Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Qashidah “Ya Rasulullah Salamun ‘Alaik” Yang Mengandungi Keturunan Âli Al-Bait Yang Diagungkan Syi‘ah

Soalan: Saya ada membawa masuk cekara padat (CD) selawat dari Singapura. Setelah diperiksa, Pusat Da‘wah Islamiah melarang menyebarkan CD tersebut berserta bukunya sebab dikatakan terdapat unsur-unsur syi‘ah dalam qashidah “Ya Rasulullah” karangan al-Imam Syeikh al- Islam Quthub ad-Da‘wah wa al-Irsyad al-Habib ‘Abdullah al-‘Alawi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘e al-Husaini Rahimahullâh Ta‘âlâ, kerana menyebut nama Ja‘far Shadiq dan ‘Ali (al-‘Uraidhi) dalam syair qashidah yang berikut:

yang mana tidak dibenarkan oleh kerana orang-orang Syi‘ah telah mengagungkan mereka.

Niat saya ingin membahagi-bahagikan CD tersebut sebagai cenderahati kepada ibu bapa murid yang hadir dalam majlis Maulid al-Rasûl Shallallâhu ‘alaihi wa sallam semata-mata untuk mendapatkan pahala di samping melaksanakan wasiat ayahanda saya. Tetapi dukacita niat itu tidak tercapai.

Saya telah menghantar dua orang wakil ke Pusat Dakwah Islamiah sebanyak dua kali untuk bertanyakan masalah ini namun setiap kali pertemuan menerima jawapan yang sama iaitu tidak dibenarkan.

Saya memohon agar Pehin Mufti dapat memberikan penerangan dan jawapan bagi masalah tersebut.

Jawapan: Buku “Dzikir-Dzikir, Doa-Doa dan Salawat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam” dan CD telah dilihat dan diteliti.

Memang tidak dinafikan bahawa dalam ajaran Syi‘ah Imam 12 (Syi‘ah Imamiah) nama-nama yang disebut dalam qashidah karangan al-Imam asy-Syeikh al-Islam Quthub ad-Da‘wah wa al-Irsyad al-Habib ‘Abdullah al-‘Alawi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘e al-Husaini Rahimahullâh itu, iaitu ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Husain, Muhammad al-Baqir bin Zainal ‘Abidin, Ja‘far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir dan ‘Ali ar-Ridha/al-‘Uraidhi merupakan antara mereka yang disenaraikan sebagai Imam 12 yang dianggap ma‘shûm (terpelihara daripada perbuatan dosa) menurut fahaman ajaran Syi‘ah Imamiah.

Manakala dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jama‘ah, mereka itu adalah rumpun daripada keturunan Âli al-Bait Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, tetapi tidaklah dianggap ma‘shûm (terpelihara daripada perbuatan dosa) sebagaimana ma‘shûmnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para nabi yang lain.

Adapun pengarang qashidah tersebut iaitu al-Imam asy-Syeikh al-Islam Quthub ad-Da‘wah wa al-Irsyad al-Habib ‘Abdullah al-‘Alawi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘e al-Husaini Rahimahullâh adalah diketahui dan diakui bukan berfahaman atau menganut fahaman Syi‘ah. Bahkan zikir-zikir susunan beliau seperti Ratib al-Haddad dan buku susunan beliau yang bertajuk an-Nashâ’ih Dîniyyah wa al-Washâyâ Îmâniyyah merupakan dua antara karya-karyanya yang sangat dikenali di rantau Nusantara dan dipakai sebagai rujukan termasuk oleh mufti-mufti hingga ke hari ini.

Wirid-wirid dan kata-kata beliau juga banyak dinaqal oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di dalam tulisan dan fatwanya. Antaranya ialah:

Menurut Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di dalam tulisannya “Wirid Bacaan Pagi dan Petang” (Bil: 15/73) menyatakan:

“Wirid-wirid al-Imam al-‘Ârif Billâh wali yang masyhur as-Sayyid ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad yang mati di negeri Tarim pada tahun 1132H, dipetik oleh al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Alawi bin Ahmad as-Saqqaf yang mati di Makkah pada tahun 1335H iaitu pengarang Kitab Tarsyîh al-Mustafidîn ‘alâ Fath al-Mu‘în”

Beliau juga ada menaqal kata-kata Imam ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dalam tulisan beliau yang bertajuk “Wirid-Wirid Tariqat Tashawwuf”:

