Qunut Nazilah
Soalan: Do‘a qunut Nazilah telah dibaca di masjid-masjid negara ini pada rakaat kedua sembahyang Jumaat lebih tiga tahun yang lalu sehingga sekarang, ketika penyakit SARS melanda seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan penyakit tersebut tidak lagi menjadi ancaman. Hasil bacaan dan pengetahuan saya adalah makruh membaca qunut Nazilah tanpa sebab kerana amalan Rasulullah dan para sahabat hanya membacanya pada waktu tertentu sahaja.
Oleh yang demikian, apakah pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini?
Jawapan: Do‘a qunut yang dikenal dengan qunut Nazilah disunatkan pembacaannya pada tiap-tiap kali sembahyang fardhu termasuk sembahyang fardhu Jumaat iaitu ketika i‘tidâl rakaat akhir setelah membaca tahmîd (zikir ketika i‘tidâl) untuk menolak malapetaka, bala bencana atau bahaya yang menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak penyakit atau bahaya yang diakibatkan oleh adanya permusuhan daripada orang-orang kafir dan lain-lain seumpamanya. Apabila bahaya yang mengancam itu telah berakhir, maka berakhirlah pembacaan qunut Nazilah itu.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Disyariatkan (disunatkan) membaca do‘a qunut di dalam tiap-tiap sembahyang fardhu kerana ditimpa an-Nâzilah (malapetaka) bukan secara mutlak menurut pendapat yang masyhûr. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/172)
Membaca qunut secara mutlak hanya disyariatkan dalam sembahyang Shubuh kerana sembahyang Shubuh itu lebih mulia daripada sembahyang yang lain dan dikhususkan bagi Shubuh itu azan sebelum waktunya serta disebut dalam azan Shubuh tatswîb (الصالة خ ْي من النوم ). Sembahyang Shubuh itu juga lebih singkat berbanding dengan sembahyang fardhu yang lain.
Adapun membaca qunut dalam sembahyang-sembahyang fardhu tidak disunatkan kerana Rasululullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak membaca qunut dalam sembahyang-sembahyang fardhu kecuali dalam sembahyang Shubuh dan ketika ditimpa malapetaka (qunut Nazilah). Bahkan makruh membaca qunut jika tidak ditimpa malapetaka. Begitu juga dalam sembahyang jenazah, makruh hukumnya membaca qunut Nazilah walaupun ada sebab untuk membacanya. Ini kerana sembahyang jenazah itu dikerjakan dengan ringan sahaja. Sementara sembahyang disebabkan nazar atau sembahyang sunat, adalah tidak disunatkan membaca qunut Nazilah. Namun jika dibaca juga kerana ada sebabnya (malapetaka) maka hukumnya tidak makruh. (Nihâyah al-Muhtâj 1/509, Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 2/74)
Ketika menjelaskan kedudukan hukum membaca do‘a qunut Nazilah di dalam keseluruhan sembahyang fardhu, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Menurut mazhab Syafi‘e bahawasanya do‘a qunut itu sunat (dilakukan) di dalam sembahyang fardhu Shubuh secara berkekalan. Adapun selain daripada sembahyang Shubuh, maka ada tiga pendapat mengenainya. Pendapat yang shahîh lagi masyhûr ialah bahawasanya jika berlaku malapetaka seperti (bahaya) musuh, kemarau, wabak penyakit, kehausan, bahaya yang jelas berlaku ke atas umat Islam dan seumpamanya maka (sunat) mereka membaca qunut Nazilah pada keseluruhan sembahyang fardhu dan jika tidak maka tidaklah (disunatkan qunut tersebut). (Syarh Shahîh Muslim: 5/183)
Malapetaka atau bahaya yang menimpa orang-orang Islam yang disunatkan membaca do‘a qunut Nazilah pada setiap sembahyang fardhu itu sama ada berbentuk umum atau khusus yang dalam makna umum kerana mudharatnya tertimpa ke atas orang-orang Islam. Berkata asy-Syaikh Sa‘id bin Muhammad bin Ba ‘Asyin:
Ertinya: (Sunat membaca qunut Nazilah di dalam sembahyang fardhu) apabila malapetaka yang umum menimpa orang-orang Islam iaitu seperti kemarau, ketakutan daripada pihak musuh, (serangan) belalang, hujan yang memudharatkan (yang mendatangkan bencana) umpamanya ke atas tanaman dan malapetaka khusus yang dalam makna umum seperti penawanan seorang ulama dan seorang yang gagah (pejuang Islam) kerana kehilangan mereka berdua ini akan mendatangkan mudharat kepada orang-orang Islam yang lain. (Busyrâ al-Karîm: 1/175)
Qunut Nazilah itu bukan hanya disunatkan untuk dibaca oleh orang-orang Islam yang ditimpa malapetaka, akan tetapi ia juga sunat dibaca oleh mereka yang tidak terlibat atau ditimpa malapetaka itu, dengan mendo‘akan saudara-saudara Islam tersebut semoga mereka akan terlepas dan selamat daripada musibah atau malapetaka yang menimpa mereka itu.
