Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Perniagaan Secara Perkongsian

Soalan: Saya akan memulakan perniagaan kecil bersama dengan seorang kawan. Perniagaan tersebut berupa barang ganti alat kereta dan modalnya akan dibuat 50/50. Apakah syarat-syarat yang patut kami buat berlandaskan agama dalam perniagaan kami nanti dan bagaimanakah pula zakat hasil perniagaan tersebut?

Jawapan: Mengadakan perniagaan secara perkongsian sama ada ia merangkumi dua orang atau ramai seperti dalam sebuah industri atau syarikat besar adalah diharuskan dengan mengikut rukun-rukun yang ditetapkan syara‘.

Antara rukun-rukun yang perlu diikuti dalam perniagaan secara perkongsian itu ialah: (Mughni al-Muhtâj: 3/223-226 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 4/3)

1. ‘Âqidân: Iaitu dua orang yang berakad itu hendaklah daripada pihak yang layak menjadi wakil dan yang mewakilkan harta. Ini kerana kedua-dua rakan kongsi berfungsi untuk tasharruf (menguruskan/menjalankan) hartanya dengan memilikinya dan tasharruf harta orang lain dengan keizinannya.

2. Shîghah: Hendaklah lafaz akad itu menunjukkan adanya keizinan di antara kedua-duanya untuk menjalankan dan memperniagakan harta perkongsian berkenaan. Adalah tidak harus salah seorang daripada rakan kongsi menguruskan harta perkongsian kecuali dengan izin rakan kongsi yang lain. Dengan hanya menyebut perkataan ‘kongsi’ dalam akad belum memadai untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya telah saling memberi keizinan.

3. Harta Perkongsian: Terdapat beberapa persyaratan dalam perkara yang berkaitan dengan modal perniagaan, antaranya:

i. Harta atau modal perkongsian itu hendaklah daripada harta mitsli iaitu harta yang dapat ditimbang, disukat dan boleh diserahkan seperti wang dan tidak harus harta perkongsian itu berdasarkan nilai semata-mata kerana dua harta modal yang berdasarkan nilai adalah dua jenis yang berbeza.

ii. Hendaklah harta atau modal yang dikongsikan itu terdiri daripada dua jenis dan sifat yang serupa sama ada ia berupa wang atau benda atau makanan. Walau bagaimanapun harta atau modal yang hendak dikongsikan itu tidaklah disyaratkan mempunyai kadar atau nilai yang serupa atau sama.

Adalah tidak memadai mencampurkan harta atau modal perkongsian (syarikat) daripada dua jenis yang berbeza seperti dirham dengan dinar atau daripada sifat yang berbeza seperti gandum baru dengan gandum lama.

iii. Hendaklah harta atau modal perkongsian itu dicampurkan bersama dan tidak boleh diasingkan. Ini kerana jika tidak dicampurkan dan berlaku kerosakan atau kehilangan harta salah seorang rakan kongsi sebelum harta atau modal tersebut diuruskan, ia akan menjejaskan dan memudharatkan ketetapan syarikat.

Zakat Perniagaan Secara Perkongsian

Harta perniagaan merupakan salah satu daripada jenis-jenis harta yang wajib dizakat.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada (harta kamu) yang baik-baik (hasil daripada) apa yang kamu usahakan dan sebahagian daripada apa yang telah Kami keluarkan untuk kamu dari bumi (seperti biji-bijian, buah-buahan dan galian)…. (Surah al-Baqarah: 267)

Terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi dalam mengeluarkan zakat perniagaan dan kebanyakan ulama asy-Syafi‘e Rahimahullâh memberikan enam syarat sehingga menjadikan perniagaan itu wajib dizakat. Syarat-syarat berkenaan ialah seperti berikut:

1. Nishâb.

Nilai bagi keseluruhan harta perniagaan itu mestilah mencapai kadar nilai emas seberat 85 gram mengikut nilai pasaran tempatan. Pengiraan kadar nilai ini adalah mengikut perkiraan nilainya di akhir haul, kerana di akhir haul inilah zakat perniagaan wajib dikeluarkan.

2. Haul.

Haul bagi harta perniagaan hendaklah mencapai satu haul, iaitu cukup satu tahun Hijrah, mengikut kalendar Islam sejak bermulanya perniagaan.

3. Niat berniaga.

Barangan yang dibeli mestilah diniatkan atau dimaksudkan untuk diperniagakan. Niat ini mestilah juga berlaku semasa pemindahan milik melalui jual beli dalam majlis atau akad jual beli itu.

4. Barangan yang diniagakan mestilah dimiliki melalui tukar-menukar, seperti jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya. Adapun barangan atau perniagaan yang diperolehi melalui warisan, pemberian, hadiah dan lainnya, tidak dikira sebagai harta perniagaan melainkan jika dibuat akad perniagaan yang baru bagi barang-barang tersebut.

5. Bukan untuk kegunaan peribadi.

Barangan yang hendak diniagakan hendaklah tidak diubah fungsinya kepada fungsi lain, iaitu tidak diniatkan sebagai simpanan untuk kegunaan peribadi atau untuk disedekahkan.

6. Barangan yang diniagakan itu hendaklah tidak bertukar menjadi wang sehinggakan kadar nishâbnya kurang daripada yang secukupnya. Jika ia bertukar menjadi wang dan nishâb harta perniagaan itu tidak mencukupi, maka haul bagi harta perniagaannya terputus dan dimulai dengan haul baru apabila dia membeli harta perniagaan yang baru.

