Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Kedudukan Zakat Wang Caruman Tabung Amanah Pekerja (TAP)

Soalan: Dipohonkan fatwa dan ketetapan Pehin Mufti mengenai perkara-perkara berikut:

1. Wajibkah dikeluarkan zakat bagi wang caruman Tabung Amanah Pekerja (TAP)? Jika wajib, bolehkah zakat berkenaan dibayar secara ansuran?

2. Adakah pencarum atau pekerja berkenaan mempunyai milik sempurna (al-milk at-tâm) ke atas simpanan itu dan diwajibkan ke atasnya mengeluarkan zakat apabila telah mencapai nishâb? Jika diwajibkan, adakah pencarum akan mengeluarkannya setiap kali haul atau cuma apabila dia telah menerima simpanan itu sepenuhnya daripada TAP.

3. Si polan telah berumur 60 tahun, semua wang caruman TAP miliknya telah dikeluarkan sebanyak B$100,000.00 yang mewajibkan ke atasnya mengeluarkan zakat setelah cukup haul. Adakah wajib juga bagi si polan mengeluarkan zakat pada tahun yang telah berlalu selama wang tersebut tersimpan di dalam TAP? Jika B$5,000.00 ada dalam TAP sejak tahun 2000, adakah wajib dikeluarkan zakatnya dari tahun 2000 hingga tahun 2014?

Jawapan: Kedudukan Zakat Wang Caruman TAP

Setakat yang difahami, penubuhan skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) adalah bertujuan bagi memberikan perlindungan sosial yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan sebagai simpanan tunai untuk hari tua kepada pekerja-pekerja di sektor swasta dan pekerja-pekerja tidak berpencen di sektor awam. Skim ini menawarkan penyimpanan wang caruman bagi setiap pekerja (pencarum) melalui pemotongan gaji setiap bulan dan dicampur dengan caruman majikan dan diletakkan atas nama pekerja berkenaan.

Wang caruman tersebut adalah menjadi hak milik pencarum, tidak boleh berpindah milik kepada sesiapa pun selagi dia masih hidup sehingga berumur 55 tahun dan hanya akan diserahkan kepada ahli waris jika pencarum meninggal dunia. Wang caruman tidak boleh dikeluarkan sesuka hati kerana tujuan penyimpanan adalah untuk simpanan tunai pada hari tua. Walau bagaimanapun, wang caruman ini boleh dikeluarkan melalui skim pengeluaran yang telah ditetapkan oleh pihak TAP dengan berdasarkan syarat-syarat yang tertentu. Skim pengeluaran itu adalah seperti berikut:

1. Skim Persaraan 50 tahun. 2. Skim Pengeluaran selepas 55 tahun.

3. Skim Hak Waris. 4. Skim Hilang Keupayaan. 5. Skim Berhijrah ke Negara Lain. 6. Skim Pembinaan atau Pembelian Rumah.

(Merujuk kepada laman web rasmi Tabung Amanah Pekerja pada 13.07.2011)

Melalui sistem penabungan ini dapat dijangka bahawa wang caruman TAP yang terkumpul boleh menjangkau jumlah yang besar atau sehingga sampai nishâb. Apabila telah mencapai haul serta nishâb, yang mana kedua-duanya antara syarat-syarat dalam kewajipan mengeluarkan zakat, maka timbul persoalan adakah wang caruman TAP yang terkumpul itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak?

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu diperhatikan terlebih dahulu tentang status atau kedudukan wang tersebut, apakah ia merupakan milik penuh atau milik sempurna pencarum ataupun tidak. Ini kerana antara syarat-syarat yang mewajibkan zakat itu hendaklah harta atau wang itu dimiliki sepenuhnya oleh pemiliknya.

Milik Penuh Atau Milik Sempurna (امللك التام)

Menurut mazhab Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh bahawa syarat-syarat milik penuh atau milik sempurna (امللك التام) itu, sepertimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj: 1/491 dan al-Muhadzdzab: 1/463 ialah:

Syarat pertama: Imkân at-tasharruf iaitu pemilik mempunyai hak dan kuasa untuk membelanjakan hartanya sekalipun harta tersebut tidak berada di angannya.

