Persoalan Mengenai Nishfu Sya‘ban
Soalan: Dipohonkan fatwa dan pandangan Pehin Mufti mengenai nishfu Sya‘ban sebagaimana berikut:
1. Bolehkah diterangkan, adakah nash-nash tertentu berkenaan dengan nishfu Sya‘ban?
2. Adakah sunnah dari Rasulullah mengenai sambutan malam nishfu Sya‘ban yang disambut di negara ini pada tiap-tiap tahun di setiap masjid, surau dan balai-balai ibadat?
3. Adakah sambutan ini bid‘ah?
4. Adakah membaca surah Yâsîn sebanyak 3 kali (dengan niat tertentu seperti lazim dilakukan di negara ini) selepas menyempurnakan sembahyang fardhu Maghrib bagi menghidupkan malam ini juga bid‘ah?
5. Apakah langkah pihak Jabatan Mufti Kerajaan bagi perkara ini selanjutnya untuk mengajar/menerangkan lebih lanjut berkenaan dengan nishfu Sya‘ban?
Jawapan: Nash Berkenaan Kelebihan Malam Nishfu Sya‘ban
Nishfu Sya‘ban ialah hari ke 15 daripada bulan Sya‘ban. Malam nishfu Sya‘ban merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âla. Kelebihan malam nishfu Sya‘ban disebut dalam hadits daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah meninjau datang kepada makhlukNya pada malam nishfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Menurut ulasan Syu‘aib al-Arna‘uth dalam kitab Shahîh Ibn Hibban, sanad hadits ini inqithâ‘ (terputus) namun hadits ini shahîh dengan syawâhidnya. Ini kerana hadits yang sama seperti di atas dan juga hadits yang berbeza lafaznya namun mempunyai maksud yang sama, juga diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat yang lain selain daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu dengan jalan sanad yang berbeza. Antaranya ialah hadits yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Majah, Ahmad, ath-Thabarani, al-Baihaqi, al-Bazzar, at-Tirmidzi Rahimahumullâh dan selainnya. Menurut Syu‘aib al-Arnauth lagi, sungguhpun hadits-hadits syawâhid tersebut tidak lepas daripada kritikan namun ia menguatkan hadits bab yang disebut di atas. (Shahîh Ibn Hibban bi Tartîb Ibn Balbân: 12/481-482)
Manakala dalam penerangan hadits bab mengenai malam nishfu Sya‘ban dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi juga ada menerangkan mengenai kedudukan hadits-hadits di atas. Ada antaranya dikatakan munqati‘, mursal, matruk, dha‘îf dan ada yang dikatakan laiyyin dan dha‘îf pada sanadnya. Namun secara keseluruhannya kesemua hadits ini menunjukkan bahawa hadits mengenai fadhilat malam nishfu Sya‘ban itu mempunyai asal dan boleh menjadi hujjah. (Tuhfah al-Ahwadzi: 3/380-382)
Sungguhpun pada hadits-hadits ini, termasuk hadits riwayat Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu di atas, ada kritikan para ulama kerana sebab-sebab tertentu, tetapi periwayatannya yang banyak daripada para sahabat dengan thuruq atau jalan yang berbeza-beza menunjukkan bahawa hadits-hadits tersebut mempunyai asal dan saling menguatkan antara satu sama lain.
