Produk Kecantikan Muka Yang Mengandungi Bahan Emas
Soalan: Di pasaran pada masa ini, terdapat produk kecantikan yang dilabelkan sebagai “halal” tetapi mengandungi serbuk logam seperti emas. Contoh alat solek/kecantikan tersebut ialah jenama “Safi Rania Gold”. Apakah hukum menggunakan produk seperti ini? Adakah ia sama seperti menggunakan “susuk”?
Jawapan: Dalam zaman yang mempunyai teknologi serba canggih ini, kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai produk ciptaan terkini sama ada yang dipromosikan melalui alat media massa atau dijual di pasaran. Umpamanya, penciptaan produk-produk kecantikan muka untuk kegunaan kaum perempuan. Berdasarkan pemerhatian di pasaran, memang banyak terdapat produk-produk kecantikan muka dengan pelbagai jenama dijual untuk merawat dan mencantikkan kulit wajah. Antaranya ialah produk kecantikan muka Safi Rania Gold yang mengandungi bahan emas.
Merujuk kepada risalah Safi Rania Gold, dinyatakan bahawa produk ini menggunakan bahan emas 24K yang diformulasikan dengan kaedah teknologi nano emas dan ia diproses dalam pelbagai bentuk yang merangkum satu set penjagaan muka iaitu pembersih muka, skrub muka, penyegar, serum, krim mata, krim pelembab dan krim kecantikan. (Risalah Safi Rania Gold, 1)
Setakat yang difahami, kaedah teknologi nano emas ialah suatu formula di mana emas tulen ditukarkan kepada partikel-partikel yang sangat kecil dan ia hanya dapat dilihat melalui mikroskop elektron. Ketulan emas yang ditukarkan kepada nano emas akan mengeluarkan sifat yang berlainan daripada sifat asal emas 24K. Dalam erti kata lain, ciri-ciri nano emas tidak sama dengan ciri-ciri emas 24K. Umpamanya, ciri-ciri emas 24K ialah berkilat, berwarna kuning keemasan, tidak bertindak balas secara kimia dengan bahan lain dan ia adalah logam yang mempunyai sifat sebagai konduktor elektrik. Berlainan pula dengan nano emas, ia tidak berwarna kuning keemasan, bahkan ia berwarna merah, biru, kuning dan warna-warna yang lain. Nano emas juga menjadi pemangkin (bahan yang dapat mengubah kecepatan sesuatu tindak balas kimia tetapi ia sendiri tidak mengalami apa-apa perubahan) yang sangat baik dan ia bukanlah logam, sebaliknya ia bertukar menjadi semikonduktor sahaja.(http://www.mynanogold.com&http://sciencenordic.com/nanogoldbody)
Dari penerangan tersebut, dapat difahami bahawa nano emas mempunyai sifat yang berbeza daripada sifat emas 24K seperti tidak berwarna kuning keemasan dan ia bukannya logam. Malahan nano emas tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana bentuknya sudah berubah menjadi tersangat-sangat kecil. Ini bererti, nano emas adalah satu benda yang berlainan daripada emas 24K kerana ia wujud dengan keadaan yang berbeza daripada yang asal. Walaupun pada dasarnya nano emas itu berpunca daripada emas 24K namun ia mempunyai ciri atau sifat yang berlainan daripada emas 24K.
Perubahan atau pertukaran emas 24K melalui kaedah teknologi nano kepada nano emas adalah sama prosesnya dengan konsep istihâlah dari segi syara‘. Istihâlah bermaksud perubahan sesuatu benda dari segi tabiat dan sifatnya kepada benda lain tanpa boleh kembali semula kepada bentuk asalnya. Antara misal istihâlah itu ialah perubahan sesuatu benda najis kepada benda suci seperti arak yang menjadi cuka dengan sendirinya. (Al-Mausû‘ah al- Fiqhiyyah: 3/213, al-Qâmûs al-Fiqhi: 105, Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 39 dan Mughni al- Muhtâj: 1/134)
Merujuk kepada perubahan emas 24k kepada nano emas, perubahan yang terjadi melalui kaedah teknologi nano memang mengubah tabiat dan sifat emas 24K yang asal. Apabila diaplikasikan kaedah teknologi nano pada emas 24K tersebut, maka konsep istihâlah berlaku iaitu perubahan emas 24K kepada nano emas telah menjadikan kedua-dua benda tersebut berbeza kerana kedua-duanya mempunyai tabiat dan sifat yang berlainan. Ini bererti tidak timbul mengenai dengan hukum penggunaan emas 24K dalam produk kecantikan Safi Rania Gold kerana kandungan yang dipakai adalah nano emas bukannya emas 24K. Apa yang perlu dipastikan ialah adakah kaedah teknologi nano yang mengubah emas 24K kepada nano emas itu bercampur dengan benda najis ataupun dengan benda suci. Jika proses teknologi nano itu menggunakan agen perubahan yang berbentuk najis, maka ia akan menjadi najis dan haram digunakan. Jika proses teknologi nano menggunakan agen perubahan yang berbentuk suci, maka nano emas tersebut akan menjadi suci dan harus digunakan.
