-Subki, al-Asybâh wa an- Nazhâ’ir: 1/45 dan Ahkâm Tasharruf bi al-Jatstsâts fi al-Fiqh al-Islâmi: 140)

Keharusan Atas Dasar Dharurat

Sekalipun membedah siasat mayat dalam kes jenayah diharuskan oleh sesetengah ulama, namun keharusan yang diberikan itu masih mengambil kira dasar-dasar syara‘ yang lain, seperti kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

Ertinya: Bahawasanya apa yang dihalalkan kerana dharurat atau hajat adalah dihadkan mengikut kadarnya dan hilangkan dengan ketiadaannya. (Al-‘Izz Ibnu ‘Abdul Salam, Qawâ’id al-Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm: 2/287)

Perlu difahami bahawa keperluan membedah siasat bukanlah keperluan biasa semata-mata, sebaliknya ia adalah keperluan mendesak yang didorong oleh matlamat-matlamat membedah siasat mayat yang disebutkan sebelum ini. Jika tujuan membedah siasat mayat bukanlah disebabkan oleh keadaan dharurat, maka perbuatan tersebut tetap dilarang kerana percanggahannya dengan hukum asal mengenai perkara kehormatan mayat.

Antara contoh keperluan mendesak untuk mengenal pasti punca kematian melalui proses bedah siasat ialah apabila mayat menunjukkan tanda-tanda yang tidak dapat dipastikan sama ada ia mati disebabkan oleh keracunan ataupun kerana kecederaan di tubuh badannya. Sekiranya cara untuk memastikan sebab kematian sebenarnya hanyalah dengan membedah siasat jasad mayat berkenaan, maka keperluan untuk mengenal pasti punca kematian seperti dalam kes inilah yang dinamakan sebagai keperluan yang mendesak.

Di sesetengah negeri, kaedah autopsi mayat (virtual autopsy) telah digunakan sebagai alternatif kepada bedah siasat biasa. Ini memberikan gambaran bahawa bedah siasat biasa itu bukan lagi satu-satunya prosedur yang boleh digunakan untuk mencari punca kematian disebabkan perlakuan jenayah atau sebagainya. Ini bermakna bedah siasat biasa itu bukan lagi sesuatu yang dharurat. Jika telah dapat dipastikan autopsi mayat itu satu alternatif yang setanding dengan bedah siasat biasa, maka kaedah tersebut sepatutnya menjadi keutamaan dalam siasatan punca kematian.

Dalam menjalankan kerja-kerja pembedahan adalah menjadi kewajipan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa bahagian mayat yang dibedah hanyalah bahagian-bahagian yang diyakini boleh membantu pihak yang berkenaan mencapai matlamat kenapa bedah siasat perlu dijalankan.

Pengendalian Mayat Dan Anggota Setelah Bedah Siasat

Sebagaimana urusan penyelenggaraan jenazah wajib disempurnakan menurut cara-cara yang telah digariskan oleh syara‘, begitu juga anggota-anggota atau organ-organ mayat. Ia perlu diuruskan menurut cara yang sebaiknya sebagaimana yang telah diaturkan oleh syara‘ juga.

Dalam proses bedah siasat, jasad mayat pada kebiasaannya akan dikerat bagi membolehkan kajian dan penyiasatan dilakukan. Dalam sesetengah keadaan, anggota-anggota atau bahagian-bahagian tertentu daripada tubuh mayat juga akan dipotong atau dipisahkan. Berhubung hal ini, bahagian anggota yang dipisahkan daripada jasadnya itu hendaklah dicantumkan atau dikembalikan semula kepada jasadnya sebelum mayat ditajhîzkan iaitu dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Anggota tersebut hendaklah ditanam bersama-sama mayat tersebut. (Fatwa Mufti Kerajaan Brunei: 27/2003)

