Membina Bangunan Di Atas Tapak Perkuburan Lama Dalam Kawasan Jabatan Perbekalan Dan Stor Negara
Soalan: Dalam kawasan Jabatan Perbekalan dan Stor Negara, Mukim Gadong terdapat tanah perkuburan Islam yang sudah agak lama iaitu Tanah Perkuburan Islam Gunting. Kawasan perkuburan ini termasuk dalam lingkungan pejabat dan telah dipagar dan terkawal.
Sejak akhir-akhir ini didapati tiada lagi waris yang menziarahi perkuburan tersebut dan perkuburan ini tidak lagi digunakan (aktif).
Pihak Jabatan ini berhasrat untuk menggunakan tapak perkuburan tersebut untuk membina bangunan baharu bagi keperluan Jabatan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan pandangan daripada Pehin Mufti mengenai perkara ini sama ada dibenarkan atau tidak untuk memindah kubur-kubur yang sedia ada bagi pembinaan bangunan berkenaan.
Jawapan: Dalam syariat Islam, kubur adalah tempat yang mempunyai kemuliaan kerana menghormati mayat di dalam kubur tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)
Menurut hukum syara‘, jika tanah perkuburan itu merupakan tanah waqaf untuk perkuburan orang-orang Islam, tidak harus membina sebarang bangunan di atas tapak kubur berkenaan. Bahkan kawasan tanah perkuburan tersebut hendaklah dikekalkan sebagai tanah perkuburan.
Jika tanah perkuburan yang ada itu merupakan tanah perkuburan al-musabbalah yang masih digunakan untuk menanam mayat pada masa sekarang dan masa akan datang, maka ia haram dicerobohi. Jika kubur tersebut tidak lagi digunakan perlu pula dilihat, adakah keseluruhan jasad mayat-mayat di perkuburan berkenaan telahpun hancur menjadi tanah sehingga tidak lagi ada kesan mana-mana bahagian daripada jasad mayat atau masih lagi ada.
Jika mayat-mayat tersebut diyakini telah hancur keseluruhannya dan tidak ada lagi kesannya, maka harus kubur tersebut digunakan semula untuk menanam mayat yang baharu atau menggunakannya bagi tujuan yang lain sebagaimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ yang menjelaskan mengenai perkara ini, katanya:
Ertinya: Bahawasanya harus menggali kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalam kubur tersebut, dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan di atasnya serta semua perkara yang boleh diambil manfaat daripadanya dan juga memperlakukan (mentasharrufkan) tanah tersebut (seperti menjualnya dan menghibahkannya, (hukum mengenai perkara ini) adalah dengan kesepakatan para ulama mazhab Syafi‘e mengenainya. Jika tanah tersebut merupakan tanah yang dipinjamkan (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkannya boleh mengambil balik (tanahnya itu) semula. Semua perkara ini adalah apabila tidak ada lagi kesan bagi mayat; tulang dan lainnya. (Al-Majmû‘: 5/266)
Namun jika sebaliknya, maka haram mencerobohi tanah perkuburan tersebut dan wajib dibiarkan dan dikekalkan sehinggalah segala bahagian-bahagian jasad mayat itu hancur menjadi tanah kesemuanya.
Tanah perkuburan adalah hak mayat yang ditanam di situ dan haram mengganggu atau mencerobohinya. Umpamanya dengan menggali atau membongkar dan memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat atau hajat yang mendesak yang diharuskan oleh syara‘.
Antara perkara dharurat yang mengharuskan menggali semula kubur ialah jika mayat yang dikebumikan tidak menghadap qiblat atau mayat tersebut dikebumikan dalam keadaan belum dimandikan atau belum dikafankan atau dikafankan dengan kain milik orang lain yang telah dirampas. Maka dalam hal ini, harus membongkar kubur tersebut untuk menghadapkan mayat ke arah qiblat atau untuk dimandikan atau untuk dikafankan atau untuk mengembalikan kain kafan yang dirampas kepada pemiliknya. Demikian juga, harus menggali kubur dan memindahkan mayat apabila didapati mayat terhina disebabkan basah atau ditenggelami oleh banjir. (Kitab al-Majmû‘: 5/266 dan Tuhfah al-Muhtâj: 5/203-206)
Merujuk kepada persoalan mengenai Tanah Perkuburan Gunting yang berada di dalam kawasan Jabatan Perbekalan Dan Stor Negara bagi membina bangunan untuk keperluan Jabatan berkenaan, maka pandangan dari segi syara‘ mengenai keharusan membangun bangunan baharu bagi keperluan Jabatan berkenaan di atas tanah perkuburan yang dinyatakan adalah tertakluk kepada keadaan mayat dan status tanah perkuburan tersebut seperti berikut:
i. Jika jasad mayat telah hancur keseluruhannya menjadi tanah, maka harus digunakan tapak perkuburan tersebut untuk tujuan selain perkuburan termasuklah untuk membina bangunan sebagaimana yang dimaksudkan.
ii. Jika jasad mayat atau mana-mana bahagian mayat masih lagi wujud, tidak harus menggunakan tapak perkuburan tersebut untuk tujuan selain daripada perkuburan.
iii. Jika tanah perkuburan tersebut merupakan tanah perkuburan yang telah diwaqafkan untuk perkuburan yakni berstatus tanah waqaf, maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain daripada perkuburan sekalipun jasad-jasad mayat telahpun hancur keseluruhannya.
Untuk mengetahui sama ada jasad-jasad mayat yang ditanam di tanah perkuburan tersebut telah hancur atau sebaliknya perlulah perkara tersebut terlebih dahulu dirujuk kepada pakar dalam bidang yang berkaitan atau pihak yang berpengalaman dalam perkara tersebut. Umpamanya merujukkannya kepada pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mendapatkan pandangan berdasarkan pengalaman mereka yang telahpun melakukan penggalian kubur atas sebab-sebab dharurat atau mashlahat umum yang diiktiraf oleh syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12152
