Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Definisi Masjid Dan Surau Serta Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengannya

Soalan: Sebuah surau telah mengkhususkan satu ruangan sembahyang jemaah wanita untuk menempatkan para hadirin daripada kalangan wanita yang dalam keadaan haidh dalam satu majlis tahlîl.

Sehubungan dengan itu, sukacita memohon pencerahan daripada Pehin Mufti berupa fatwa atau irsyâd dengan mengambil kira beberapa perkara berikut:

1. Definisi masjid dan surau dan kesannya terhadap hukum-hakam berkaitan.

2. Jika masuk dan berada dalam surau juga haram bagi wanita haidh, adakah pengharaman tersebut terdapat batas/had pengharaman seperti ruangan sembahyang sahaja? Memandangkan pada masa ini baik di surau atau masjid terdapat berapa ruang yang bukan ruang sembahyang seperti dapur, kelas-kelas, pejabat, kutub khanah dan yang seumpamanya.

Jawapan: Definisi Masjid

1. Masjid adalah perkataan bahasa Arab bererti: “Nama bagi tempat bersujud.” (I‘lâm as- Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 26)

Dari sudut syara‘, masjid ialah: “Setiap tempat daripada permukaan bumi,” (I‘lâm as- Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 27) berdasarkan sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menghuraikan hadits tersebut bahawa setiap bahagian daripada permukaan bumi adalah boleh dijadikan sebagai tempat bersujud atau dibina padanya tempat untuk bersembahyang. (Fath al-Bâri: 2/100)

Dari sudut ‘urf atau kebiasaan pula, masjid dikhususkan sebagai tempat yang disediakan untuk mengerjakan sembahyang lima waktu. Maka, tidak termasuk dalam pengertian masjid dan tidak berjalan hukum masjid bagi mushalla (tempat sembahyang atau surau) yang digunakan sebagai tempat berkumpul untuk menyambut perayaan-perayaan dan seumpamanya, ribâth (markas tentera atau tempat tinggal yang dibangunkan untuk orang fakir) dan madrasah (tempat-tempat pengajian), kerana ia disediakan untuk kegunaan lain. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 28)

2. Sebuah tanah, bangunan atau tempat itu menjadi masjid apabila ia diwaqafkan sebagai masjid; sama ada menggunakan lafaz sharîh (jelas) atau kinâyah (tidak jelas).

Asy-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullâh menghuraikan pengertian masjid:

Ertinya: Dan ia (masjid) ialah sesuatu yang diwaqafkan oleh pewaqaf sebagai masjid, bukan sebagai ribâth (markas), dan bukan sebagai madrasah (tempat pengajian). (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/508)

Jika seseorang memakukan tikar atau baju bulu unta atau sajadah atau membina tempat duduk dan diwaqafkannya sebagai masjid, sah waqaf tersebut dan berjalan ke atasnya hukum-hukum masjid. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/508)

Oleh yang demikian, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.

Sehubungan itu, jika seseorang mewaqafkan bahagian atas sebuah bangunan atau seumpamanya tanpa turut mewaqafkan bahagian bawah sebagai masjid, maka sah waqaf tersebut sebagaimana sah waqaf sebahagian daripada bangunan atau tanah sebagai masjid. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/258)

Asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh pula menerangkan berkenaan lafaz menjadikan masjid:

Ertinya: Dan menurut pendapat yang ashah, sesungguhnya ucapannya: “Saya jadikan kawasan tanah ini sebagai masjid,” sekalipun dia tidak menyebut ‘kerana Allah’, maka jadilah kawasan itu hanya dengan lafaz ini sebagai masjid, kerana sesungguhnya masjid tidak lain kecuali adalah untuk waqaf. (Mughnî al-Muhtâj: 2/518)

Tanah tersebut menjadi masjid sekalipun tanpa pemiliknya melafazkan perkataan “waqaf” untuk menjadikannya masjid kerana dengan disebutkan masjid ke atas suatu tanah, maka dengan sendirinya ia telah menjadi waqaf. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al- Masâjid: 396)

Contoh lafaz waqaf secara sharîh (jelas) itu ialah apabila seseorang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid,” iaitu setakat mana luas atau besar tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid.

Contoh lafaz kinâyah (tidak jelas) bagi menjadikan sesuatu tempat itu sebagai masjid pula ialah: “Saya waqafkan tempat ini untuk sembahyang,” dengan syarat disertai niat bagi menjadikan ia masjid, barulah sah waqaf tersebut sebagai masjid. Tanpa niat menjadikan ia masjid, waqaf tersebut hanya sah sebagai tempat sembahyang seumpama madrasah (atau surau), tetapi tidak menjadi masjid. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/259- 260)

Demikian juga jika seseorang membina sebuah bangunan berbentuk masjid dan memberi izin untuk mendirikan sembahyang di dalamnya, dalam hal ini dia masih mempunyai hak milik terhadap bangunan tersebut iaitu bangunan tersebut belum menjadi masjid, melainkan jika dia mengizinkan untuk beri‘tikâf di dalamnya, barulah bangunan tersebut menjadi masjid kerana i‘tikâf pasti bersangkutan dengan masjid berbanding sembahyang. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/261)

Definisi Surau

1. Surau ialah tempat ibadat bagi orang Islam selain masjid. Surau juga dikenali sebagai madrasah atau mushalla. Istilah ini digunakan oleh orang Islam di sekitar kepulauan Melayu sahaja. Lazimnya, surau mempunyai saiz yang lebih kecil daripada masjid dan kegiatan keagamaan yang dijalankan juga terhad kepada sembahyang, ceramah agama atau kelas al-Qur’an. Sembahyang fardhu Jumaat tidak dilangsungkan di surau tetapi di masjid bagi sesuatu muqîm. Dalam erti kata lain surau berfungsi sebagai pusat peribadatan sesebuah kawasan kecil sahaja dan bukannya bagi sesuatu muqîm. (Ensiklopedia Islam: 10/46)

