Zakat Harta Perniagaan Dan Zakat Wang Simpanan Tetap (Fixed Deposit)
Soalan: Setiap tahun syarikat kami kebiasaannya akan mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak 2.5% daripada hasil untung bersih jualan setahun. Apakah cara yang kami buat selama ini adalah cara yang betul untuk mengeluarkan zakat perniagaan?
Syarikat kami juga ada menyimpan Simpanan Tetap (Fixed Deposit) di dalam sebuah bank Islam dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Keuntungan yang kami perolehi dalam setahun ialah 1% daripada jumlah simpanan. Adakah syarikat kami diwajibkan mengeluarkan zakat bagi Simpanan Tetap ini?
Jawapan: Zakat Harta Perniagaan
Harta perniagaan adalah salah satu antara jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat dalam Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada (harta kamu) yang baik-baik (hasil daripada) apa yang kamu usahakan dan sebahagian daripada apa yang telah Kami keluarkan untuk kamu dari bumi (seperti biji-bijian, buah-buahan dan galian)…. (Surah al-Baqarah: 267)
Menurut sebahagian ulama, kalimah (ما كسبتم) membawa maksud hasil perniagaan, emas dan perak, hasil tanaman dan ada juga yang mengatakan ia membawa maksud harta yang baik serta elok dan berharga. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 2/466)
Adapun yang dimaksudkan dengan perniagaan itu ialah memusingkan harta yang dimiliki dengan cara pertukaran seperti pembelian sama ada dengan benda atau wang, sama ada secara tunai ataupun hutang, bagi maksud mendapatkan keuntungan dengan disertakan niat. Manakala harta atau barang perniagaan itu ialah setiap apa jua yang dimaksudkan untuk diniagakan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/254 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/127)
Menurut jumhûr ulama pula, harta perniagaan ialah segala apa yang dimaksudkan untuk diniagakan ketika melakukan pemindahan hak milik dengan melakukan tukar menukar barangan secara jelas dan disertai dengan niat untuk memperniagakannya. (Al-Majmû‘: 6/43).
Berdasarkan daripada keterangan di atas, dapat difahami bahawa mana-mana usaha yang berbentuk dagang atau niaga, sama ada ia secara kecil-kecilan atau besar-besaran, dan sama ada dalam bentuk syarikat atau individu, jika ia diniatkan untuk perniagaan, maka adalah wajib dikeluarkan zakatnya apabila sampai nishâb dan haulnya.
Kadar dan Nishâb Zakat Harta Perniagaan
Seperti yang diterangkan di dalam buku-buku fiqh mazhab asy-Syafi‘e, harta perniagaan yang wajib dikeluarkan zakat itu bukan hanya setakat hasil keuntungan bersih semata-mata, bahkan ia hendaklah merangkumi keseluruhan harta perniagaan yang menjadi hak milik peniaga berkenaan. Ini termasuklah modal perniagaan, hutang para pelanggan (hutang yang diharapkan akan dibayar oleh pelanggan), barang-barang perniagaan yang tidak laku atau belum dijual seperti stok barangan dan sebagainya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/ 363 dan Mughni al-Muhtâj: 2/110)
Adapun kadar zakat bagi harta perniagaan yang wajib dikeluarkan itu ialah 2.5% daripada jumlah kesemua nilai harta perniagaan apabila mencapai nishâb iaitu mengikut nilai emas 85 gram (berdasarkan kepada harga emas pada waktu pengeluaran zakat). (Nihâyah al-Muhtâj: 3/106 dan Mughni al-Muhtâj: 2/108)
Dalam pada itu, kiraan nishâb zakat bagi harta perniagaan hanya memadai dilihat pada penghujung haul sahaja. Ia tidak disyaratkan cukup nishâb dipermulaan atau pertengahan haul ataupun di sepanjang tahun. Jika nishâbnya sampai pada penghunjung haul, maka wajiblah dikeluarkan zakatnya, meskipun nishâbnya itu hanya sampai beberapa detik sebelum zakat wajib dikeluarkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/101 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/129)
Maka dapat difahami bahawa pengiraan nishâb bagi harta perniagaan hanya dikira pada penghujung haul sahaja. Ini bererti jika sampai nishâb pada penghujung haulnya, maka wajib dikeluarkan zakatnya walaupun pada permulaan haul itu belum sampai nishâbnya. Sebaliknya, jika pada permulaan haulnya sampai nishâb tetapi pada penghujung haulnya tidak sampai (kurang) nishâbnya, maka dalam hal ini, dia tidak wajib mengeluarkan zakat bagi harta perniagaannya.
