Zakat Wang Simpanan Bagi Mu’allaf
Soalan: Seorang bukan Islam membuka tiga akaun wang simpanan pada tarikh yang berbeza. Beberapa tahun kemudian dia memeluk Islam pada tarikh jatuhnya nishf Sya‘ban.
Bagaimanakah mengira genap satu tahun wang tersebut untuk dizakatkan? Adakah sejak dia membuka akaun? Atau pada nishf Sya‘ban tahun berikutnya (genap satu tahun sejak dia memeluk Islam?)
Jawapan: Kewajipan zakat adalah ke atas individu yang beragama Islam sahaja. Ia tidak diwajibkan ke atas mereka yang bukan beragama Islam kerana motif zakat itu sendiri ialah untuk menyucikan harta yang diperolehi dengan cara yang halal dan juga menyucikan individu yang berzakat itu daripada dosa. Bahkan ia dinamakan zakat adalah kerana ia memberi maksud mengembangkan harta dengan sebab keberkatan mengeluarkan sebahagiannya sebagai zakat dan dengan sebab keberkatan do‘a orang-orang yang menerimanya. Selain individu itu akan mendapat pengampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dia juga akan mendapat pujian daripadaNya. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/43 dan Mughni al-Muhtâj: 2/62)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka. Dan do‘akanlah mereka sesungguhnya do‘amu itu menjadi sebab ketenteraman jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah at-Taubah: 103)
Diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Inilah sedekah fardhu (zakat) yang telah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam fardhukan ke atas umat Islam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Keseluruhan ganjaran melaksanakan zakat itu sama ada keberkatan, penyucian dan pengampunan dosa daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan dikurniakan kepada orang yang bukan beragama Islam. Dari itu kewajipan zakat bukanlah ke atas mereka yang bukan beragama Islam.
Adapun yang dimaksudkan dengan ‘mereka yang bukan beragama Islam’ itu ialah kafir asli dan bukanlah mereka yang murtad. Ini kerana terdapatnya perbezaan hukum ke atas kedua-duanya dalam hukum pembayaran zakat. Orang yang murtad tetap diwajibkan membayar zakat jika kemurtadannya itu berlaku sebelum berjalan kewajipan zakat ke atasnya. Manakala jika kewajipan zakat itu berlaku setelah dia murtad, maka kewajipan zakat tersebut bergantung pada kedudukan murtadnya. Jika dia kembali semula kepada Islam, maka wajib baginya zakat yang telah lalu. Manakala jika dia tetap murtad sehingga dia meninggal dunia, maka jelaslah harta tersebut bukan miliknya selama dia murtad dan ia menjadi harta rampasan (al-fai’). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/170)
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, seorang kafir asli tidak dituntut untuk mengeluarkan zakat bagi hartanya ketika dia dalam keadaan kafir sekalipun dia telah memeluk Islam. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/4 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/170)
Ini bererti seorang mu’allaf yang baru memeluk Islam tidak diwajibkan ke atasnya mengeluarkan zakat hartanya sebelum dia memeluk Islam sekalipun ia telah sampai nishâb dan haul.
Berikutan dengan itu, mengenai dengan pengiraan genap satu haul bagi wang yang dimasukkan ke dalam tiga akaun yang berbeza sepertimana yang ditanyakan, tempoh satu haul bagi wang berkenaan adalah bermula semenjak dia memeluk agama Islam, iaitu pada pertengahan (nishf) bulan Sya‘ban dan bukanlah bermula daripada dia membuka akaun-akaun tersebut. Ini kerana dia belum berkewajipan untuk mengeluarkan zakat pada ketika itu. Oleh itu, apabila datang pertengahan (nishf) bulan Sya‘ban pada tahun berikutnya, barulah wajib ke atasnya mengeluarkan zakat bagi wang di dalam ketiga-tiga akaun tersebut termasuk wang lain yang disimpan jika ada, apabila sampai nishâb dan haul.
Hal ini samalah juga seperti dalam perkara sembahyang di mana seseorang yang memeluk Islam tidak wajib dan tidak sah mengqadha’ sembahyang yang ditinggalkannya ketika dia masih kafir. Dari itu, seorang mu’allaf tidak sah mengqadha’ pembayaran zakat bagi hartanya ketika dia masih kafir dan jika harta tersebut telah diambil sebagai zakat, maka hendaklah ia dikembalikan semula. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/392)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12097
