Kedudukan Hadits Mengenai Peristiwa Tulisan Agung
Soalan: Saya telah diberi oleh seorang kawan sebuah hadits yang menurutnya mempunyai beberapa keistimewaan, antara keistimewaan itu menjaga diri daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
Setelah membuat beberapa kajian saya dapati dalam kitab دالئل النبوة للبيهقي ada menyentuh mengenai hadits berkenaan.
Sehubungan dengan itu dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenai perkara ini dan kedudukan dua hadits berkenaan. (seperti yang dilampirkan)
Jawapan: Hadits mengenai “Peristiwa Tulisan Agung” juga dikenali sebagai “Hirz” atau “Pendinding Abu Dajanah”.
Nama sebenar Abu Dajanah ialah Simak bin Kharashah bin Lauzan bin ‘Abdi Wuddin bin Zayid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu (مساك بن خرشة بن لوذان بن عبد ود بن زيد الساعدي). Beliau merupakan seorang sahabat yang terkenal mahir dalam peperangan serta salah seorang yang ikut serta berperang menentang nabi palsu yang dipimpin oleh Musailamah al-Kadzdzab dan gugur syahîd pada hari peperangan tersebut. (Siyar A‘lâm an-Nubalâ: 1/205)
Al-Fadhil al-Labib Muhammad Thahir bin ‘Ali al-Hindi al-Fatni Rahimahullâh ( الفاضل اللبيب ُممد طاهر بن على اهلندي الفتين ) yang meninggal pada 986H berkata bahawa hadits hirz Abu Dajanah telah ditakhrîj oleh Imam al-Baihaqi dalam kitab ad-Dalâ’il an-Nubuwwah (الدالئل النبوة). Dalam kitab al-Lâli’ al-Masnû‘ah fi al-Ahâdîts al-Maudhû‘ah (ِف األحاديث املوضوعة الآللئ املصنوعة ) hadits tersebut dinyatakan telah diriwayatkan menerusi jalan Abu Musa al-Anshari. (Tadzkirah al-Maudhû‘ât: 211)
Kedua-dua ‘hadits’ atau riwayat yang dimaksudkan oleh al-Fatni Rahimahullâh adalah riwayat yang serupa walaupun lafaznya sedikit berbeza. Untuk lebih jelas, dibawakan kedua-dua riwayat berkenaan sebagaimana di bawah ini:
1. Al-Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Khalid bin Abu Dajanah berkata: “Aku mendengar ayahandaku Abu Dajanah berkata: “Aku mengadu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan berkata: “Wahai Rasulullah! Sedang aku berbaring, tiba-tiba aku mendengar bunyi kisaran dalam rumahku seperti bunyi kisaran gandum dan aku mendengar bunyi berdengung seperti dengungan suara lebah dan aku melihat pancaran seperti pancaran kilat. Lalu aku mengangkat kepala kerana terkejut dan ketakutan. Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruangan rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu dan menyentuh kulitnya. Aku terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayangan itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar.”
Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Itu adalah syaitan yang mahu mengganggu dan membuat keburukan di rumahmu, wahai Abu Dajanah!”
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kemudiannya mengarahkan Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah untuk menuliskan sesuatu. Maka Sayyidina ‘Ali pun menuliskannya seperti berikut:
Ertinya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Inilah perutusan daripada Muhammad Rasul Tuhan sekalian alam, kepada sesiapa yang datang ke rumah ini daripada kalangan yang mendiaminya, para tetamu dan golongan salih, kecuali sesiapa yang membawa kebaikan, ya Allah yang Maha Pemurah. Adapun setelah daripada itu:
Sesungguhnya kami dan kamu juga mempunyai kemampuan untuk mengetahui kebenaran. Jika engkau terdiri daripada golongan baik-baik belaka, atau penceroboh yang jahat, atau yang inginkan kebenaran atau kebathilan, inilah surat (tulisan) Allah Tabâraka wa Ta‘âlâ yang memberi keterangan kepada kami dan kamu juga dengan yang benar. Sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia), dan sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan kepada sesiapa yang menyangka bahawa ada tuhan lain selain Allah.
Tiada tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNya kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNya kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan). Mereka dikalahkan. (حم), mereka tidak akan diberi sebarang pertolongan. (حم عسق), berpecah belah musuh-musuh Allah, hujjah Allah itu amat jelas, tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah. (Allah akan memeliharamu (wahai Muhammad dan umatmu) daripada kejahatan mereka; dan Dialah juga Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui).
Setelah Abu Dajanah mendapat tulisan itu, dia membawanya balik ke rumah dan meletakkannya di atas kepala dan terus tidur. Tidak lama kemudian, Abu Dajanah mendengar satu jeritan yang mengatakan: “Wahai Abu Dajanah! Engkau telah membakar kami (dengan tulisan tersebut) dan juga Lata dan ‘Uzza (nama-nama berhala orang kafir Quraisy Makkah).” Kalimat-kalimat itu benar-benar adalah sahabatmu, tolonglah buangkan tulisan tersebut. Aku berjanji tidak akan datang mengganggumu lagi, dan orang lain, dan di mana-mana sahaja yang terdapat tulisan ini.”
