Thariqat An-Naqsyabandiah Al-‘Aliyyah Haqqani
Soalan: Dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenai Thariqat an-Naqshahbandi Haqqani/Thariqat Naqsyabandiah al-‘Aliyyah Haqqani.
Jawapan: Berdasarkan penelitian terhadap perkara-perkara berikut:
1. Buku “Ath-Thariqah An-Naqsyabandiah: Shalat dan Amalan Harian” yang digunakan oleh ahli-ahli Thariqat Naqsyabandiah Haqqani/Thariqat Naqsyabandiah al-‘Aliyyah Haqqani,
2. Laporan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Kawalan Aqidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam mengenai Thariqat Naqshabandi Haqqani/ Thariqat Naqsyabandiah al-‘Aliyyah Haqqani yang dibawa dan ingin diajarkan oleh Awang Haji Muhammad Kamal Shahrum bin Haji Abdul Mumin dan Gabriel Fouad Haddad.
Maka didapati amalan Thariqat an-Naqsyabandiah Haqqani/Thariqat Naqsyabandiah al- ‘Aliyyah Haqqani tersebut mengandungi amalan-amalan yang dikategorikan oleh para ulama sebagai bid‘ah madzmûmah (buruk), amalan yang bersalahan dengan qaul mu‘tamad mazhab Syafi‘e dan dakwaan/kepercayaan ahli-ahlinya yang bercanggah dengan ajaran Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah seperti berikut:
1. Mengamalkan sembahyang Najat.
Tidak ada dijumpai sebarang nash daripada al-Qur’an, hadits atau istinbâth para ulama daripada al-Qur’an atau hadits yang menyebut secara khusus tentang sembahyang yang dikenali atau dinamakan dengan sembahyang Najat.
Apabila tsabit sembahyang Najat itu tidak bersumber daripada nash al-Qur’an, hadits atau istinbâth para ulama daripada al-Qur’an atau hadits, maka mengamalkan sembahyang Najat itu adalah jelas merupakan perbuatan mengada-adakan perkara baharu yang tidak disyariatkan dalam agama. Mengadakan-adakan sesuatu yang baharu dalam agama, apatah lagi dalam perkara ibadat adalah ditegah dan ia suatu bid‘ah yang dikategorikan sebagai bid‘ah dhalâlah (sesat).
‘Irbadh bin Sariyah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kamu jauhilah mengada-adakan perkara-perkara baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap perkara baharu (dalam agama) adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
2. Mengamalkan sembahyang Syukur.
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah Rahimahumullâh bahawa tidak ada sembahyang yang dinamakan dengan nama sembahyang Syukur. Dalam hal ini, ‘Ali asy-Syibramalissi Rahimahullâh di dalam kitabnya Hâsyiah asy-Syibramalissi ‘alâ Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj dan asy-Syirwani Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiah asy-Syirwani ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj ada menyebut:
Ertinya: Sesungguhnya tidak ada menurut kami (para ulama asy-Syafi‘iyyah) satu sembahyang yang dinamakan sebagai sembahyang Syukur.
Apabila tsabit bahawa tidak ada satu sembahyang pun dikenali atau dinamakan sebagai sembahyang Syukur, maka mengamalkannya merupakan satu perbuatan mereka-reka atau mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam agama tanpa sandaran syara‘ mengenainya. Hal ini adalah dilarang dan ditolak oleh syara‘.
‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang mereka-reka (mengada-adakan sesuatu yang baharu) dalam urusan agama kami ini yang tidak ada sandaran daripadanya maka ia adalah tertolak. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Mengamalkan sembahyang Sunnah Nishf Sya‘ban.
Sembahyang Sunnah Nishf Sya‘ban juga termasuk dalam perkara bid‘ah yang mungkar, buruk lagi dikeji. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmu‘:
Ertinya: Sembahyang yang dikenali dengan nama sembahyang ar-Raghâ’ib iaitu yang dikerjakan sebanyak dua belas rakaat di antara waktu maghrib dan ‘Isya’ di malam Jumaat yang pertama pada bulan Rejab serta sembahyang malam Nishf Sya‘ban seratus rakaat, kedua-duanya itu adalah dua sembahyang bid‘ah yang mungkar lagi buruk.
Perkara ini ada juga disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah:
Ertinya: Ibnu Hajar Rahimahullâh pernah ditanya - semoga Allah mengurniakan manfaat dengannya: “Adakah harus mengerjakan sembahyang ar-Raghâ’ib dan al- Barâ’ah secara berjemaah atau tidak?” Maka beliau (Ibnu Hajar Rahimahullâh) menjawab dengan katanya: “Adapun sembahyang ar-Raghâ‘ib itu kedudukannya sama seperti sembahyang yang dikenali sebagai sembahyang malam Nishf Sya‘ban, yang kedua-duanya merupakan perkara bid‘ah yang buruk lagi dikeji dan hadits yang berkaitan dengan kedua-duanya itu adalah dusta. Maka dibenci (haram) mengerjakan kedua-duanya sama ada secara bersendirian atau pun berjemaah.”
