Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Qasidah Burdah Dan Selawat Sulthaniyyah

Soalan: Saya ingin memohon penjelasan daripada Pehin mufti berkenaan dengan dua perkara berikut:

1. Pada suatu majlis perayaan maulid Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika pembacaan maulid dan ayat-ayat Qasidah Burdah dilaungkan, salah seorang tetamu yang berasal dari sebuah negara Arab telah menyoal lirik Qasidah Burdah, ayat 1 & 2, Bab 10, yang ertinya dalam Bahasa Melayu lebih kurang: “Tidak ada seorang pun yang dapat ku berlindung kecuali denganmu semasa musibah berlaku.” Tetamu Arab ini menentang ayat Burdah tersebut serta berkata: “Di manakah kamu letakkan Tuhan?”

Apakah salah membaca Qasidah Burdah ini?

2. Apakah pendapat Pehin Mufti berkenaan dengan selawat Sulthaniyyah? Ada yang mengatakan tidak ada hadits yang menyokong pembacaannya, dari itu ia tidak harus dibaca dan lebih baik membaca selawat Ibrahimiyyah sahaja. Apakah salah membaca selawat Sulthaniyyah itu?

Jawapan: 1. Qashidah Burdah

Qashidah yang dikenali sebagai Qashidah al-Burdah atau al-Bur’ah (penyembuh) ini adalah sebuah syair panjang tentang puji-pujian terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang disusun oleh al-Imam Syarafuddin Abu ‘Abdullah bin Sa‘id al-Bushairi Rahimahullâh. (Dîwân al-Bushairi: 231)

Syair tersebut juga telah disyarah atau dihuraikan oleh ramai ulama termasuk Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam Kitab al-Minah al-Makkiyyah fî Syarh al-Hamziyyah dan asy-Syeikh Ibrahim al-Bajuri Rahimahullâh dalam Kitab Syarh al-Bajuri ‘ala al-Burdah.

Berkenaan bait atau lirik yang ditanyakan iaitu:

Ertinya: Wahai semulia-mulia rasul tiada bagiku sesiapa untuk aku berlindung dengannya *** selainmu ketika berlaku musibah yang merebak.

Terdapat juga pada sebahagian cetakan, bait atau lirik tersebut adalah seperti berikut:

Ertinya: Wahai semulia-mulia makhluk tiada bagiku sesiapa untuk aku berlindung dengannya *** selainmu ketika berlaku musibah yang merebak.

Menurut asy-Syeikh al-Bajuri Rahimahullâh, dalam bait atau lirik tersebut, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dipuji sebagai semulia-mulia Rasul dan semulia-mulia makhluk kerana kedudukan Baginda sebagai Rasul dan makhluk yang paling mulia dan diistimewakan pula dengan syafaat al-‘uzhmâ atau syafaat yang agung iaitu pengurniaan syafaat semasa diputuskan penghakiman untuk balasan pada Hari Kiamat. Penyair juga menyifatkan bahawa tiada seorang pun antara seluruh makhluk baginya sebagai penyelamat atau penolong selain Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika diturunkan kejadian huru-hara yang meliputi seluruh makhluk pada Hari Kiamat. Sesungguhnya semua rasul berkata pada ketika itu mengenai diri masing-masing iaitu “diriku,” dan mengkhabarkan bahawa Allah murka pada hari tersebut dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian rupa murkaNya sebelum dan sesudahnya. Manakala hanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang bersabda: “umatku umatku.” (Syarh al-Bajuri ‘ala al-Burdah: 145 & Diwan al-Bushairi: 240)

Ini bermakna bait atau lirik tersebut adalah mengisahkan tentang memohon syafaat kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan bukan bermaksud untuk menyamakan kedudukan Tuhan dengan makhluk. Memohon syafaat kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan salah satu cara bertawassul iaitu berdo‘a kepada Allah dengan menggunakan pengantara untuk mendekatkan diri atau menyampaikan hajat kepada Allah.

