Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penghantaran Mahasiswi Belajar Ke Luar Negeri

Soalan: Apakah hukumnya bagi pelajar perempuan belajar ke luar negeri, lebih-lebih lagi jika ilmu yang hendak dituntut ada dalam negeri sendiri?

Ini kerana pihak universiti telah melaksanakan perkara di atas, maka bagi saya adalah satu kewajipan untuk memastikan adakah perkara tersebut boleh dilakukan atau sebaliknya? Saya berpendapat bahawa ia tidak boleh dilakukan memandangkan perkara itu menghampiri kepada zina lebih-lebih lagi sebaik-baik tempat perempuan adalah di rumah setelah saya mengamati beberapa ayat-ayat al-Qur’an dan hadits.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan penjelasan Pehin Mufti mengenainya agar dapat saya sampaikan kepada pegawai-pegawai lain di universiti ini akan hukum yang sebenarnya.

Jawapan: Ilmu merupakan aset paling penting yang perlu dimiliki oleh setiap insan bagi mendapatkan kejayaan hidup di dunia dan memperolehi kebahagiaan di akhirat. Tanpa ilmu, hidup seseorang itu tidak akan terarah ke jalan yang lurus dan boleh mengakibatkan kerugian dan kehancuran. Agama Islam sendiri sangat menitikberatkan keperluan untuk memperolehi dan mempunyai ilmu. Ini dapat dilihat melalui hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyebut bahawa menuntut ilmu itu merupakan fardhu ‘Ain ke atas setiap umat Islam.

Hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Menuntut ilmu itu merupakan satu kewajipan ke atas setiap orang Muslim. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Keutamaan menuntut ilmu juga ada dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Shafwan bin ‘Assal al-Muradi Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiada seorang yang keluar dari rumahnya kerana menuntut ilmu kecuali malaikat meletakkan sayap-sayapnya ke atas orang berkenaan kerana redha dengan apa yang dilakukannya. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Malahan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengiktiraf dan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu di kalangan para hambaNya sepertimana dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Nescaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Surah al-Mujâdalah: 11)

Kesimpulannya, menuntut ilmu merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap insan terutama yang berkaitan dengan ilmu fardhu ‘Ain. Ia tidak dikhususkan hanya untuk kaum lelaki sahaja malah kaum perempuan juga adalah dituntut untuk menuntut ilmu selagi mereka tidak melanggar perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘.

Kelebihan Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu biarpun di mana tempatnya jika dengan niat dan tujuan yang baik tetap akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Mereka yang menuntut ilmu sama ada ilmu fardhu ‘Ain atau fardhu Kifayah di luar dari rumah atau negerinya adalah dianggap sebagai seorang yang berada di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang keluar (dari rumahnya atau negerinya) kerana menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Disebutkan juga bahawa adalah mustahabb (sunat) melakukan pelayaran untuk tujuan menuntut ilmu. Mereka yang keluar semata-mata untuk mencari apa jua jenis ilmu agama tidak mengira banyak atau sedikit dengan niat taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan manfaat serta memanfaatkannya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga. (Tuhfah al-Ahwadzi: 7/384)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dinyatakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan barang siapa yang menempuhi jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mempermudahkan baginya dengan ilmu itu jalan menuju ke syurga. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

Daripada penerangan di atas, dapat difahami bahawa kelebihan menuntut ilmu itu amatlah besar kedudukannya di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sehingga dimudahkan ke atas orang tersebut dengan ilmunya itu jalan untuk menuju ke syurga dengan syarat niat dan tujuannya untuk menuntut ilmu itu adalah baik. Tambahan lagi, di mana ilmu itu boleh diperolehi sama ada dekat atau pun jauh tidaklah menjadi halangan bahkan sunat sama ada lelaki ataupun perempuan membuat pelayaran untuk tujuan menuntut ilmu selagi mana tidak bercanggah dengan hukum-hakam syara‘.

