Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Adakah Penerimaan Dana Survivorship Benefits Dikira Harta Pusaka?

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita merujuk mengenai pembahagian dana Survivorship Benefits yang dikendalikan oleh Lembaga Pencen Caruman Tambahan (SCP).

Untuk makluman, selaras dengan Bab 22 (1) dari SCP Order, 2009, pewaris yang terdiri daripada isteri dan anak-anak akan menerima Survivorship Benefits apabila ahli meninggal dunia. Survivorship Benefits ini adalah potongan 1% dari caruman ahli yang terkumpul setiap bulan dan dimasukkan dalam Pelan Takaful Keluarga Secara Berkelompok dan jika ahli meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun, maka penama-penama atau waris-warisnya yang terdekat sahaja berhak diberikan Survivorship Benefits berjumlah $72,000.00 yang mana pembayaran adalah diberikan secara bulanan.

Sukacita juga memaklumkan bahawa semasa penelitian-penelitian Lembaga SCP dalam membuat pembayaran-pembayaran Survivorship Benefits ini, Lembaga SCP telah mendapati perkara-perkara berikut:

i. Lebihan baki daripada akaun Survivorship Benefits ini akan dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum syara‘ selaras dengan Bab 22 (4) dari SCP Order, 2009. Penerima lebihan manfaat ini akan juga termasuk waris-waris lain seperti ayah, ibu dan adik-beradik ahli yang meninggal dunia.

ii. Jika salah seorang ahli waris tersebut meninggal dunia semasa dalam proses pembahagian, maka bahagian yang diberikan kepada pewaris tersebut akan dibahagi-bahagikan lagi kepada waris-waris beliau.

iii. Pembahagian ini adalah bertentangan dengan tujuan asal Survivorship Benefits yang mana ianya khusus diwujudkan bagi membantu isteri dan anak-anak sahaja termasuk anak angkat yang sah jika ahli meninggal dunia sebelum berumur 60 tahun.

iv. Pemantauan ke atas pengurusan dan pemeliharaan akaun-akaun bagi ahli dan waris-waris akan semakin bertambah dalam jangka masa panjang.

Oleh yang demikian, mengambil kira perkara-perkara di atas, Lembaga SCP menyokong bagi lebihan daripada sebarang baki akaun Survivorship Benefits, mulai tarikh terakhir waris yang layak terkeluar dari kriteria kelayakan akan dibahagikan secara lump sum dengan formula yang sama iaitu ½ bahagian kepada isteri dan ½ bahagian kepada anak-anak termasuk anak angkat yang sah sahaja kerana perkara-perkara berikut:

i. Tujuan asal Survivorship Benefits ini diwujudkan iaitu sebagai bantuan khusus kepada isteri dan anak-anak sahaja termasuk anak angkat yang sah.

ii. Mengambil kira kesejahteraan keluarga terdekat terutama anak-anak ahli yang meninggal terutama bagi anak-anak yang telah mencapai umur 21 tahun tapi masih lagi belajar atau tidak bekerja dan susah untuk menampung perbelanjaan harian.

Sebahagiannya juga walaupun telah bekerja tetapi berpendapatan rendah atau telah berkahwin, maka manfaat ini serba sedikit boleh membantu dalam mengurangkan beban mereka.

iii. Sebagai harta sepencarian bersama semasa arwah ahli masih lagi hidup. Oleh yang demikian, adalah bersesuaian bagi lebihan baki tersebut juga diberikan kepada balu tidak mengira balu tersebut telah berkahwin semula atau tidak. Dalam hal ini juga sebahagian balu tersebut walaupun telah berkahwin semula tetapi masih lagi menanggung anak yang masih bersekolah atau yang belum bekerja.

iv. Mengurangkan beban Kerajaan dalam membasmi kemiskinan.

v. Mengurangkan pemantauan ke atas pengurusan dan pemeliharaan akaun-akaun bagi ahli dan waris-waris dalam jangka masa panjang.

