Kedudukan Bilangan Hakim Yang Mendengar Perbicaraan Kes Jenayah Syari‘ah, Pengapit Hakim Dan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Bukan Orang Islam
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai perkara-perkara berikut:
1. Dalam kes Jenayah Syari‘ah sama ada bagi Mahkamah Rendah Syari‘ah atau Mahkamah Tinggi Syari‘ah, adakah memadai untuk didengar oleh seorang hakim sahaja?
2. Adakah boleh dalam satu-satu kes Jenayah Syariah itu didengar oleh dua orang hakim?
3. Jika dua orang hakim tidak diperlukan, maka adakah memadai diwujudkan sahaja sistem pengapit hakim yang mahir dalam hukum fiqh yang peranannya sebagai menasihati atau memberi pandangan kepada hakim dari segi hukum fiqh?
4. Adakah boleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil daripada kalangan yang bukan beragama Islam dilantik menjadi salah seorang hakim terutama di dalam keadaan di mana pihak tertuduh adalah di kalangan orang yang bukan beragama Islam?
5. Adakah boleh orang bukan beragama Islam dilantik sebagai salah seorang pengapit kepada hakim? Umpamanya seorang hakim diapit oleh dua orang pengapit iaitu seorang pengapit beragama Islam dan seorang pengapit bukan beragama Islam.
Jawapan: Hakim menurut istilah fuqahâ’ adalah satu kata nama merangkumi pengertian khalifah, wali, qadhi dan muhakkam. Apabila diungkap oleh fuqahâ’, bagaimanapun istilah tersebut pada kebiasaannya adalah bermaksud seorang qadhi. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 16/268)
Di Negara Brunei Darussalam, gelaran hakim adalah gelaran yang digunakan untuk menggantikan panggilan qadhi menurut kehendak Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah), 1998.
Kerana itu, hakim yang dimaksudkan dalam hal ini adalah juga qadhi yang permasalahannya dibicarakan dalam kitab-kitab fiqh di bawah bab al-qadhâ’.
Berikut kedudukan perkara yang ditanyakan sebagaimana dalam soalan di atas:
1. Kes jenayah syari‘ah sama ada bagi Mahkamah Rendah Syari‘ah atau Mahkamah Tinggi Syari‘ah, adakah memadai didengar oleh seorang hakim sahaja?
Tanggungjawab menjadi hakim atau qadhi adalah menyentuh soal kewajipan fardhu Kifayah. Telah disebutkan oleh para fuqahâ’ bahawa hukum menjawat jawatan qadhi itu adalah kewajipan fardhu Kifayah ke atas orang-orang Islam yang layak menjawatnya. Apabila jawatan qadhi dalam sesebuah negeri telah disandang oleh seorang yang berkelayakan, maka gugurlah kewajipan tersebut daripada bahu umat Islam yang lain di negeri itu. Sekiranya orang-orang yang berkelayakan enggan menjalankan tanggungjawab menjadi qadhi, mereka kesemuanya akan menanggung dosa dan raja berhak melakukan paksaan ke atas mereka menurut qaul shahîh dalam mazhab asy-Syafi‘e. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/236, Mughni al-Muhtâj: 4/498-499 dan Adab al-Qâdhi li al-Mawardi: 1/137)
Adapun orang yang layak menjadi qadhi itu ialah sesiapa sahaja yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Fuqahâ’ menerangkan bahawa syarat-syarat tersebut ialah hendaklah seseorang itu beragama Islam, seorang lelaki, mukallaf, merdeka bukan hamba, ‘âdil tidak fâsiq, seorang yang selamat pancainderanya (mendengar, melihat, boleh berkata-kata), berdaya menjalankan perkara penghakiman (bukan mughaffal iaitu seorang pembingung dan lemah disebabkan sakit atau tua) dan seorang mujtahid iaitu mendalam pengetahuannya dalam hukum-hakam syara‘. Jika seorang mujtahid tidak ditemui, raja harus melantik seorang muqallid (pengikut mazhab tertentu) atas dasar menjaga mashlahat orang ramai. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/238-240 dan Mughni al-Muhtâj: 4/501-505)
Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah, Penggal 184 juga telah menyebutkan ciri-ciri siapa yang layak dilantik menjadi qadhi di Negara Brunei Darussalam. Dalam seksyen 10 ceraian (2), umpamanya, dinyatakan bahawa seseorang itu layak dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah jika –
(a) dia seorang warganegara Negara Brunei Darussalam; dan
(b) dia –
(i) selama tempoh kumulatif yang tidak kurang dari tujuh tahun sebelum pelantikannya, telah berkhidmat sebagai sama ada Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Kadi, atau Pendaftar, atau Pendakwa Syar‘ie, atau dalam lebih dari satu jawatan tersebut; atau
(ii) seorang yang arif dalam Hukum Syara‘.
