Anak Angkat Berbinkan Nama Bapa Angkat
Soalan: Saya mempunyai seorang saudara yang diangkat tetapi berbinkan bapa angkatnya. Dalam surat beranak pun ditulis berbinkan nama bapa angkatnya. Saudara saya ini sudahpun berkahwin. Jadi, apakah hukumnya dan bagaimana dengan zuriat dan keturunan mereka?
Jawapan: Perkara membinkan atau menasabkan anak angkat kepada nama bapa angkat sering kali menjadi persoalan sejak dahulu lagi. Berkemungkinan perkara ini sering terjadi disebabkan keluarga angkat tidak mahu menzahirkan keturunan anak yang diangkat itu secara jelas atas alasan peribadi yang tersendiri. Maka dalam huraian berikut ini, mari kita fahamkan penjelasan syara‘ mengenai dengan perkara di atas.
Hukum Anak Angkat Berbinkan Nama Bapa Angkat
Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, menasabkan anak dengan betul merupakan perkara wajib yang amat dituntut oleh syara‘ kerana ia bersangkut-paut dengan pelbagai hukum seperti perwalian nikah, perwarisan, batasan aurat, khalwat, nafkah dan batal wudhu’.
Hukum syara‘ telah menetapkan bahawa setiap orang adalah wajib dibinkan atau dibintikan kepada nama bapa kandungnya sendiri, jika nama bapanya itu diketahui. Ini bererti, setiap orang Islam adalah dilarang membinkan atau membintikan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri kepada dirinya, sama ada anak itu anak angkat, anak pungut atau anak tawanan perang. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu (dengan berbinkan) kepada bapa-bapa mereka sendiri, itu yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka mereka itu ialah saudara kamu seagama dan sebagai maulâ-maulâ kamu. Dan bukanlah suatu dosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi (berdosa melakukan) apa yang disengajakan oleh hati kamu, dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Ahzâb: 5)
Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa setiap anak angkat hendaklah tetap dibinkan kepada bapa kandungnya yang mempunyai pertalian nasab secara sah menurut syara‘. Jika tidak diketahui keturunan nasab anak berkenaan, maka wajiblah anak angkat tersebut dibinkan atau dibintikan kepada nama ‘Abdullah atau apa-apa nama daripada Asmâ’ al-Husnâ yang bukan serupa dengan nama bapa angkatnya bagi mengelakkan kekeliruan atau kesamaran. Dalam perkara ini, perlu diingat bahawa meletakkan nama bapa angkat sesudah nama bapa kandungnya juga adalah haram kerana boleh membawa kepada kesamaran.
Di samping itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga banyak menyebutkan tentang larangan mendustakan nasab atau hukum menggunakan nama yang bukan daripada nasab yang sah menurut syara‘. Antaranya ialah:
i. Hadits yang diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mengaku orang lain sebagai bapanya, padahal dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya sebenar, maka syurga diharamkan ke atasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ii. Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mana-mana perempuan memasukkan (menasabkan seorang anak) kepada sesuatu kaum padahal dia (anak itu) bukan daripada kaum itu, maka dia (perempuan itu) tidak akan mendapat daripada Allah sesuatu pun (daripada rahmatNya). Dan Allah tidak akan memasukkannya (perempuan itu) ke dalam syurgaNya. (Hadits riwayat Abu Daud)
iii. Hadits yang diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu bahawa sesungguhnya dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah seorang lelaki itu mengaku kepada (seseorang) selain bapanya -sedangkan dia mengetahui (itu bukan bapanya) – melainkan dia kafir. Dan sesiapa yang mengaku kepada suatu kaum sedangkan di kalangan mereka tidak ada nasab kepadanya, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab Fath al-Bâri, yang dimaksudkan dengan kafir dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari itu menurut pengertian daripada riwayat yang masyhûr ialah kufur ni‘mat. Ini bererti, pengertian perkataan َ َ ِبَهلل كَفَر yang ada disebutkan dalam hadits berkenaan tidak membawa kepada pengertian yang zahir tetapi adalah untuk menunjukkan kepada suatu ancaman dan celaan bagi sesiapa yang melakukannya (mendustakan nasabnya).
Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu juga ada menerangkan pengertian kafir yang ada disebutkan dalam hadits tentang mendustakan nasab:
Ertinya: Dalam pengakuan nasab; adalah menasabkan dengan betul itu wajib dan dengan mendustakan dalam pentsabitannya itu adalah haram seperti mendustakan dalam penafiannya (nasab). Bahkan telah dinyatakan dalam hadits bahawa dia telah menjadi kafir (kerana mendustakan nasab), akan tetapi (kafir itu) membawa erti menjadi kafir orang yang menghalalkan perbuatan yang demikian itu atau (orang itu) kufur ni‘mat (tidak menghargai di atas ni‘mat pengurniaan anak kepadanya).. (Tuhfah al-Muhtâj: 5/487)
Di samping al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, para ulama juga banyak menyebutkan tentang hukum mendustakan nasab, antaranya ialah:
i. Berkata Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj bahawa perbuatan mendustakan nasab seseorang itu hukumnya adalah haram. Sesiapa juga yang bersetuju atau turut bersetuju melakukannya akan berdosa dan boleh rosak aqidah kiranya dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan. Oleh itu, menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘.
ii. Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, di dalam kitabnya az-Zawâjir bahawa daripada perkara-perkara dosa besar itu ialah seorang itu enggan dan berpaling daripada nasabnya atau daripada nasab bapanya atau dia bernasab kepada nasab orang lain daripada bapanya padahal dia mengetahui akan salah perbuatannya itu.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada apa yang telah disebutkan di atas, sesiapa sahaja yang menasabkan dirinya kepada bukan bapanya yang sah menurut syara‘, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Begitu juga haram hukumnya bagi orang yang menghalalkan perbuatan itu dengan sengaja sedangkan dia mengetahui nasab sebenar anak tersebut.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam hal ini, menurut syara‘ adalah haram dan berdosa hukumnya saudara Dayang itu berbinkan kepada nama bapa angkatnya dengan sengaja kerana tidak ada pertalian nasab secara sah menurut syara‘. Begitu juga, jika dia telah berkahwin, maka zuriat dan keturunannya pun tidak ada pertalian nasab dengan keluarga angkatnya.
Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan kepada saudara Dayang itu untuk memperbetulkan nama nasab beliau kepada nasab yang sah menurut syara‘ iaitu dengan menggunakan bin kepada bapa kandungnya sendiri yang bersambung nasab dengannya. Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera kerana perbuatan mendustakan nasab itu berisiko amat buruk sekali dan dicela serta dilarang dalam Islam. Mentelah pula perbuatannya itu memberi kesan kepada banyak perkara seperti dalam hukum harta perwarisan, batasan aurat, nafkah dan batal wudhu’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12226
