Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Persoalan Mengenai Bacaan Surah Al-Fâtihah Dan Tahiyyat Akhir Dalam Sembahyang Berjemaah

Soalan: Dalam sembahyang berjemaah, adakah makmum wajib menghabiskan bacaan al-Fâtihah sama ada masih banyak atau sedikit ayatnya jikalau imam sudah ruku‘? Begitu juga dengan tahiyyat akhir, adakah makmum wajib menghabiskan bacaan jikalau imam sudah memberi salam?

Jawapan: Surah al-Fâtihah adalah sebahagian daripada perkara rukun yang wajib disempurnakan dalam ibadat sembahyang. Sama ada seseorang itu mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat, sembahyang secara bersendirian atau berjemaah, sembahyang sirriyyah atau jahriyyah, surah al-Fâtihah wajib dibaca pada setiap rakaat sembahyang. (Mughni al-Muhtâj: 1/353 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/235)

‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fâtihah al-Kitâb (surah al-Fâtihah). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun tahiyyat itu, ia adalah antara lafaz yang dibaca ketika duduk tasyahhud awal dan akhir dalam sembahyang. Membaca tasyahhud akhir dan duduk pada rakaat terakhir sebelum mengucapkan salam adalah wajib kerana sebagaimana membaca surah al-Fâtihah, kedua-duanya juga merupakan perkara rukun dalam ibadat sembahyang. (Mughni al-Muhtâj: 1/377 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/287-291)

Keadaan Makmum Dalam Sembahyang Berjemaah

Dalam sembahyang berjemaah, hukum asal membaca surah al-Fâtihah ke atas makmum adalah wajib, namun kewajipan untuk menyempurnakan atau menghabiskan bacaan surah al- Fâtihah ke atasnya adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan makmum itu sendiri.

Keadaan makmum dalam sembahyang berjemaah terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Muwâfiq, iaitu makmum yang mempunyai kesempatan masa untuk membaca surah al- Fâtihah - tatkala imam dalam keadaan al-qiyâm (berdiri) sama ada pada rakaat yang pertama atau selainnya - menurut kadar kecepatan bacaan yang sederhana cepat bagi kebanyakan orang.

2. Masbûq, iaitu makmum yang tidak mempunyai kesempatan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah - tatkala imam dalam keadaan al-qiyâm sama ada pada rakaat pertama atau selainnya - menurut kadar kecepatan bacaan menurut ‘urf sederhana cepat bagi kebanyakan orang. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Ibadi: 2/379 dan Fath al-‘Allâm: 2/454 & 459-460)

Al-Jurdani Rahimahullâh menerangkan keadaan tidak mempunyai kesempatan untuk membaca surah al-Fâtihah berlaku dalam tiga keadaan berikut:

1. Imam dalam keadaan ruku‘ ketika makmum mengangkat takbîr.

2. Imam ruku‘ sebaik sahaja makmum mengangkat takbîr.

3. Makmum mengangkat takbîr dan tidak lama selepas itu imam ruku‘. (Fath al-‘Allâm: 2/454)

Keadaan muwâfiq dan masbûq itu boleh berlaku sama ada pada rakaat pertama atau pada rakaat-rakaat yang lain.

Sebagai contoh, makmum yang ketinggalan dan tidak mengiringi perbuatan imam kerana keuzuran umpamanya disebabkan oleh bacaannya yang lambat, dia dalam hal ini dikehendaki meneruskan sembahyang mengikut urutan perbuatannya sendiri. Apabila dia bertemu semula dengan perbuatan imamnya yang sedang berdiri membaca surah al-Fâtihah pada rakaat yang berikutnya, maka jika dia masih mempunyai ruang masa untuk membaca surah al-Fâtihah dia adalah dikira muwâfiq. Tetapi jika sebaliknya, maka dia dikira masbûq. (Hawâsyi asy- Syarwani wa al-‘Ibadi: 2/379, Nihâyah al-Muhtâj: 2/227 & Fath al-‘Allâm: 2/460)