Sekarang persoalannya, adakah penggunaan produk kecantikan muka yang mengandungi nano emas ini sama hukumnya dengan pemakaian susuk yang diharamkan?
Pemakaian Susuk
Susuk bererti jarum emas dan lain-lain yang dimasukkan ke dalam kulit muka dan lain-lain untuk memaniskan rupa. (Kamus Dewan, Edisi Keempat:1553)
Menurut Ensiklopedi Hukum Islam pula, penggunaan susuk (jarum emas, intan dan lain-lain) yang dimasukkan ke dalam kulit wajah, pipi atau bibir yang disertai dengan bacaan jampi-jampi adalah bertujuan untuk mempercantik diri atau membuatnya menjadi lebih menarik. (Ensiklopedi Hukum Islam: 3/977)
Ini dapat difahami bahawa tujuan pemakaian susuk itu antaranya adalah untuk menjadi cantik dan menawan bukannya untuk merawat kulit. Antara perkara yang berkait rapat dengan pemakaian susuk ialah ia dibuat dengan pertolongan bomoh yang menggunakan jampi atau ilmu sihir bagi menyampaikan keinginan si pemakainya. Ini bererti, apa jua pemakaian jenis susuk seperti susuk emas dan susuk intan tidak akan sempurna tanpa campur tangan pengamal sihir atau jampi daripada bomoh.
Menurut syara‘, amalan sihir merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan dalam hadits, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara (dosa-dosa besar) yang merosakkan. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, apakah perkara-perkara itu?” Baginda bersabda: “Menyekutukan Allah (syirik), sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan peperangan (ketika melawan musuh) dan menuduh zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas menerangkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang umatnya mengamalkan sihir kerana amalan sihir termasuk dalam kategori dosa-dosa besar yang wajib dijauhi.
Jelaslah di sini, antara sebab pengharaman susuk itu ialah penggunaan ilmu sihir ketika susuk itu dipakaikan. Di samping itu juga, pemakai susuk akan percaya kepada kekuasaan susuk yang dipakainya itu dan ini sudah tentu menyebabkan dia dalam keadaan syirik kerana mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Tidak syak lagi, perbuatannya itu adalah berdosa besar dan amat dilaknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan dan berpandukan kepada penerangan di atas, maka dapatlah disimpulkan beberapa perkara, iaitu:
1. Nano emas tidak lagi bersifat emas 24K. Ia telah menjadi satu benda yang berlainan daripada emas 24K. Ini bererti, penggunaan nano emas tidak lagi berkaitan dengan hukum memakai emas 24K seperti emas putih.
2. Hukum penggunaan nano emas adalah tertakluk kepada formulasi teknologi nano yang digunakan. Jika proses teknologi nano itu menggunakan agen perubahan yang berbentuk najis, maka ia akan menjadi najis dan haram digunakan. Jika proses teknologi nano menggunakan agen perubahan yang berbentuk suci, maka nano emas tersebut akan menjadi suci dan harus digunakan.
3. Pengharaman susuk bukanlah disebabkan materialnya emas tetapi pemakaian susuk itu banyak bercanggah dengan syara‘. Antaranya, penggunaan ilmu sihir dan juga risiko menyebabkan syirik si pemakainya.
4. Pemakaian produk Safi Rania Gold tidak sama dengan pemakaian susuk kerana banyak perkara yang bercanggah dengan syara‘ berlaku dalam proses pemakaian susuk dan ini tidak terjadi dalam pemakaian produk Safi Rania Gold.
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa fatwa ini hanya menerangkan tentang hukum penggunaan nano emas dalam sesuatu produk kecantikan, bukannya mengeluarkan hukum pemakaian sesuatu produk kecantikan secara keseluruhan. Jika ingin mengetahui tentang status hukum sesuatu produk, sama ada ia suci atau sebaliknya, maka perlu merujuk kepada pihak pengeluar produk berkenaan dan pihak berautoriti bagi mengetahui semua perkara dan bahan secara terperinci.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12196
