Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Penasaban Anak Mengikut Kaedah 180 Hari/Enam Bulan Dua Lahzhah

Soalan: Saya ingin mengemukakan soalan berhubung isu penasaban anak dengan penggunaan kaedah kiraan 180 hari atau enam bulan dua lahzhah. Soalan saya:

1. Jika ibu bapa kandung pemohon perempuan mengakui bahawa anak tersebut dikandung dari persetubuhan haram sebelum bernikah, namun kiraan kelahiran melebihi 180 hari atau enam bulan dan dua lahzhah, bagaimanakah kedudukan anak tersebut dari segi perwalian dan perwarisan? Masihkah dianggap anak sah taraf dan bersambung nasab dengan lelaki yang mengahwini ibunya, bagi membolehkannya berwalikan lelaki tersebut dan saling mewarisi?

2. Apakah kaedah kiraan 180 hari atau enam bulan dua lahzhah itu juga terpakai bagi nasab anak-anak yang mu‘allaf dari perkahwinan bukan secara Islam?

Jawapan: 1. Nasab Bagi Anak Yang Diakui Hasil Zina Namun Lahir Lebih 180 Hari Dari Tarikh Nikah

Menasabkan anak dengan betul adalah wajib menurut syara‘ kerana ia akan berkait rapat dengan wilâyah nikah (perwalian nikah), pembahagian harta waris, hukum pergaulan seperti batas-batas aurat, masalah batal wudhu’ dan lain-lain. Kewajipan untuk menjaga nasab atau keturunan adalah supaya tidak berlaku kesamaran dan kekeliruan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam.

Larangan menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar dijelaskan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Allah Ta‘ala tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maula kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 4-5)

Larangan tentang perbuatan ini juga dijelaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘d bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Dalam Islam; sesiapa yang mengakui orang lain yang bukan bapanya sebagai bapa, (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram ke atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Nasab Melalui Akad Nikah

Salah satu cara pentsabitan nasab ialah melalui ikatan pernikahan yang sah. Yang dimaksudkan dengan akad nikah yang sah di sini ialah pernikahan yang mengikut kehendak hukum syara‘ jika pasangan tersebut adalah orang Islam. Jika mereka bukan beragama Islam, maka perkahwinan yang dikira sah adalah perkahwinan yang dilakukan mengikut agama atau adat orang bukan Islam itu.

Bagi penetapan nasab melalui firâsh (ikatan pernikahan), hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah (satu lahzhah untuk jimâ‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan). Pengiraan enam bulan qamariah dan dua lahzhah hendaklah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jimâ‘) setelah mempunyai akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘ala Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 8/184-185 dan Mughni al-Muhtâj: 3/429-430)

Dengan demikian, para ulama telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan dan dua lahzhah atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka tsabitlah nasab anak tersebut kepada suami perempuan berkenaan dan berjalanlah segala hukum nasab ke atasnya. Begitu pula sebaliknya, mana-mana anak yang dilahirkan kurang dari tempoh enam bulan dan dua lahzhah dari tarikh mereka bersatu setelah akad nikah yang sah, maka anak itu tidak bersambung nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami kepada perempuan yang melahirkannya. Ia hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja. Maka jika hendak dibinkan atau dibintikan, bolehlah kepada ibunya atau kepada nama Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh al-Husnâ.

Nasab Anak Bagi Kehamilan Yang Terjadi Sebelum Akad Nikah

Apabila perempuan yang berzina hamil kemudian dia bernikah, bagaimanakah kedudukan nasab anak yang dikandungnya sebelum akad nikah itu?

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd Aziz, bekas Mufti Kerajaan Brunei, menyebutkan dalam fatwa beliau bilangan: 03/1967, beliau menyatakan:

“Yang pertama: Tiap-tiap perempuan yang mempunyai laki yang boleh memberi kandung akan dia, maka apabila perempuan itu beranak lepas enam bulan dan dua lahzhah (saat) dari masa ia boleh bersatu dengan perempuan itu dan sebelum lalu empat tahun dari bersatu keduanya, maka bersambunglah nasab kanak-kanak itu kepadanya dengan zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hukum nasab ke atasnya.

Yang kedua: Anak yang dikeluarkan oleh perempuan itu yang kurang dari masa enam bulan dari masa boleh bersatu keduanya atau lebih dari empat tahun, maka tiadalah bersambung nasab kanak-kanak itu kepada lelaki itu (lakinya) dan tiadalah berjalan sesuatu hukum nasab ke atasnya.

Apabila diketahui akan dua perkara yang di atas ini, maka perempuan yang berzina itu apabila ia mengandung dari kelakuan zina kemudian ia kahwin dan beranak, maka jika anak itu termasuk dalam bahagian yang kedua, nescaya tiadalah anak itu menyambung nasabnya kepada lakinya itu pada zahirnya dan bathinnya iaitu sekira-kira perempuan itu beranak dalam masa kurang dari enam bulan dari masa boleh dia bersatu dengan lakinya lepas akad atau ia beranak dalam masa lebih dari empat tahun dari masa boleh bersatu keduanya itu.