Selain daripada pengertian di atas, istilah muwâfiq dan masbûq juga digunakan untuk merujuk kepada keadaan makmum yang masuk mengerjakan sembahyang berjemaah sama ada pada rakaat yang pertama atau selainnya. Jika makmum mengangkat takbîratul-ihrâm pada rakaat pertama imam, maka dia dianggap muwâfiq. Manakala jika dia masuk sembahyang berjemaah setelah berlalu satu rakaat atau lebih, dia dikira masbûq. (Qâmûs al-Fiqhi Lughatan wa Ishthilâhan: 165) Dalam kitab fiqh, istilah muwâfiq dan masbûq menurut pengertian ini diisyaratkan sebagai muwâfiq dan masbûq haqîqiy. Sementara istilah muwâfiq dan masbûq dalam konteks makmum mempunyai kesempatan untuk membaca surah al-Fâtihah atau sebaliknya dinamakan sebagai muwâfiq dan masbûq hukmiy. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al- ‘Ibadi: 2/379)

Bacaan al-Fâtihah Ke Atas Makmum Yang Muwâfiq Dalam keadaan makmum yang bersifat muwâfiq (mempunyai kesempatan masa untuk membaca surah al-Fâtihah), apabila imam telah ruku‘ sedangkan makmum belum sempurna membaca surah al-Fâtihah disebabkan keuzuran, makmum tidaklah dikehendaki untuk turut ruku‘ bersama imam. Sebaliknya, makmum wajib takhalluf atau membiarkan dirinya ketinggalan daripada imam bagi menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah. Dia tetap dikira sempurna mengerjakan satu rakaat sekalipun ketika dia (makmum) ruku‘, imam tidak lagi berada dalam keadaan ruku‘.

Selepas membaca surah al-Fâtihah dengan sempurna, makmum hendaklah meneruskan sembahyang mengikut urutan perbuatan sembahyangnya sendiri.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa makmum tidak boleh kelambatan daripada imamnya sehingga ketinggalan tiga rukun fi‘li yang panjang.

Sebagai contoh, imam sudah mula berdiri pada rakaat kedua sedang makmum masih berdiri pada rakaat pertama membaca surah al-Fâtihah disebabkan bacaannya yang kurang lancar. Tiga rukun fi‘li imam yang panjang yang dimaksudkan dalam hal ini ialah ruku‘, sujud pertama dan sujud kedua. Adapun i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud tidaklah dikira sebagai rukun fi‘li yang panjang.

Apabila makmum ketinggalan tiga rukun fi‘li yang panjang daripada imamnya, dia hendaklah berhenti membaca surah al-Fâtihah dan terus sahaja mengikuti atau mengiringi perbuatan sembahyang imam. Dalam ertikata yang lain, makmum tidak perlu melakukan atau meneruskan perbuatan-perbuatan sembahyangnya sendiri yang belum dilaksanakannya, bahkan dia hendaklah terus mengikut perbuatan imam yang sedang berdiri pada rakaat kedua.

Setelah imam selesai memberi salam, makmum hendaklah berdiri semula bagi menggantikan rakaat yang telah tertinggal disebabkan kelambatannya itu. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al- ‘Ibadi: 2/377-378, Nihâyah al-Muhtâj: 2/225-226, Mughni al-Muhtâj: 1/507 dan Fath al- ‘Allâm: 2/461)

Masalah Makmum Terlambat Daripada Imam

Perkara makmum terlambat daripada imam adalah perkara yang perlu diberikan perhatian kerana ia bersangkutan dengan kedudukan sah atau batalnya sembahyang seseorang.