Sehubungan dengan ini juga, kajian atau siasatan yang dilakukan ke atas jasad, anggota atau organ mayat yang dibedah siasat perlulah dilakukan secepat mungkin dan perlulah dielakkan bahagian tubuh si mati daripada terbiar dalam jangka masa yang lama. Menurut hukum syara‘, urusan penyempurnaan jenazah wajib disegerakan sebagaimana difahami daripada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: Segerakanlah pengurusan jenazah, jika jenazah itu seorang yang salih (baik) maka kebaikanlah yang kamu ajukan kepadanya. Jika jenazah itu sebaliknya (bukan seorang yang salih) maka kamu letakkan (hindarkan) keburukan daripada tengkok-tengkok kamu [disebabkan ia (jenazah yang bukan daripada kalangan orang salih) jauh daripada rahmat, maka tiada mashlahat ke atas kamu untuk (terus) mendampinginya] (‘Umdah al-Qâri: 8/113). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ada kalanya, disebabkan perkara-perkara tertentu seperti urusan bedah siasat yang terpaksa dilakukan di luar negeri, menunggu giliran, kurang tenaga mahir yang dapat menjalankan bedah siasat, peralatan yang tidak mencukupi dan sebagainya, proses bedah siasat terpaksa memakan masa yang panjang hingga menyebabkan mayat terpaksa disimpan di dalam makmal buat tempoh masa yang lama. Dalam sesetengah keadaan pula, jenazah terpaksa dikebumikan lebih awal, sementara anggota atau organ yang dipisahkan untuk penyiasatan atau kajian masih disimpan di dalam makmal.

Dalam hal ini, anggota atau organ yang dipisahkan dari jasad mayat bagi tujuan bedah siasat, apabila kajian mengenainya telah selesai, wajib diselenggarakan menurut cara-cara yang telah diaturkan oleh syara‘ sebagaimana di bawah ini:

i. Jika anggota atau organ dipisahkan dari jasad yang diyakini telah tidak bernyawa, maka anggota atau organ tersebut wajib dimandikan, dibungkus dengan kain, disembahyangkan dan ditanam.

Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh menyatakan:

Ertinya: Dan jika ditemui bahagian (anggota) mayat yang beragama Islam (yang kematiannya) bukan disebabkan syahîd, (anggota tersebut wajib) disembahyangkan selepas ia dimandikan dan dibungkus dengan sehelai kain dan dikebumikan sebagaimana keadaan mayat yang hadir sekalipun bahagian itu adalah kuku dan rambut. (Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 2/189-190)

Diterangkan oleh fuqahâ’ bahawa jika jasad mayat secara keseluruhan (jumlah al-mayyit) telah disembahyangkan, maka tidak wajib lagi mengulang sembahyang ke atas anggota yang terpisah sekiranya diketahui anggota yang terpisah itu telah dimandikan sebelum mayat disembahyangkan. Bagaimanapun, jika diulang sembahyang sekali lagi ke atas anggota yang terpisah itu hukumnya adalah sunat. Sekiranya anggota yang terpisah belum dimandikan ketika mayat telah disembahyangkan, hukum menyembahyangkan anggota tersebut adalah wajib. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 3/176, Nihâyah al-Muhtâj: 2/495, Mughni al-Muhtâj: 1/518, Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 2/190 dan Busyrâ al- Karîm: 2/409)

Berhubung perkara ini lagi, para fuqahâ’ menerangkan bahawa apabila menyembahyangkan anggota yang terpisah dari jasad yang diyakini tidak bernyawa hendaklah meniatkan sembahyang ke atas keseluruhan jasad yang empunya anggota tersebut kerana hakikatnya sembahyang berkenaan adalah sembahyang yang dikerjakan untuk jasad yang empunya anggota itu pada keseluruhannya. Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menerangkan lafaz niat sembahyang adalah seperti berikut:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas keseluruhan jasad yang terpisah darinya anggota ini. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 3/176)

Jika jasad yang empunya anggota belum dimandikan, maka sembahyang tersebut hendaklah diniatkan untuk anggota yang terpisah itu sahaja. Jika timbul keraguan sama ada jasad yang empunya anggota telah dimandikan atau sebaliknya, maka diniatkan sembahyang ke atas keseluruhan yang empunya anggota itu dengan menggantungkan niat sembahyang seperti lafaz niat berikut:

Ertinya: Aku sembahyang ke atas anggota ini dan ke atas anggota yang selebihnya jika ia telah dimandikan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 3/175 -177, Mughni al-Muhtâj: 1/518 dan Busyrâ al-Karîm: 2/409)

Al-‘Allâmah asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Kata al-Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh “disembahyangkan ke atasnya (anggota yang terpisah itu)” (hukumnya) adalah wajib jika tidak diketahui jasad yang empunya anggota itu telah disembahyangkan. Jika diketahui (jasad yang empunya anggota itu telah disembahyangkan, maka hukum mengerjakan sembahyang ke atas anggota yang terpisah itu adalah) sunat. Dan kata al-Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh “dengan diniatkan (sembahyang itu untuk) jumlah (keseluruhan jasad yang empunya anggota” bermaksud jika diketahui bahawa baki anggota-anggota tubuh badan yang lain (selain daripada anggota yang terpisah) telah dimandikan. Dan jika (baki anggota-anggota tubuh badan yang lain) belum (dimandikan) maka hendaklah diniatkan sembahyang ke atas anggota yang terpisah itu secara khusus. (Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 2/190)

ii. Jika anggota atau organ dipisahkan ketika yang empunya anggota atau organ itu masih hidup, maka cara menyelenggarakan anggota atau organ tersebut adalah tertakluk kepada dua keadaan:

a. Jika yang empunya anggota atau organ itu telah meninggal dunia, anggota atau organ itu sunat dibungkus dengan kain dan ditanam, tetapi tidak harus disembahyangkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/494)

b. Jika yang empunya anggota atau organ itu masih hidup, anggota atau organ itu sunat ditanam sahaja. (Busyrâ al-Karîm: 2/409) Namun jika dibungkus tidaklah mengapa.

Asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyin Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Adapun anggota yang terpisah dari jasad yang masih bernyawa, maka ia sunat dibungkus dengan sehelai kain dan dikebumikan jika jasad yang empunya anggota tersebut telah meninggal dunia. Berbeza apabila jasad yang empunya anggota tersebut belum meninggal dunia, maka ia sunat dikebumikan sahaja tanpa dibungkus dengan kain. (Busyrâ al-Karîm: 2/409)

Cara membungkus anggota yang terpisah itu sebagaimana diterangkan oleh Imam Zakaria al- Anshari Rahimahullâh adalah membungkusnya dengan sehelai kain jika anggota tersebut dikafankan bukan daripada harta mayat yang empunya jasad tersebut sebagaimana keadaan yang berlaku pada kebiasaannya apabila bahagian anggota yang ditemui tidak diketahui siapa yang empunya. Adapun jika diketahui siapa yang empunya jasad itu maka wajib anggota yang terpisah itu dikafankan daripada harta mayat yang empunya jasad dengan tiga lapisan kain.” (Hâsyiah al-Jamâl ‘alâ Syarh al-Manhaj: 2/190)

Cara menanam anggota yang terpisah dari jasad pula adalah dengan cara menimbusnya di bawah tanah kadar yang boleh menghalang baunya daripada dihidu dan dibongkar oleh binatang buas. Anggota tersebut wajib dihadapkan ke arah qiblat dengan meletakkannya dalam keadaan sebagaimana asalnya ketika ia bersambung dengan keseluruhan anggota tubuh badan yang lain. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 3/176)

Berdasarkan keterangan-keterangan yang dihuraikan di atas, bahawa membedah siasat mayat adalah harus dilakukan atas sebab-sebab dharurat umpamanya bagi tujuan membantu pihak-pihak yang berkewajipan melaksanakan kerja-kerja penyiasatan kes-kes jenayah supaya sebab-sebabnya dapat dikenal pasti, kebenaran dibuktikan dan keadilan ditegakkan. Demikian itulah antara sebab-sebab dharurat itu.

Mengenai jasad mayat yang telah dibedah siasat atau anggota-anggota dan organ tubuh badan mayat yang terpaksa dipisahkan ketika proses membedah siasat hendaklah diuruskan dan diselenggarakan dengan sempurna menurut cara-cara yang telah digariskan oleh syara‘ khasnya dalam perkara niat menyembahyangkannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12081