Di samping itu, malam nishfu Sya‘ban juga adalah antara malam-malam yang diterima do‘a. Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: “Sesungguhnya do‘a diterima pada lima malam iaitu; pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitri, malam pertama di bulan Rajab dan malam nishfu Sya‘ban.” (Al-Umm: 1/264)
Menghidupkan Malam Nishfu Sya‘ban
Asy-Syeikh al-Qalyubi Rahimahullâh ada menjelaskan bahawa menghidupkan malam nishfu Sya‘ban itu seumpama menghidupkan malam dua Hari Raya yang disebut sebagai sunat, sebagaimana kata beliau:
Ertinya: Sunat menghidupkan dua malam Hari Raya (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha) dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan sebahagian besar malam ini dan sekurang-kurangnya dengan menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ secara berjemaah dan demikian juga berazam untuk menunaikan sembahyang Shubuh (secara berjemaah). Seumpama dua malam Hari Raya (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha) itu ialah malam nishfu Sya‘ban, malam pertama daripada bulan Rejab dan malam Jumaat kerana malam-malam tersebut dimakbulkan do‘a. (Hâsyiyatân Qalyubi – ‘Umairah: 1/359)
Sebagai pengetahuan, zikir itu terbahagi kepada dua iaitu; ma’tsûr dan bukan ma’tsûr. Zikir ma’tsûr ialah zikir-zikir daripada al-Qur’an dan as-Sunnah; iaitu apa yang wârid atau datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada yang diajar, disuruh atau dibaca oleh Baginda pada sempena khusus atau tiada bersempena. Manakala zikir bukan ma’tsûr ialah zikir yang dicipta sendiri seperti zikir-zikir para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, at-tâbi‘în dan para ulama. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 21/227 & 238)
Wirid-wirid dan hizib-hizib yang disusun oleh para ulama adalah tidak mengapa untuk diamalkan. Walau bagaimana pun, adalah lebih baik dan afdhal mengamalkan do‘a dan zikir ma’tsûr daripada al-Qur’an dan as-Sunnah berbanding bukan ma’tsûr, dengan besar harapan ia diterima kerana keberkatan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/313 dan al-Futûhât ar-Rabbâniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah: 1/15)
Adapun cara kita sekarang menghidupkan malam nishfu Sya‘ban dengan membaca al-Qur’an seperti membaca surah Yâsîn, berzikir dan berdo‘a dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tâbi‘în. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan dua cara:
1. Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiyâm al-lail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
2. Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdo‘a dengan cara bersendirian.
(Syarh al-‘Allâmah az-Zarqani ‘ala al-Mawâhib al-Ladunniyyah: 10/563-564)
Antara Amalan Bid‘ah Pada Malam Nishfu Sya‘ban
Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang ada juga perkara bid‘ah berlaku pada malam nishfu Sya‘ban. Antara perkara bid‘ah disebutkan oleh para ulama pada malam nishfu Sya‘ban ialah bersembahyang sunat nishfu Sya‘ban. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh telah menafikan adanya sembahyang sunat nishfu Sya‘ban tersebut. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al- ‘Abadi ‘ala Tuhfah al-Muhtâj: 2/285) Maka, sembahyang ini tiada tsabit dalam ajaran Islam. Malah suatu sembahyang itu disyariatkan cukup dengan sandarannya sama ada daripada nash al-Qur’an atau hadits.
Kelebihan menghidupkan malam nishfu Sya‘ban adalah sebagaimana menghidupkan malam dua Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha yang sunat dihidupkan dengan menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan Shubuh berjemaah, melakukan sembahyang sunat yang disyariatkan terutama sembahyang sunat Tasbih, berzikir sama ada dengan membaca al- Qur’an seperti surah Yâsîn atau zikir-zikir lain dan berdo‘a memohon rahmat dan keampunan kerana malam tersebut adalah antara malam yang mempunyai kelebihan. Walau bagaimanapun, kita hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan amalan bid‘ah pada malam tersebut seperti melakukan sembahyang sunat nishfu Sya‘ban yang tiada disyariatkan.
Penerangan Mengenai Nishfu Sya‘ban
Langkah-langkah penerangan berkenaan nishfu Sya‘ban ini telah banyak dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Mufti Kerajaan untuk memahamkan masyarakat mengenainya. Isu sembahyang sunat nishfu Sya‘ban sebagaimana dijelaskan di atas juga telah dimuatkan dalam buku Fatwa Mufti Kerajaan 1962-1969. Buku seumpama ini diterbitkan supaya mudah dirujuk oleh orang ramai. Artikel Irsyad Hukum juga telah disiarkan melalui surat khabar Pelita Brunei. Buku Irsyad Hukum yang memuatkan artikel mengenainya juga telah diterbitkan. Selain itu rancangan Irsyad Hukum di Radio Brunei juga telah disiarkan secara berulang-ulang terutama melalui saluran Nur Islam. Demikianlah sebahagian langkah yang telah diusahakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan dalam memahamkan masyarakat mengenai nishfu Sya‘ban ini sebagai tambahan kepada penjelasan-penjelasan yang telah diusahakan oleh pelbagai pihak seperti Pusat Da‘wah Islamiah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12192