Jika kanak-kanak itu dari bahagian yang pertama iaitu sekira-kira perempuan itu beranak dalam masa enam bulan atau lebih dan kurang dari masa empat tahun nescaya nasab kanak-kanak itu menyambung akan lakinya itu pada zahir sahaja, sekalipun perempuan itu mengaku kandungan itu dari kelakuan zina dan suaminya benarkan pengakuan isterinya itu dan sekalipun zahir tanda-tanda mengandung sebelum akad nikahnya itu.”

Perkara isteri mengaku hamil akibat zina sebelum bernikah dan anak tersebut dilahirkan melebihi enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah setelah berlaku akad nikah yang sah antara mereka suami isteri, juga ada disebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn iaitu:

Jika seorang lelaki bernikah dengan perempuan yang hamil daripada zina, kemudian perempuan itu sempurna melahirkan anak tersebut cukup enam bulan atau lebih sehingga empat tahun daripada masa boleh berlakunya persetubuhan, dan suami belum melakukan istibrâ’ (menanti dalam satu tempoh iaitu dengan sekali pusingan haidh bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada kehamilan) selepas itu, maka kedudukan anak tersebut adalah bersambung dengan suami dan haram suami menafikannya bahkan menafikannya itu adalah satu dosa besar, dan terdapat riwayat menyatakan bahawa menafikannya dihukumkan kufur jika kuat sangkaannya bahawa anak itu adalah daripadanya, bahkan anak itu bersambung dengan suami menurut hukum firâsh (pernikahan yang sah), sebagaimana juga, jika suami mengetahui perempuan itu berzina dan terdapat kemungkinan kandungan itu daripadanya atau daripada zina, dan tiadalah dipakai kesangsian yang didapatinya tanpa ada qarînah.

Maka kesimpulannya, anak yang dilahirkan oleh perempuan yang berada dalam pernikahan yang sah adalah dihubungkan nasabnya secara muthlaq kepada suaminya jika boleh berlaku anak itu datang daripadanya, dan tiada ternafi anak itu daripadanya melainkan dengan cara li‘ân dan penafian, yang adakalanya dihukumkan wajib, haram dan harus. Dan tiadalah dipakai iqrâr (pengakuan) perempuan bahawa dia berzina, sekalipun suaminya membenarkan pengakuannya itu dan sekalipun nyata petanda-petandanya. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 291)

Jadi, dapat difahami bahawa jika perempuan yang mengaku hamil hasil daripada zina sebelum dia bernikah dan anak tersebut lahir setelah enam bulan atau 180 hari selepas berlakunya akad nikah yang sah bersama suaminya, maka nasab anak tersebut adalah dihubungkan secara zahir kepada suami perempuan itu jika boleh berlaku anak itu datang daripadanya, dan berjalanlah segala hukum nasab ke atasnya seperti pembahagian harta waris, perwalian dan sebagainya. Dalam hal ini, suami tidak boleh menafikan nasab anak tersebut melainkan dengan cara li‘ân sekalipun perempuan itu mengaku kandungan itu dari kelakuan zina dan suaminya membenarkan pengakuan isterinya itu dan sekalipun juga zahir tanda-tanda mengandung sebelum akad nikahnya itu.

2. Apakah Kiraan 180 Hari Juga Diguna Pakai Bagi Nasab Anak-Anak Mu’allaf Dari Perkahwinan Bukan Secara Islam?

Jika orang bukan Islam menghadapkan urusan mereka berkenaan perkahwinan atau selainnya kepada orang Islam, wajib dijalankan ke atas mereka hukum-hakam Islam. Berbeza jika mereka tidak menghadapkan urusan mereka itu kepada orang-orang Islam, maka hendaklah mereka dibiarkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/300-1)

Firman Allah:

Tafsirnya: Dan hendaklah engkau menetapkan hukum di antara mereka mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah. (Surah al-Mâ’idah: 49)

Setiap perkahwinan orang bukan Islam yang dilakukan mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka adalah diiktiraf oleh Islam sebagai pernikahan yang sah. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan pernikahan orang-orang kafir itu (dihukumkan) sah menurut (pendapat) yang shahîh. (Minhâj ath-Thâlibîn: 2/460)

Maksudnya, dihukumkan pernikahan orang-orang kafir itu sah merupakan rukhsah (keringanan) kerana pada asalnya, pernikahan mereka itu adalah sah menurut agama mereka sepertimana juga pernikahan orang-orang Islam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/463)

Ini dikuatkan lagi dengan contoh-contoh dalam al-Qur’an bagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengiktiraf perkahwinan mereka walaupun pada ketika itu mereka masih lagi dalam keadaan kafir sepertimana yang disebutkan bahawa perempuan-perempuan yang dinikahi oleh orang-orang kafir itu juga disebut sebagai isteri mereka walaupun perkahwinan tersebut tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Antaranya:

i. Isteri Fir‘aun yang disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (tatkala melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir‘aun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu.” (Surah al-Qashash: 9)

ii. Isteri Abu Lahab yang disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan juga isterinya (isteri Abu Lahab) seorang perempuan pemunggah kayu api. (Surah al-Lahab: 4)