Perkara ini dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh sebagaimana perkataan Bujairimi yang dinaqal beliau katanya:
Ertinya: Maka disunatkan bagi penduduk suatu daerah yang tidak ditimpa ke atas mereka suatu malapetaka melakukan (membaca) qunut Nazilah untuk orang Islam yang ditimpa malapetaka itu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/350)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah berdo‘a supaya puak Bani Sulaim yang terdiri daripada puak Ri’al, Dzakwan dan ‘Ushaiyah ditimpa malapetaka kerana kezaliman mereka membunuh orang-orang Islam, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nazilah selama sebulan berturut-turut dalam sembahyang Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib, ‘Isya’ dan sembahyang Shubuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membacaُ akhir Baginda berdo‘a (supaya ditimpakan malapetaka) ke atas suku/puak daripada Bani Sulaim yang terdiri daripada puak-puak Ri‘al, Dzakwan dan ‘Ushaiyah sementara makmum di belakang Baginda mengaminkannya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Pada zaman Sayyidina ‘Umar al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu pula apabila berlaku pembunuhan orang-orang Islam oleh Ahli Kitab, maka Sayyidina ‘Umar membaca qunut Nazilah dan di dalam qunut beliau itu beliau membaca ( َ حل َ الكَتَاب كَفَرَة َ اَهحه الحعَناللههُم) Ertinya: “Ya Allah! Turunkanlah laknatMu ke atas orang-orang kafir Ahli Kitab”. Beliau mengkhususkannya kepada kuffâr Ahli Kitab. Akan tetapi pada zaman Imam an-Nawawi Rahimahullâh memilih bacaan ( َ ه عَذَ ب الكَفَرَةاللههُم) Ertinya: “Ya Allah! Turunkanlah seksaan ke atas orang-orang kafir”, kerana dengan sendirinya termasuk Ahli Kitab dan selain mereka daripada kalangan orang-orang kafir. (Al-Majmû‘: 3/361)
Oleh yang demikian, qunut Nazilah itu bukan hanya dibaca ketika berlakunya malapetaka, wabak atau penyakit berjangkit yang khusus menimpa ke atas orang-orang Islam di satu-satu negara, bahkan juga malapetaka yang menimpa ke atas orang-orang Islam yang lain bukan di negara berkenaan.
Oleh kerana penyakit SARS seperti yang disebutkan, adalah salah satu penyakit atau wabak yang menyebabkan kematian, maka adalah sunat dibaca qunut Nazilah. Namun apabila penyakit SARS itu tidak lagi menjadi ancaman kepada umat manusia termasuk umat Islam sebagaimana disahkan oleh WHO, maka bacaan qunut Nazilah itu patutlah diberhentikan.
Walau bagaimanapun, qunut Nazilah itu boleh juga dibaca jika ia bermaksud memohon perlindungan daripada malapetaka atau bencana yang sedang menimpa umat Islam seperti di Palestin atau di negara-negara lain yang bukan negara Islam seperti penindasan ke atas umat Islam di mana-mana jua. Namun bacaan qunut Nazilah itu boleh juga diberhentikan pada bila-bila masa. Untuk pengetahuan penanya, ketika ini bacaan qunut Nazilah telah pun diberhentikan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12085
