Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menghantar Orang Gaji Non-Muslim Ke Majlis ‘Mass’

Soalan: Orang gaji saya berasal dari luar negeri. Dia beragama Kristian dan telah beberapa kali meminta izin untuk keluar menghadiri majlis ‘mass’ yang diadakan di gereja pada tiap-tiap hari Ahad. Apakah hukumnya majikan yang beragama Islam membenarkan orang gaji yang non-muslim pergi ke gereja? Oleh kerana orang gaji tersebut tidak mempunyai kenderaan sendiri dan tiada perhentian bas berdekatan di kawasan kampong majikan, apakah hukumnya jika majikan menghantar orang gajinya ke gereja untuk menghadiri majlis ‘mass’?

Jawapan: Pengertian ‘Mass’

Majlis ‘mass’ ialah majlis upacara keagamaan Kristian yang mengandungi beberapa jenis ritual dan ibadat. Ia mempunyai variasi dan cara pelaksanaan yang berbeza mengikut ajaran sesuatu mazhab atau gereja. Mengikut ajaran Roman Katolik, ia adalah upacara meraikan Eukaris (Eucharist), yang menurut mereka, dilakukan kembali atas arahan Jesus ketika Perjamuan Terakhir (the Last Supper) seperti yang tercatat dalam buku Perjanjian Baru. Ia adalah bertujuan untuk memperingati kematian Jesus dan kebangkitannya semula serta mengenang pengorbanannya untuk sekalian manusia. (The New Encyclopædia Britanicca; Micropædia: 4/588 & 7/914, Wikipedia; Mass & Eucharist)

Dalam upacara ‘mass’, biasanya para peserta akan membaca beberapa bab tertentu dari buku agama mereka serta do‘a-do‘a tertentu, yang diikuti dengan beberapa ritual yang lain. Antaranya, peserta yang hadir akan menjamu sedikit roti dan minum sedikit wain (atau jus anggur dan sebagainya) sebagaimana yang dilakukan oleh Jesus dan pengikutnya dalam Perjamuan Terakhir. Upacara ‘mass’ ini dikatakan wajib dihadiri oleh penganut Kristian yang bermazhab Roman Katolik dan juga mazhab-mazhab yang sependapat dengannya, yang diadakan pada setiap hari Ahad dan hari-hari perayaan tertentu. Daripada keterangan ini jelas bahawa majlis ‘mass’ adalah salah satu upacara ibadat yang sangat penting dalam agama Kristian.

Sebagaimana yang diketahui, asas utama agama Kristian ialah Trinity; iaitu kepercayaan bahawa Tuhan itu salah satu daripada yang tiga dan Jesus adalah ‘anak tuhan’ (the Son of God) serta juru selamat (the saviour), yang telah disalib untuk menebus dosa-dosa sekalian manusia. Maka setentunya segala upacara keagamaan Kristian tidak akan lari daripada mempercayai perkara-perkara ini. Menurut Islam, semua ini jelas bertentangan dengan aqidah tauhid yang menjadi prinsip asas ajaran Islam dan merupakan perbuatan maksiat dan mungkar yang menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âla.

Hukum Membenarkan Pekerja Bukan Islam Ke Gereja

Hukum syara‘ tidaklah menegah orang-orang bukan Islam daripada mengamalkan ajaran agama mereka. Bagi mereka yang tinggal di negara Islam dan ingin mengamalkan ajaran agama mereka, agama Islam tidaklah melarangnya, dalam makna, orang-orang Islam dan kerajaan Islam tidak boleh menghalanginya, kecuali jika mereka (orang-orang bukan Islam) itu melakukan perkara yang melanggar ketetapan hukum syara‘ yang ditentukan untuk orang-orang bukan Islam yang menetap dalam negara Islam. Di antara ketetapan tersebut ialah:

i. Dilarang menzahirkan ajaran agama mereka dan menyebarkan ajaran kufur yang bertentangan dengan aqidah Islam.

ii. Dilarang memperdengarkan kata-kata syirik seperti kata-kata mereka tentang Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm sebagai anak tuhan, atau Allah itu salah satu daripada yang tiga (trinity) dan seumpamanya.

iii. Dilarang menzahirkan perkara-perkara mungkar seperti arak, khinzîr, loceng dan seumpamanya.

iv. Dilarang menzahirkan perayaan mereka.

v. Dilarang menzahirkan bacaan dari buku-buku agama mereka; Taurat, Injil dan sebagainya.

vi. Dilarang mendirikan tempat-tempat ibadat dan seumpamanya seperti gereja, convent, rumah paderi dan lain-lain.

