Tawaran Bilangan Pendaftaran Kenderaan Secara ‘Online’ Berkonsepkan Bidaan (Bidding)
Soalan: Jabatan Pengangkutan Darat akan memperkenalkan sistem tawaran bilangan pendaftaran kenderaan secara ‘online’ berkonsepkan bidaan (bidding).
Pada masa ini, setiap siri bilangan pendaftaran kenderaan akan dikeluarkan tawarannya kepada orang ramai secara “Close Tender”. Jabatan Pengangkutan Darat akan memaklumkan kepada orang ramai melalui surat khabar dan media massa yang lain mengenai tawaran bagi sesuatu siri bilangan pendaftaran adalah dibuka untuk ditempah oleh orang ramai. Orang ramai yang berminat, perlulah mengisikan borang permohonan dengan menyatakan jumlah tawaran mereka dan memasukkannya ke dalam Peti Tawaran Jabatan ini dalam tempoh tawaran yang ditentukan.
Seperti lazimnya, jumlah yang ditawarkan oleh seorang pemohon melalui proses “Close Tender” ini adalah tidak diketahui oleh pemohon yang lain. Setelah tarikh tutup tawaran, satu jawatankuasa akan membuka borang-borang tawaran berkenaan. Pemohon yang berjaya akan dipilih berdasarkan jumlah harga tawaran yang tertinggi.
Walau bagaimanapun, bagi proses ‘online’ ini, orang ramai akan dapat melihat jumlah tawaran yang tertinggi ke atas bilangan pendaftaran dipohonkan yang telah ditawarkan oleh pemohon lain (jika bilangan pendaftaran yang sama dipohon lebih awal oleh pemohon lain) sebelum ini. Orang ramai yang berminat pada bilangan pendaftaran yang sama bolehlah menempatkan harga tawaran yang lebih tinggi daripada harga tawaran berkenaan secara ‘online’. Setelah tarikh tutup tawaran, bilangan pendaftaran berkenaan akan diberikan kepada pemohon yang menawarkan jumlah harga tawaran yang tertinggi.
Sehubungan itu, dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti adakah tawaran berkonsepkan ‘bidding’ ini tidak bertentangan dari segi syarat dan hukum syariat Islam?
Jawapan: Jual beli melalui konsep bidaan adalah juga dikenali sebagai jualan lelong. Maksud jualan lelong ialah penjual membentangkan barang yang hendak dilelong kepada orang ramai, kemudian orang ramai yang berminat pada barang tersebut akan berlumba-lumba meletakkan harga mengikut kemampuan mereka. Selepas itu, jualan lelong akan selesai setelah ada pembeli yang menawarkan harga terakhir paling tinggi bagi barang berkenaan. (Fiqh al-Islâm wa Adillatuh: 5/3506)
Berdasarkan huraian di atas, dapat difahami bahawa konsep bagi jualan lelong itu bermula apabila penjual menawarkan barang jualan kepada orang ramai dan berakhir apabila penjual setuju atau rela dengan harga tertinggi yang ditawarkan oleh pembeli dan seterusnya akad jual beli iaitu îjâb dan qabûl bagi barang yang dilelong itu akan berlangsung antara kedua-dua belah pihak.