Tempoh Bermulanya Pengiraan Haul
Harta perniagaan boleh diperolehi melalui dua jenis harta modal iaitu yang berbentuk mata wang dan yang berbentuk harta benda. Oleh itu pengiraan tempoh bermulanya haul bagi sesuatu harta perniagaan itu adalah berdasarkan kepada jenis harta modal yang digunakan, iaitu: (Nihâyah al-Muhtâj: 3/104-105, Mughni al-Muhtâj: 107-108 dan Raudhah ath-Thâlibîn: 2/130-137)
1. Modal perniagaan yang berbentuk mata wang dan ini termasuklah juga emas dan perak. Permulaan kiraan haul bagi harta perniagaan yang bermodalkan mata wang terbahagi kepada dua keadaan:
i. Jika wang modal perniagaan sampai kadar nishâbnya, maka tempoh permulaan haul bagi harta perniagaannya itu bermula ketika dia memiliki wang modal tersebut. Dalam erti yang lain, permulaan haul bagi harta perniagaan ialah ketika peniaga tersebut memiliki wang modal perniagaan bukannya ketika dia memiliki barang perniagaan.
Misalnya, dia mempunyai wang modal sebanyak $15,000 secara tunai untuk tujuan membeli barang perniagaan. Pada waktu tersebut, jumlah $15,000 adalah dikira sampai kadar nishâb. Maka dalam hal ini, tempoh permulaan haul bagi harta perniagaannya adalah ketika dia memiliki wang modal $15,000 itu walaupun dia belum membeli barang perniagaan yang hendak diniagakannya.
Manakala jika barang perniagaan itu dibeli melalui hutang yang sampai kadar nishâbnya, kemudian ditunaikannya (ditukarkannya) kepada mata wang seperti dengan menjual barang perniagaan itu tadi, maka tempoh haul bagi barang perniagaan tersebut adalah terputus iaitu bukan lagi mengikut kiraan haul wang modal bahkan haulnya bermula semula apabila dia memiliki atau membeli semula barang perniagaan.
Misalnya, dia membeli perabot rumah untuk diniagakan dengan harga $20,000 secara hutang. Pada waktu tersebut, jumlah $20,000 adalah dikira sampai kadar nishâb. Kemudian peniaga tersebut menjual balik perabot rumah tersebut bagi memperolehi wang tunai untuk membeli barang perniagaan yang lain. Maka dalam hal ini, kiraan permulaan haul mengikut wang modal yang diperolehi melalui hutang itu adalah terputus dan kiraan haul baru dikira ketika dia membeli semula barang perniagaan.
ii. Jika wang modal perniagaan tersebut tidak sampai kadar nishâbnya, maka tempoh permulaan haul bagi harta perniagaannya itu bermula semenjak dia memiliki atau membeli barang perniagaan.
Misalnya, dia mempunyai wang modal sebanyak $500 untuk membeli barang perniagaan. Pada waktu tersebut, jumlah $500 adalah dikira tidak sampai kadar nishâb. Dalam hal ini, tempoh permulaan haul bagi harta perniagaannya dikira pada waktu dia membeli barang perniagaan dengan wang $500 itu dan bukannya dikira ketika dia masih memiliki wang $500.
2. Modal perniagaan yang berbentuk harta benda.
Adapun modal perniagaan yang berbentuk harta benda, sama ada benda atau barang tersebut jenis yang wajib ataupun jenis yang tidak wajib dikeluarkan zakat seperti pakaian, maka permulaan kiraan haul bagi harta perniagaan yang bermodalkan harta benda adalah bermula semenjak dia memiliki atau membeli barang perniagaan tersebut.
