Memindah Kubur Lama Yang Terdapat Di Tapak Projek Bangunan Baharu Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Dan Perdagangan
Soalan: Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan pada masa ini sedang dalam proses pembinaan bangunan pejabat baharu. Di dalam pelaksanaan kerja-kerja persiapan awal projek berkenaan, beberapa buah tapak kubur telah ditemui dalam kawasan pembinaan tersebut.
Memandangkan sejumlah tapak kubur yang telah ditemui di kawasan projek berkenaan, kemungkinan besar masih ada beberapa lagi tapak kubur yang masih belum ditemui dan pengesahan pihak berwajib mungkin diperlukan bagi menentukan sama ada ia kubur orang Islam atau bukan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa bagi pemindahan tapak kubur-kubur yang telah dijumpai di kawasan tersebut.
Jawapan: Dalam syariat Islam, kubur adalah tempat yang mempunyai kemuliaan kerana menghormati mayat di dalam kubur tersebut. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 32/245)
Menurut hukum syara‘, jika tanah perkuburan itu merupakan tanah waqaf untuk perkuburan orang-orang Islam, maka tidak diharuskan membina sebarang bangunan di atas tapak kubur berkenaan. Bahkan kawasan tanah perkuburan tersebut hendaklah dikekalkan sebagai tanah perkuburan.
Jika tanah perkuburan itu merupakan tanah perkuburan al-musabbalah yang masih digunakan untuk menanam mayat pada masa sekarang dan masa akan datang, maka ia haram dicerobohi. Jika kubur tersebut tidak lagi digunakan perlu pula dilihat, adakah keseluruhan jasad mayat-mayat di perkuburan berkenaan telahpun hancur menjadi tanah sehingga tidak lagi ada kesan mana-mana bahagian daripada jasad mayat atau masih lagi ada.
Jika mayat-mayat tersebut diyakini telah hancur keseluruhannya dan tidak ada lagi kesan mayat kerana semuanya sudah menjadi tanah, maka harus kubur tersebut digunakan semula untuk menanam mayat yang baharu atau menggunakannya bagi tujuan yang lain sebagaimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ yang menjelaskan mengenai perkara ini, katanya:
Ertinya: Bahawasanya harus menggali kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalam kubur tersebut, dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan di atasnya serta semua perkara yang boleh diambil manfaat daripadanya dan juga memperlakukan (mentasharrufkan) tanah tersebut (seperti menjualnya dan menghibahkannya), (hukum mengenai perkara ini) adalah dengan kesepakatan para ulama mazhab Syafi‘e mengenainya. Jika tanah tersebut merupakan tanah yang dipinjamkan (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkannya boleh mengambil balik (tanahnya itu) semula. Semua perkara ini adalah apabila tidak ada lagi kesan bagi mayat; tulang dan lainnya. (Al-Majmû‘: 5/266)
Namun jika sebaliknya, maka haram mencerobohi tanah perkuburan tersebut dan wajib dibiarkan dan dikekalkan sehinggalah segala bahagian-bahagian jasad mayat itu hancur menjadi tanah kesemuanya.
Tanah perkuburan adalah hak mayat yang ditanam di situ dan haram mengganggu atau mencerobohinya, umpamanya menggali atau membongkar dan memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat atau hajat yang mendesak yang diharuskan oleh syara‘.
Antara perkara dharurat yang mengharuskan menggali kubur ialah jika mayat yang dikebumikan tidak menghadap qiblat atau mayat tersebut dikebumikan dalam keadaan belum dimandikan atau belum dikafankan atau dikafankan dengan kain milik orang lain yang telah dirampas. Maka dalam hal ini, harus menggali semula kubur tersebut untuk menghadapkan mayat ke arah qiblat atau untuk dimandikan atau untuk dikafankan atau untuk mengembalikan kain kafan yang dirampas kepada pemiliknya. Demikian juga, harus menggali semula kubur dan memindahkan mayat apabila didapati mayat terhina disebabkan basah atau ditenggelami oleh air (banjir). (Kitab al-Majmû‘: 5/266 dan Tuhfah al-Muhtâj: 5/203-206)
Begitu juga memindah kubur bagi tujuan menghindarkan kubur daripada terhina atau tercemar kehormatannya, hukumnya adalah harus, sebagaimana yang pernah difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz mengenai tanah perkuburan Islam yang terkandung di dalam Rancangan Penambahan Lapangan Terbang Baru, beliau berkata:
“Harus dipindahkan kubur-kubur itu ke lain tempat apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina dan tiadalah berdosa akan memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memindahkan orang syuhadâ’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu dari kena basah.” (Siri fatwa:13/68)
Bertsabit dengan pertanyaan pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mengenai kubur-kubur lama yang terdapat di kawasan projek pembinaan bangunan baharu Kementerian berkenaan yang berjalan pada masa kini, adalah difahami bahawa kubur-kubur lama tersebut telah ditemui semasa pelaksanaan kerja-kerja persiapan awal projek berkenaan yang membabitkan kerja-kerja tanah seperti meratakan tanah dan sebagainya.
Memandangkan kerja-kerja tersebut telahpun dijalankan tanpa diketahui tentang kewujudan kubur-kubur itu sebelum ini dan ia membabitkan keseluruhan kubur-kubur lama yang kedudukannya berjauhan di antara satu dengan yang lain di dalam kawasan yang terlibat dengan projek yang dijalankan pada masa ini, maka demi menjaga kehormatan kubur-kubur tersebut daripada tercemar kehormatannya oleh kerja-kerja pembangunan yang sedang berjalan, maka adalah harus kubur-kubur lama itu dipindah ke tanah perkuburan awam yang berhampiran jika jasad mayat atau mana-mana bahagian mayat masih lagi ada dan belum hancur keseluruhannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12160
