Kedudukan Agama Pemohon Murtad Yang Masih Dalam Proses Kaunseling
Soalan: Berdasarkan peruntukan bab 169 Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi, Penggal 77 telah menyebutkan sesiapa sahaja yang beragama Islam yang murtad hendaklah melaporkan serta-merta kenyataan murtadnya secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Ugama Islam.
Berdasarkan peruntukan berkenaan, Jabatan ini telah menerima beberapa permohonan murtad dan antara pemohon murtad adalah di kalangan mu’allaf. Proses bagi menangani permohonan murtad berkenaan telah memakan masa yang terlalu lama termasuklah tindakan pihak Pusat Da‘wah Islamiah bagi menjalankan siasatan dan kaunseling kepada pemohon murtad. Hasil daripada penyiasatan berkenaan, pemohon murtad akan menjalani proses kaunseling oleh Jawatankuasa Penasihat Murtad yang dipengerusikan oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam dan ahli-ahlinya terdiri daripada Pengarah Pusat Da‘wah Islamiah dan Pengarah Hal Ehwal Syariah. Keputusan mu‘tamad untuk keluar dari ugama Islam bagi pemohon murtad akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah untuk sebarang pengesahan mengenainya.
Proses bagi menangani permohonan murtad yang memakan masa terlalu lama ini adalah bertujuan bagi memberikan peluang berfikir semula bagi pemohon berkenaan untuk menarik balik hasrat mereka untuk keluar dari agama Islam.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan sebarang pandangan atau fatwa Pehin Mufti mengenai perkara ini iaitu apakah kedudukan atau status agama bagi pemohon-pemohon murtad yang masih lagi dalam proses kaunseling atau nasihat yang memakan masa yang lama? Ada di kalangan mereka ini telah mengamalkan ajaran-ajaran bukan Islam dengan anggapan mereka tidak lagi beragama Islam.
Jawapan: Salah satu perkara yang membatalkan iman atau menjadikan seseorang Islam itu murtad atau terkeluar dari agama Islam atau putus hubungannya dengan agama Islam ialah berniat untuk kufur (menjadi kafir) atau berniat untuk keluar dari agama Islam atau kembali kepada agama asalnya (kalau dia seorang mu’allaf).
Di dalam Minhâj ath-Thâlibîn, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Murtad ialah memutuskan (hubungan dengan) Islam dengan berniat atau berkata kufur atau berbuat (kufur) sama ada mengucapkan kata-kata secara memperolok atau mengingkari atau (betul-betul) meyakini.
Selanjutnya Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan lagi:
Ertinya: …. atau berazam untuk kufur pada hari esok atau teragak-agak padanya (untuk kufur maka) dia adalah kufur.
Al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh menukil dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj bahawa Imam al-Mawardi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Sesungguhnya niat itu ialah menyengaja sesuatu yang diiringi dengan tindakan mengenainya. Adapun jika seseorang itu menyengaja sesuatu tetapi dia melewatkan tindakan mengenainya, maka itu adalah azam.
Manakala as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh di dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn pula menerangkan bahawa “teragak-agak untuk kufur/menjadi kafir” (seperti seseorang yang teragak-agak sama ada hendak kufur atau tidak) bahawa orang tersebut adalah dihukumkan kufur pada masa itu juga, kerana keberterusan iman dalam keyakinan itu adalah wajib dan perasaan atau perbuatan teragak-agak untuk kufur itu menafikan keberterusan iman dalam keyakinan. Perkara ini ada disebut dalam kitab Syarh ar-Raudh.
Maka walaupun baru setakat berniat, berazam atau teragak-agak untuk kufur, ia adalah salah satu perkara yang membatalkan iman atau menjadikan seseorang Islam itu murtad, terkeluar dari agama Islam atau putus hubungannya dengan agama Islam.
Memohon Untuk Murtad
Jika teragak-agak untuk kufur pun sudah dikira sebagai salah satu perkara yang membatalkan iman atau menjadikan seseorang Islam itu murtad, terkeluar dari agama Islam atau putus hubungannya dengan agama Islam, maka betapa perbuatan menghadapkan permohonan untuk murtad itu adalah satu unsur kuat atau tanda yang sangat jelas menunjukkan seseorang Islam itu memang benar-benar bertujuan untuk murtad.
Jika permohonan untuk murtad itu memang disahkan telah dibuat oleh pemohonnya sendiri dengan sukarela, maka pemohon itu dihukumkan murtad berdasarkan surat permohonannya itu menjadi bukti dia benar-benar berniat atau berazam serta bertujuan untuk murtad. Apatah lagi jika pada waktu yang sama, pemohon telah melakukan perkara-perkara kufur seperti katanya “Isa anak tuhan” atau dia menyembah patung dan sebagainya.
Selama mana pemohon tersebut tidak mahu bertaubat, maka dia boleh dikategorikan sebagai orang murtad. Adapun status pendaftaran agamanya adalah tertakluk kepada ketetapan mahkamah yang akan mengambil kira segala keterangan mengenainya berdasarkan undang-undang atau peraturan yang berkuatkuasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12128