Manakala berkenaan perlantikan hakim-hakim bagi Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah, disebutkan dalam seksyen 11 bahawa “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan boleh, atas nasihat Yang Dipertua Majlis dan selepas berunding dengan Majlis, melantik Hakim-Hakim bagi Mahkamah- Mahkamah Rendah Syariah.” (Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah, Penggal 184: 10- 11)
Sekiranya orang yang dilantik itu memenuhi syarat-syarat dan kehendak-kehendak yang disebutkan di atas, maka dia adalah berhak menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai seorang qadhi.
Berkata al-Muzajjad Rahimahullâh penyusun kitab al-‘Ubbâb:
Ertinya: Bagi qadhi dengan semata-mata kekuasaan yang diberikan kepadanya oleh yang empunya kuasa negeri, dia berhak menjatuhkan hukuman, menghendaki seseorang untuk menunaikan hak, menahan sesiapa yang enggan menunaikan hak, menyempurnakan hukuman ta‘zîr dan hudûd dan menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali. (Kitab al-‘Ubbâb al-Muhîth bi Mu‘zham Nushûsh asy-Syafi‘e wa al-Ashhâb: 125)
Perlu juga diingat bahawa penghakiman (al-qadhâ’) itu ada rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu yang lain lagi. Oleh kerana itu, mengikut pandangan hukum syara‘, kes-kes perbicaraan yang dihadapkan ke mahkamah-mahkamah syari‘ah yang didengar oleh seorang hakim yang dilantik secara sah oleh pihak pemerintah adalah dianggap menepati lunas-lunas syara‘ apabila rukun-rukun dan syarat-syarat penghakiman itu dipenuhi.
2. Adakah boleh dalam satu-satu kes jenayah syari‘ah itu didengar oleh dua orang hakim?
Persoalan ini pada dasarnya berkait dengan perkara pelantikan beberapa orang hakim (ta‘addud al-qudhât).
Raja harus melantik beberapa orang qadhi dalam sesebuah negeri dengan memberikan mereka wilayah kuasa menurut bidang-bidang ikhtisâsh tertentu. Sebagai contoh, seorang qadhi harus dilantik untuk mendengar dan membicarakan kes dalam perkara-perkara tertentu sahaja (ikhtishâsh nau‘i). Begitu juga, seorang qadhi harus dilantik untuk mendengar dan membicarakan sesuatu kes di kawasan atau tempat yang telah ditentukan dan ditetapkan (ikhtishâsh makâni) atau mendengar dan membicarakan kes-kes pada hari atau masa yang tertentu dan ditetapkan sahaja (ikhtishâsh bi zaman mu‘ayyan). Pelantikan seperti ini tidak diperselisihkan oleh para ulama. (Nihâyah al- Muhtâj: 8/243, Mughni al-Muhtâj: 4/507 dan Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 33/302)
Adapun berkenaan perkara melantik dua orang qadhi atau beberapa orang qadhi yang diberikan wilayah kuasa yang umum (tanpa sebarang pengkhususan bidang kuasa), menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘e, hal tersebut harus dilaksanakan sekiranya keputusan perbicaraan tidak disyaratkan atas adanya kata sepakat qadhi-qadhi yang akan dilantik. Jika kesepakatan qadhi-qadhi yang akan dilantik menjadi syarat dalam keputusan perbicaraan, maka adalah tidak harus perlantikan sedemikian itu dilaksanakan, kerana dalam perkara-perkara yang memerlukan ijtihâd, perselisihan pendapat mungkin berlaku dan hal ini akan menyebabkan pertelingkahan tidak dapat diselesaikan. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/243-244 dan Mughni al-Muhtâj: 4/508)
Dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi Rahimahullâh membincangkan perkara di atas sebagai permasalahan qadhi-qadhi yang dilantik untuk menjalankan penghakiman di satu-satu tempat, masa dan kes. (Kitab al-Majmû‘: 22/325-326)
Perlu diingat bahawa pada kebiasaan amalan mahkamah yang ada sekarang, pelantikan dua orang qadhi atau hakim bagi satu perbicaraan itu ialah untuk memutuskan ketetapan yang disepakati dan tidak mungkin diisytiharkan ketetapan yang tidak disepakati oleh kedua-duanya sebagai keputusan mahkamah.