4. Tidak ada bacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang jenazah.
Membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang jenazah adalah fardhu dan menjadi salah satu rukun sembahyang jenazah dalam mazhab Syafi‘e. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ menyatakan:
Ertinya: Adapun membaca surah al-Fâtihah merupakan suatu kefardhuan di dalam sembahyang jenazah tanpa khilâf di sisi kami (ulama asy-Syafi‘iyyah).
Ini adalah berdasarkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Auf Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Aku pernah bersembahyang jenazah di belakang Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ yang mana beliau membaca Fâtihah al-Kitâb (surah al-Fâtihah dengan nyaring). Beliau berkata: “Supaya mereka (para sahabat) mengetahui bahawa membaca surah al-Fâtihah itu adalah sunnah (perkara yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
5. Mempercayai menggunakan azimat sebagai pelindung diri.
Menggunakan azimat dengan kepercayaan bahawa azimat itu mempunyai kuasa menjadi pelindung diri atau kesan dalam mendatangkan kebaikan atau menolak kemudharatan adalah haram dan berdosa besar kerana ia merupakan perkara syirik yang dilarang oleh Islam.
‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa menggantung (memakai) azimat, maka dia telah menyekutukan Allah. (Hadits riwayat Ahmad)
Manakala ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah terpandang suatu halaqah (lingkaran berasal daripada tembaga) di lengan seorang lelaki. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Malangnya engkau! Apa ini? Lelaki itu berkata: “Ini daripada jenis wâhinah (azimat memelihara daripada terkena penyakit dipakai di lengan).” Baginda bersabda: “Adapun wâhinah itu tidak menambahkan kepadamu (apa-apa kebaikan) melainkan menambahkan sakit di lengan. Tanggalkanlah ia daripadamu, kerana kalau engkau mati dan ia masih ada padamu, engkau tidak akan beruntung untuk selama-lamanya.” (Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
6. Percaya bahawa memakai serban berwarna hitam dapat mempercepatkan kemunculan Imam Mahdi.
Dakwaan ini boleh mengundang fitnah dan kekeliruan. Tiada dijumpai sebarang nash daripada al-Qur’an, hadits atau istinbâth para ulama daripada al-Qur’an atau hadits yang mengatakan bahawa memakai serban berwarna hitam itu dapat mempercepatkan kemunculan Imam Mahdi. Kepercayaan ini adalah rekaan semata-mata dan tidak mempunyai asas syara‘.
7. Salah seorang wakil pemimpin mereka mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi dan menyatakan mempunyai hubungan dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz telah banyak mengeluarkan beberapa fatwa mengenai Imam Mahdi al- Muntazhar. Dalam fatwa beliau bilangan 65/89:
Katanya: “Dusta orang yang mengaku bahawa dirinya al-Mahdi al-Muntazhar” dan katanya: “Adalah salah siapa mengaku bahawa orang-orang tertentu yang telah mati seperti dakwaan puak Syi‘ah pada Muhammad bin ‘Ali (ahl al-bait) bahawa ia al-Mahdi al-Muntazhar dan setengah orang mendakwa bahawa Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari itu al-Mahdi al-Muntazhar.”
Katanya: “Al-Imam Ibnu Hajar telah ditanya perkara satu kumpulan beri‘tiqâd pada seorang telah mati selama 40 tahun dahulu bahawa dia al-Mahdi yang dijanjikan zahir pada akhir zaman”, maka al-Imam itu menjawab: “Bahawa itu i‘tiqâd yang salah dan sesat yang nyata dan bodoh yang sangat buruk, kerana i‘tiqâdnya itu berlawan dengan hadits-hadits yang tegas.”
Dalam fatwa beliau bilangan 40/75:
“Menurut kata-kata ulama bahawa al-Imam al-Mahdi itu seorang laki-laki keturunan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan saksama. Dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm akan keluar dan dia akan menolong al- Imam al-Mahdi pada membunuh ad-Dajjal besar itu. Dan al-Imam al-Mahdi akan mengetuai umat Islam dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm sembahyang di belakang al-Imam al-Mahdi dalam suatu kisah yang panjang dalam perkara-perkaranya menurut hadits-hadits Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dan hadits-hadits itu mutawâtir bagaimana kata al- Imam al-Aburi dan lain-lain ulama.
