Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Adakah Bulan Sabit Dan Bintang Lambang Islam?

Soalan: Adakah bulan sabit dan bintang itu lambang Islam sepertimana yang saya terbaca di sebuah blog yang menceritakan asal usul lambang tersebut?

Jawapan: Lambang ialah tanda yang menyatakan atau mengenalkan sesuatu. Pada kebiasaannya, ia digunakan untuk mengenal sesebuah negara, syarikat perniagaan, persatuan, produk, institusi, organisasi dan lain-lain yang dianggap memerlukan alat pengenal yang ringkas dan mudah diingat. Sebagai contoh, lambang salib adalah pengenalan kepada agama Kristian.

Manakala berkenaan lambang bulan dan bintang, ia bukanlah lambang yang berasal daripada agama Islam dan tidak pernah digunakan pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Walau bagaimanapun pada masa kini, ia lumrah digunakan sebagai lambang Islam bagi sesetengah negara Islam. Antaranya seperti Malaysia yang menjadikan bulan dan bintang sebagai lambang rasmi agama Islam di negara tersebut sehingga agama-agama selain Islam ditegah untuk menggunakan lambang tersebut di tempat-tempat ibadat mereka bagi mengelakkan kekeliruan terhadap umat Islam. (E-Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus bertajuk Penggunaan Lambang Bulan Sabit dan Bintang Pecah Lima)

Selain Malaysia, ada juga negara-negara Islam yang menggunakan bulan dan bintang sebagai lambang pada bendera negara mereka; seperti Pakistan, Algeria dan Tunisia. Ada juga yang menjadikan bulan dan bintang itu logo pengenalan sebagai pengesahan halal sesuatu produk.

Pada asalnya, hukum menggunakan sesuatu itu adalah harus sebagaimana dinyatakan dalam kaedah fiqh:

Ertinya: (Hukum) asal pada semua perkara itu adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan pengharaman. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/166)

Kaedah ini adalah berdasarkan hadits daripada Salman Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perkara halal ialah apa yang telah dihalalkan oleh Allah dalam KitabNya. Perkara haram pula ialah apa yang telah diharamkan oleh Allah dalam KitabNya, manakala apa yang didiamkan (tidak disebut halal atau haram), maka ia tergolong daripada perkara yang dimaafkan daripadanya. (Hadits rwayat at-Tirmidzi)

Maka penggunaan lambang bulan dan bintang dalam Islam adalah harus kerana tiada nash yang mengharamkan penggunaannya. Walau bagaimana pun penggunaan lambang tersebut tidak ada kaitan langsung dengan aqidah Islam. Oleh itu, orang yang tidak mempercayainya sebagai lambang Islam tidak akan rosak imannya. Ia bukanlah seperti salib yang melambangkan kekufuran dan pengenalan kepada agama Kristian serta ada pula nash yang menafikan i‘tiqâd salah mereka tentang salib itu.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan juga (disebabkan) kata-kata mereka: “Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masîh ‘Isa ibnu Maryam, Rasul Allah. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya tetapi diserupakan bagi mereka (seorang lain dengan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham mengenainya (Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm) sebenarnya mereka berada dalam keadaan ragu-ragu tentang (orang yang dibunuh itu). Tiada suatu pengetahuan pun (yang pasti) bagi mereka mengenainya melainkan mengikut sangkaan semata-mata dan mereka tidak (pula) yakin telah membunuhnya.” (Surah an-Nisâ’: 157)

Salib (cross) adalah simbol utama dalam agama Kristian dan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan aqidah agama tersebut. Simbol tersebut mengingatkan kembali peristiwa penyaliban Jesus Christ serta manfaat yang diperolehi daripada kematiannya iaitu penebusan dosa manusia. Salib dilihat sebagai tanda yang melambangkan diri Jesus Christ sendiri dan juga sebagai tanda kepercayaan Kristian. Dalam upacara tertentu, membuat tanda salib itu mempunyai pelbagai konteks, sama ada ia dimaksudkan sebagai pengakuan, pengisytiharan keimanan, sebagai do‘a atau sebagai kepatuhan dan kebaktian ataupun sebagai ucapan kesyukuran.

Menurut sejarah, simbol salib telah digunakan sebelum era Kristian namun tidak dapat dipastikan sama ada kegunaan tersebut mempunyai kaitan dengan kepercayaan tertentu ataupun hanya sebagai tanda pengenalan atau pemilikan. Penyaliban (crucifixion) juga adalah salah satu cara hukuman mati dijalankan di kalangan orang Persia, Rom dan selainnya sekitar kurun keenam sebelum Masihi hingga kurun keempat Masihi. Penganut Kristian pada ketika itu sangat keberatan untuk menzahirkan sebarang tanda salib kerana cemuhan dan kemarahan orang sekeliling mereka. Namun setelah Raja Constantine memeluk agama Kristian, dia telah menghapuskan penyaliban sebagai hukuman mati di Rom sebagai tanda penghormatan kepada Jesus Christ dan mengangkat simbol salib sebagai salah satu lambang Kristian yang paling dikenali hingga ke hari ini. (Britannica; Micropædia, 3/ 753 & 762)