Perkara-perkara tersebut adalah ditegah kerana ia mendatangkan kerosakan kepada umat Islam dan merupakan perkara maksiat. Namun sekiranya ia tidak dizahirkan, tidak merosakkan umat Islam dan tidak menzalimi orang lain, maka ia tidak ditegah.

(Al-Umm: 4/218-219, Minhâj ath-Thâlibîn: 3/297-300, Nihâyah al-Muhtâj: 8/103-104, Mughni al-Muhtâj: 4/336,337 & 341 dan al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah [Fatâwâ al-Ramli] 4/58 & 60-61)

Hukum Menghantar Pekerja Bukan Islam Ke Gereja

Dalam perkara majikan beragama Islam menghantarkan pekerja yang bukan Islam ke gereja bagi upacara keagamaan, ia membawa hukum yang berbeza. Ini kerana keterlibatan seorang yang beragama Islam menghantar seorang bukan Islam ke gereja adalah lebih menjurus kepada membantu dalam perkara maksiat dan mungkar yang dilarang oleh Islam. Tujuan orang bukan Islam pergi ke gereja itu ialah untuk melaksanakan ibadat agama mereka, yang melibatkan kata-kata dan perbuatan syirik menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âla. Seorang Islam yang membantu dalam melaksanakan perkara mungkar adalah berdosa, apatah lagi jika ia berkaitan dengan perkara yang boleh mencemarkan aqidah.

Sekiranya pun dikatakan majikan Islam itu langsung tidak berniat untuk membantu dalam perkara mungkar atau kufur, namun perbuatan tersebut tetap dikira sebagai memberikan bantuan atau kemudahan dalam perkara mungkar itu, sedangkan Islam dengan jelas telah melarang umatnya bantu-membantu dalam perkara yang membawa kepada mungkar dan dosa sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ). (Surah al-Mâ’idah: 2)

Bahkan seseorang itu tidak dianggap beriman jika dia menolong dan redha terhadap orang yang melakukan kekufuran sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat tergamak berkasih-sayang dengan orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. (Surah al-Mujâdalah: 22)

Islam dengan jelas mengajarkan umatnya untuk menjauhkan diri daripada maksiat dan mungkar, termasuk ikut serta atau membantu dalam perkara mungkar. Oleh itu, majikan yang beragama Islam tidak boleh menghulurkan apa jua bantuan kepada pekerjanya yang bukan Islam dalam melaksanakan perkara mungkar dan maksiat itu.

Kedudukan Pembantu Rumah Bukan Islam

Sebagai irsyâd, adalah mustahak untuk memastikan pembantu rumah beragama Islam. Adapun pembantu rumah itu, terutama yang tugas utamanya menyediakan makan dan minum atau menjaga dan mengasuh anak-anak kecil di rumah semasa ketiadaan ibu bapa, sewajarnya bukanlah terdiri daripada orang yang bukan beragama Islam.

Ini disebabkan pembantu rumah yang bukan Islam tidak mengetahui tentang konsep kebersihan dan cara membersihkan najis menurut hukum syara‘. Begitu juga dengan perkara yang berkaitan dengan halal haram dari sudut makan dan minum, pergaulan, perbuatan dan perkataan yang setentunya berbeza disebabkan oleh kepercayaan agama, budaya masyarakat, gaya hidup dan pemikiran yang jauh berbeza daripada ajaran Islam.

Walau bagaimanapun jika pembantu rumah yang beragama Islam itu sukar diperolehi atau majikan tidak ada pilihan selain mengambil pembantu rumah yang bukan Islam, maka adalah wajib bagi majikan memberi tunjuk ajar kepadanya, terutama berkenaan kedudukan najis dan benda yang terkena najis sama ada pada pakaian, alat-alat perkakas rumah, makanan dan juga minuman. Majikan juga perlu sentiasa mengawasi setiap kerja yang dilakukannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12164