Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Pembedahan Plastik ‘Reconstructive’ Dan Implan Payudara Bagi Bekas Pesakit Kanser Payudara

Soalan: Penyakit kanser payudara adalah kanser yang paling sering dihidap dan merupakan penyebab utama kematian di kalangan wanita. Rawatan bagi penyakit kanser payudara ini pada lazimnya melibatkan pembedahan bagi membuang tisu kanser daripada bahagian payudara yang terjejas dan selalunya memerlukan seluruh bahagian payudara terpaksa dibuang melalui prosedur yang dinamakan ‘mastektomi’ (surgical removal of the whole affected breast) yang boleh meninggalkan kesan trauma di kalangan wanita kerana kehilangan anggota tubuh badan atau keilatan yang kekal.

Walau bagaimanapun, pembinaan semula payudara melalui pembedahan plastik reconstructive dan implan payudara boleh diberikan kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani mastektomi bagi tujuan kesejahteraan emosi dan fizikal pesakit yang memerlukannya. Pembinaan semula payudara adalah prosedur untuk mewujudkan semula payudara kepada bentuk, rupa dan saiz yang berhampiran asal, setelah mastektomi, dengan memasukkan bahan implan (silicone) ke dalam kulit dada bagi mengembalikan bentuk payudara.

Rawatan pembedahan plastik payudara ini telah terbukti dapat memberikan impak penyembuhan yang berkesan dari segi psikologi di kalangan bekas pesakit-pesakit kanser payudara terutama di kalangan wanita yang masih muda. Satu kajian juga mendapati bahawa wanita-wanita yang menjalani rawatan pembedahan plastik ini lebih berjaya meneruskan kehidupan selanjutnya dari segi psiko-sosial dan boleh berfungsi dengan baik secara fizikal tanpa kesakitan, berbanding dengan wanita yang tidak menjalani rawatan tersebut.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan pandangan, nasihat dan ketetapan Pehin Mufti dari segi Islam mengenai penggunaan implan dalam rawatan pesakit khususnya yang menghidap penyakit kanser payudara seperti yang telah dijelaskan di atas.

Jawapan: Rawatan Bagi Pesakit Kanser Payudara

Islam adalah agama yang menjaga kesejahteraan dan kebaikan umatnya. Dalam apa jua keadaan sekalipun, jika sesuatu perkara itu mendatangkan kemudharatan atau kesakitan kepada kehidupan manusia, maka ia hendaklah dihindari atau dirawat sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits tersebut menjadi dalil bahawa Islam tidak menginginkan sebarang kemudharatan yang boleh mengganggu atau menyusahkan kehidupan manusia. Maka, apa jua bentuk kemudharatan yang menimpa manusia itu perlu dihindari dan dielakkan sama ada kemudharatan itu terjadi terhadap diri sendiri atau diri orang lain. Hadits tersebut menjadi salah satu sumber pengambilan hukum syara‘ berdasarkan kaedah fiqh yang ditetapkan oleh para ulama daripada hadits berkenaan di mana apa jua bentuk kemudharatan atau kesusahan yang mengganggu kehidupan manusia itu hendaklah dihilangkan atau dielakkan. Adapun kaedah fiqh tersebut ialah:

Ertinya: Kemudharatan itu dihindarkan.

Merujuk kepada penyakit kanser payudara, sebagaimana yang diterangkan oleh pihak penyoal, ia merupakan penyebab utama kematian di kalangan wanita jika tidak dirawat sepertimana yang dinasihati oleh para pakar perubatan. Jelasnya, penyakit tersebut adalah satu kemudharatan yang wajib dihindari oleh penghidapnya supaya dapat kembali sihat untuk menjalani kehidupan seharian.

Sepertimana yang dijelaskan juga di dalam soalan, rawatan bagi pesakit kanser payudara itu ialah dengan pembedahan iaitu membuang tisu kanser daripada bahagian payudara yang terjejas dan selalunya memerlukan seluruh bahagian payudara yang terjejas itu terpaksa dibuang melalui prosedur yang dinamakan ‘mastektomi’ (surgical removal of the whole affected breast).