Sukacita juga memaklumkan bahawa mulai dari 01 April 2014, pengurusan dan pentadbiran Skim SCP diserahkan sepenuhnya kepada TAP. Sehubungan dengan itu, sukacita TAP memohon pandangan dan fatwa Pehin Mufti mengenai pelaksanaan skim SCP khususnya Bab 22 (1) dari SCP Order 2009 dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pembahagian simpanan SCP mengikut hukum syara‘.

Jawapan: Survivorship Benefits (Manfaat Keberterusan)

Pelaksanaan Survivorship Benefits adalah di bawah Skim Pencen Caruman Tambahan atau Supplemental Contributory Pensions (SCP). Survivorship Benefits memperolehi dana daripada pemotongan caruman terkumpul ahli SCP setiap bulan mengikut kadar kiraan yang telah ditetapkan dalam skim SCP. Antara tujuan Survivorship Benefits ini diwujudkan adalah untuk membantu isteri dan anak-anak termasuk anak angkat yang sah jika ahli SCP berkenaan meninggal dunia sebelum berumur 60 tahun.

Sebagaimana yang dijelaskan dan difahamkan oleh pihak TAP, setiap caruman ahli yang terkumpul akan dipotong sebanyak 1/7 setiap bulan dan dimasukkan ke dalam dana Survivorship Benefits dan kemudian dicarumkan pula ke Pelan Takaful. Jika ahli meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun, maka balu dan anak-anak yang berumur di bawah 21 tahun akan menerima dana Survivorship Benefits yang berjumlah $72,000.00. Pembahagiannya hanya diagihkan secara bulanan iaitu sebanyak $400.00 setiap bulan selama 15 tahun daripada tarikh ahli tersebut meninggal dunia mengikut contoh yang diberikan oleh pihak TAP di bawah ini:

MANFAAT SCP KEBERTERUSAN (SURVIVORSHIP BENEFITS)

Syarat Kelayakan

*Meninggal sebelum mencapai umur 60 tahun.

*Membuat sebarang caruman pada akaun SCP bagi bulan sejurus sebelum bulan kematiannya berlaku.

$400.00 SEBULAN

*Balu: ½ daripada $400.00

*Anak-anak: ½ daripada $400.00

$400.00 BALU $200

ANAK 1 $50

ANAK 2 $50

ANAK 3 $50

ANAK 4 $50

Pemantauan dari segi pengiraan semula dan penyemakan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana pemberian Survivorship Benefits ini akan berubah jika balu berkahwin semula atau meninggal dunia, atau anak-anak tersebut berkahwin atau mencapai umur 21 tahun atau lain-lain keadaan mengikut prosedur kiraan yang telah ditetapkan oleh pihak TAP.

Namun, jika ahli SCP tersebut masih hidup sehingga umur 60 tahun, jumlah yang dipotong sebanyak 1/7 daripada jumlah caruman terkumpul pada setiap bulan yang dimasukkan ke dalam dana Survivorship Benefits itu tidak akan dikembalikan semula kepada ahli SCP tersebut kerana potongan tersebut adalah sumbangan ahli SCP kepada ahli-ahli SCP yang lain yang meninggal dunia sebelum umur 60 tahun.

Contoh Kiraan bagi Potongan untuk Dana Survivorship Benefits

Setelah menerima penjelasan daripada pihak TAP mengenai dengan tata cara pemotongan dan pembahagian caruman ahli SCP setiap bulan, dapat difahami bahawa cara kiraan jumlah caruman ahli SCP yang dimasukkan ke dalam akaun ahli SCP dan yang dimasukkan ke dalam dana Survivorship Benefits pada setiap bulan adalah seperti berikut:

Gaji Bulanan

Ahli

3.5%

Majikan

3.5%

Jumlah

7%

Potongan Dana Survivorship (1/7)

Akaun Ahli SCP

(6/7)

$500.00 $17.50 $17.50 $35.00 $5.00 $30.00

Menurut contoh di atas, kadar caruman yang dimasukkan ke dalam akaun ahli SCP ialah 6/7 daripada jumlah caruman keseluruhan bulanan iaitu $30.00 (6/7 x $35.00). Jumlah inilah yang hanya akan dimasukkan dan tercatat ke dalam penyata akaun ahli SCP setiap bulan dan menjadi hak ahli SCP untuk diterima apabila mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun bagi tempoh 20 tahun yakni sehingga mencapai umur 80 tahun.