Misalnya, seorang peniaga bermodalkan tanah untuk memulakan perniagaannya. Dia membeli beberapa buah perahu dengan modal tanah yang dimilikinya itu untuk memulakan perniagaannya. Dalam hal ini, tempoh permulaan haul bagi harta perniagaannya adalah dikira pada waktu dia membeli atau memiliki perahu-perahu yang hendak diniagakannya itu dan bukannya ketika masih memiliki modal tanah.
Bentuk Zakat Perniagaan Yang Dikeluarkan
Menurut pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, zakat perniagaan wajib dikeluarkan berdasarkan pada nilai atau harga barang dagangan. Zakat tidak boleh dikeluarkan daripada barang atau harta dagangan itu sendiri. Manakala nilai bagi barangan berkenaan pula bukan dikira daripada nilai pada ketika melakukan pembelian barang dagangan, akan tetapi hendaklah dikira pada nilai harga pasaran pada saat cukup haulnya, iaitu pada waktu wajib membayar zakat. Umpamanya, harga barang perniagaan ketika memulakan perniagaan ialah $20,000 dan setelah sampai di penghujung haul nilai barang perniagaannya itu bernilai $30,000, maka zakat yang wajib dikeluarkan ialah nilai barang perniagaannya di akhir haul iaitu $30,000. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/106, Kitab al-Majmû‘: 6/51-52 & 59 dan Ahsan al- Kalâm: 6/322)
Dapat disimpulkan daripada penjelasan di atas bahawa harta perniagaan yang wajib dikeluarkan zakat itu hendaklah dikira daripada kesemua harta perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh peniaga tersebut apabila sampai nishâb dan haulnya. Dalam hal ini, jika sesuatu harta perniagaan itu bermodalkan harta benda, maka peniaga hendaklah menilaikan harta benda tersebut mengikut nilai atau harga pasaran pada penghujung haul. Kemudian, nilai keseluruhan bagi harta benda itu tadi hendaklah dicampur lagi dengan keuntungan dan hutang para pelanggannya jika ada, bagi mengetahui adakah harta perniagaannya itu sampai nishâb ataupun sebaliknya pada penghujung haul sebelum menjalankan kewajipan mengeluarkan zakat.
Untuk jelasnya, sebagai misal, jika modal perniagaan itu terdiri daripada wang tunai. Daripada modal berkenaan dibelikan seperti berikut:
i. Tanah. ii. Rumah. iii. Bangunan. iv. Perabot. v. Belanja hangus seperti kenderaan, air, letrik, bayar upah dan bayar gaji pekerja. vi. Barang-barang untuk diperniagakan.
Maka, dalam perkara di atas, hanya no. (vi) sahaja yang dikenakan zakat kerana barang-barang tersebut tujuannya adalah untuk diniagakan. Manakala selebihnya iaitu no. (i) hingga no. (v) tidak dikenakan zakat kerana ia bukan untuk diniagakan tetapi hanyalah sebagai membantu kegiatan perniagaan.
Untuk mengetahui adakah sampai nishâb ataupun sebaliknya, maka hendaklah dinilaikan terlebih dahulu barang-barang yang untuk diniagakan itu kemudian dicampur lagi dengan perkara seperti berikut:
i. Wang modal perniagaan dalam tangan. ii. Wang modal perniagaan dalam bank. iii. Hutang para pelanggan yang diyakini akan dibayar. iv. Keuntungan daripada harta perniagaan.
Setelah mengetahui jumlah kesemua nilai harta perniagaan, maka dapatlah diperhatikan seperti berikut:
Jika ia sampai nishâb pada akhir haul, maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% daripada jumlah berkenaan. Manakala jika sebaliknya, tidaklah wajib dikeluarkan zakat bagi harta perniagaan tersebut.