Berhubung perkara ini, sekiranya qadhi-qadhi yang dilantik itu terdiri daripada qadhi-qadhi yang bertaqlîd kepada seorang imam (satu mazhab), maka dalam hal ini adalah harus qadhi-qadhi itu dilantik dengan diberikan bidang kuasa yang umum, sekalipun jika disyaratkan keputusan perbicaraan hendaklah tertakluk kepada kata sepakat qadhi-qadhi tersebut. Perselisihan pendapat dalam hal ini tidak berlaku disebabkan kedudukan qadhi-qadhi tersebut sebagai muqallid dalam mazhab yang sama. Hatta sekiranya dalam mazhab tersebut ada beberapa qaul sekalipun, qadhi-qadhi tersebut mestilah akan menghukumkan menurut qaul yang ashah. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/244 dan Mughni al- Muhtâj: 4/508)
3. Pengapit hakim berperanan menasihati atau memberi pandangan kepada hakim dari segi hukum fiqh.
Fuqahâ’ telah menjelaskan bahawa tatkala berlaku perselisihan pandangan dan percanggahan terhadap dalil-dalil yang dikemukakan dalam memutuskan hukuman, disunatkan ke atas qadhi untuk bermesyuarat dan meminta pandangan daripada orang-orang yang ahli dalam ilmu fiqh. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/254 dan Mughni al-Muhtâj: 4/522)
Tuntutan bermesyuarat dan meminta pandangan daripada ahli-ahli ilmu fiqh dalam perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berikut:
Tafsirnya: Dan bermesyuaratlah dengan mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. (Surah Âli ‘Imran: 159)
Al-Hasan al-Bashri Radhiallâhu ‘anhu menegaskan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah seorang yang perlu meminta pandangan daripada orang lain, namun Baginda melakukannya agar perbuatan Baginda itu menjadi sunnah bagi para hakim yang terkemudian. Al-Hasan al-Bashri Radhiallâhu ‘anhu juga meriwayatkan bahawa tidak pernah dilihat seseorang yang paling banyak bermesyuarat dengan para sahabat daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Mughni al-Muhtâj: 4/523)
Amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini juga telah dilaksanakan oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu, sebagai contoh, telah meminta pandangan daripada sahabat yang lain berkenaan kedudukan pusaka atau harta peninggalan datuk (mîrâts al-jadd). Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu pula telah bermesyuarat dengan para sahabat yang lain mengenai kedudukan diyât janin. Para sahabat telah bermesyuarat mengenai hukum hudûd berkaitan meminum arak (khamr). Juga telah diriwayatkan bahawa apabila berlaku kekeliruan dalam sesuatu perkara, Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu akan bermesyuarat dengan sekumpulan para sahabat yang antaranya terdiri daripada Sayyidina ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah, Zubair dan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf Radhiallâhu ‘anhum. (Al-Majmû‘: 22/363)
Adapun jika perkara yang hendak diputuskan itu merupakan hukum yang telah dimaklumi berdasarkan nash, ijmâ‘ atau qiyâs yang jelas, maka tidaklah disunatkan qadhi untuk bermesyuarat. Al-Qadhi Husain Rahimahullâh pula menyatakan bahawa apabila berlaku kemusykilan dalam memutuskan hukuman, maka meminta pandangan daripada ahli-ahli fiqh itu menjadi wajib. Jika tidak, hukumnya adalah mustahabb. (Mughni al-Muhtâj: 4/523)