“Quthub al-Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad Ba ‘Alawi al-Husaini al- Hadhrami yang mati tahun 1132H di Tarim Hadramaut, telah berkata kepada pengikutnya-pengikutnya: “Saya berpesan kepada kamu supaya memelihara perkara-perkara fardhu yang telah diwajibkan di atas kamu (hak-hak Allah Ta‘ala dan hak-hak manusia seperti memelihara rukun-rukun Islam, perangai-perangai yang mulia dan kewajipan yang berhubung dengan ibu bapa, suami isteri, anak dan keluarga dan dengan manusia yang lain) dan kamu membanyakkan mentadârus al-Qur’an dan membanyakkan membaca zikir kepada Allah Ta‘ala dan sentiasa ingatkan Allah dan bersungguh-sungguh belajar ilmu yang memberi faedah dan manfaat dunia dan akhirat seperti ilmu fiqh dan lain-lain ilmu seumpamannya. Dan jangan kamu duduk dan bergaul melainkan dengan orang-orang yang ada kebajikan pada mereka, seperti ahli ilmu Islam dan ahli ibadat dan orang-orang salih dan hendaklah kamu jauhkan diri kamu dan jangan kamu berkawan dengan ahli-ahli hiburan dan ahli-ahli yang lalai dan leka dari zikir Allah dan dari ingatkan Allah dan dari hukum-hakam Allah, perintah Allah dan dari amaran-amaran Allah. Hendaklah kamu ada mempunyai wirid dari zikir Allah dan dari do‘a-do‘a yang kamu sentiasa beramal dan membacanya lepas tiap-tiap sembahyang fardhu yang lima dan tiap-tiap lepas sembahyang Shubuh dan tiap-tiap lepas sembahyang Maghrib. Tamat katanya.” (Bil: 83/84)

Di dalam fatwa bilangan: 6/88, beliau menyarankan kepada kepimpinan belia supaya membaca al-Wird al-Lathîf fî Adzkâr ash-Shabâh wa al-Masâ’ oleh al-Quthub al-Imam Barakah al-Anam as-Sayyid ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad Ba ‘Alawi al-Haddad al- Husaini al-Hadhrami yang mati pada tahun 1132H, semasa diminta nasihat berkenaan dengan kepimpinan belia dan membaca zikir dan wirid dalam masa muzakarah dan berhimpun.

Sebenarnya jalan terbaik bagi mencegah timbulnya kekeliruan orang awam di negara ini dalam perkara aqidah dan pegangan beragama adalah dengan menerangkan dan menjelaskan kedudukan keluarga Âli al-Bait tersebut menurut perspektif Ahli Sunnah wal-Jama‘ah, bukan hanya semata-mata dengan mengambil tindakan melarang pengedaran buku-buku yang semata-mata menyebut dan memuji keluarga Âli al-Bait, padahal dalam kandungan buku “Dzikir-Dzikir, Doa-Doa dan Selawat Nabi Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam” itu juga ada dengan terang memuji para sahabat Radhiallâhu ‘anhum yang lain.

Sangat perlu diingat, nama-nama seperti Ali Zainal ‘Abidin bin Husain, Muhammad al-Baqir bin Zainal ‘Abidin, Ja‘far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir dan ‘Ali ar-Ridha/al-‘Uraidhi memanglah antara nama-nama yang disenaraikan sebagai Imam 12 yang sangat disanjung dan malah dianggap ma‘shûm (terpelihara daripada dosa) oleh ajaran Syi‘ah Imamiah.

Namun kita jangan lupa, nama-nama ini bukanlah milik orang-orang Syi‘ah atau hanya menjadi hak bagi orang-orang Syi‘ah menghormatinya. Bukan. Tetapi nama-nama ini adalah zuriat Âli al-Bait, keturunan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, di mana sekalian orang Islam adalah berhak dan dituntut menghormati malah mengasihi mereka sebagaimana riwayat daripada Abu an-Nashr ‘Abdul Karim bin Muhammad as-Syirazi dalam Fawâ’idnya dan Ibnu an-Najjar dalam Târîkhnya daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah:

Ertinya: Ajarlah anak-anak kamu beradab dengan tiga perangai: “Mencintai Nabi kamu, mencintai ahli kerabat Baginda dan membaca al-Qur’an.”

Nama-nama mereka itu disebut dalam qashidah-qashidah atau seumpamanya adalah bertujuan untuk memuji mereka selaku pancir (asal usul) keturunan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang kaya dengan sifat-sifat terpuji dan akhlak mulia yang sangat baik untuk dicontohi. Adapun kita memuji dan merista baik akan mereka itu adalah tidak sama seperti orang-orang Syi‘ah mensucikan mereka sebagai ma‘shûm atau tidak berdosa sebagaimana dilakukan atau menjadi pegangan kepada orang-orang Syi‘ah. Kita pengikut dan pengamal aliran ahli Sunnah wal-Jama‘ah tiadalah kena-mengena dengan pegangan dan amalan orang-orang Syi‘ah itu. Dengan hanya menyebut nama kerana memuji si penama daripada kalangan kerabat Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, tidaklah itu akan menjadikan orang yang menyebut itu Syi‘ah. Begitu juga buku/kitab yang mengandungi nama-nama mereka itu, tidaklah ia akan mesti dianggap sebagai buku/kitab Syi‘ah. Nama-nama kerabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah satu perkara, sedang fahaman atau aliran Syi‘ah pula satu perkara lain. Kedua-duanya hendaklah dihalusi dan dibezakan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12200