Makmum yang tiada keuzuran, jika dia membiarkan dirinya kelambatan daripada imamnya sehingga menyebabkannya ketinggalan dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang atau pendek, sembahyangnya menjadi batal kerana ketinggalannya itu dianggap ketinggalan yang terlalu banyak. Namun, tidak batal sembahyang makmum berkenaan jika kelambatan itu adalah disebabkan keuzuran. (Mughni al-Muhtâj: 1/506-7)

Keuzuran yang dimaksudkan dalam hal ini ialah seperti keuzuran makmum yang lambat mengikut imamnya disebabkan bacaan imam yang terlalu cepat atau disebabkan makmum sendiri yang sama ada lambat membaca surah al-Fâtihah atau bacaannya yang kurang lancar. Tidak termasuk dalam maksud keuzuran dalam hal ini makmum yang was-was membaca surah al-Fâtihah atau yang terlambat disebabkan kesibukannya membaca do‘a al-Iftitâh dan at-ta‘awwudz ( ّ الشَيْطحان ّ الرَجّيمحأحعُوذ ُ بّلل ّ مّن ) sebelum membaca surah al-Fâtihah. Juga tidak termasuk dalam maksud keuzuran itu kelambatan makmum daripada imamnya disebabkan perbuatannya membaca surah selepas dia membaca surah al-Fâtihah atau disebabkan dia membaca bacaan tasbîh ruku‘ dan sujud. (Mughni al-Muhtâj: 1/507)

Maka, sebagaimana diterangkan di atas, dalam hal makmum yang kelambatan daripada imamnya kerana keuzuran, makmum wajiblah menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah dan dia tidak harus memutuskan bacaannya semata-mata kerana ingin mengiringi perbuatan imamnya. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa dia tidak pula harus kelambatan daripada imamnya sehingga ketinggalan tiga rukun fi‘li yang panjang. Sekiranya makmum ketinggalan tiga rukun fi‘li yang panjang daripada imamnya, baharulah dia perlu berhenti daripada membaca surah al-Fâtihah dan dia hendaklah terus mengikuti atau mengiringi perbuatan sembahyang imam. Rakaat yang tidak disempurnakan itu hendaklah digantikan setelah imam selesai memberi salam.

Makmum Yang Masbûq

Dalam keadaan masbûq (tidak mempunyai kesempatan masa untuk membaca surah al- Fâtihah), hukum menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah ke atas makmum adalah tertakluk kepada dua keadaan berikut:

1. Makmum masbûq yang tidak membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz selepas takbîratul-ihrâm:

Jika imam ruku‘ ketika makmum sedang membaca surah al-Fâtihah, maka makmum hendaklah memutuskan bacaan surah al-Fâtihah dan terus sahaja mengikut imam melakukan ruku‘.

Begitu juga, jika makmum mendapati imamnya telah ruku‘ setelah dia (makmum) mengangkat takbîr, ataupun imamnya ruku‘ sejurus sahaja dia mengangkat takbîr (dalam kedua-dua keadaan ini makmum langsung tidak sempat membaca surah al- Fâtihah), maka dia hendaklah terus sahaja turut ruku‘ bersama imam. (Fath al-‘Allâm: 2/454)

Dalam hal ini, makmum akan dikira menyempati rakaat imam dan sempurna mengerjakan satu rakaat sembahyang kerana kewajipan membaca surah al-Fâtihah adalah ditanggung oleh imam.

Sebaliknya jika makmum meneruskan juga bacaan surah al-Fâtihah sehingga imam mula bangkit melakukan i‘tidâl, maka makmum dikira terluput satu rakaat dan dalam hal ini dia tidak boleh lagi ruku‘ bahkan hendaklah turut sama mengikut perbuatan imam yang mula hendak sujud. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Ibadi: 2/380, Nihâyah al-Muhtâj: 2/227-8, Mughni al-Muhtâj: 1/508 dan Fath al-‘Allâm: 2/454-455 & 461)

Sekiranya makmum tidak mengikuti perbuatan imam, maka batallah sembahyang makmum itu kerana takhalluf atau terlambat mengikut imam tanpa keuzuran sehingga ketinggalan dua rukun fi‘li adalah membatalkan sembahyang melainkan apabila makmum berniat mufâraqah atau keluar daripada jemaah. (Fath al-‘Allâm: 2/455)

2. Makmum masbûq yang membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz sebelum membaca surah al-Fâtihah:

Dalam keadaan masbûq, tiadalah anjuran ke atas makmum untuk membaca perkara-perkara yang disunatkan dalam sembahyang seperti membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz selepas mengangkat takbîratul-ihrâm. Bahkan makmum hendaklah terus sahaja membaca surah al-Fâtihah melainkan jika dia menyangka dia akan sempat ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam setelah membaca perkara-perkara sunat itu.