Manakala kadar caruman 1/7 daripada jumlah caruman keseluruhan bulanan iaitu $5.00 (1/7 x $35.00) adalah kadar potongan yang akan dimasukkan secara automatik ke dalam dana Survivorship Benefits untuk dicarumkan ke Pelan Takaful. Kadar pemotongan ini tidak terpapar pada penyata akaun ahli SCP kerana kadar 1/7 itu dipotong serta-merta oleh pihak TAP selepas terhimpunnya jumlah caruman ahli dan caruman majikan. Yang hanya dipaparkan ke dalam penyata akaun ahli SCP ialah jumlah yang hanya berhak diterima dan dimiliki secara mutlak oleh ahli SCP sahaja.

Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa potongan 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan adalah mandatori bagi setiap ahli SCP untuk dimasukkan ke dalam dana Survivorship Benefits seperti yang ditetapkan dalam peraturan skim SCP. Dana yang terhimpun itu sebahagian besarnya dicarumkan lagi ke Pelan Takaful bagi mengelakkan risiko kesuntukan atau kekurangan dana bagi membiayai Survivorship Benefits tersebut.

Ini bererti, potongan 1/7 daripada jumlah caruman bulanan ahli SCP untuk dana Survivorship Benefits itu tidak lagi dianggap sebagai harta dan hak ahli SCP kerana duit tersebut telah pun menjadi sumbangan mereka kepada dana Survivorship Benefits untuk tujuan tolong-menolong terhadap kebaikan di antara sesama ahli yang menyertai skim SCP bagi meringankan beban ahli keluarga ahli SCP jika berlaku kematian di kalangan mereka. Dalam kata lain, sumbangan yang diberikan oleh para ahli SCP untuk dana Survivorship Benefits ini adalah berkonsepkan tabarru‘.

Konsep Tabarru‘

Dalam kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan bahawa, menurut ulama fiqh, tabarru‘ bermaksud derma seseorang yang mukallaf sama ada harta atau manfaat kepada orang lain pada masa ini atau pada masa akan datang tanpa balasan atau gantian dengan tujuan pada kebiasaannya untuk berbuat kebajikan dan kebaikan. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 10/65)

Dalam buku Takaful Sistem Insurans Islam karangan Mohd Fadzli Yusof juga menyebut bahawa tabarru‘ bermaksud menderma, membuat kebajikan atau mengurniakan dengan redha untuk tujuan berbakti atau membantu. (Takaful Sistem Insurans Islam: 19)

Daripada ta‘rîf di atas, dapat difahami bahawa menderma dan menyumbang secara ikhlas dengan tujuan untuk membantu seseorang dalam kesusahan adalah suatu amalan yang terpuji dan amat digalakkan di dalam agama Islam kerana terlalu banyak manfaat yang bakal diperolehi daripada kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang bertabarru‘ dan pihak yang menerima harta tabarru‘ tersebut.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada kamu (ke jalan Allah) sebelum tibanya Hari (Kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan serta tidak ada syafaat (pertolongan) (Surah al-Baqarah: 254 )

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai (hakikat) kebaktian (yang sempurna) hingga kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan itu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (Surah Âli Imran: 92)

Adakah Penerimaan Dana Survivorship Benefits Dikira Harta Pusaka daripada Ahli SCP yang Meninggal Dunia?