Maka berdasarkan hadits dan kaedah fiqh di atas, para pesakit kanser payudara adalah dituntut untuk merawat penyakit mereka sekalipun rawatan tersebut memerlukan seluruh bahagian payudara yang terjejas itu dibuang sama sekali jika kemudharatan yang mereka hadapi, kerana penyakit tersebut boleh mengancam nyawa mereka.

Hukum Pembedahan Reconstructive dan Implan Payudara Bagi Bekas Pesakit Kanser

Teknologi sekarang telah banyak membuka ruang kejayaan bagi para pengkaji dan pakar perubatan dalam memelihara kemashlahatan manusia sesuai dengan perkembangan ilmu kedoktoran dan hasil kajian yang diterokai oleh para saintis dan doktor. Adanya pakar perubatan berkelayakan yang mampu membuat pelbagai rawatan seperti pembedahan plastik hasil daripada kajian dan perkembangan ilmu kedoktoran tersebut telah memberi harapan kepada orang-orang yang kehilangan anggota tubuh badan untuk membaik pulih kecacatan yang mereka tanggung.

Membaik pulih kecacatan merupakan salah satu cara untuk menjaga kemashlahatan kehidupan manusia bagi menghilangkan kesengsaraan emosi atau fizikal yang ditanggung oleh mereka termasuk bekas pesakit kanser payudara.

Dalam erti lain, apabila pesakit kanser payudara itu telah menjalani rawatan mastektomi dan berjaya menangani kanser payudaranya, mereka akan menghadapi tekanan emosi kerana kehilangan sebahagian anggota tubuh badan. Walau bagaimanapun, kecacatan yang mereka tanggung akibat mastektomi tersebut boleh dibina semula melalui pembedahan plastik reconstructive (membentuk atau membina semula) dan implan payudara.

Pembedahan reconstructive dan implan payudara, sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan, bermaksud pembinaan atau pembentukan semula payudara yang merupakan satu prosedur untuk mewujudkan semula payudara kepada bentuk, rupa dan saiz yang berhampiran seperti asal, setelah mastektomi melalui beberapa teknik pembedahan plastik.

Berdasarkan kepada maklumat yang disertakan, kajian menunjukkan bahawa rawatan pembedahan reconstructive dan implan payudara ini terbukti dapat memberikan kesembuhan yang berkesan bagi bekas pesakit kanser payudara. Iaitu, bekas pesakit payudara boleh meneruskan kehidupan mereka selanjutnya dari segi kesejahteraan emosi dan boleh berfungsi dengan baik secara fizikal tanpa kesakitan, berbanding dengan wanita yang tidak menjalani rawatan ini.

Apabila dirujuk dan diteliti, pembedahan reconstructive dan implan payudara bagi bekas pesakit kanser payudara adalah termasuk dalam perkara merawat anggota badan yang rosak bagi menjaga kemashlahatan kehidupan manusia. Mashlahat atau mashlahah bererti mengambil manfaat atau faedah dan menolak mudharat dengan berlandaskan kepada matlamat syara‘. Adapun matlamat syara‘ bagi manusia itu ada lima perkara, iaitu:

1. Memelihara agama. 2. Memelihara nyawa. 3. Memelihara akal. 4. Memelihara keturunan. 5. Memelihara harta.

Setiap perkara atau tindakan yang mengandungi maksud memelihara mana-mana salah satu daripada lima perkara tersebut adalah mashlahah dan setiap perkara yang mengancam perkara-perkara ini adalah kerosakan dan menjauhkannya atau mencegahnya adalah satu mashlahah. (Al-Mustashfâ: 1/217)