Al-Imam al-Mahdi akan diangkat menjadi khalifah di antara rukun dan maqâm di al- Masjid al-Haram Makkah setelah umat Islam tiada mempunyai khalifah dan mereka mencari al-Imam al-Mahdi al-Muntazhar di antara Makkah dan Madinah. Dan ia enggan menjadi khalifah dan umat Islam mengugut akan dia supaya dia menerima lantikan khalifah itu. Masa keluarnya pada akhir zaman pada masa turun Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm dari langit dan zaman keluar Dajjal, bukan pada masa sekarang atau masa sebelum sekarang bagaimana dalam hadits-hadits dan telah disebutkan oleh al-Imam Ibnu Hajar dalam al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah dan lain-lain, dan al-‘Allâmah al-‘Ârif Billâh as-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan dalam al-Futûhât al-Islâmiyyah.
Maka menurut fatwa al-Imam Ibnu Hajar bahawa barang siapa mengatakan bahawa sekarang ini ada al-Imam al-Mahdi al-Muntazhar dan dia telah keluar memimpin umat Islam adalah orang itu beri‘tiqâd salah dan sesat dan jahil sedalam-dalamnya kerana ia menyalahi hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.”
Manakala dalam fatwa beliau bilangan 19/89:
“Adapun orang yang dipanggil dengan nama al-Mahdi al-Muntazhar itu ialah seorang yang tertentu bukan sebarang orang. Al-Mahdi al-Muntazhar itu seorang keturunan Sayyidatina Fathimah binti Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan al-Mahdi al- Muntazhar itu keluar di Makkah. Pada masa itu tiada ada sebarang khalifah di sana dan al-Mahdi al-Muntazhar itu diangkat dia menjadi khalifah dengan dipaksa dan tiada dengan sukanya. Dan dia tiada menuntut akan jawatan khalifah bagi dirinya dan dia tiada berusaha pada mendapatkan jawatan khalifah bagi dirinya. Dan masa ia keluar itu pada masa keluar al-Masih ad-Dajjal pendusta besar bangsa Yahudi yang mengaku menjadi nabi, kemudian ia mengaku menjadi Tuhan. Dan masa keluar al-Mahdi al- Muntazhar itu masa turun Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm dari langit ke bumi dan kedua-duanya berhimpun memerangi Dajjal besar bangsa Yahudi itu. Masanya itu menunjukkan masa hampir Kiamat.”
8. Orang-orang kanan Thariqat ini mendakwa Syeikh Muhammad Nazim ada menyatakan bahawa beliau tidak lagi dicatat segala dosa kerana telah mempunyai taraf auliyâ’, taraf sebagai seorang wali Allah.
Dalam perbincangan para ulama tentang orang-orang yang terpelihara daripada berbuat dosa (al-ma‘shûm) hanya terhad sebutannya kepada para nabi dan rasul sahaja. Hanya para nabi dan rasul sahajalah yang terpelihara daripada berbuat dosa. Selain daripada para nabi dan rasul, tidak ada siapa pun di kalangan manusia yang terpelihara daripada melakukan dosa dan ini tidak terkecuali kepada para wali Allah.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh ada menyebut di dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al- Qur’ân:
Ertinya: Jumhur fuqahâ’ daripada ulama mazhab Malik, Abu Hanifah dan asy-Syafi‘e berkata: “Sesungguhya mereka (para nabi dan rasul) terpelihara daripada melakukan dosa-dosa kecil semuanya sebagaimana mereka terpelihara daripada melakukan dosa-dosa besar seluruhnya.”
Al-Malibari Rahimahullâh pula menyebut di dalam kitabnya Irsyâd al-‘Ibâd ilâ Sabîl ar - Rasyâd:
Ertinya: Mereka (para nabi) itu terpelihara daripada melakukan dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar sebelum dan selepas kenabian.
Maka siapa saja yang mendakwa bahawa dia tidak lagi dicatat segala dosa kerana telah mempunyai taraf wali Allah adalah jelas dakwaan seumpama itu bertentangan dengan ajaran Islam menurut fahaman Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah.
Kesimpulan
Dengan demikian, maka adalah jelas bahawa Thariqat an-Naqshabandi Haqqani/Thariqat an- Naqsyabandiah al-‘Aliyyah Haqqani yang dibawa dan ingin diajarkan oleh Awang Haji Muhammad Kamal Shahrum bin Haji Abdul Mumin dan Gabriel Fouad Haddad tersebut mengandungi amalan-amalan bid‘ah madzmûmah (buruk), amalan yang bersalahan dengan qaul mu‘tamad mazhab Syafi‘e dan mengandungi dakwaan/kepercayaan ahli-ahlinya yang bercanggah dengan ajaran Islam menurut fahaman Ahli Sunnah wal-Jama‘ah.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan wajib melarang dan tidak membenarkan gerakan-gerakan seperti ini bertapak di negara ini, demi memelihara keshahîhan ajaran Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah dan memelihara keshahîhan amalan beribadat di kalangan orang ramai di negara ini yang menerima pakai mazhab Syafi‘e.
Dalam hal ini juga, pengamal thariqat tersebut hendaklah segera bertaubat dan meninggalkan amalan-amalan bid‘ah madzmûmah dan kepercayaan-kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran agama Islam menurut fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12089