Kedudukan Nikah Orang Kafir Apabila Masuk Islam

Apabila orang kafir masuk Islam, Islam mengiktiraf perkara yang mereka lakukan semasa kekafiran mereka sekiranya perkara tersebut memang ada diiktiraf dalam Islam. Namun jika perkara tersebut tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia menjadi batal dan tidak diterima pakai. Sebagai contoh, Islam mengiktiraf pernikahan mereka tanpa wali dan saksi, serta dihukumkan sah, tetapi tidak mengiktiraf pernikahan mereka sesama mahram dan membatalkannya. Atau sekiranya mereka menghimpunkan dua adik beradik perempuan di dalam satu ikatan pernikahan sebelum Islam, maka apabila mereka masuk Islam, Islam memerintahkannya memilih salah seorang kerana pernikahan sedemikian tidak selari dengan hukum syara‘. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/301)

Jadi, apabila sepasang suami isteri yang kafir memeluk agama Islam bersama-sama, maka pernikahan yang dilakukan pada ketika masih kafir itu adalah diikitiraf dalam Islam dan mereka tidak dikehendaki memperbaharui pernikahan tersebut, walaupun pernikahan yang dilakukan itu tanpa wali atau saksi, kecuali pernikahan itu pernikahan yang diharamkan dalam Islam seperti pernikahan senasab, sesusuan atau mushâharah dan sebagainya. Begitulah yang dipraktikkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada mereka yang memeluk Islam pada zaman Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengakui pernikahan mereka tanpa bertanyakan syarat-syarat yang ada pada pernikahan mereka. (Al-Majmû‘: 17/409)

Keadaan ini diperjelaskan lagi dengan sebuah hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Bahawasanya seorang sahabat bernama Ghailan bin Salamah ats-Tsaqafi memeluk Islam, pada waktu itu dia mempunyai sepuluh orang isteri dan kesemua isterinya masuk Islam bersamanya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun memerintahkan kepadanya supaya memilih empat orang sahaja daripada mereka itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Daripada hadits tadi jelas bahawa pernikahan orang kafir adalah dihukumkan sah walaupun setelah mereka masuk Islam. Mereka tidak disuruh untuk memperbaharui nikah mereka setelah masuk Islam melainkan pada pernikahan itu terdapat di antara perempuan-perempuan yang haram dihimpunkan untuk dijadikan isteri dan haram mempunyai isteri lebih daripada empat orang perempuan. (Tuhfah al-Ahwazi: 4/ 213)

Maka, jika perkahwinan mereka semasa kafir telah ditsabitkan sah oleh Islam, ditsabitkanlah juga dengan perkahwinan tersebut segala hukum yang berkait dengan pernikahan orang-orang Islam apabila mereka masuk Islam, seperti kewajipan nafkah, perwarisan, penetapan nasab, pengharaman persemendaan, pengguguran thalaq dan kiraan ‘iddah. (Al-Majmû‘: 17/409 dan Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/624)

Umpamanya, seorang kafir menceraikan isterinya dengan thalaq tiga semasa masih kafir, kemudian menikahinya semula tanpa isteri itu berkahwin dengan suami baru, lalu apabila kedua-duanya masuk Islam, Islam memerintahkan agar mereka dipisahkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/298)

Nasab Anak Yang Lahir Daripada Perkahwinan Bukan Islam

Sepertimana yang telah diterangkan, jika perkahwinan orang bukan Islam semasa kafir telah ditsabitkan sah oleh Islam, ditsabitkanlah juga dengan perkahwinan tersebut segala hukum yang berkait dengan pernikahan orang-orang Islam. Ini termasuk penetapan nasab.

Oleh itu, kiraan enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah dalam pentsabitan nasab yang dikira dari tarikh pernikahan hingga anak dilahirkan juga diguna pakai bagi orang kafir yang masuk Islam. Ini kerana pentsabitan nasab yang kurang daripada enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah adalah tidak diiktiraf dalam Islam, sedang perkara yang tidak diiktiraf dalam Islam yang dilakukan oleh orang kafir semasa kekafiran mereka, adalah dibatalkan dan tidak diterima pakai apabila mereka memeluk Islam, sebagaimana yang telah diterangkan.

Maka apabila mereka memeluk Islam, anak yang lahir cukup enam bulan dan dua lahzhah atau lebih dari tarikh perkahwinan mereka yang diiktiraf sah, adalah dinasabkan kepada lelaki yang mengahwini ibunya.

Maka, apabila telah tsabit nasab, tsabitlah juga segala hukum nasab ke atasnya seperti pembahagian harta waris, perwalian dan sebagainya. Manakala anak yang lahir kurang daripada enam bulan atau 180 hari dan dua lahzhah dari tarikh perkahwinan mereka yang diiktiraf sah, tidak dinasabkan kepada lelaki yang mengahwini ibunya, maka menurut hukum syara‘, nasab anak tersebut hanya tsabit kepada ibunya sahaja.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12180