Hukum Bahan Pewarna Cochineal Dalam Produk Makanan, Ubat Dan Kosmetik
Soalan: Bahan pewarna cochineal adalah sejenis aditif makanan yang dinamakan sebagai Carminic acid/Carmines (C.I. 75470)/E120 yang diambil daripada sejenis serangga kecil. Bahan ini digunakan dalam produk makanan, ubat dan kosmetik. Apakah hukum penggunaan bahan tersebut?
Jawapan: Hukum Bahan Pewarna Daripada Cochineal
Cochineal ialah sejenis binatang dalam kategori serangga. Sungguhpun cochineal tergolong daripada binatang yang tidak mengalir darahnya namun bangkainya adalah tidak halal dimakan kerana bangkai binatang itu adalah najis, melainkan bangkai ikan dan belalang sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya juga dihukumkan najis sebagaimana dijelaskan oleh asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh, seorang ulama mazhab asy- Syafi‘e:
Ertinya: Maka bangkai adalah najis walaupun (bangkai binatang yang) tidak mengalir darahnya. (Fath al-Mu‘în: 12)
Walaupun penggunaan cochineal hanyalah pada ekstrak daripada serangga tersebut yang dijadikan sebagai bahan pewarna khususnya dalam penghasilan warna merah perang, tetapi ia tetap termasuk perkara yang dihukumkan haram kerana bahan pewarna itu merupakan bahagian daripada bangkai serangga berkenaan. Kesemua bahagian bangkai dihukumkan najis sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh:
Ertinya: Maka bangkai adalah najis walaupun (bangkai binatang yang) tidak mengalir darahnya dan begitu juga bulu, tulang dan tanduknya. (Fath al-Mu‘în: 12)
Sebagaimana yang dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa kenajisan bulu, tulang dan tanduk bangkai itu kerana ia terdiri daripada bahagian-bahagian bangkai tersebut. Maka jelas di sini, segala apa jua yang diambil daripada bangkai, dalam hal ini, bangkai serangga cochineal adalah najis dan haram dimakan.
Dari aspek yang lain, cochineal juga adalah antara binatang yang diharamkan kerana kejijikannya dan ia tidak disukai oleh naluri manusia yang sihat atau normal. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia (Allah) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk. (Surah al-A‘râf: 157)
Sekalipun penggunaan bahan pewarna daripada serangga tersebut dalam kuantiti yang amat sedikit pada sesuatu produk, namun ia tetap dihukumkan haram. Ini kerana ia bukan najis yang dimaafkan walaupun sedikit. Ia jelas dapat mengubah sifat cecair yang menjadikan cecair tersebut mutanajjis atau bercampur najis. Selain itu, penggunaannya bukan berlaku kerana terkena atau tidak dapat dielakkan, sebaliknya ia dengan sengaja dimasukkan ke dalam produk berkenaan.
Mengenai dengan bangkai daripada jenis binatang yang darahnya tidak mengalir, jika ia dicampakkan dengan sengaja pada sesuatu cecair yang suci akan menajiskan cecair tersebut. Perkara ini ada disebutkan oleh al-Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj, sebagaimana penjelasan beliau:
Ertinya: (Maka bangkai yang tidak mengalir darahnya tidak menajiskan sesuatu cecair) sama ada air atau selainnya dengan jatuhnya bangkai itu ke dalamnya tetapi dengan syarat hendaklah tidak dicampakkan oleh seseorang yang mencampakkannya dan bangkai itu tidak mengubah (sifat) cecair itu (menurut pendapat yang masyhûr) kerana kesukaran menghindarinya. (Mughni al-Muhtâj: 1/37-38)
Produk Yang Menggunakan Bahan Pewarna Daripada Serangga Cochineal Sebenarnya Adalah Membahayakan Selain kenajisan benda tersebut menurut mazhab asy-Syafi‘e, ia juga didapati oleh pihak berautoriti sebagai membahayakan. University of Michigan, Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat dalam kajiannya mendapati, bahan pewarna daripada serangga cochineal yang dibubuh pada gula-gula, yogurt atau minuman buah-buahan boleh menyebabkan berbagai penyakit berbahaya. Antara penyakit tersebut ialah alahan tindak balas yang mengancam nyawa, menyebabkan kesan hiperaktif (tingkah laku yang terlalu aktif sehingga sukar dikawal) yang buruk terhadap kanak-kanak dan penyakit barah. Pihak Parlimen British dan Eropah pula telah mencadangkan supaya pewarna daripada serangga ini diharamkan kerana kesan mudharatnya. Pernah juga dilaporkan berlaku jangkitan pada usus yang melibatkan penggunaan cochineal dan menyebabkan kematian kanak-kanak di Boston, Amerika Syarikat dan juga seramai 22 orang menghidap demam yang sangat serius akibat memakan produk yang menggunakan pewarna tersebut. (A Consummer’s Dictionary of Food Additives, Ruth Winter: 72 & 212)
Islam melarang mengambil sesuatu yang memudharatkan sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan orang lain dan tidak boleh dimudharatkan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Mufti Darul Ifta Australia, Mufti Faizal Riza juga turut dipetik mengeluarkan pendapat mengenai hukum penggunaan pewarna daripada cochineal sebagai tidak harus. Beliau menyatakan seperti berikut:
“Red food colouring 120 is extracted from female cochineal insects. Just like it is not permissible to eat insects, it is also not permissible to consume colouring extracted from insects. Therefore it will not be permissible to consume food products that contain red colouring 120.
Some scholars say that in the process of extracting the colour from the insects, the extracted substance undergoes metamorphosis (tabdeel al-maahiya), because of which it becomes pure and halal. However after studying the process, we did not see any procedure which could bring about metamorphosis”. (Darul Ifta Australia - www.fatwa.org.au)
Terjemahannya: Pewarna makanan merah 120 diekstrak daripada serangga cochineal betina. Sebagaimana memakan serangga tidak diharuskan, begitu juga tidak harus memakan pewarna yang telah diekstrak daripadanya. Dari itu, adalah tidak harus (haram) memakan produk-produk makanan yang mengandungi pewarna merah 120.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa dalam proses mengekstrak pewarna ini daripada seranggga, bahan yang diekstrak itu mengalami metamorfosis (tabdîl al-mâhiya) dan disebabkan ini, ia menjadi suci dan halal. Walau bagaimanapun, setelah dikaji proses ini kami tidak mendapati sebarang prosedur yang dapat menyebabkan berlakunya metamorfosis.
Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, produk yang menggunakan bahan pewarna daripada serangga cochineal yang diberi kod E120 atau (C.I. 75470) sama ada pada makanan atau minuman, ubat-ubatan ataupun kosmetik adalah tidak halal dimakan ataupun digunakan kerana produk-produk tersebut telah dicemari dengan najis dan boleh mendatangkan kemudharatan. Di sini, hujjah syara‘ dan saintifik adalah sama-sama berkenaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12120