Abu Dajanah menjawab: “Aku tidak akan membuangkannya sehingga Rasulullah menyuruh aku membuangnya.”
Abu Dajanah menceritakan lagi: “Sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan, tangisan dan suara jin mengerang kesakitan sehinggalah menjelang subuh. Ketika aku sembahyang Shubuh bersama Rasulullah, aku pun menceritakan hal tersebut kepada Baginda.”
Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Wahai Abu Dajanah! Berdirilah, Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Nabi, sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab seksa hingga ke Hari Kiamat.” (Dalâ’il an-Nubuwwah: 119-120)
2. Dalam riwayat yang disebutkan di dalam kitab al-Lâli’ al-Masnû‘ah fi al-Ahâdîts al- Maudhû‘ah, tulisan yang didakwa telah diarahkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya ditulis oleh Sayyidina ‘Ali Karramallâhu Wajhah adalah sebagaimana berikut:
Ertinya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Inilah perutusan daripada Muhammad Nabi yang berbangsa Arab, seorang ummiy, berbangsa Tihamiy, yang mendiami kawasan lembah Kota Makkah, seorang makkiy, madaniy, quraisyiy, hasyimiy, pemilik mahkota, tongkat besar dan kecil, unta, al- Qur’an, qiblat, empunya kata-kata tiada tuhan melainkan Allah, kepada mereka yang datang ke rumah ini daripada kalangan yang berziarah dan mendiaminya, kecuali sesiapa yang membawa kebaikan. Adapun setelah daripada itu:
Sesungguhnya kami dan kamu juga mempunyai kemampuan untuk mengetahui kebenaran. Jika engkau terdiri daripada golongan baik-baik belaka, atau penceroboh yang jahat, atau orang durhaka secara terang-terangan, atau yang inginkan kebenaran atau kebathilan, inilah surat (tulisan) Allah yang memberi keterangan kepada kami dan kamu juga dengan yang benar, dan sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
Tinggalkanlah pembawa-pembawa al-Qur’an dan pergilah kepada penyembah-penyembah berhala dan mereka yang menjadikan selain Allah ada tuhan yang lain.
Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar. Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar daripada kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (daripada azab seksa itu). Selain itu (sungguh ngeri) tatkala langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak. Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya). (Al-Lâli’ al- Masnû‘ah fi al-Ahâdîts al-Maudhû‘ah: 2/347-348)
Pendapat Ulama Mengenai Hadits Abu Dajanah
1. Berkenaan hadits Abu Dajanah, al-Imam al-Baihaqi Rahimahullâh menyatakan bahawa:
Ertinya: Dan telah diriwayatkan berkenaan perkara pendinding Abu Dajanah sebuah hadits yang panjang. Ia adalah hadits maudhû‘ (hadits yang direka-reka) dan tidak boleh meriwayatkannya. (Dalâ’il an-Nubuwwah: 7/120)
2. Al-Imam Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh dalam kitab al-Maudhû‘ât di bawah tajuk kitâb adz-dzikr, bab hirz Abi Dajanah, beliau berkata:
Ertinya: Ini adalah hadits maudhû‘ tanpa diragukan lagi. Sanadnya terputus. Tidak terdapat sama sekali daripada kalangan para sahabat seorang yang bernama Musa. Kebanyakan para periwayatnya majhûl dan tidak dikenali. (Kitab al-Maudhû‘ât: 169)
3. Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Lâli’ al-Mashnû‘ah fi al-Ahâdits al- Maudhû‘ah di bawah tajuk kitâb adz-dzikr wa ad-Du‘â’, setelah menaqalkan hadits Abu Dajanah yang berkenaan, beliau berkata:
Ertinya: (Hadits Abu Dajanah) maudhû‘ dan sanadnya terputus. Kebanyakan periwayatnya tidak diketahui dan tidak terdapat daripada kalangan para sahabat seseorang yang bernama Musa. (Al-Lâli’ al-Mashnû‘ah fi al-Ahâdîts al-Maudhû‘ah: 348)
4. Al-Imam al-Fatni Rahimahullâh dalam Tadzkirah al-Maudhû‘ât di bawah tajuk bâb hirz âkhir Jumu‘ah min Ramadhân wa hirz Abi Dajanah wa ruqyah al-‘aqrab ( بب حرز آخر مجعة من رمضان وحرز أىب دجانة ورقية العقرب), setelah menaqalkan hadits Abu Dajanah yang berkenaan, beliau berkata:
Ertinya: (Hadits Abu Dajanah) maudhû’ dan sanadnya terputus. Kebanyakan periwayatnya tidak diketahui dan tidak terdapat sama sekali daripada kalangan para sahabat seseorang yang bernama Musa. (Tadzkirah al-Maudhû‘ât: 212)
Kedudukan Hadits Maudhû‘