(Nihâyah al-Muhtâj: 3/101-108, al-Iqnâ‘: 1/225 dan Busyrâ al-Karîm: 2/444)

Cara Mengeluarkan Zakat Harta Perniagaan

Jumlah kadar nishâb zakat yang wajib dikeluarkan adalah 2.5% daripada nilai jumlah kesemua harta perniagaan berdasarkan kadar nilai emas seberat 85 gram mengikut harga semasa. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/106 dan Mughni al-Muhtâj: 2/108)

Adapun zakat yang wajib dikeluarkan itu bukan hanya setakat ke atas hasil keuntungan bersih harta perniagaan semata-mata, bahkan ia hendaklah merangkumi keseluruhan harta perniagaan yang menjadi miliknya. Ini termasuklah modal perniagaan, hutang yang diharapkan akan dibayar, barang-barang perniagaan yang tidak laku atau belum dijual seperti stok barangan dan sebagainya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/363 dan Mughni al- Muhtâj: 2/110) sekalipun perniagaannya mendapat kerugian, zakat tetap wajib dikeluarkan selamamana nilai bagi jumlah harta perniagaannya itu berada di atas paras nishâb zakat.

Jika kesemua harta perniagaan itu telah mencukupi haul (genap setahun) mengikut perkiraan tahun Hijrah dari semenjak dia memulakan perniagaannya dan setelah sudah cukup atau lebih nishâb, maka wajib dikeluarkan zakatnya untuk tahun berkenaan.

Adapun mengenai dengan nishâb zakat harta perniagaan ini, memadailah sampai kadar nishâbnya itu setakat di penghujung haul sahaja. Ia tidak memerlukan cukup nishâb di permulaan atau pertengahan haul ataupun di sepanjang tahun, asalkan nishâbnya mencukupi sebaik sahaja tamat tempoh haul. Apabila nishâbnya mencukupi di penghunjung haul maka wajib dikeluarkan zakatnya, meskipun nishâbnya itu mencukupi hanya beberapa detik sebelum zakat wajib dikeluarkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/101 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/129)

Bentuk Zakat Perniagaan Yang Dikeluarkan

Dari manakah zakat perniagaan itu dikeluarkan, adakah langsung daripada harta atau barangan yang diniagakan atau ia dikeluarkan berdasarkan nilai atau harga barangan?

Menurut pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, zakat perniagaan wajib dikeluarkan berdasarkan pada nilai atau harga barang dagangan. Zakat tidak boleh dikeluarkan daripada barang atau harta dagangan itu sendiri. Manakala nilai bagi barangan berkenaan pula bukan diambil daripada nilai pada ketika membuat pembelian barang dagangan, akan tetapi hendaklah pada nilai harga pasaran pada saat cukup haulnya, iaitu waktu wajib membayar zakat. Umpamanya harga barang perniagaan ketika memulakan perniagaan ialah 20 ribu ringgit dan setelah sampai di penghujung haul nilai barang perniagaannya itu berserta keuntungan bernilai 30 ribu ringgit, maka zakat yang wajib dikeluarkan ialah nilai harta perniagaan di akhir haul iaitu 30 ribu ringgit. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/106, Kitab al-Majmû‘: 6/51-52 & 59 dan Ahsan al-Kalâm: 6/322)

Berdasarkan daripada apa yang telah dijelaskan, pemilik wajib mengeluarkan zakat bagi keseluruhan harta perniagaan secara perkongsian yang dimiliki apabila telah cukup tempoh haul dan sampai kadar nishâbnya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% daripada nilai keseluruhan harta perniagaan yang merangkumi modal, keuntungan, stok barangan, harta perniagaan yang dihutangkan dan sebagainya yang menjadi miliknya.

Siapakah Yang Wajib Membayar Zakat Bagi Harta Perniagaan Secara Perkongsian

Pengeluaran zakat bagi harta perniagaan yang dimiliki secara perkongsian itu adalah memadai jika ia dilaksanakan oleh seorang wakil daripada rakan kongsi bagi keseluruhan harta atau simpanan tersebut, sekalipun tanpa izin rakan kongsi yang lain.

Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh bahawa adalah harus bagi setiap rakan kongsi untuk mengeluarkan zakat harta perkongsian walaupun tanpa izin dan pengetahuan rakan kongsi yang lain. Ini kerana syara‘ membenarkannya dan harta perkongsian itu telah menjadi seperti satu harta. Dari tu, memadailah niat orang yang mengeluarkan zakat itu bagi mewakili niat rakan kongsinya yang lain. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/306) Imam Zainuddin al-Malibari berkata:

Ertinya: (Dan adalah harus bagi setiap) rakan kongsi untuk (mengeluarkan zakat) harta (perkongsian walaupun tanpa izin) rakan kongsi (yang lain) sepertimana pendapat al-Jurjani dan diakui oleh ulama selainnya, kerana syara‘ membenarkannya. Dan memadailah adanya niat orang yang mengeluarkan zakat itu daripada kalangan mereka berdua bagi niat rakan kongsi yang lain – menurut pendapat yang awjah. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/306)

Kesimpulan

Zakat bagi harta perniagaan yang dikongsikan itu wajib dikeluarkan apabila telah sampai nishâbnya di penghujung haul mengikut kiraan Hijriyyah.

Kadar nishâb yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% daripada nilai keseluruhan harta perniagaannya termasuklah modal perniagaan, keuntungan yang diperolehi, stok-stok barangan dan sebagainya yang menjadi miliknya berdasarkan nilai emas seberat 85 gram mengikut harga semasa.

Zakat yang dikeluarkan itu hendaklah diambil daripada nilai harta perniagaan tersebut mengikut harga pasaran pada ketika pembayaran tersebut berlangsung.

Adapun pengeluaran zakat bagi harta perniagaan secara perkongsian itu memadailah dilakukan oleh salah seorang daripada rakan kongsi sekalipun tanpa pengetahuan rakan kongsi yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12093