Zakat Wang Simpanan Tetap (Fixed Deposit)
Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili Hafizhahullâh, wang kertas atau wang logam dapat menggantikan kedudukan emas dan perak dan ia adalah sama nilainya dengan emas sepertimana yang ditentukan oleh badan kewangan negara. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 3/1833-1835)
Dari itu, setiap harta yang berbentuk mata wang adalah wajib dikeluarkan zakatnya apabila telah mencukupi syarat-syarat yang telah ditentukan syara‘ dan salah satu antara syarat-syarat wajib zakat itu ialah hendaklah harta itu dimiliki. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/127)
Wang simpanan syarikat pada lazimnya adalah harta perniagaan yang dimiliki oleh sekumpulan orang tertentu dalam bentuk perkongsian yang disimpan sebagai harta simpanan dan seperti yang dinyatakan oleh penyoal bahawa wang tersebut telah disimpan sebagai Simpanan Tetap (Fixed Deposit) dalam bank Islam. Setakat yang difahami, Simpanan Tetap ini ialah satu pelaburan di mana sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun untuk suatu tempoh jangka masa bagi mendapatkan jaminan kadar pulangan keuntungan yang ditetapkan.
Jika menurut amalan bank konvensional, ia merupakan transaksi yang berasaskan aktiviti pinjaman atau hutang dengan faedah atau bunga (loan with interest). Pihak bank akan bertindak sebagai peminjam atau penghutang manakala pelanggan pula sebagai pemiutang. Keuntungan atau pulangan tetap yang diperolehi oleh pelanggan daripada transaksi fixed deposit itu adalah hasil daripada transaksi berasaskan riba kerana fixed deposit bagi mereka adalah faedah atau interest daripada wang yang dipinjam. Dalam hal ini, keuntungan atau pulangan yang diperolehi itu tidak dikira harta milik pelanggan dan tidak wajib dizakat kerana ia merupakan harta yang haram.
Walau bagaimanapun, mekanisma pelaburan simpanan tetap dalam bank Islam khususnya Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang dinamakan sebagai ‘Term Deposit’ adalah berasaskan kepada konsep wakâlah. Ia adalah berbeza dengan mekanisma transaksi simpanan tetap yang diamalkan oleh bank konvensional kerana pulangan atau keuntungan yang diperolehi pelanggan adalah hasil transaksi mendepositkan wang yang patuh syara‘ di antara pihak BIBD dan pelanggan.
Berdasarkan kepada konsep transaksi berkenaan, wang yang disimpan oleh pihak syarikat tuan dalam bank Islam tersebut sudah pasti tidak berkurangan malahan akan bertambah melalui keuntungan tetap yang diperolehi. Dari itu, memandangkan wang simpanan dan keuntungan tetap yang diperolehi itu dimiliki oleh pemilik yang tertentu dan ia disimpan bagi jangka waktu yang tertentu tanpa berkurang, maka wang simpanan tersebut wajib dizakat berserta dengan keuntungan yang diperolehinya jika jumlah wang simpanan tersebut sampai nishâb dan cukup tempoh haul mengikut kiraan tahun Hijriyyah.
Adapun pengeluaran zakat bagi harta perniagaan atau simpanan yang dimiliki secara perkongsian itu adalah memadai jika ia dilaksanakan oleh seorang wakil daripada rakan kongsi bagi keseluruhan harta atau simpanan tersebut, sekalipun tanpa izin rakan kongsi yang lain.
Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh bahawa adalah harus bagi setiap rakan kongsi untuk mengeluarkan zakat harta perkongsian walaupun tanpa izin rakan kongsi yang lain kerana syara‘ membenarkannya dan memadailah niat orang yang mengeluarkan zakat itu bagi mewakili niat rakan kongsinya yang lain. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/306)
Kesimpulan
i. Zakat harta perniagaan yang wajib dikeluarkan adalah merangkumi keseluruhan harta perniagaan yang dimiliki oleh peniaga seperti modal, keuntungan dan hutang pelanggan. Ini bererti, pengeluaran zakat bagi harta perniagaan itu tidak hanya terhad kepada keuntungan bersih semata-mata.
ii. Wang yang disimpan di dalam bank Islam sebagai simpanan tetap berserta keuntungan yang diperolehi secara patuh syara‘ merupakan hak milik Syarikat Perniagaan Melayu. Oleh itu, ia wajib dikeluarkan zakat apabila mencapai nishâb dan cukup haul mengikut kiraan tahun Hijriyyah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12212