Syarat kedua: Pemilikannya terhadap harta yang dimilikinya itu adalah mustaqir (tetap). Iaitu, pemilikannya terhadap harta tersebut tidak akan hilang sekalipun dia tidak dapat membelanjakannya pada waktu tersebut, kerana adanya halangan seperti harta yang dirampas atau hartanya hilang. Walau bagaimanapun, pemilik masih ada hak untuk menuntut hartanya atau memaksa harta tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya kerana pemilikannya terhadap harta tersebut adalah mustaqir.

Berlainan pula halnya, jika pemilikannya terhadap harta yang dimilikinya itu ghair mustaqir (tidak tetap), maka harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat kerana tidak termasuk dalam syarat-syarat milik penuh atau sempurna (امللك التام).

Yang dimaksudkan dengan pemilikan ghair mustaqir (tidak tetap) itu ialah seumpama pemilikan pada wang sewaan rumah bagi tempoh yang akan datang. Wang sewaan rumah yang dibayar tunai secara pendahuluan (advance) sebelum manfaat rumah tersebut digunakan adalah tidak wajib dizakat. Ini kerana pemilikannya terhadap wang sewaan itu mungkin sahaja akan hilang atau terlucut dengan berlakunya sesuatu yang tidak dijangkakan seperti rumah tersebut binasa atau seumpamanya. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/134 dan Hawâsyi asy- Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/403)

Kesimpulan daripada kedua-dua syarat bagi milik penuh atau milik sempurna (امللك التام) di atas ialah kewajipan mengeluarkan zakat tidak akan gugur hanya disebabkan hartanya itu tidak berada di tangannya atau disebabkan ada halangan untuknya membelanjakan hartanya pada waktu tersebut. Malahan kewajipan mengeluarkan zakat masih dituntut ke atasnya tetapi tidaklah wajib mengeluarkannya dengan segera. Namun, jika harta itu kembali semula kepadanya, barulah dia wajib mengeluarkan zakat dengan segera termasuk mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun kebelakangan. Ini adalah kerana pemilik harta tersebut memenuhi syarat-syarat milik penuh bagi mengeluarkan zakat. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/132 dan Hawâsyi asy-syarwani wa Ibnu Qasim: 3/403)

Disebutkan dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib ada menerangkan tentang kewajipan mengeluarkan zakat bagi harta-harta yang termasuk dalam pemilikan secara penuh:

Ertinya: Dan wajib (zakat) pada harta yang dirampas dan yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, harta yang ghaib, sekalipun terdapat keuzuran (kesusahan) untuk mendapatkannya, dan harta yang dimiliki dengan sebab akad sebelum menerimanya, kerana sesungguhnya ia (harta-harta berkenaan) dimiliki secara pemilikan yang penuh. (Bujairimi ‘ala al-khathib: 2/394)

Berdasarkan kepada perkataan ulama di atas, jelas menunjukkan bahawa sekalipun sesuatu harta yang dimiliki itu tidak dapat dibelanjakan pada waktu yang dikehendakinya disebabkan adanya halangan untuk mendapatkannya, namun harta tersebut tetap dianggap sebagai harta yang dimiliki secara penuh atau sempurna dan wajib dikeluarkan zakatnya jika sampai haul dan nishâbnya.

Walau bagaimanapun, kewajipan mengeluarkan zakat akan gugur jika pemilikannya ke atas harta tersebut tidak penuh atau tidak sempurna dan pemilik tidak lagi ada hak dan kuasa untuk membelanjakannya sama ada untuk waktu tersebut ataupun akan datang. Bahkan apabila pemilik menuntut ke atas harta berkenaan, dia tidak dapat mendapatkannya kembali, begitu juga dia tidak dapat tasharruf kembali kerana haknya ke atas harta tersebut telah pun hilang atau lucut. (Al-Muhadzdzab: 1/463)

Status Wang Simpanan TAP

Wang simpanan TAP merupakan kumpulan wang daripada caruman pekerja hasil daripada pemotongan gaji mereka, caruman majikan sebagai pemberian atau sumbangan dan juga dividen. Wang tersebut merupakan hak yang pastinya akan mereka terima apabila berumur 55 tahun dan juga apabila diperlukan melalui skim pengeluaran yang membolehkannya menggunakan wang carumannya.