Sekarang timbul persoalan mengenai dengan hukum penghantaran penuntut perempuan ke luar negeri untuk menuntut ilmu sedangkan ilmu yang hendak dipelajari itu ada di dalam negeri sendiri. Apakah tindakan menghantar para mahasiswi untuk belajar ke luar negeri oleh pihak universiti itu bertepatan dengan kehendak syara‘? Berikut adalah huraiannya:

Menghantar Mahasiswi Belajar Ke Luar Negeri

Dalam membangun dan memajukan negara, pelbagai usaha dan strategi telah disusun oleh pihak kerajaan mengenainya termasuk merancang pembangunan sumber tenaga manusia yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran. Antara langkah yang dibuat ialah menyediakan kemudahan melanjutkan pengajian ke luar negeri untuk menimba pengalaman selain meningkatkan tahap akademik.

Seperti yang dijelaskan di atas, menuntut ilmu adalah menjadi satu kewajipan ke atas setiap insan malahan sunat hukumnya membuat pelayaran untuk menuntut ilmu. Ini menunjukkan juga bahawa menghantar orang yang menuntut ilmu untuk belajar ke luar negeri itu tidaklah ditegah oleh syara‘ melainkan penghantaran tersebut akan menyebabkan penuntut yang dihantar itu tidak dapat melaksanakan tanggungjawab agama dengan sempurna, susahnya untuk mendapatkan makanan halal atau terdedah baginya untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Apa yang perlu dalam perkara ini, pihak universiti yang membuat perancangan untuk menghantar para mahasiswa atau mahasiswinya ke luar negeri hendaklah mengurus dan menyelia penghantaran mereka dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati serta bijaksana.

Hal tanggungjawab seorang pemimpin atau pentadbir sesebuah organisasi kepada orang-orang yang dipimpinnya ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Setiap kamu adalah pemimpin, maka kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemimpin adalah yang menjaga hal ehwal orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah penjaga rumah suaminya dan anak suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tanggungjawab Pihak Penghantar (Penaja)

Setakat yang difahami, penghantaran para penuntut ke luar negeri dengan diberikan dermasiswa oleh penaja sama ada pihak kerajaan atau swasta adalah mengikut penilaian prestasi pembelajaran masing-masing. Jika keputusan peperiksaan mereka itu menepati syarat-syarat dermasiswa belajar di luar negeri, maka para penuntut ini akan ditawarkan dermasiswa tersebut bagi mengikuti kursus pembelajaran di luar negeri. Dalam hal ini, tawaran dermasiswa tersebut adalah tertakluk kepada penuntut berkenaan sama ada untuk menerima tawaran tersebut ataupun sebaliknya.

Dapat diperhatikan di sini, kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang menawarkan dermasiswa (penaja) dan pihak yang menerimanya perlu tahu tanggungjawab atau kewajipan masing-masing supaya tindakan menghantar dan menuntut di luar negeri itu selaras dengan hukum syara‘.

Merujuk kepada soalan di atas, perkara yang menjadi kemusykilan penyoal ialah adakah tindakan pihak universiti menghantar mahasiswinya belajar ke luar negeri itu boleh dilakukan atau sebaliknya dalam keadaan kursus pengajian yang ditawarkan itu terdapat juga di dalam negara.

Sebagaimana dijelaskan di atas, pada dasarnya menghantar mahasiswa atau mahasiswi ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran adalah harus lebih-lebih lagi jika pihak universiti berpendapat ia adalah sesuatu yang mustahak dilaksanakan. Sekalipun demikian, pihak penghantar juga perlu mengambil kira perkara-perkara penting mengenainya seperti:

1. Tempat belajar atau mengikuti pengajian itu mestilah sebuah negara yang aman dan selamat untuk didiami serta terdapat Kedutaan Negara Brunei Darussalam atau wakil Kerajaan yang menetap di negara berkenaan. Ini bererti, walaupun tempat untuk mengikuti pengajian itu bukan di negara Islam, namun jika terdapat komuniti Islam di negara tersebut yang hidup dengan aman dan damai di dalam kelompok masyarakat majoriti yang bukan beragama Islam dengan diselia oleh pihak kedutaan atau wakil kerajaan, maka itu adalah memadai.

Dalam pada itu, hendaklah juga dipastikan negara tersebut bebas daripada gangguan yang boleh mencemarkan aqidah dan maruah penuntut berkenaan dan bebas daripada undang-undang atau peraturan yang melarang orang Islam melaksanakan tuntutan agama dan menzahirkan syi‘âr agama seperti mendirikan sembahyang dan melarang pemakaian tudung bagi kaum perempuan.