Bertawassul melalui para Nabi dan wali Allah pada masa mereka hidup ataupun mati adalah harus pada pandangan syara‘. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 368)

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalanNya supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Mâ’idah: 35)

Disebutkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkenaan kisah memohon syafaat kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada Hari Kiamat, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Aku adalah pemimpin manusia pada Hari Kiamat. Adakah kamu mengetahui apa sebab demikian? Allah mengumpulkan pada Hari Kiamat orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian di sebidang tanah luas yang rata. Lalu ada penyeru memperdengarkan kepada mereka dan pandangan yang mengawasi mereka. Matahari turun mendekat sehingga manusia menderita kesusahan dan kesedihan melampau yang tidak mampu mereka tanggung dan pikul. Maka sebahagian manusia berkata kepada sebahagian mereka: “Tidakkah kamu lihat apa yang kamu alami? Tidakkah kamu lihat apa yang kamu deritai? Tidakkah kamu mempunyai pandangan siapa yang dapat memohon syafaat bagi kamu kepada Tuhan kamu?” Lalu sebahagian manusia berkata kepada sebahagian mereka: “Pergilah kepada Adam”.

Mereka pun menghadap Nabi Adam. Mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Tuan adalah bapa manusia. Allah mencipta Tuan dengan tanganNya dan meniupkan rohNya kepada Tuan. Dia juga memerintahkan malaikat lalu mereka sujud (tunduk hormat) kepada Tuan. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Nabi Adam pun menjawab: “Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian murkaNya sebelum dan selepasnya. Dan sesungguhnya Dia telah menegahku mendekati sebatang pokok tetapi aku menderhakaiNya. Diriku. Diriku. Pergilah kepada selainku. Pergilah kepada Nuh.”

Mereka pun menghadap Nabi Nuh. Lalu mereka berkata: “Wahai Nuh! Tuan adalah seawal-awal Rasul di bumi. Allah menamakan Tuan sebagai hamba yang banyak bersyukur. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Nabi Nuh menjawab: “Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian murkaNya sebelum dan selepasnya. Dan sesungguhnya aku pernah berdo‘a dengan do‘a (kecelakaan) yang menimpa kaumku. Diriku. Diriku. Pergilah kepada Ibrahim Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.”

Mereka pun menghadap Nabi Ibrahim. Lalu mereka berkata: “Tuan adalah Nabi Allah, KhalilNya (kekasihNya) daripada kalangan penghuni bumi. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Nabi Ibrahim menjawab: “Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian murkaNya sebelum dan selepasnya. Baginda pun menyebutkan kebohongan-kebohongannya. Diriku. Diriku. Pergilah kepada selainku. Pergilah kepada Musa.”

Mereka pun menghadap Nabi Musa Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu mereka berkata: “Wahai Musa! Tuan adalah Rasul Allah. Allah telah mengurniakan kelebihan kepada Tuan daripada sekalian manusia dengan risalahNya dan bertutur denganNya. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian murkaNya sebelum dan selepasnya. Dan sesungguhnya aku pernah membunuh satu jiwa yang aku tidak diperintah untuk membunuhnya. Diriku. Diriku. Pergilah kepada ‘Isa Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.”

Mereka pun menghadap Nabi ‘Isa. Lalu mereka berkata: “Wahai ‘Isa! Tuan adalah Rasul Allah. Tuan telah bertutur bersama manusia ketika di dalam buaian. Tuan adalah kalimah daripada Allah yang disampaikan kepada Maryam. Tuan adalah roh daripada Allah. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Nabi ‘Isa Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Sesungguhnya Tuhanku murka pada hari ini dengan kemurkaan yang belum pernah sedemikian murkaNya sebelum dan selepasnya. Baginda tidak menyebut satu dosa pun bagi diri baginda. Diriku. Diriku. Pergilah kepada selainku. Pergilah kepada Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.”