Jika dilihat kepada perjalanan pengurusan dan pengendalian wang simpanan TAP tersebut, sekalipun ia dikawal sepenuhnya di bawah kuasa pihak pengurusan TAP dan pencarum tidak dibenarkan menggunakan dan memanfaatkan wang tersebut kecuali setelah terdapat keterangan dan syarat-syarat yang membolehkannya menggunakan wang carumannya daripada pihak TAP, namun pemilikan wang caruman itu adalah tetap dan pemilikan wang caruman itu tidak akan hilang atau lucut sekalipun ia di bawah kawalan pihak tertentu. Bahkan dia berhak menuntut hartanya dan dia masih berkuasa dan berkemampuan untuk tasharruf apabila dia mendapatkannya kembali.

Dari itu, berdasarkan kepada penjelasan para ulama dalam menafsirkan ‘milik penuh’ atau ‘milik sempurna’, dapat disimpulkan bahawa status wang simpanan TAP peserta atau pekerja berkenaan adalah milik pencarum sepenuhnya.

Adapun wang caruman majikan, adakah ia juga dianggap sebagai milik penuh pekerja atau dianggap sebagai sumbangan, hadiah atau pemberian (hibah) majikan yang mana status pemilikannya terhasil apabila berlaku qabdh (penerimaan)?

Caruman majikan merupakan sumbangan atau pemberian wajib daripada pihak majikan kepada pekerjanya atas kerja yang dilakukan berkaitan dengan pekerjaannya, bahkan ia menjadi satu kesalahan dan boleh didenda dan diambil tindakan undang-undang jika majikan tidak melakukannya seperti yang ada termaktub dalam akta TAP penggal 167. Ini bererti pekerja adalah berhak ke atas sumbangan tersebut pada setiap bulan.

Aplikasi sumbangan atau pemberian seperti ini tidaklah sama dengan hibah atau hadiah di mana ia dilakukan secara sukarela tanpa sebarang tukar ganti, sedangkan caruman atau sumbangan majikan ini wajib diberikan pada setiap hujung bulan atas pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja. Jika dilihat dari segi transaksi yang digunakan dalam caruman majikan ini, aplikasi sumbangan atau pemberian seperti ini dapat digambarkan dalam transaksi fiqhiyyah iaitu ‘hibah bersyarat ‘ iaitu memberi sesuatu dengan syarat bertukar ganti dengan sesuatu atau harta yang diketahui. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 6/385 dan Mughni al-Muhtâj: 3/573)

Dalam perkara hibah bersyarat, aplikasi hukum padanya adalah sama seperti aplikasi hukum jual beli. Ini bererti syarat pemilikan bagi hibah bersyarat itu adalah dengan akad. Dari itu, apabila barang pertukaran itu belum diterima, seperti juga wang jualan atau barang belian yang belum diterima, ia adalah tetap menjadi milik pekerja sepenuhnya sekalipun dia belum menerimanya kerana pemilikannya itu adalah berdasarkan akad. Berbeza dengan hibah di mana syarat pemilikannya adalah dengan qabdh (penerimaan) dan bukan dengan akad. (Mughni al-Muhtâj: 3/565 & 573 dan Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/394)

Menurut al-Khathib asy-Syarbini dalam kitabnya al-Iqnâ‘:

Ertinya: Dan wajib (zakat) pada harta yang dirampas dan harta yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan dan harta yang ghaib, sekalipun terdapat keuzuran (kesusahan) untuk mendapatkannya dan harta yang dimiliki dengan sebab akad sebelum menerimanya, kerana sesungguhnya ia (harta-harta berkenaan) dimiliki secara pemilikan yang penuh. (Al-Iqnâ‘: 1/304)

Berdasarkan pada pendapat ini, wang caruman majikan yang dimasukkan ke dalam simpanan pekerja itu adalah juga hak milik penuh pekerja atau pencarum TAP.

