Dakwaan Pengharaman Babi Hanya Pada Memakan Dagingnya Dan Berkenaan Pengharaman Arak
Soalan: Seorang kawan saya mendakwa telah mendengar daripada seorang kiyai bahawa menggunakan barangan daripada babi seperti beg, kasut, tali pinggang dan sebagainya adalah dibolehkan dalam Islam. Katanya yang haram adalah memakan daging babi, bukan menggunakan kulitnya. Dalam al-Qur’an pun hanya menyebut haram memakan daging babi.
Dakwanya lagi bahawa di negeri Arab seperti Mesir, orang-orang di sana memakan daging babi tetapi tidak minum arak kerana bagi mereka arak itu memang berat haramnya, tetapi di sebelah sini, ramai orang Islam minum arak tetapi tidak makan babi kerana berasa beratnya dosa makan babi.
Adakah benar dakwaan begitu? Dipohonkan penjelasan dan pandangan Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: 1. Pengharaman Babi
Dakwaan bahawa pengharaman babi hanya pada memakan dagingnya dan bukan pada menggunakan kulitnya adalah dakwaan yang salah.
Menurut al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh, dakwaan tersebut adalah dakwaan yang jumûd atau beku fikiran dan melencong dalam berhujjah sebagaimana fahaman puak azh- Zhahiriyyah. (Tafsîr al-Qurân al-‘Azhîm: 2/8)
Pengharaman babi adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak mendapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia kotor.” (Surah al-An‘âm: 145)
Dalam ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âla mengharamkan babi kerana keadaannya yang najis sebagaimana juga bangkai. Ini menunjukkan kenajisan adalah ‘illah (sebab) kepada pengharaman memakannya. Oleh yang demikian, setiap najis adalah dihukumkan haram untuk dimakan. (Tafsîr al-Fakhr ar-Razi: 13/231)
Kenajisan babi itu merangkumi kesemua bahagian anggota badannya, termasuk apa sahaja yang berasal daripadanya seperti bulu, kulit, air liur, tahi dan air kencing, bukan hanya khusus atau terbatas pada dagingnya sahaja. Kulit babi tidak akan menjadi suci sekalipun setelah disamak. Pengharaman menggunakan atau memakai kulit dan bulu babi adalah kerana ia dikategorikan sebagai najis yang berat (mughallazhah). Penggunaannya hanya diharuskan dalam keadaan dharurat seperti peperangan mengejut dan takut memudharatkan diri umpamanya kerana cuaca sejuk dan tidak didapati kulit selain babi. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 3/38-39, Nihâyah al-Muhtâj: 1/237, 251 & 252 dan Mughni al- Muhtâj: 1/111 & 117)
Dalil pengharaman babi juga disebut dalam hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan urus niaga arak, bangkai, babi dan berhala. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini juga menunjukkan haram berniaga babi dan mengambil manfaat daripada perniagaan tersebut.
Maka jelas, pengharaman babi bukanlah setakat pada memakan dagingnya, malah juga haram mengambil manfaat daripadanya dan haram memakai kulitnya tanpa dharurat seperti menggunakannya sebagai beg, kasut, tali pinggang dan sebagainya.
2. Pengharaman Arak
Pengharaman meminum arak adalah berdasarkan banyak dalil. Antaranya:
i. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perbuatan keji itu)? (Surah al-Mâ’idah: 90-91)
ii. Hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Setiap yang memabukkan digelar sebagai khamr dan setiap khamr adalah haram. (Hadits riwayat Muslim)
Arak dalam bahasa Arab digelar sebagai khamr ( َخح ْر) iaitu sesuatu yang memabukkan dan menghilangkan akal. (Az-Zawâjir fi at-Tahdzîr min al-Kabâ’ir: 99)
Arak dikategorikan sebagai najis. Meminum arak dan segala yang memabukkan, sama ada banyak atau sedikit dan sama ada seseorang itu menjadi mabuk atau tidak, hukumnya adalah haram dan peminumnya boleh dihukum hadd. (Mughni al-Muhtâj: 1/111 dan Az-Zawâjir fi at-Tahdzîr min al-Kabâ’ir: 104)
Adapun dakwaan yang mengatakan: “Di negeri Arab seperti Mesir, orang-orang di sana memakan daging babi tetapi tidak minum arak kerana bagi mereka arak itu memang berat haramnya, tetapi di sebelah sini, ramai orang Islam minum arak tetapi tidak makan babi kerana berasa beratnya dosa makan babi”, adalah memerlukan penilaian keshahîhan dakwaan tersebut kerana saya sendiri tidak pernah mendengar dakwaan seperti itu. Namun dari sudut hukum syara‘, hukum haram memakan babi dan meminum arak itu adalah jelas berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Anggapan bahawa orang Islam yang memakan babi atau meminum arak kerana tidak merasa berat haramnya adalah anggapan yang salah. Bahkan, memakan babi dan meminum arak tanpa dharurat, hukumnya adalah haram dan termasuk dosa-dosa besar. (Az-Zawâjir fi at- Tahdzîr min al-Kabâ’ir: 99, 191, 194 & 195)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12111