Mereka pun menghadapku. Lalu mereka berkata: “Wahai Muhammad! Tuan adalah Rasul Allah dan penutup sekalian Nabi. Allah telah mengampunkan bagi Tuan dosa Tuan yang telah lalu dan akan datang. Pohonkanlah syafaat bagi kami kepada Tuhan Tuan. Tidakkah Tuan lihat apa yang kami alami? Tidakkah Tuan lihat apa yang kami deritai?” Maka aku pun berangkat. Apabila aku sampai di bawah ‘Arsy, aku pun tunduk sujud kepada Tuhanku. Kemudian Allah membukakan kepadaku dan memberiku ilham berupa puji-pujian dan sanjungan yang baik terhadapNya yang sebelum ini belum pernah dibukakan kepada sesiapa pun. Lalu dikatakan: “Wahai Muhammad! Angkat kepalamu! Pohonlah, engkau akan diberi, pohonkanlah syafaat, engkau akan diberikan syafaat”. Maka aku pun mengangkat kepala, lalu aku berkata: “Wahai Tuhan! Umatku. Umatku.”

Lalu dikatakan: “Wahai Muhammad! Masukkanlah ke syurga daripada kalangan umatmu, sesiapa yang tiada hisâb (perhitungan), dari pintu sebelah kanan daripada pintu-pintu syurga. Mereka juga berkongsi bersama orang lain masuk melalui pintu-pintu lain. Demi jiwa Muhammad berada di tanganNya! Sesungguhnya jarak di antara dua tepi pintu dari tepi-tepi pintu syurga ialah antara Makkah dan Hajar. Atau seperti jarak di antara Makkah dan Bushra.” (Hadits riwayat Muslim)

Bait atau lirik dalam Qashidah Burdah yang ditanyakan itu adalah pujian kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan mengisahkan tentang memohon syafaat kepada Baginda. Maka, membaca Qashidah Burdah tersebut dengan tujuan memohon syafaat kepada Baginda itu adalah tidak jelas bercanggah dengan maksud hadits di atas, melainkan jika ia dibaca dengan tujuan syirik atau menyamakan kedudukan Tuhan dengan makhluk.

Imam al-Bushairi Rahimahullâh dalam Qashidah yang sama juga ada berkata:

Ertinya: Tinggalkan apa yang diseru oleh orang Nashrani terhadap nabi mereka *** bicarakanlah apa sahaja pujian yang engkau suka terhadap Baginda dan peliharalah pembicaraan itu. Nasabkanlah kepada Baginda apa sahaja kemuliaan yang engkau suka *** dan nasabkanlah kepada pangkat Baginda apa sahaja keagungan yang engkau suka.

Asy-Syeikh al-Bajuri Rahimahullâh menjelaskan bahawa bait atau lirik ini menegaskan bahawa kita umat Islam boleh memuji Nabi kita dengan apa sahaja pujian yang layak dengan panggilan Baginda yang mulia dan pangkat Baginda yang tinggi, tetapi kita ditegah mengikut cara orang Nashrani memuliakan nabi mereka dengan menganggapnya Tuhan di samping rasul Tuhan, malah sebahagian mereka menganggapnya sebagai anak Tuhan. Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah Tuhan, Baginda juga manusia serupa orang lain, cuma keadaan dan kedudukan Baginda sangat mulia melebihi kemuliaan seluruh makhluk. (Syarh al-Bajuri ‘ala al-Burdah: 48-49 dan Dîwân al-Bushairi: 233)

2. Selawat Sulthaniyyah

Zikir termasuk selawat terbahagi kepada dua iaitu; ma’tsûr dan bukan ma’tsûr.

Zikir ma’tsûr ialah zikir-zikir daripada al-Qur’an dan as-Sunnah; iaitu apa yang wârid atau datang daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada yang diajar, disuruh atau dibaca oleh Baginda pada sempena khusus atau tiada bersempena. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 21/227)

Manakala zikir bukan ma’tsûr ialah zikir yang dicipta sendiri seperti zikir-zikir para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 21/238) at-tâbi‘în dan para ulama.