Bilakah Wang Simpanan TAP Wajib Dikeluarkan Zakat?

Memandangkan wang simpanan TAP merupakan milik pencarum sepenuhnya, maka zakat adalah wajib ke atasnya, iaitu wajib zakat ke atas wang caruman hasil daripada pemotongan gaji pekerja dan wang caruman majikan berserta dengan dividennya.

Persoalan yang berbangkit daripada perkara di atas ialah bilakah waktu pembayaran zakat tersebut, adakah pembayaran zakat bagi wang simpanan TAP ini wajib dikeluarkan dengan segera iaitu apabila mencapai nishâb dan haul sedangkan wang tersebut tidak berada di tangan pencarum disebabkan ia dikendali dan diuruskan oleh pihak TAP atau hanya diwajibkan setelah menerima wang simpanan TAP berkenaan?

Menurut hukum syara‘, zakat wajib dikeluarkan dengan segera ke atas harta yang telah mencapai nishâb dan haul dengan syarat tidak terdapat sebarang kesukaran atau halangan untuk menghadirkan harta tersebut. (Mughni al-Muhtâj: 2/129)

Jika diperhatikan dari sudut pemilikan wang simpanan TAP bagi pencarum, keadaannya menyerupai dengan keadaan pemilikan wang ad-dain al-mu’ajjal (hutang yang bertangguh) bagi pemberi hutang. Maksudnya, wang caruman TAP dan wang ad-dain al-mu’ajjal tertahan di tangan orang lain iaitu di tangan pihak TAP dan orang yang berhutang walaupun wang tersebut adalah hak dan milik pencarum dan pemiutang. Keadaan-keadaan tersebut memberi kesukaran atau halangan untuk mengeluarkan zakat bagi wang berkenaan jika telah sampai haul dan nishâbnya. Jika dalam hal ad-dain al-mu’ajjal, pemiutang hanya mengeluarkan zakat apabila dia menerima kembali wang yang dihutangkan itu, maka dalam hal wang caruman TAP, pengeluaran zakatnya dapat diqiyâskan kepada pengeluaran zakat bagi pemiutang dalam hal ad-dain al-mu’ajjal kerana kedua-duanya mempunyai ‘illah (sebab) yang sama iaitu harta tersebut tertahan di tangan orang lain.

Penetapan zakat bagi hutang seperti ini adalah sama kedudukannya dengan zakat bagi harta yang dirampas. Zakat bagi harta berkenaan tidak wajib dilakukan dengan segera selagi dia tidak menerima harta atau hutang berkenaan. Ia hanya wajib dikeluarkan apabila dia menerima atau mendapatkannya kembali dan ini termasuklah zakat bagi tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/489 dan Nihâyah al- Muhtâj: 3/131)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyatakan:

Ertinya: Dan (wajib zakat) pada harta yang dirampas, harta yang hilang dan harta (hutang atau harta yang dititipkan) yang dinafikan, menurut pendapat yang azhhar. Dan tidak wajib dibayar zakatnya sehinggalah harta tersebut kembali (kepada pemiliknya). (Minhâj ath- Thâlibîn: 1/404)

Zakat bagi harta-harta berkenaan tidak wajib dilakukan dengan segera selagi dia tidak menerima harta atau hutang berkenaan. Ia hanya wajib dikeluarkan apabila dia menerima atau mendapatkannya kembali dan ini termasuklah zakat bagi tahun-tahun kebelakangan semenjak cukup haul pertama. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/489 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/131)

Berdasarkan daripada penjelasan para ulama, jelas menunjukkan bahawa waktu wajib mengeluarkan zakat bagi wang simpanan TAP ialah apabila pencarum menerima wang caruman tersebut. Pembayaran zakatnya wajib dilakukan dengan segera pada hari wang caruman itu diterima iaitu ketika berumur 55 tahun atau ketika menerima sebahagian daripadanya melalui skim pengeluaran yang ditetapkan jika jumlah caruman tersebut mencapai nishâb tanpa perlu menunggu haul yang baru. Ini bermakna zakat bagi tahun-tahun lalu yang bermula dari waktu mencapai nishâb zakat adalah tidak hilang dan pengeluaran zakat bagi tahun-tahun tersebut secara kebelakangan wajib ditunaikan.

