Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Membersihkan Najis Mughallazhah Menggunakan Sabun Sertu Jenama “Turab”

Soalan: Dipohonkan fatwa mengenai penggunaan sabun berjenama “Turab” keluaran sebuah syarikat di Malaysia. Sabun ini diperbuat daripada beberapa bahan dan bahan utamanya adalah tanah liat (clay).

Apakah hukum menggunakan sabun ini sebagai bahan sertu bagi membersihkan najis mughallazhah?

Jawapan: Najis Mughallazhah

Najis mughallazhah itu ialah anjing dan khinzîr (babi) atau mana-mana keturunan atau campuran daripada salah satu daripada binatang anjing atau khinzîr dengan binatang lain.

Apabila sesuatu bersentuh dengan najis mughallazhah dan salah satu daripadanya basah, sama ada sesuatu yang menyentuh itu basah dan najis itu kering atau sebaliknya ataupun kedua-duanya dalam keadaan basah, maka bahagian yang bersentuh dengan najis mughallazhah itu dihukumkan mutanajjis (menjadi najis). Oleh itu cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan cara menyertu. Akan tetapi jika kedua-duanya dalam keadaan kering, maka sertu tidak diwajibkan.

Pengertian Sertu

Sertu bererti membersihkan atau menyucikan mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah dengan air sebanyak tujuh kali cucian dan salah satu daripadanya ialah dengan air yang bercampur tanah.

Mengenai perkara mencampurkan air dengan tanah, terdapat beberapa riwayat yang tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang cucian ke berapakah tanah itu dicampur. Antara hadits-hadits tersebut adalah seperti berikut:

i. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Suci bejana salah seorang antara kamu, jika anjing menjilat padanya (bejana itu), hendaklah membasuhnya dengan tujuh kali cucian, pertamanya ialah dengan (cucian yang bercampur) dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

ii. Daripada Ibnu al-Mughaffal Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan kamu lumurkanlah ia (bekas air) pada cucian yang kelapan dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

iii. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Cucian yang ketujuh hendaklah bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Abu Daud)

iv. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Cucian yang pertama atau yang terakhir hendaklah bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadits-hadits di atas, menyuci dengan air yang bercampur tanah itu disebut pada permulaan basuhan dan ada juga disebut pada akhir basuhan.

Maka ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat memadailah dengan adanya tanah itu dalam salah satu daripada tujuh air cucian tersebut, akan tetapi mencampurkan air dengan tanah pada cucian yang pertama adalah lebih utama. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/252, Mughni al-Muhtâj: 1/119)

Cara Membersihkan Najis Mughallazhah Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah ialah dengan terlebih dahulu menghilangkan zat najis kemudian diikuti dengan sertu.

Bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut kemudian meratakan pada bahagian atau tempat yang terkena najis tadi.

Menurut as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, terdapat tiga cara untuk melakukan cucian terhadap najis mughallazhah.

1. Mencampurkan tanah dengan air terlebih dahulu sebelum menyiramkan kedua-duanya (air bercampur tanah) pada tempat yang terkena najis.

2. Menyiram tempat yang terkena najis itu dengan air terlebih dahulu, kemudian barulah meletak tanah dan mencampur kedua-duanya (tanah dan air) pada tempat yang telah disiram dengan air tadi.

3. Meletakkan tanah terlebih dahulu di tempat yang terkena najis itu, kemudian barulah disiram dengan air.

Ketiga-tiga cara di atas adalah memadai untuk menyucikan tempat yang terkena najis mughallazhah dengan syarat benda najis atau cairannya yang ada pada tempat tersebut dihilangkan terlebih dahulu sebelum membasuhnya. Namun cara yang pertama adalah cara yang lebih afdhal. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/255, Fath al-‘Allâm: 1/338-339)

Tanah Untuk Sertu

Jenis tanah yang digunakan dalam proses sertu adalah tanah asli sama ada tanah liat atau tanah lumpur sekalipun debu pasir dengan syarat tanah tersebut hendaklah bersih daripada najis. Terdapat beberapa jenis tanah yang tidak memadai untuk digunakan dalam sertu, iaitu:

1. Tanah musta‘mal: Tanah yang telah digunakan kerana hadats atau najis.

2. Tanah yang dibakar.

3. Tanah yang mutanajjis (terkena najis) sama ada najis ‘aini atau najis hukmi.

Najis ‘aini, iaitu zat (‘ain) najis tersebut atau sifat; rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera.

Najis hukmi, iaitu zat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak boleh dikesan dengan pancaindera, oleh sebab tersembunyi, tidak kelihatan atau hilang kesan najis tersebut; seperti air kencing yang telah kering.

4. Tanah yang dicampur dengan cecair lain seperti cuka. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/253-255, Mughni al-Muhtâj: 1/119)

Bolehkah Sertu Dengan Selain Tanah?

Melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai, umpamanya dengan menggunakan sabun dan cecair atau bahan pencuci moden. Ini bererti apa jua benda sekalipun jika ia bukan berupa tanah, ia masih tidak dapat menggantikan kedudukan tanah dalam sertu.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Sabun, usynân (bahan pembersih) dan apa jua yang seumpama kedua-duanya tidaklah dapat menggantikan tempat tanah (dalam sertu) menurut pendapat al-ashah. Dan tidak ada perbezaan (hukum) di antara adanya tanah dan ketiadaannya menurut pendapat al-ashah.” (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 2/1281)

Asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula mengatakan:

Ertinya: Maka tidaklah dengan ketiadaannya (tanah) atau penambahan dalam (bilangan) penyucian (lebih daripada tujuh kali) dapat menggugurkan (penggunaan) tanah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/253)

Berdasarkan keterangan ini, penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah tidaklah memadai dengan benda-benda lain sebagai ganti kepada tanah, sekalipun ketika tidak diperolehi tanah. Penyucian tanah hendaklah dengan cara tatrîb iaitu mencampur air dengan tanah. Namun tatrîb boleh digantikan dengan air yang keruh seperti air sungai Nil dan air mengalir yang telah bercampur dengan tanah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/255)

Adapun cara penyucian tersebut ialah jika air tersebut merupakan air yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, maka memadailah dengan merendam dan menggerak-gerakkannya sebanyak tujuh kali. Manakala jika ia air yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air padanya sebanyak tujuh kali. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/254 dan Hâsyiah al- Baijuri: 1/159)

Sabun “Turab”

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sabun sertu berjenama “Turab” adalah mengandungi beberapa jenis bahan untuk membuat sabun seperti Glycerin, Stearic Acid, Clove Oil dan tanah liat kemudian diolah menjadi sabun. Sifat tanah yang bercampur dengan bahan-bahan lain selain daripada tanah telah mengubah sifat tanah yang diperlukan dalam sertu. Adapun perintah sertu bermaksud mencuci dengan air muthlaq sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan air yang dicampur dengan tanah tulen yang disebut sebagai suci lagi menyucikan. Perintah tersebut adalah perkara ta‘abbudiy (semata-mata menurut perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). Maka penggunaan sabun sertu berjenama “Turab” dalam penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah adalah tidak memadai.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12148