Manakala perihal anak bulan dan bintang itu ada disebut dalam al-Qur’an sebagai penghias langit, penentu masa dan penunjuk jalan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(Bahawa peredaran) anak-anak bulan itu ialah untuk menandakan waktu-waktu bagi (urusan dan amalan) manusia dan ibadat haji.” (Surah al-Baqarah: 189)

Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh menerangkan dalam tafsir beliau bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah menjadikan bulan sebagai tanda menetapkan masa bagi permulaan puasa dan berbuka, mengira ‘iddah bagi wanita, masa membayar hutang dan masa menunaikan haji. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm:2/211)

Dalam ayat lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âla berfirman:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya Kami memperhiaskan langit yang dekat (kepada penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar, dan Kami jadikan daripada bintang-bintang itu (semburan api) untuk merejam syaitan-syaitan (yang cuba menghampiri langit). (Surah al-Mulk: 5)

Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, seorang ahli tafsir daripada kalangan tâbi‘în pula ketika menerangkan mengenai bintang dalam ayat di atas, kata beliau:

Ertinya: Allah Subhânahu wa Ta‘âla menciptakan bintang-bintang ini untuk tiga tujuan (iaitu): Allah menjadikannya sebagai hiasan bagi langit, alat rejaman bagi syaitan-syaitan dan petunjuk-petunjuk untuk panduan (jalan atau arah) dengannya. (Shahîh al-Bukhari: 3/1168-9)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla lagi:

Tafsirnya: Dan (Dia menciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.

(Surah an-Nahl: 16)

Allah Subhânahu wa Ta‘âla menerangkan dalam ayat di atas bahawa bintang-bintang merupakan cara-cara untuk mengetahui waktu-waktu dan jalan-jalan. Jika bukan kerananya, manusia tidak akan mendapat petunjuk dalam menghadap qiblat. (‘Aun al-Ma‘bûd: 10/319)

Jika kita perhatikan kepada lambang atau logo bulan dan bintang yang digunakan oleh sesebuah negara atau organisasi itu terdapat perbezaan pada bentuk-bentuknya. Sesuatu lambang itu pula biasanya direka dengan pengertiannya yang tersendiri oleh perekanya. Bahkan lambang bulan dan bintang itu juga ada digunakan oleh persatuan atau organisasi bukan Islam.

Oleh itu, sekiranya terdapat sesetengah bentuk lambang bulan dan bintang itu direka khas sebagai pengenalan kepada agama atau persatuan bukan Islam, maka hukum orang Islam menggunakan lambang yang berbentuk khas tersebut perlu berhati-hati kerana ia tertakluk kepada beberapa keadaan sepertimana fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh tentang hukum pemakaian atau penggunaan sesuatu yang menyerupai bentuk khas orang kafir, iaitu:

1. Jika seseorang menggunakan sesuatu yang menyerupai bentuk khas orang kafir, dengan tujuan menyerupai mereka pada syi‘âr kekufuran (syi‘âr agama mereka), maka dihukumkan kafir.

2. Jika menggunakannya dengan tujuan menyerupai orang kafir pada syi‘âr perayaan tanpa niat untuk melakukan kekufuran, maka tidak dihukumkan kafir tetapi berdosa (haram).

3. Jika menggunakannya tanpa bertujuan menyerupai mereka pada asalnya, maka tidak mengapa. (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/215)

As-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar yang dikenali sebagai Ba ‘Alwi Rahimahullâh, Mufti Hadhramaut, juga ada menerangkan hasil atau keputusan hukum para ulama pada perkara pemakaian atau penggunaan bentuk yang menyerupai orang-orang kafir:

1. Jika menggunakan sesuatu yang menyerupai orang-orang kafir dengan hati yang cenderung kepada agama mereka dan bertujuan menyerupai mereka pada syi‘âr-syi‘âr kekufuran, atau berjalan bersama mereka ke tempat-tempat ibadat mereka, maka dihukumkan kafir pada kedua-dua perkara tersebut.

2. Jika tidak bertujuan seperti pada perkara 1 di atas, tetapi bertujuan menyerupai mereka pada syi‘âr-syi‘âr perayaan atau menyerupai mereka untuk berhubungan bagi melakukan muamalat yang harus dengan mereka, maka hukumnya adalah berdosa (haram).

3. Jika kebetulan menyerupai mereka tanpa apa-apa tujuan, maka hukumnya adalah makruh, seperti mengikat kain selendang ketika sembahyang. (Bughyah al- Mustarsyidîn: 307)

Berdasarkan penerangan di atas, belumlah dijumpai data atau bukti kukuh yang menjelaskan bahawa lambang bulan dan bintang itu khas bagi agama Islam. Namun tidak dinafikan bahawa kebiasaannya lambang bulan dan bintang itu digunakan oleh pihak-pihak yang dikaitkan dengan Islam. Maka, penggunaan lambang bulan dan bintang oleh mana-mana pihak Islam adalah harus kerana tiada nash syara‘ yang mengharamkan penggunaannya, melainkan lambang bulan dan bintang yang direka khas sebagai lambang kekufuran.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12107