Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menyumpah Orang Mendapat Penyakit

Soalan: Bapa saudara saya telah menyumpah kami sekeluarga supaya mendapat penyakit turun-temurun sebab kami dengan tidak sengaja merampas tanahnya. Tanah yang kami miliki adalah hadiah daripada bapa mertua saya. Bapa saudara saya mendakwa bahawa arwah datuk saya telah berpesan kepada seseorang memberitahu yang tanah kami miliki adalah kepunyaannya. Tetapi pesanan arwah datuk itu tidak sampai ke telinga bapa mertua saya. Pesanan itu disampaikan pada anaknya yang sulong sebelum beliau meninggal dunia 17 tahun yang lalu.

Apa yang memusykilan ialah bapa saudara saya telah melaknat dan menyumpah kami sekeluarga sedangkan kami tidak sengaja merampas hak orang lain. Saya sudah menyelidiki perkara ini di Jabatan Syariah dan Jabatan Tanah. Saya mendapati namanya tidak ada tercatat dalam geran tanah dan dia tidak ada hak menuntut sedang bapa mertua saya masih hidup dan pesan memesan adalah tidak sah mengikut hukum Syariah.

Saya sangat susah hati kerana saya tidak mahu bermusuhan sesama saudara sendiri apatah lagi dengan saudara mara yang rapat. Saya ingin tahu mengenai sumpah menyumpah yang dikenakan kepada kami sekeluarga. Adakah perbuatan sumpah itu dimakbulkan oleh Allah? Dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai perkara ini.

Jawapan: Menyumpah Orang Mendapat Penyakit

Pada lazimnya, perkataan sumpah bererti mengucapkan sumpah atau bersumpah untuk menguatkan pengakuan sama ada mengerjakan sesuatu atau tidak. Namun, istilah menyumpah sebagaimana dalam soalan yang diajukan memberi maksud berbeza iaitu mendo‘akan seseorang dengan keburukan atau kecelakaan.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang mendo‘akan seseorang dengan keburukan atau kecelakaan lebih-lebih lagi kepada diri sendiri, anak-anak dan harta benda. Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu berdo‘a (tentang keburukan) untuk diri-diri kamu, dan jangan kamu berdo‘a (tentang keburukan) untuk anak-anak kamu, dan jangan kamu berdo‘a (tentang keburukan) untuk harta-harta kamu. Semoga do‘a kamu itu tidak menepati saat apabila Allah dipohonkan sesuatu pemberian, maka Dia menerimanya (do‘a tentang keburukan itu) bagi kamu.

Adapun soal penerimaan Allah berkenaan sumpah atau do‘a bapa saudara Awang agar Awang sekeluarga mendapat penyakit turun-temurun itu adalah di bawah ilmu dan kehendak Allah jua.

Pada dasarnya do‘a memohon perkara dosa atau kejahatan dan memutuskan tali persaudaraan adalah tidak termasuk sebagai do‘a yang diterima oleh Allah. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Do‘a seorang hamba itu akan sentiasa diterima selagi dia tidak berdo‘a tentang perkara dosa atau memutuskan tali silaturrahim.

Namun perlu diketahui bahawa do‘a orang yang dizalimi adalah antara do‘a yang mudah diterima oleh Allah. Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan takutilah do‘a orang yang dizalimi, sesungguhnya do‘a orang yang dizalimi diterima (oleh Allah). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, jika benar Awang tidak ada melakukan sebarang kezaliman kepada bapa saudara Awang, maka tidaklah ada apa-apa yang perlu dirisaukan mengenai dengan sumpahan dan do‘a beliau itu. Apa yang lebih penting, Awang tetap berlaku baik kepada bapa saudara Awang itu dan berusaha untuk mengekalkan hubungan silaturrahim dengannya, termasuk mengadakan rundingan dari hati ke hati bagi menyelesaikan masalah tanah yang menurut dakwaannya adalah miliknya.

Tetapi jika benar Awang yang melakukan kezaliman kepada bapa saudara Awang dengan merampas haknya sekalipun dengan tidak sengaja, maka Awanglah yang berkewajipan mengembalikan haknya atau berunding dengannya seperti memohon keredhaannya atau menggantinya melalui pampasan dan sebagainya, kerana mengambil atau merampas tanah orang tanpa hak adalah dilarang dan haram hukumnya sebagaimana Amr bin Nufail Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa mengambil sejengkal tanah (seseorang) tanpa haknya, nescaya akan dikalungkan kepadanya tujuh petala bumi pada Hari Kiamat.

Semoga dengan penyelesaian-penyelesaian tersebut akan lebih memperbaiki tali persaudaraan antara Awang dan bapa saudara Awang sebagaimana yang dianjurkan dalam hadits daripada Sahl bin Mu‘adz bin Anas daripada bapa beliau Radhiallâhu ‘anhum, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perkara paling utama di antara perkara-perkara utama ialah engkau menyambungkan (tali persaudaraan) kepada sesiapa yang memutuskannya. (Hadits riwayat Ahmad)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12172