Jika negeri tempat pengajian itu boleh mengancam keselamatan agama dan iman penuntut berkenaan seperti memaksanya melakukan perkara yang bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam umpamanya mewajibkan pergi ke gereja atau melarang menutup aurat seperti memakai jilbâb atau tudung kepala bagi wanita atau mensyaratkan pergi ke acara-acara sosial yang mengandungi perkara maksiat, maka belajar di negeri tersebut adalah ditegah.

Di samping itu, terdapat kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan tentang keutamaan menghindari kerosakan atau kemudharatan sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir:

Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada menarik (apa jua) kemashlahatan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/217)

Ini bererti, walaupun kualiti ilmu sesuatu tempat pengajian yang hendak dibuat penghantaran itu sangat cemerlang dan diiktiraf dunia tetapi tempat dan persekitaran negeri tersebut dalam keadaan tidak aman dan boleh menganggu aqidah Islam penuntut yang dihantar, maka sebarang penghantaran ke tempat berkenaan hendaklah dihindari kerana ia boleh memudharatkan keadaan penuntut berkenaan.

2. Perjalanan atau pelayaran yang dibuat ke tempat yang dituju termasuk penempatan sementara atau untuk sepanjang tahun pengajian mereka ditempat tersebut, hendaklah dipastikan selamat dan aman daripada bahaya.

Umpamanya, ada pihak yang menyelia urusan penerbangan mereka dan ada pihak yang mengurus para mahasiswi tersebut setiba mereka di negara asing seperti pihak-pihak kedutaan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan perjalanan mereka ke tempat yang akan dituju dan tempat penginapan mereka di negara berkenaan adalah selamat.

Dalam pada itu, pihak berkenaan juga perlu memastikan bahawa tempat tinggal dan tempat pengajian penuntut mempunyai kemudahan untuk memperolehi makanan yang halal. Perkara ini penting demi menjaga kemashlahatan penuntut berkenaan supaya tidak timbul kesulitan bagi mereka untuk mendapatkan makanan yang halal di kawasan itu.

3. Terdapat kelebihan atau manfaat yang bakal diperolehi oleh penuntut yang dihantar belajar ke luar negeri itu berbanding jika hanya belajar di dalam negara sendiri walaupun kursus yang hendak dipelajari itu ada ditawarkan di dalam negeri. Ini bererti penghantaran tersebut mempunyai tujuan yang berfaedah dan ada kepentingannya kepada agama, negara dan masyarakat bukan setakat menghantar atas dasar tinggi markah dalam peperiksaan semata-mata untuk melayakannya mendapat dermasiswa yang ditawarkan.

Sebagai Irsyâd

Pihak yang menawarkan dermasiswa atau penaja perlu juga mengambil inisiatif ke arah usaha meningkatkan kualiti mahasiswa dan mahasiswi yang akan dihantar itu bukan hanya berbekalkan ilmu akademik semata-mata, malahan ilmu agama dan adab sopan juga perlu dititikberatkan pada setiap calon beragama Islam yang terpilih. Ini kerana, jika diperhatikan, belajar dan tinggal di luar negeri itu lebih mudah terdedah dan terdorong kepada perkara-perkara yang boleh mencemarkan aqidah dan maruah seseorang itu, lebih-lebih lagi jika dia dihantar ke negeri yang tidak mengamalkan ajaran Islam.

Untuk memastikan setiap calon beragama Islam yang dihantar itu dapat mengamalkan ajaran Islam dengan betul apabila berada di luar negara seperti kewajipan sembahyang lima waktu, mengambil makanan halal, berpakaian menutup aurat dan menjaga pergaulan, maka pihak penaja boleh mengatur kursus penghayatan agama atau yang sebanding dengannya bagi mengukuhkan lagi ilmu agama mereka dalam menangani perkara yang berkaitan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam. Ini kerana calon yang kurang berpengetahuan agama ditakuti akan mudah lalai dan terpengaruh dengan agama dan budaya yang bertentangan dengan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12184