Hukum Jualan Lelong Menurut Syara‘
Jualan lelong merupakan antara jual beli yang diharuskan dalam syara‘ berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang disebutkan dalam beberapa hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjual hils (hamparan atau kain nipis yang ada di belakang haiwan tunggangan) dan bejana. Lalu bersabda: “Adakah sesiapa ingin membeli hils dan bejana ini?” Maka berkata seorang lelaki: “Aku setuju mengambil kedua-duanya dengan harga satu dirham”. Maka Nabi Shallâllahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda lagi: “Ada sesiapa ingin membayar lebih dari satu dirham? Ada sesiapa ingin membayar lebih dari satu dirham?” Lalu seorang lelaki pun setuju membayar dengan harga dua dirham. Lalu Baginda menjual kedua-duanya kepada lelaki berkenaan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain, daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki daripada kalangan Anshar datang mengadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dia meminta sesuatu kepada Baginda. Maka Baginda bersabda: “Apakah di rumahmu tidak ada sesuatu?” Lelaki itu menjawab: “Ada, hils (hamparan atau kain nipis yang ada di belakang haiwan tunggangan); sebahagian untuk dipakai dan sebahagian yang lain untuk alas duduk dan gelas untuk meminum air.” Baginda bersabda: “Bawalah kedua-dua barang itu kepadaku.” Lelaki itu berkata: “Maka aku pun membawa kedua-dua barang tersebut kepada Baginda”. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun mengambil kedua-dua barang tersebut dengan tangannya dan bersabda: “Siapa yang mahu membeli kedua-dua barang ini?” Berkata seorang lelaki: “Saya mahu membeli kedua-duanya dengan satu dirham.” Baginda bertanya lagi: “Ada sesiapa ingin membayar lebih dari satu dirham?”(Baginda menawarkannya) dua atau tiga kali. Berkata seorang lelaki (yang lain): “Saya mahu membeli kedua-duanya dengan harga dua dirham”. Lalu Baginda memberikan kedua-dua benda itu kepadanya dan mengambil wang dua dirham itu dan menyerahkannya kepada lelaki Anshar (yang empunya barang tersebut). Baginda bersabda (kepada lelaki Anshar tadi): “Belanjakanlah satu dirham untuk makanan dan berikan kepada keluargamu. Dan belanjakan yang satu dirham lagi untuk membeli sebilah kapak dan kemudian bawa kapak itu kepadaku”. Lelaki (Anshar) itu pun pergi dan kembali semula dengan membawa sebilah kapak. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menggunakan kapak itu untuk membelah kayu dengan tangan Baginda sendiri, lalu Baginda bersabda kepadanya: “Pergi dan carilah kayu bakar, lalu juallah dan jangan sekali-kali perlihatkan dirimu selama lima belas hari”. Lelaki itu pun pergi mencari kayu bakar dan menjualnya. Dia pulang dengan membawa hasil sepuluh dirham. Lalu dia membelanjakan sebahagiannya (wang) untuk pakaian dan sebahagian yang lain untuk membeli makanan. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ini lebih baik bagimu daripada kau datang dengan meminta-minta, itu akan menjadi bintik (hitam) di wajahmu pada Hari Kiamat. Sesungguhnya meminta-minta itu tidak baik kecuali untuk tiga keadaan: Orang yang papa kedana, orang yang menanggung hutang yang banyak dan orang yang menanggung diyât pembunuhan yang menyeksakan.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits-hadits tersebut jelas menunjukkan bahawa jualan secara lelong telah pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ia adalah satu proses jual beli yang diharuskan dalam syara‘.
Di samping hadits-hadits di atas, beberapa resolusi mengenai dengan keharusan hukum jualan lelong berserta dengan syarat-syaratnya ada dikeluarkan oleh Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dengan tujuan supaya proses jualan lelong tersebut tidak bercanggah dengan hukum syara‘. Antara resolusi tersebut ialah:
i. Adapun proses selanjutnya (setelah menang dalam majlis lelongan tersebut) seperti catatan secara bertulis, peraturan dan syarat-syarat pentadbiran atau undang-undang hendaklah tidak bercanggah dengan hukum syara‘.
ii. Penjual boleh meminta jaminan daripada mereka yang ingin turut serta dalam majlis lelongan dan wajib mengembalikan semula jaminan tersebut kepada peserta yang tidak memenangi majlis lelongan berkenaan. Adapun jaminan yang diberikan oleh peserta yang memenangi majlis lelongan berkenaan akan ditolak daripada harga bidaan.
iii. Penjual boleh mengenakan bayaran masuk kepada mereka yang ingin menyertai majlis lelongan berkenaan, tetapi dengan syarat bayaran tersebut hanya mengikut nilai brosur mengenai dengan pensyaratan sahaja dan tidak mengambil keuntungan daripadanya.
iv. Haram membuat bidaan palsu dengan niat untuk meninggikan harga barang lelongan bukannya berniat untuk membelinya. Perbuatan ini dinamakan an-najasy di dalam bahasa Arab. Adapun bentuk-bentuk an-najasy dalam majlis lelongan itu ialah seperti:
• Pembeli yang tidak berniat untuk membeli barang lelongan sengaja menambah harga barang lelongan supaya mendorong pembeli lain yang berkehendak kepada barang lelongan tersebut menambah lagi harga daripada yang sedia ada.
