Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Memindah Kubur Dari Kawasan Bukit Yang Telah Ditoreh

Soalan: Pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menerima laporan daripada orang awam bahawa terdapatnya sebuah nisan kubur lama berdekatan dengan bangunan Kompleks Perniagaan Baharu, Kampong Beribi.

Pihak Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah meninjau ke tempat-tempat tersebut dan mendapati terdapat satu nisan kayu yang sudah agak lama berbentuk seperti nisan bagi jenazah perempuan.

Oleh sebab ia berada di atas bukit yang sudah ditoreh, pihak Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan KHEU berhasrat untuk memindah sahaja kubur tersebut ke tanah perkuburan Islam yang berdekatan bagi mengelak daripada hakisan dan runtuhan tanah tersebut.

Sebelum kerja-kerja pemindahan dijalankan, dipohonkan untuk mendapatkan fatwa daripada Pehin Mufti bagi tujuan untuk dipindah dan mengelakkan tanah yang ada diambil dan diwartakan sebagai tanah perkuburan kepada pihak Kerajaan.

Jawapan: Dalam syariat Islam, kubur adalah tempat yang mempunyai kemuliaan kerana menghormati mayat di dalam kubur tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)

Tanah perkuburan adalah hak mayat yang ditanam di situ dan haram mengganggu atau mencerobohinya, umpamanya dengan menggali atau membongkar dan memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat atau hajat mendesak yang diharuskan oleh syara‘.

Antara perkara yang dianggap sebagai dharurat yang mengharuskan menggali semula kubur dan memindahkan mayat ke tempat lain (jika jasad mayat atau kesan-kesan mayat yang zahir masih ada) ialah apabila didapati mayat terhina kehormatannya seperti basah atau ditenggelami oleh banjir. (Tuhfah al-Muhtâj: 5/206)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan bahawa pendapat Abu ‘Abdillah az-Zubairi Rahimahullâh yang mengatakan boleh memindah mayat jika tanah perkuburan terkena basah atau ditenggelami banjir adalah pendapat yang ashah (lebih tepat). Antara sandaran pendapat ini adalah sebagaimana yang berlaku ke atas sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kata beliau:

Ertinya: Ibnu Qutaibah menyebutkan dalam kitab al-Ma‘ârif dan selainnya bahawa Thalhah bin ‘Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga Radhiallâhu ‘anhum) telah dikubur. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimipi melihatnya setelah dikubur selama tiga puluh tahun, dia mengadu kepada puterinya bahawa kuburnya ditakungi air. Lalu ‘Aisyah memerintahkan supaya mayat bapanya itu dikeluarkan, lalu dikeluarkanlah mayat bapanya yang masih dalam keadaan baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah. ( Kitab al-Majmû‘: 5/273)

Merujuk kepada pertanyaan mengenai hasrat pihak Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memindahkan kubur lama yang terletak berdekatan dengan bangunan Kompleks Perniagaan Baru Kampong Beribi bagi mengelakkan kubur tersebut daripada hakisan dan runtuhan tanah bukit yang telah ditoreh itu, adalah tidak jelas sebab atau perkara yang boleh dikategorikan sebagai dharurat yang menghendaki kubur yang dimaksudkan itu perlu digali dan dipindahkan kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi pada masa ini kubur tersebut masih dalam keadaan selamat dan tidak terjejas kehormatannya.

Oleh yang demikian, tidak perlu kubur tersebut digali dan dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12156