Sebagai contoh:

Awang Muhammad berkhidmat selama 10 tahun dengan gaji bulanan $600. Setiap bulan, simpanan wang carumannya berjumlah $60.00. Selama 10 tahun berkhidmat, wang simpanan caruman beliau yang terdiri daripada wang caruman pekerja dan wang caruman majikan adalah seperti berikut:

Kiraan tempoh satu haul di bawah ini menggunakan tahun Hijriyyah:

BULAN

Muharram

Safar Rabiulawal Rabiulakhir Jamadilawal Jamadilakhir

Rejab Syaaban Ramadhan

Syawal Zulkaedah

Zulhijjah TAHUN (Hijriyyah) 1424 $60 $120 $180 $240 $300 $360 $420 $480 $540 $600 $660 $720

1425 $780 $840 $900 $960 $1020 $1080 $1140 $1200 $1260 $1320 $1380 $1440

1426 $1500 $1560 $1620 $1680 $1740 $1800 $1860 $1920 $1980 $2040 $2100 $2160

1427 $2220 $2280 $2340 $2400 $2460 $2520 $2580 $2640 $2700 $2760 $2820 $2880

1428 $2940 $3000 $3060 $3120 $3180 $3240 $3300 $3360 $3420 $3480 $3540 $3600

1429 $3660 $3720 $3780 $3840 $3900 $3960 $4020 $4080 $4140 $4200 $4260 $4320

1430 $4380 $4440 $4500 $4560 $4620 $4680 $4740 $4800 $4860 $4920 $4980 $5040

1431 $5100 $5160 $5220 $5280 $5340 $5400 $5460 $5520 $5580 $5640 $5700 $5760

1432 $5820 $5880 $5940 $6000 $6060 $6120 $6180 $6240 $6300 $6360 $6420 $6480

1433 $6540 $6600 $6660 $6720 $6780 $6840 $6900 $6960 $7020 $7080 $7140 $7200

Maka, setelah menerima wang caruman TAP tersebut, Awang Muhammad wajib mengeluarkan zakat bagi wang simpanan TAP itu tanpa menunggu lagi haul baru dan pengeluarannya hendaklah dikira secara tahun-tahun kebelakangan iaitu semenjak wang tersebut sampai haul dan nishâb.

Jika nishâb pada waktu tersebut adalah $1850.00, maka apabila dilihat pada rajah di atas, Rejab 1426H adalah bermula kiraan untuk tempoh satu haul, kerana wang simpanan TAPnya telah sampai kadar nishâb iaitu $1860.00 dan bulan Jamadilakhir 1427H adalah akhir kiraan untuk tempoh satu haul. Oleh kerana dalam contoh ini tempoh haul menggunakan tahun Hijriyyah, maka kadar zakat bagi wang simpanan tersebut ialah 2.5%. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/319 dan al-Muhadzdzab: 1/518) Dalam hal ini, kiraan tunggakan zakat yang wajib dikeluarkan Awang Muhammad adalah seperti berikut:

SATU HAUL (Rejab- Jamadilakhir)

(1) JUMLAH CARUMAN

(2) DIVIDEN (ANDAIAN 2.0% SETAHUN)

(3) ZAKAT YANG TELAH DIKELUARKAN

(4) JUMLAH (1+2-3)

(5) ZAKAT YANG WAJIB DIKELUARKAN

1426/1427 $1860 $37.12 $0 $1897.12 $47.43 1427/1428 $2580 $51.60 $47.43 $2584.17 $64.60 1428/1429 $3300 $66.00 $64.60 $3301.40 $82.54 1429/1430 $4020 $80.40 $82.54 $4017.86 $100.45 1430/1431 $4740 $94.80 $100.45 $4734.35 $118.36 1431/1432 $5460 $109.20 $118.36 $5450.84 $136.27 1432/1433 $6180 $123.60 $136.27 $6167.33 $154.18

Apabila dicampur semua jumlah zakat yang wajib dikeluarkan bagi tahun-tahun kebelakangan, maka zakat tunggakan bagi wang caruman TAP Awang Muhammad bermula dari tahun 1426/1427H hingga tahun 1432/1433H yang wajib dibayarnya setelah menerima wang caruman TAP berkenaan adalah berjumlah $703.83.