• Pembeli yang tidak berniat untuk membeli barang lelongan sengaja mempromosikan kualiti barang lelongan tersebut dengan memuji-mujinya berdasarkan kepakarannya bagi mendorong pembeli lain supaya menaikkan lagi harga bidaan sedangkan apa yang diperkatakan hanya dirancang oleh pihak penjual atau penganjur.
• Penjual atau wakilnya atau penganjur barang lelongan membuat satu dakwaan palsu yang kononnya harga yang ditawarkan masih berada pada tahap yang sangat rendah dengan tujuan untuk menipu para pembeli lain yang membuat bidaan.
• Penjual atau penganjur menggunakan alat audio, visual dan bahan bacaan untuk mempromosikan kualiti tinggi barang lelongan tersebut bagi mendorong para pembeli untuk menaikkan harga sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.
Jualan Lelong Secara ‘Online’
Sebagaimana yang diterangkan dalam soalan pihak penyoal, bahawa tawaran berkonsepkan bidaan akan diadakan secara ‘online’. Sistem ini membolehkan orang ramai melihat jumlah tawaran yang tertinggi ke atas bilangan pendaftaran yang dipohonkan yang telah ditawarkan oleh pemohon lain (jika bilangan pendaftaran yang sama dipohon lebih awal oleh pemohon yang lain) sebelumnya. Orang ramai yang berminat pada bilangan pendaftaran yang sama bolehlah menempatkan harga tawaran yang lebih tinggi daripada harga tawaran berkenaan secara ‘online’. Setelah tarikh tutup tawaran, bilangan pendaftaran berkenaan akan diberikan kepada pemohon yang menawarkan jumlah harga tawaran yang tertinggi.
Apabila dilihat dan diteliti, sistem tawaran yang berkonsepkan bidaan secara ‘online’ itu adalah sama dengan konsep jualan lelong jika ia diadakan secara langsung dalam sebuah majlis lelongan, di mana orang ramai dapat melihat harga bidaan yang disebutkan oleh pembida lain dan seterusnya bagi orang yang masih berminat pada barang lelongan tersebut akan dapat menawarkan harga tawaran lebih tinggi lagi daripada yang sedia ada. Apabila tamat tempoh yang telah ditetapkan, bilangan pendaftaran yang dilelong itu akan diberikan kepada pembida yang menawarkan jumlah harga tawaran yang tertinggi dan berlangsunglah akad jual beli daripada kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasalam dan resolusi Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa yang disebutkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum sistem tawaran bilangan pendaftaran kenderaan yang berkonsepkan bidaan secara ‘online’ adalah harus dengan mematuhi syarat-syarat seperti yang disebutkan dalam resolusi Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa supaya proses yang diaplikasikan itu tidak bercanggah dengan syara‘.
Sebagai Irsyâd
Walaupun hukum jualan berkonsepkan bidaan secara ‘online’ itu diharuskan mengikut syarat-syaratnya, namun perlu juga kita beringat tentang implikasinya kepada masyarakat dalam masa yang panjang berbanding proses ‘close tender’. Antaranya ialah masyarakat tidak lagi menghiraukan pembaziran dalam perbelanjaan, sedangkan Islam membenci orang-orang yang bersifat boros, berlebih-lebihan atau membazir sepertimana yang disebutkan di dalam al-Qur’an.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: … dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)
Dengan adanya bidaan bilangan pendaftaran kenderaan dilaksanakan secara ‘online’, tidak dinafikan harga nombor kenderaan akan menjadi semakin tinggi berbanding proses ‘close tender’ kerana bidaan tersebut dapat dilihat secara jelas, di mana mendorong orang lebih ghairah berlawan meninggikan tawaran, yakni pembida-pembida akan sentiasa “bertinggi-tinggian”. Amalan sedemikian akan menimbulkan trend dalam masyarakat sanggup berbelanja besar pada kadar yang berlebih-lebihan atau melampau sekalipun pada sesuatu perkara yang tidak besar manfaat dan keutamaannya sebagai keperluan hidup. Perbelanjaan tersebut lebih berupa memenuhi kehendak kepuasan hati. Bahkan tidak dinafikan sebahagiannya menjadi kemegahan diri tanpa menghiraukan pembaziran harta, sedangkan agama Islam memerintahkan kita supaya hidup dengan kesederhanaan dalam perbelanjaan dan melarang daripada bersifat boros sekalipun kita mempunyai harta yang lebih. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tidak bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (Surah al-Furqân: 67)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12208