Diterangkan oleh al-Kasani Rahimahullâh daripada kalangan ulama mazhab Hanafi bahawa sesi mesyuarat tidak sepatutnya diadakan di hadapan orang ramai kerana hal itu boleh menghilangkan kehebatan (mahabah) sesi perbicaraan tersebut dan ditakuti orang ramai akan melemparkan tohmah bahawa qadhi yang sedang melakukan perbicaraan tidak tahu apa yang dilakukannya. Sebaliknya qadhi hendaklah mengarahkan orang ramai yang hadir untuk bersurai terlebih dahulu kemudian baharulah memanggil ahli-ahli yang dilantik, untuk bermesyuarat. (Al-Badâi‘ ash-Shanâi‘: 7/11-12)
Keterangan-keterangan di atas adalah menunjukkan bahawa mengadakan sistem pengapit hakim dalam mahkamah-mahkamah syari‘ah di negara ini yang berperanan memberikan pandangan kepada hakim ketika sesi perbicaraan dilakukan adalah selaras dengan tuntutan syara‘ ke atas qadhi untuk bermesyuarat dan meminta pandangan daripada ahli-ahli fiqh sebelum menimbangkan dan memutuskan apa-apa hukuman. Dalam keadaan-keadaan tertentu, keperluan meminta pandangan daripada pengapit hakim yang ahli dalam ilmu fiqh itu adalah suatu kemestian.
4. Hakim Mahkamah Tinggi Sivil daripada kalangan yang bukan beragama Islam.
Beragama Islam adalah salah satu syarat yang melayakkan seseorang untuk menjawat jawatan qadhi. Menurut fuqahâ’, orang bukan Islam tidak harus menjadi qadhi sama ada untuk memutuskan hukuman ke atas orang Islam atau ke atas ahli agamanya sendiri. (Mughni al-Muhtâj: 4/501)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (Surah an-Nisâ’: 141)
Adapun kebiasaan yang berlaku di kalangan bangsa-bangsa terdahulu melantik ahli dzimmah sebagai hakim, al-Mawardi dan ar-Ruyani Rahimahumallâh menyatakan bahawa hal tersebut telah dilakukan atas dasar mereka itu (ahli dzimmah) diangkat sebagai ketua, bukannya atas dasar mereka itu diberikan kuasa untuk menghukum atau menyelesaikan sesuatu perkara. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/238 dan Mughni al-Muhtâj: 4/501)
Sekiranya dikatakan orang bukan Islam itu boleh melaksanakan penghakiman – dalam sebuah negara Islam – menurut cara mereka sendiri, hal sedemikian itu samalah ertinya kita mengatakan mereka itu mempunyai undang-undang sendiri atau kita mengatakan undang-undang sedia ada di negara Islam itu bukanlah undang-undang Islam.
Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh telah menyatakan bahawa negara Islam itu ditegakkan atas asas prinsip undang-undang dan sistem kehakiman yang bersepadu, sedangkan undang-undang yang wajib dilaksanakan oleh seluruh institusi kehakiman dalam negara Islam itu adalah undang-undang Islam. Sekiranya kita mengharuskan orang bukan Islam untuk menjadi hakim dalam negara Islam, maka undang-undang apakah yang akan mereka laksanakan apabila menjatuhkan hukuman? Jika kita mengatakan orang bukan Islam itu berhukum menurut undang-undang agamanya ke atas ahli agamanya sendiri, hal ini menjadikan kita terkeluar daripada prinsip undang-undang sistem penghakiman yang bersepadu itu kerana adanya sistem penghakiman yang berbagai-bagai – sebahagiannya bagi orang-orang Islam manakala sebahagiannya lagi bagi orang-orang bukan Islam. Sekiranya kita mengatakan bahawasanya orang-orang kafir dzimmi itu dibolehkan untuk melaksanakan undang-undang Islam, maka sebagai jawapan, orang-orang kafir dzimmi itu tidak layak untuk melaksanakan undang-undang Islam kerana mereka tidak beriman dengan ajaran Islam dan mereka tidak mengimani Islam itu sebagai agama mereka. Kufurnya mereka itu boleh sahaja diertikan sebagai mereka menentang undang-undang Islam.
Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh juga menyatakan bahawa kuasa penghakiman dalam negara Islam tidak sekali-kali boleh dipegang kecuali oleh orang Islam sendiri tidak kira sama ada penghakiman yang dilakukan itu adalah ke atas orang Islam atau bukan Islam kerana undang-undang yang wajib dilaksanakan dalam negara Islam adalah undang-undang Islam itu sendiri. Undang-undang Islam adalah ia dîn (دين) atau ajaran-ajaran agama Islam itu sendiri; ia tidak layak dilaksanakan kecuali oleh orang-orang yang beriman dengan ajaran Islam tersebut iaitu orang Islam itu sendiri. (Nizhâm al-Qadhâ’ fi asy-Syarî‘ah al-Islâmiyyah: 27)
Maka, dengan mengambil kira penjelasan di atas, tidak akan timbul andaian bahawa dalam keadaan masa kini orang bukan Islam boleh dilantik menjadi hakim kerana segala kesalahan dan hukuman-hukuman yang diputuskan itu adalah semata-mata berdasarkan kepada apa yang termaktub dalam peruntukan undang-undang dan peraturan-peraturan negara yang telah digazetkan dan diqânûnkan. Perlu juga diingat bahawa penghakiman itu, sama ada penghakiman yang dijalankan dalam mahkamah syariah mahupun sivil, ada tatacara, aturan dan pelbagai perincian lain yang tidak terlepas daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara‘.
5. Pengapit hakim dilantik daripada kalangan orang bukan beragama Islam.
Ahli-ahli fiqh yang dimaksudkan sebagai ahli-ahli syûrâ bagi qadhi, sebagaimana dinyatakan oleh segolongan ashhâb iaitu para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e, ialah orang-orang yang diterima kata-katanya dalam berfatwa. Termasuk dalam hal ini orang yang buta, hamba dan perempuan, tetapi tidak termasuk orang fâsiq dan jahil. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/254, Hawâsyi asy-Syarwani: 10/135-136 dan Mugni al-Muhtâj: 4/523)
Al-Imam al-Mawardi Rahimahullâh menerangkan bahawa secara keseluruhannya sesiapa yang sah menjadi mufti menurut syara‘ maka dia harus menjadi ahli syûrâ untuk memberikan pandangan kepada qadhi ketika memutuskan hukuman. Syarat yang dii‘tibârkan atau diambil kira dalam perkara ini ialah syarat-syarat yang melayakkan seseorang itu menjadi mufti iaitu hendaklah seseorang itu merupakan seorang yang ‘âdil dalam menyampaikan perkhabaran, selain merupakan seorang mujtahid (memadai seorang mujtahid fatwa menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh). Orang fâsiq adalah tidak diterima kata-katanya dalam perkara menyampaikan perkhabaran, periwayatan dan juga pemfatwaan. (Adab al-Qâdhi: 1/263-267 dan Hawâsyi asy-Syarwani: 10/135)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fâsiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya. (Surah al-Hujurât: 6)
Dalam kitab asy-Syahâdah telah diterangkan bahawa orang kafir tidak dikategorikan sebagai orang ‘âdil bahkan mereka itu dianggap sebagai orang fâsiq yang paling fâsiq sekali kedudukannya. (Mughni al-Muhtâj: 4/569)
Kalau orang fâsiq tidak boleh menjadi ahli syûrâ kepada qadhi, apatah lagi orang kafir untuk menjadi pengapit hakim memberikan pandangan dan nasihat kepada qadhi dalam penghakiman?
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12132