Kiraan tempoh satu haul di bawah ini menggunakan tahun Masehi:

BULAN

Januari Februari Mac April Mei Jun Julai Ogos September Oktober November Disember

TAHUN (Masehi) 2000 $60 $120 $180 $240 $300 $360 $420 $480 $540 $600 $660 $720 2001 $780 $840 $900 $960 $1020 $1080 $1140 $1200 $1260 $1320 $1380 $1440 2002 $1500 $1560 $1620 $1680 $1740 $1800 $1860 $1920 $1980 $2040 $2100 $2160 2003 $2220 $2280 $2340 $2400 $2460 $2520 $2580 $2640 $2700 $2760 $2820 $2880 2004 $2940 $3000 $3060 $3120 $3180 $3240 $3300 $3360 $3420 $3480 $3540 $3600 2005 $3660 $3720 $3780 $3840 $3900 $3960 $4020 $4080 $4140 $4200 $4260 $4320 2006 $4380 $4440 $4500 $4560 $4620 $4680 $4740 $4800 $4860 $4920 $4980 $5040 2007 $5100 $5160 $5220 $5280 $5340 $5400 $5460 $5520 $5580 $5640 $5700 $5760 2008 $5820 $5880 $5940 $6000 $6060 $6120 $6180 $6240 $6300 $6360 $6420 $6480 2009 $6540 $6600 $6660 $6720 $6780 $6840 $6900 $6960 $7020 $7080 $7140 $7200

Maka, setelah menerima wang caruman TAP tersebut, Awang Muhammad wajib mengeluarkan zakat bagi wang simpanan TAP itu tanpa menunggu lagi haul baru dan pengeluarannya hendaklah dikira secara tahun-tahun kebelakangan iaitu semenjak wang tersebut sampai haul dan nishâb.

Jika nishâb pada waktu tersebut adalah $1850.00, maka apabila dilihat pada rajah di atas, Julai 2002 adalah bermula kiraan untuk tempoh satu haul, kerana wang simpanan TAPnya telah sampai kadar nishâb iaitu $1860.00 dan bulan Jun 2003 adalah akhir kiraan untuk tempoh satu haul. Oleh kerana dalam contoh ini tempoh haul menggunakan tahun Masehi, maka kadar zakat bagi wang simpanan tersebut ialah 2.577%. (Merujuk kepada Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institution of Bahrain (AAOIFI) )

Dalam hal ini, kiraan tunggakan zakat yang wajib dikeluarkan Awang Muhammad adalah seperti berikut:

SATU HAUL (Julai-Jun)

(1) JUMLAH CARUMAN

(2) DIVIDEN (ANDAIAN 2.0% SETAHUN)

(3) ZAKAT YANG TELAH DIKELUARKAN

(4) JUMLAH (1+2-3)

(5) ZAKAT YANG WAJIB DIKELUARKAN

2002/2003 $1860 $37.12 $0 $1897.12 $48.89 2003/2004 $2580 $51.60 $48.89 $2582.71 $66.56 2004/2005 $3300 $66.00 $66.56 $3299.44 $85.03 2005/2006 $4020 $80.40 $85.03 $4015.37 $103.48 2006/2007 $4740 $94.80 $103.48 $4731.32 $121.93 2007/2008 $5460 $109.20 $121.93 $5447.27 $140.38 2008/2009 $6180 $123.60 $140.38 $6163.22 $158.83

Apabila dicampur semua jumlah zakat yang wajib dikeluarkan bagi tahun-tahun kebelakangan, maka zakat tunggakan bagi wang caruman TAP Awang Muhammad bermula dari tahun 2002/2003 hingga tahun 2008/2009 yang wajib dibayarnya setelah menerima wang caruman TAP berkenaan adalah berjumlah $725.10.