Perolehan dana Survivorship Benefits adalah hasil pemotongan 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman para ahli SCP yang berkonsepkan tabarru‘. Apabila sesuatu harta itu telah ditabarru‘kan, maka sudah tentu penderma atau pencarum tidak lagi ada hak ke atas harta yang ditabarru‘kannya kerana telah bertukar hak milik kepada orang lain. Dalam hal ini, sumbangan tabarru‘ yang telah disumbangkan itu tidak boleh ditarik balik oleh para ahli SCP kerana ia merupakan sumbangan yang telah didermakan.

Oleh sebab itu, dana Survivorship Benefits tidak menjadi harta pusaka daripada ahli SCP yang meninggal dunia dan ia tidak wajib dibahagi-bahagikan kepada pewaris-pewarisnya kerana potongan 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman ahli-ahli SCP itu telah bertukar hak milik dan tidak lagi menjadi harta mutlak para ahli SCP. Caruman tersebut juga tidak menjadi harta sepencarian bersama isteri semasa ahli SCP tersebut masih lagi hidup.

Dalam erti kata lain, pembahagian dana Survivorship Benefits yang berjumlah $72,000.00 untuk keluarga ahli SCP yang meninggal dunia itu tidak diagihkan mengikut hukum farâ’idh kerana jumlah $72,000.00 itu bukan harta pusaka. Dana yang terkumpul dalam Survivorship Benefits itu adalah hasil sumbangan tabarru‘ yang telah didermakan oleh setiap ahli SCP setiap bulan sepertimana yang ditetapkan oleh pihak TAP dalam skim SCP.

Dalam hal ini, pembahagian atau pengagihan dana Survivorship Benefits kepada penerima yang terpilih atau tertentu adalah berpandukan kepada peraturan yang dibuat dalam skim SCP. Maka, dalam perkara siapa yang layak menerima agihan dana Survivorship Benefits tersebut apabila ahli SCP yang meninggal dunia sebelum umur 60 tahun adalah tertakluk kepada ketentutan skim SCP yang ditadbir oleh pihak TAP.

Dengan demikian, pihak TAP sebagai pentadbir kepada dana Survivorship Benefits berkuasa atas kebijaksanaannya untuk mengurus pembahagian dana Survivorship Benefits ini kepada orang-orang yang sesuai menerimanya dalam kalangan keluarga ahli SCP berkenaan untuk memenuhi tujuan asal Survivorship Benefits ini ditubuhkan.

Sebagai Irsyâd

Walaupun potongan 1/7 daripada jumlah keseluruhan caruman bulanan itu adalah diwajibkan ke atas setiap ahli yang mengikuti skim SCP dan jumlah itu dimasukkan ke dalam dana Survivorship Benefits seperti yang ditetapkan dalam peraturan skim SCP, pihak TAP adalah disarankan untuk mengemaskinikan pelaksanaan akad tabarru‘ secara berwakil iaitu akad memindah hak pemilikan harta seseorang kepada orang lain melalui cara pemberian atau sedekah di mana ahli SCP mewakilkan pihak TAP untuk mengurus dan mentadbir duit tabarru‘nya untuk disumbangkan kepada keluarga ahli SCP yang meninggal dunia dan menyediakan dokumen-dokumen yang perlu mengenainya bagi menunjukkan dengan lebih jelas bahawa kadar 1/7 yang dipotong itu adalah sumbangan yang berkonsepkan tabarru‘ daripada ahli-ahli SCP dan kadar potongan tersebut tidak akan dipulangkan kepada mereka. Bertolak dari itu, tidak lagi timbul soal pembahagian secara farâ’idh bagi dana Survivorship Benefits, kerana wang $72,000.00 itu bukan harta pusaka ahli SCP kepada waris-warisnya. Langkah tersebut juga perlu bagi memastikan tidak ada keluarga waris ahli SCP yang akan menuntut pembahagian dana tersebut secara farâ’idh di kemudian hari.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12222