Menurut Imam asy-Syathibi Rahimahullâh, hukum syara‘ itu disyariatkan adalah bertujuan untuk memelihara kemashlahatan manusia. Kemashlahatan manusia dari segi keutamaan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mashlahah dharûriyyah, mashlahah hâjiyyah dan mashlahah tahsîniyyah. (Al-Muwâfaqât: 2/275-276)

Mashlahah dharûriyyah ialah mashlahat yang memelihara keperluan asasi kehidupan manusia dan menjadi matlamat syara‘. Jika perkara tersebut tidak ada, kehidupan manusia akan tergendala bahkan akan timbul pelbagai kerosakan atau kebinasaan dan yang lebih berat lagi, ia boleh melenyapkan sama sekali kehidupan. Dari sudut yang lain pula, ketiadaannya boleh mengancam keselamatan dan menghilangkan keni‘matan sehingga membawa kepada kerugian. Ini terkandung dalam lima perkara di atas, iaitu: Agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Memelihara setiap satu perkara ini adalah wajib kerana ia merupakan keperluan asasi kehidupan manusia.

Mashlahah hâjiyyah ialah mashlahat yang memelihara keperluan sampingan manusia untuk memudahkannya menjalani kehidupan dan menghilangkan kesukaran. Jika perkara tersebut tidak ada, kehidupan manusia akan berada dalam kesukaran tetapi tidak pula ia menimbulkan kerosakan atau kebinasaan dalam kehidupan.

Mashlahah tahsîniyyah ialah mashlahat yang memelihara keselesaan dan keharmonian hidup yang selayaknya dan bersesuaian dengan akhlak yang mulia serta adat yang baik. Jika perkara tersebut tidak ada, kehidupan manusia akan dipandang menyalahi nilai-nilai akhlak yang mulia dan tidak mencapai taraf hidup yang bermartabat, tetapi tidak akan menimbulkan kerosakan atau kebinasaan dalam kehidupan mahupun menjadikan kehidupan berada dalam kesukaran.

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa rawatan pembedahan reconstructive dan implan payudara dapat memelihara kemashlahatan kehidupan bekas pesakit kanser dari segi mashlahah hâjiyyah.

Walaupun rawatan tersebut termasuk dalam kategori mashlahah hâjiyyah namun para ulama ada menetapkan satu kaedah fiqh di mana perkara hajat atau keperluan boleh menempati tempat dharurat, iaitu:

Ertinya: Hajat menempati tempat dharurat, sama ada secara umum atau khusus.

Tidak diragui lagi, harapan dan manfaat besar bekas pesakit kanser adalah untuk kembali semula sihat dan menjadi manusia normal. Harapan ini cerah dengan menjalani rawatan tersebut. Rawatan pembedahan reconstructive dan implan payudara merupakan satu mashlahat bagi bekas pesakit kanser payudara kerana rawatan ini boleh menstabilkan emosi dan mengembalikan fizikal mereka yang hilang supaya dapat menjalani kehidupan dengan tenang tanpa kesukaran.

Pembedahan pembentukan semula ini hanyalah untuk menghilangkan kecacatan yang baru mendatang terhadap kejadian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkara ini ada berlaku pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya itu dengan emas sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As‘ad, katanya:

Maksudnya: Hidungku telah tercedera (terpotong) ketika dalam peperangan al-Kulâb pada zaman jahiliyah, maka aku telah meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia mendatangkan bau busuk kepadaku, maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengarahkanku supaya aku membuat hidung (palsu) daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Tujuan penggantian hidung itu bukanlah semata-mata untuk kecantikan bahkan untuk mengelak kesukaran dan kemudharatan dalam kehidupan.

Berdasarkan penjelasan hadits dan keterangan-keterangan lain di atas, maka dapatlah difahami bahawa apa jua bentuk rawatan pembedahan plastik untuk membentuk semula anggota badan yang rosak atau dibuang bagi tujuan memenuhi kemashlahatan kehidupan manusia, seperti rawatan pembedahan plastik reconstructive dan implan payudara bagi bekas pesakit kanser payudara adalah harus dan tidak bercanggah dengan hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12176