Hukum Berdiang Dengan Membakar Arang Selepas Bersalin
Soalan: Apakah hukum berdiang (dengan membakar) arang (salah satu rawatan tradisional bagi perempuan selepas bersalin)? Apa yang saya ketahui bahawa berdiang arang tersebut akan mengeluarkan asap sedangkan asap adalah sejenis makanan jin dan juga syaitan. Dapatlah sekiranya diberikan penjelasan mengenainya.
Jawapan: Salah satu tujuan syariat Islam ialah untuk memelihara nyawa. Antara jalan untuk memelihara nyawa itu ialah dengan berubat untuk mendapat kesembuhan daripada penyakit dan memulihkan kesihatan.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh, hukum berubat bagi orang yang sakit adalah sunat. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 3/217) berdasarkan sebuah hadits daripada Usamah bin Syarik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Berubatlah kamu, kerana Allah ‘Azza wa Jalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua. (Hadits riwayat Abu Daud)
Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ke-7 di Jeddah, pada 7-12 Zulkaedah 1412H bersamaan 9-14 Mei, 1992M telah mengeluarkan resolusi berkenaan hukum berubat, antara lain menyatakan:
“Hukum berubat berbeza mengikut keadaan dan individu: Adakala ia menjadi wajib apabila meninggalkan berubat itu boleh membinasakan nyawa, salah satu anggota, melumpuhkan diri atau menyebabkan penyakit berjangkit yang berbahaya. Ia menjadi sunat jika meninggalkan berubat itu boleh melemahkan badan dan tidak sampai kepada keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi harus jika keadaannya tidak termasuk dalam kedua-dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi makruh jika sesuatu rawatan itu ditakuti boleh mengakibatkan timbulnya penyakit-penyakit yang lebih merumitkan daripada penyakit yang ingin dihilangkan.”
Dalam sebuah hadits daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits tersebut menunjukkan tentang anjuran untuk berubat dengan syarat tidak menggunakan rawatan atau perubatan yang diharamkan. Ini termasuk hukum berubat selepas bersalin.
Antara rawatan selepas bersalin itu ialah ‘berdiang’ atau memanaskan badan. Disebutkan dalam A-Z Family Health Encyclopedia, rawatan memanaskan badan digunakan untuk membantu pemulihan tisu otot yang luka atau urat yang terseliuh, dengan merangsang pengaliran darah. Rawatan memanaskan badan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada pemanas badan itu menggunakan peralatan perubatan moden dan terkini; pendiang lampu yang menghasilkan sinar infra merah, (A-Z Family Health Encyclopedia: 526) atau peralatan tradisional dan alami; api yang dihasilkan dengan membakar kayu arang.
Pada kebiasaan masyarakat Brunei, amalan berdiang selepas bersalin ialah untuk tujuan mengambil manfaat daripada rawatan pemanasan badan. Berdasarkan ilmu yang diperolehi melalui pengalaman pengamal rawatan berdiang, keberkesanan rawatan memanaskan badan melalui berdiang itu boleh melancarkan perjalanan darah melalui bahang panas alat berdiang, mengecutkan semula rahim setelah melahirkan anak, mengelakkan bisa urat, otot badan dan sakit pinggang, sehingga ia mempercepatkan kesembuhan, di samping memiliki badan yang langsing. Selain menggunakan kayu arang sebagai unggun api dalam rawatan berdiang, kayu-kayu lain juga digunakan menurut kebiasaan sesuatu masyarakat. Kayu-kayu dipilih daripada jenis yang baik dan tidak beracun agar asap yang keluar daripada hasil pembakaran kayu tidak memudharatkan kesihatan ibu dan anak.
Dengan perkembangan teknologi, alat pemanas badan atau pendiangan dicipta lebih mesra pengguna, mudah digunakan dan menjimatkan masa dengan hanya memetik suis tenaga elektrik bagi mengeluarkan bahang panas, tanpa perlu bersusah-payah menyalakan api dengan kayu dan mengeluarkan asap. Namun, pemilihan alat perdiangan adalah terpulang kepada kebiasaan dan kegemaran individu yang menjalani rawatan, sama ada dengan cara tradisional atau moden. Oleh itu, rawatan berdiang selepas bersalin itu hanya untuk mengambil manfaat daripada bahang panas dan bukan daripada asap.
Satu peristiwa yang ada disebut dalam al-Qur’an berkenaan dengan penggunaan api untuk berdiang atau memanaskan badan, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada keluarganya (ketika dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir): “Sesungguhnya aku melihat api, aku akan bawakan khabar daripadanya kepada kamu atau aku bawakan sedikit cebisan api kepada kamu supaya kamu dapat berdiang (memanaskan badan).” (Surah an-Naml: 7)
Ini menunjukkan antara kegunaan api ialah untuk mashlahat kehidupan manusia, seperti untuk memanaskan badan, menerangi kegelapan, memasak, melentur logam dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, dalam mengamalkan sesuatu rawatan atau perubatan itu sekiranya terdapat unsur syirik; kegunaan api diang dan asapnya untuk pemujaan jin, maka perbuatan sedemikian adalah haram dan bertentangan dengan aqidah Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (Surah al-Jinn: 6)
Memuja jin bermakna mempercayai ada kuasa lain selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mampu memberi dan menolak kemudharatan. Perbuatan sedemikian boleh membawa kepada syirik. Syirik itu bererti menyekutukan Allah dengan menyeru atau menyembah selain Dia. (Al-Kabâ’ir: 27). Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain selain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu. (Surah Yunus: 106)
Perbuatan syirik adalah dosa besar yang paling besar. (Al-Kabâ’ir: 27). Oleh itu, hukumnya adalah haram. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)
Oleh yang demikian, mengamalkan sesuatu rawatan perubatan atau pemulihan kesihatan selepas bersalin, seumpama berdiang atau memanaskan badan menggunakan api dengan membakar kayu arang, hukumnya adalah harus, sekalipun ia mengeluarkan asap kerana lazim sesuatu yang dibakar itu memang mengeluarkan asap, selagi mana pengamalan rawatan tersebut tidak mengandungi unsur syirik seperti terdapat kepercayaan bahawa asapnya adalah untuk pemujaan jin, kerana kepercayaan sedemikian adalah salah dan bertentangan dengan aqidah Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12124