Sekiranya makmum membaca juga perkara-perkara yang sunat seperti membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz, maka apabila imam melakukan ruku‘, makmum tidaklah harus turut ruku‘ bersama imam. Sebaliknya dia wajib takhalluf atau terus berdiri dan membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya itu.

Jika makmum meninggalkan atau tidak membaca surah al-Fâtihah kadar banyak huruf do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz yang dibacanya, maka sembahyangnya menjadi batal sekiranya dia sengaja atau tahu tentang kedudukan hukum perkara ini.

Makmum akan dikira memperolehi rakaat imam jika dia sempat ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam. Sebaliknya jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam, maka rakaatnya ketika itu tidak diambil kira dan dia hendaklah bangkit semula setelah imam selesai mengucapkan salam bagi menggantikan rakaat tersebut. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Ibadi: 2/380-381, Nihâyah al-Muhtâj: 2/228-229, Mughni al-Muhtâj: 1/508-9 dan Fath al-‘Allâm: 2/454-457)

Syak Sama Ada Muwâfiq Atau Masbûq

Apabila makmum dalam sembahyang berjemaah merasa ragu sama ada dia dalam keadaan muwâfiq atau masbûq, menurut ulama dia hendaklah mengambil jalan yang selamat (ihtiyâth) dengan membiarkan dirinya takhalluf di belakang imam bagi menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah.

Sekiranya dia tidak sempat ruku‘ dan thuma‘ninah bersama imam pada rakaat tersebut, adakah dia masih dikira sempat menyempurnakan satu rakaat bersama imamnya?

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyatakan bahawa dalam hal ini dia tidak dikira mendapat satu rakaat melainkan apabila dia sempat ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam.

Manakala menurut pendapat Syeikh ar-Ramli Rahimahullâh, dia dikira mendapat satu rakaat dengan syarat dia tidak kelambatan daripada imam sehingga ketinggalan tiga rukun yang panjang. Jika makmum ketinggalan tiga rukun yang panjang, maka dia hendaklah terus mengikuti perbuatan imam yang seterusnya kemudian bangkit semula selepas imam mengucapkan salam bagi menggantikan rakaat yang ditinggalkannya itu. (Hawâsyi asy- Syarwani wa al-‘Ibadi: 2/379, Nihâyah al-Muhtâj: 2/227 dan Fath al-‘Allâm: 2/460)

Bacaaan Tasyahhud Akhir Dalam Sembahyang Berjemaah

Dalam sembahyang berjemaah, hukum membaca tasyahhud akhir ke atas makmum adalah dilihat kepada keadaan makmum sama ada dia dalam keadaan muwâfiq (berada bersama-sama dengan imam pada rakaat sembahyang yang terakhir) atau masbûq (masuk jemaah setelah berlalu satu rakaat atau lebih).

i. Dalam keadaan makmum yang muwâfiq (berada pada rakaat sembahyang yang terakhir bersama-sama imam), dia wajib menyempurnakan bacaan tasyahhud sebagaimana keadaan sembahyang secara munfarid (bersendirian). Sebagaimana dijelaskan, tasyahhud itu adalah sebahagian daripada rukun sembahyang.

Apabila imam mengucapkan salam yang pertama, maka hubungan antara imam dan makmum dalam sembahyang telah berakhir. Maka setelah makmum sempurna membaca tasyahhud, dia bolehlah memilih sama ada untuk turut sama mengucapkan salam ataupun terus duduk bagi melakukan perkara-perkara sunat seperti membaca do‘a. (Kitab al-Majmû‘: 3/447)

Menunggu imam sempurna mengucapkan salam yang pertama sebelum makmum mengucapkan salam adalah wajib. Bagaimanapun, disunatkan ke atas makmum menunggu imam sempurna mengucapkan salam yang kedua sebelum dia pula mengucapkan salam. (Mughni al-Muhtâj: 1/395)