2. Istilah yang diguna pakai dalam bahasa Arab iaitu mushallâ, dari segi bahasa bererti “tempat untuk sembahyang atau tempat untuk berdo‘a,” (al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 38/29) berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan jadikanlah sebahagian daripada Maqâm Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. (Surah al-Baqarah: 125)

Dari sudut istilah pula, mushallâ bererti: “kawasan kosong dan padang pasir yang luas iaitu tempat berkumpul untuk menyambut perayaan-perayaan dan seumpamanya. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 38/29 dan I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 28)

Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh ada menyebutkan fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullâh bahawa mushallâ itu dibina untuk tujuan berkumpul, manakala sembahyang yang didirikan di sana adalah berikutan tujuan (berkumpul) tersebut. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 386)

Maka, surau yang dibina untuk tujuan tempat sembahyang, berkumpul dan kegunaan-kegunaan lain, adalah bukan masjid kerana ia tidak diwaqafkan atau dimaksudkan sebagai masjid. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini dalam definisi masjid, bahawa jika sebuah bangunan atau tempat dibina dan diniatkan sebagai tempat sembahyang, tetapi tidak diwaqafkan atau dimaksudkan sebagai masjid, maka ia hanyalah bangunan atau tempat untuk sembahyang dan tidak menjadi masjid. Oleh itu, hukum-hakam masjid tidak berjalan pada surau, sekalipun ia dibina menyerupai bentuk masjid.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebutkan:

Ertinya: Dan tidak termasuk dengan (pengertian) ‘masjid’; ribâth, mushallâ (surau) tempat menunaikan sembahyang Hari Raya dan sesuatu yang dibina dalam bentuk masjid di atas tanah yang disewa dan orang yang membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/119)

Imam al-Qalyubi Rahimahullâh pula menjelaskan bahawa sesuatu yang bersamaan dengan bentuk masjid bukanlah menunjukkan ia sebagai sebuah masjid sebagaimana katanya:

Ertinya: Dan termasuk (yang dinamakan masjid itu) ialah yang disangkakan berdasarkan ijtihâd, bukan berdasarkan qarînah (sesuatu yang menunjukkan bentuk masjid) seperti menara, mimbar, ukiran dan beranda, maka demikian itu tidak menunjukkan sebagai masjid. (Hâsyiyatân Qalyubi-‘Umairah: 1/246)

Oleh yang demikian, sekalipun surau itu dibina dengan bentuk masjid seperti ada menara, mimbar dan seumpamanya, tetapi apabila ia tidak diwaqafkan atau dimaksudkan sebagai masjid, maka ia bukanlah masjid.

Hukum Masjid Yang Tidak Tsabit Pada Surau

Beberapa hukum yang berkaitan dengan masjid tetapi tidak tsabit pada surau adalah seperti berikut:

1. Haram ke atas orang berjunub dan seumpamanya seperti kerana haidh dan nifâs untuk duduk menetap di dalam masjid. Tetapi tidak haram jika mereka hanya melintas dari satu pintu ke satu pintu dan tidak menetap di sana. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/508 dan al-Majmû‘: 2/196)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (janganlah kamu masuk ke dalam masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadats besar), kecuali sekadar melintas sahaja sehinggalah kamu mandi (mengangkat hadats besar). (Surah an-Nisâ’: 43)

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan yang haidh dan tidak juga bagi orang yang berjunub. (Hadits riwayat Abu Daud) Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa mushallâ yang dijadikan sebagai tempat untuk menyambut perayaan dan selain mushallâ yang bukan dimaksudkan sebagai masjid, maka orang berhadats besar seperti kerana junub dan haidh adalah tidak haram untuk duduk menetap di dalamnya. (Al-Majmû‘: 2/207)

2. Sunat dan sah bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid untuk sembahyang dua rakaat (tahiyyatul-masjid) yang dikerjakan sebelum dia duduk sebagai menghormati masjid dan mendirikan syi‘âr. Makruh pula hukumnya meninggalkan sembahyang tersebut tanpa keuzuran. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/118-119, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/409- 410 dan al-Majmû‘: 2/204)

Daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat (tahiyyah) terlebih dahulu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat tahiyyatul-masjid di dalam surau kerana sembahyang tersebut hanya didirikan bagi menghormati masjid, sedangkan surau bukan tempat yang diwaqafkan atau dimaksudkan sebagai masjid.

3. Sunat dan sah berniat i‘tikâf di dalam masjid, sekalipun sedikit masanya (tidak lama). (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/508-509 dan al-Majmû‘: 2/204)

Antara nash yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikâf itu ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘tikâf di masjid. (Surah al-Baqarah: 187)

Hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam beri‘tikâf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkan Baginda. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikâf selepas itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maka, tidak tsabit pada mushallâ atau surau, hukum masjid berkenaan i‘tikâf, haram orang junub duduk diam di sana dan hukum-hakam selainnya. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 386)

Berdasarkan penerangan di atas, surau bukanlah masjid dan tidak berjalan hukum-hakam masjid padanya. Oleh itu, wanita haidh tidaklah haram untuk masuk dan berada di dalam surau sama ada untuk saja-saja duduk atau bagi tujuan seperti berkumpul dan menghadiri majlis-majlis di dalamnya dan seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12116