Hadits maudhû‘ adalah hadits yang direka-reka, dibuat-buat dan ia adalah hadits dha‘îf (lemah) yang buruk sekali kedudukannya. Bahkan, sesetengah ulama hadits tidak menggelarkannya sebagai hadits sama sekali. (‘Ulûm Hadîts li Ibn Shalah: 98 dan an-Nukat ‘ala Muqaddimah Ibn Shalah: 253)
Berkenaan kedudukan hadits maudhû‘ itu, berikut ini dibawakan perkataan ulama mengenainya:
1. Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Haram meriwayatkan hadits maudhû‘ ke atas sesiapa yang tahu atau kuat sangkaannya tentang kedudukannya sebagai hadits maudhû‘. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadits sedangkan dia tahu atau kuat sangkaannya tentang hadits itu maudhû‘ dan dia tidak menerangkan tentang kedudukan hadits itu sebagai hadits maudhû‘ ketika dia meriwayatkannya, dia adalah termasuk dalam amaran ini dan tergolong dalam golongan orang-orang yang melakukan pendustaan terhadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 1/71)
Amaran yang dimaksudkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas adalah amaran yang terkandung dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana diriwayatkan daripada al-Mughirah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Baginda bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang berani mendustakan aku secara sengaja, maka dia menempah tempatnya dalam api neraka. (Hadits riwayat Muslim)
2. Al-Hafizh Ibnu Shalah Rahimahullâh pula menerangkan:
Ertinya: Ketahuilah bahawasanya hadits maudhû‘ itu adalah seburuk-seburuk hadits dha‘îf dan tidak boleh bagi sesiapa yang mengetahui tentang kedudukannya untuk meriwayatkannya pada apa jua keadaan kecuali dengan disertakan penerangan tentang kedudukan hadits itu sebagai hadits maudhû‘. Berbeza dengan hadits-hadits dha‘îf yang lain yang mungkin ada kebenarannya secara batin, di mana harus meriwayatkannya pada perkara-perkara targhîb (menyukakan orang lain supaya melakukan perkara-perkara kebaikan) dan tarhîb (menakut-nakutkan supaya meninggalkan perkara-perkara kejahatan).” (‘Ulûm al-Hadîts li Ibn Shalah: 98-99)
3. Al-Imam Badruddin az-Zarkasyi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Hukum hadits maudhû‘ bahawasanya tidak boleh meriwayatkannya kecuali untuk menerangkan kedudukan periwayatnya berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku satu hadits sedangkan dia mengetahui ia adalah satu penipuan, maka dia adalah salah seorang daripada pendusta.” (An-Nukât ‘alâ Muqaddimah Ibn Shalah: 2/253)
4. Al-‘Allâmah Muhammad ‘Abdul Hay al-Laknawi Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Ketahuilah sesungguhnya fuqahâ’ dan ulama hadits sekaliannya telah menjelaskan dalam kitab-kitab mereka bahawasanya haram meriwayatkan, menyebutkan, memindahkan dan beramal dengan apa yang dibawakan oleh hadits maudhû‘ sambil beri‘tiqâd tentang ketetapannya kecuali dengan memberikan perhatian tentang kedudukannya sebagai hadits maudhû‘. Dan haram bermudah-mudah dengannya (hadits maudhû‘) sama ada dalam perkara hukum-hakam, cerita-cerita, targhîb (menyukakan orang lain supaya melakukan perkara-perkara kebaikan) dan tarhîb (menakut-nakutkan supaya meninggalkan perkara-perkara kejahatan) atau selain yang demikian. Dan haram bertaqlîd pada menyebutkannya dan menukilkannya kecuali dengan diiringi keterangan tentang kedudukannya sebagai hadits maudhû‘. (Al- Atsar al-Marfû‘ah fi al-Akhbâr al-Maudhû‘ah: 21)
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, dapat difahami bahawa hadits atau riwayat yang ditanyakan dalam soalan penyoal di atas bukanlah hadits yang tsabit datangnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahkan ulama hadits telah menghukumkannya sebagai hadits maudhû‘. Hukum meriwayatkan, menyebutkan, memindahkan dan mengamalkan apa yang disebutkan di dalam hadits maudhû‘ juga telah diterangkan oleh para ulama sebagai haram.
Oleh itu, jauhkanlah diri daripada mempercayai, mengamalkan, meriwayatkan dan menyebar-nyebarkan apa-apa yang disebutkan dalam hadits mengenai “Peristiwa Tulisan Agung” atau “Pendinding Abu Dajanah” sebagaimana disebut di atas dan hadits-hadits maudhû‘ yang lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12136