Sekurang-kurang lafaz tasyahhud itu ialah:

Ertinya: Segala ucapan penghormatan adalah bagi Allah. Salam sejahtera, rahmat dan keberkatan Allah ke atas engkau, wahai Nabi. Salam sejahtera juga ke atas kami dan para hamba Allah yang salih. Aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/287- 288)

Manakala lafaz tasyahhud yang paling sempurna ialah:

Ertinya: Segala ucapan penghormatan yang membawa keberkatan dan do‘a yang baik adalah bagi Allah. Salam sejahtera, rahmat dan keberkatan Allah ke atas engkau, wahai Nabi. Salam sejahtera ke atas kami dan para hamba Allah yang salih. Aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah. (Fath al-‘Allâm: 2/232-233)

Selain bacaan tasyahhud, wajib juga membaca selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika dalam keadaan duduk pada rakaat terakhir sebelum mengucapkan salam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/291-292)

ii. Dalam keadaan makmum yang masbûq (tidak berada pada rakaat yang terakhir), dia hendaklah turut sama duduk bersama imam yang melakukan tasyahhud akhir. Menurut qaul yang ashah, makmum disunatkan untuk turut membaca tasyahhud dan perkara-perkara sunat yang lain seperti membaca tahmîd dan tasbîh. (Kitab al-Majmû‘: 3/447 dan Mughni al-Muhtâj: 1/514)

Apabila imam telah mengucapkan salam yang pertama dan kedua, keadaan makmum adalah tertakluk kepada dua keadaan berikut:

a. Sekiranya tasyahhud akhir imam bertepatan dengan waktu makmum melakukan tasyahhud awal (sebagaimana keadaannya apabila makmum sembahyang secara bersendirian), harus ke atas makmum memanjangkan keadaan duduknya pada ketika itu untuk menghabiskan bacaan tasyahhudnya sendiri (tidak terus berdiri setelah imam mengucapkan salam). (Kitab al-Majmû‘: 3/447 dan I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/31)

Sebagai contoh, makmum masuk jemaah pada rakaat yang ketiga dalam sembahyang Zhuhur. Apabila imam melakukan tasyahhud akhir, makmum berada pada rakaat yang kedua dan keadaan duduknya bersama imam pada ketika itu dikira bertepatan dengan waktu dia melakukan tasyahhud awal sebagaimana apabila dia sembahyang secara bersendirian.

Setelah selesai duduk tasyahhud, makmum sunat melafazkan takbîr untuk berdiri semula dan meneruskan sembahyangnya. (Mughni al-Muhtâj: 1/515)

b. Sekiranya tasyahhud akhir imam tidak bertepatan dengan waktu makmum melakukan tasyahhud awal, maka haram ke atas makmum memanjangkan duduknya, bahkan dia hendaklah dengan segera bangkit apabila imam telah mengucapkan salam yang kedua. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/30-31 dan Kitab al- Majmû‘: 3/447)

Sebagai contoh, makmum masuk jemaah pada rakaat yang terakhir dalam sembahyang ‘Isya’. Apabila imam melakukan tasyahhud akhir, makmum baru mengerjakan satu rakaat sembahyang. Maka keadaan duduk makmum bersama imam pada ketika itu dikira tidak bertepatan dengan waktu makmum melakukan tasyahhud sebagaimana keadaan makmum apabila dia sembahyang secara bersendirian.

Sekiranya dia terus duduk setelah imam mengucapkan salam yang kedua, maka akan batal sembahyangnya jika dia sengaja melakukannya atau dia tahu tentang hukum perkara ini. Tetapi sekiranya dia melakukannya kerana terlupa, tidaklah batal sembahyangnya dan dia hendaklah melakukan sujud sahwi sebelum mengucapkan salam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/31 dan Kitab al-Majmû‘: 3/447)

Menurut al-Jamal ar-Ramli Rahimahullah, kadar segera yang dimaksudkan dalam hal ini ialah jangka masa thuma’ninah dalam sembahyang. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/30)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12188