Wirid-wirid dan hizib-hizib yang diilhamkan kepada para ulama adalah tidak mengapa untuk diamalkan. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik dan afdhal mengamalkan do‘a dan zikir yang ma’tsûr daripada al-Qur’an dan as-Sunnah berbanding bukan ma’tsûr, dengan besar harapan ia diterima kerana keberkatan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/313 dan al-Futûhât ar-Rabbâniyyah ‘ala al-Adzkâr an- Nawawiyyah: 1/15)

Keharusan mengamalkan do‘a dan zikir termasuk selawat bukan ma’tsûr adalah berdasarkan banyak hadits; antaranya:

1. Hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, seorang lelaki datang dengan termengah-mengah untuk sembahyang lalu berkata:

Maksudnya: Allah Maha Besar. Segala pujian bagi Allah, pujian yang banyak lagi baik dan penuh berkat. Setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selesai menunaikan sembahyang, Baginda bertanya: “Siapakah di antara kamu yang mengucapkan beberapa kalimat itu tadi? Sungguh dia tidak mengucapkan perkara buruk!” Orang itu berkata: “Saya, wahai Rasulullah! Saya datang dengan tergesa-gesa dengan nafas termengah-mengah lalu mengucapkan kalimat itu”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sungguh aku melihat dua belas malaikat yang masing-masing berebut-rebutan siapakah antara mereka yang terlebih dahulu mengangkat ungkapan kalimat itu.” (Hadits riwayat Abu Daud)

2. Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Apabila kamu berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka perbaikilah selawat kamu kepada Baginda. Maka sesungguhnya kamu tidak mengetahui semoga (selawat) yang demikian itu diberitahu kepada Baginda. Beliau berkata: “Maka mereka bertanya kepada beliau: “Maka ajarlah kami”. Beliau menjawab: “Katakan: Ya Allah! Jadikanlah segala selawat, rahmat dan berkahMu kepada penghulu para rasul, pemimpin orang-orang yang bertaqwa, penutup para nabi, Muhammad hamba dan RasulMu, pemimpin dan pengarah kebaikan serta Rasul yang membawa rahmat. Ya Allah! Anugerahkanlah Baginda tempat terpuji yang diharapkan oleh orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian. Ya Allah! Kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah! Kurniakanlah barakah kepada Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Oleh yang demikian, terdapat riwayat para sahabat dan tâbi‘în yang mengarang sendiri selawat kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seperti ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu (sebagaimana disebut dalam hadits di atas), Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu, ‘Ali Karramallâhu wajhah dan Hasan al-Bashri Radhiallâhu ‘anhu. (Jalâ’ al-Afhâm fi ash-Shalât wa as-Salâm ‘alâ Khair al-Anâm: 72-73 dan asy-Syifâ’ bi Ta‘rîf Huqûq al- Mushthafa: 560-565)

Demikian juga diikuti oleh para ulama seperti selawat yang dikarang oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh di dalam kitabnya ar-Risâlah iaitu:

Ertinya: Semoga Allah mengurniakan selawat kepada Nabi kami sebanyak mana orang-orang yang berzikir ingat kepadaNya dan orang-orang yang lalai lupa daripada mengingatiNya. (Ar-Risâlah: 16-17)

Malah terdapat beberapa riwayat menyatakan fadhilat berdasarkan pengalaman para ulama mengamalkan sesetengah selawat yang bukan ma’tsûr itu.

Sungguhpun demikian, zikir atau selawat yang ma’tsûr seperti Selawat al-Ibrahimiyyah adalah lebih afdhal untuk diamalkan sebagaimana diterangkan sebelum ini. Selawat al- Ibrahimiyyah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah seperti dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad, hambaMu dan RasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selawat yang digelar sebagai Selawat al-Ibrahimiyyah ini juga merupakan selawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/292)

Maka, berdasarkan penerangan di atas, bait atau lirik Qashidah al-Burdah yang ditanyakan itu merupakan pujian terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai makhluk atau Rasul yang paling mulia dalam hal memohon syafaat atau bertawassul kepada Baginda pada Hari Kiamat dan bukan bermaksud menyamakan kedudukan Tuhan dengan Baginda. Adapun hukum berdo‘a kepada Allah dengan jalan bertawassul melalui Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah harus dan tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jama‘ah.

Berkenaan selawat pula, adalah afdhal mengamalkan selawat yang ma’tsûr seperti selawat al- Ibrahimiyyah, namun tidak mengapa mengamalkan selawat-selawat yang bukan ma’tsûr. Antaranya selawat as-Sulthaniyyah sebagaimana yang telah dilampirkan iaitu:

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12204