Merujuk kepada soalan di atas, iaitu “jika B$5,000 ada dalam TAP sejak tahun 2000, adakah wajib dikeluarkan zakatnya dari tahun 2000 hingga tahun 2014?”, berdasarkan kepada contoh di atas, kadar nishâb yang disebutkan adalah $1850. Jika B$5000 itu sudah sampai haul, maka wajib dikeluarkan zakat bagi jumlah wang TAP B$5,000 itu secara kebelakangan bermula tahun 2000 hingga tahun 2014. Bahkan mungkin juga zakat bagi tahun sebelum tahun 2000 kerana wang caruman itu sampai haul dan kadar nishâb $1850.

Sebagai Irsyâd Sebagaimana yang telah diterangkan, secara jelasnya wang simpanan TAP adalah milik penuh atau milik sempurna bagi pencarum. Oleh yang demikian, pencarum hendaklah mengeluarkan zakat bagi wang simpanan TAP apabila sampai nishâb dan haulnya. Namun dalam hal ini, pencarum tidak wajib mengeluarkan zakat wang simpanan TAP dengan segera jika telah sampai haul dan nishâbnya memandangkan adanya halangan untuk mengeluarkan wang simpanan berkenaan pada waktu tersebut kerana jumlah zakat yang akan dikeluarkan mungkin melibatkan jumlah yang besar sehingga tidak mencukupi untuk menggunakan wang tunai yang ada di tangan (pocket money). Tetapi dia wajib mengeluarkan tunggakan zakat secara tahun-tahun kebelakangan dengan segera pada hari wang simpanan TAP itu diterima iaitu ketika berumur 55 tahun atau ketika menerima sebahagian daripadanya melalui skim pengeluaran yang telah ditetapkan oleh pihak TAP.

Adalah tidak dinafikan bahawa berkemungkinan pencarum akan menghadapi kesukaran untuk mengira tunggakan zakat secara tahun-tahun kebelakangan atau sebahagaian pencarum ada yang kurang maklum bahawa wang simpanan TAP yang diterima selepas berumur 55 tahun itu tidak boleh dibelanjakan kesemuanya kerana di dalamnya ada hak orang lain yang wajib ditunaikan terlebih dahulu. Ini bererti, jumlah wang simpanan TAP yang diterima oleh pencarum akan kurang setelah ditolak dengan pengeluaran tunggakan zakat yang belum dikeluarkan bagi tahun-tahun kebelakangan. Perkara-perkara sebegini adalah hakikat yang perlu diketahui dan difahami oleh para pencarum TAP bahkan bagi pihak TAP sendiri.

Jika dilihat dari sudut psikologi pula, mengeluarkan tunggakan zakat secara tahun-tahun kebelakangan itu mungkin membebankan pencarum kerana jumlah zakat yang kian meningkat dari setahun ke setahun sehingga mencecah jumlah yang besar. Yang paling membimbangkan, pencarum hanya mengeluarkan zakat untuk tahun pada waktu dia menerima sahaja tanpa mengeluarkan zakat secara tahun-tahun kebelakangan semenjak wang simpanan TAP tersebut sampai nishâb dan haul.

Sebagai irsyâd, adalah lebih elok jika pihak pengurusan TAP menyelenggara pengeluaran zakat bagi wang simpanan TAP pencarum yang beragama Islam jika telah sampai haul dan nishâbnya berdasarkan persetujuan pihak pencarum sebagaimana yang ada diamalkan oleh institusi-institusi perbankan Islam ke atas wang simpanan para pelanggannya. Dengan demikian, pencarum tidak akan menanggung tunggakan zakat yang belum dikeluarkan dan ini nyata boleh menghilangkan kesukaran mereka dalam pengiraan zakat bagi tahun-tahun kebelakangan apabila menerima wang mereka kelak. Yang menariknya, berapa pun jumlah tunai wang simpanan TAP yang diterima oleh pencarum pada umur 55 tahun kelak, itulah wang yang boleh dibelanjakannya terus secara keseluruhan tanpa sebarang tuntutan hak yang wajib dilaksanakan terlebih dahulu terhadap wang berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12140