Aurat Lelaki di Luar Sembahyang
Soalan: Seperti yang terdapat dalam buku Zain ath-Thâlib, aurat lelaki di luar sembahyang ialah seluruh badan. Apa yang dimaksudkan dengan seluruh badan itu? Saya keliru kerana melihat keadaan sekeliling, kebanyakan lelaki di Brunei memakai baju hingga lengan sahaja. Adakah cara pemakaian itu mencukupi untuk maksud seluruh badan?
Jawapan: Aurat kaum lelaki itu - sebagaimana aurat kaum perempuan - ada beberapa bahagian. Berkata asy-Syeikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi Rahimahullâh:
Ertinya: Demikian juga (halnya dengan kaum) lelaki baginya ada tiga (kategori) aurat, iaitu: (1) Aurat dalam sembahyang iaitu sebagaimana yang telah dijelaskan dalam keterangan yang awal (bahagian antara pusat dan lutut) dan inilah juga auratnya di hadapan kaum lelaki lain dan juga kaum perempuan dalam kalangan mahramnya. (2) Aurat pemandangan (aurat dari sudut tegahan ke atas orang yang melihat) iaitu seluruh tubuh badan (lelaki) bagi (yang melihat itu) perempuan ajnabiyyah. (3) Aurat ketika bersendirian iaitu dua kemaluannya sahaja menurut pendapat yang mu‘tamad. (Tuhfah al- Habîb ‘alâ Syarh al-Khathib: 2/108)
Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa aurat kaum lelaki di luar sembahyang itu terbahagi pula kepada tiga bahagian, iaitu:
1. Aurat di hadapan lelaki lain dan juga kaum perempuan daripada kalangan mahramnya iaitu bahagian antara pusat dan lutut daripada tubuh badannya;
2. Aurat di hadapan kaum perempuan ajnabiyyah (bukan mahram) iaitu seluruh tubuh badannya; dan
3. Aurat ketika bersendirian iaitu dua kemaluannya.
Daripada pembahagian ini, jelaslah bahawa aurat yang dimaksudkan dalam soalan di atas adalah aurat daripada kategori yang kedua iaitu aurat kaum lelaki di hadapan kaum ajnabiyyah. Aurat daripada kategori ini juga dinamakan sebagai aurat pemandangan ( ُ رَةحعَو النهظَر). Daripada penjelasan yang diberikan oleh fuqahâ’, aurat jenis ini adalah berkait dengan tegahan sengaja memandang bahagian tubuh badan seseorang (lelaki) ke atas orang yang dilarang untuk melihatnya (perempuan ajnabiyyah).
Dalam mazhab asy-Syafi‘e, sebagaimana haram ke atas seorang lelaki melihat sesuatu daripada tubuh badan perempuan ajnabiyyah, begitu juga seorang perempuan haram melihat sesuatu daripada tubuh badan lelaki yang ajnabiy baginya sekalipun bahagian yang dilihat itu ialah rambut dan kuku lelaki ajnabiy berkenaan dan sekalipun perbuatan tersebut dilakukan tanpa syahwat dan tanpa ditakuti mendatangkan fitnah. Inilah pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e berdasarkan qaul yang ashah menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh sebagaimana disebutkan dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn. (Tuhfah al-Muhtâj: 7/200, Nihâyah al-Muhtâj: 6/194-195, Mughnî al-Muhtâj: 3/178, I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/439-440 dan Fath al-‘Allâm: 2/143-144)
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan diharamkan (juga) sebaliknya, iaitu sengaja seorang perempuan ajnabiyyah melihat sesuatu daripada tubuh badan seorang lelaki ajnabiy sekalipun dia tidak takut perbuatannya itu mendatangkan fitnah dan dia tidak memandangnya dengan syahwat. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/439)
Larangan ini adalah bersandarkan kepada beberapa dalil, antaranya ialah firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). (Surah an-Nûr: 31)
Menurut as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh, terdapat penjelasan-penjelasan lain yang diberikan oleh fuqahâ’ berkenaan keadaan-keadaan di mana diharuskan seorang perempuan memandang seorang lelaki atau sebaliknya dengan syarat-syarat tertentu umpamanya dalam keadaan membuat rawatan ( املداواة ), persaksian (الشهادة), permuamalatan (املعاملة), pengajaran (التعليم) dan peminangan (اْلطبة ). (Fath al-‘Allâm: 2/153-157)
Berdasarkan penjelasan di atas, perlu difahami bahawa keterangan mengenai aurat dari sudut tegahan ke atas orang yang melihat itu adalah berhubung kait dengan tuntutan menahan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan (غض البصر). Dalam kata lain, ia tertumpu kepada larangan sengaja melihat aurat orang lain yang ditegah untuk dilihat tanpa sebab-sebab yang diharuskan syara‘.
Adapun kewajipan untuk menutup aurat seperti dengan mengenakan hijâb (حجاب) bagi kaum perempuan adalah perkara yang berbeza. Tuntutan berhubung perkara tersebut telah dijelaskan dalam keterangan yang lain.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka. Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya memakai jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa keluar rumah). Yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali supaya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Ahzâb: 59)
Kedua-dua ayat di atas menjadi dalil mengenai kewajipan kaum perempuan Islam untuk memakai pakaian yang menutup seluruh tubuhnya kecuali anggota-anggota tertentu iaitu muka dan dua tapak tangannya. Tidak pula ditemui dalil yang menyebutkan kaum lelaki turut dituntut untuk memakai hijâb. Tidak juga terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memakai hijâb atau memerintahkan kaum lelaki untuk memakainya.
Apakah pula perkara yang dituntut ke atas kaum lelaki bagi mengelakkan aurat mereka daripada sengaja dilihat oleh kaum perempuan yang ajnabiyyah?
Asy-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Jika seorang lelaki mengetahui bahawa seorang perempuan memandang ke arahnya, haram ke atas lelaki itu membiarkan perempuan itu menatapi sesuatu daripada tubuh badannya bahkan wajib ke atas lelaki itu apabila dia mengetahui perempuan itu berbuat demikian menutup seluruh badannya daripada perempuan itu hatta wajah dan kedua telapak tangannya. Demikianlah sebagaimana difatwakan oleh Syeikh kami (‘Ali bin Yahya az-Ziyadi al-Mashri Rahimahullâh).” (Tuhfah al-Habîb ‘alâ Syarh al-Khathîb: 2/108)
Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Telah dijazamkan dalam mazhab (asy-Syafi‘e) bahawa wajib ke atas seorang lelaki mendapatkan upaya (mencari jalan atau mengambil langkah-langkah) bagi menghalang seorang perempuan (ajnabiyyah daripada memandang tubuh) kaum lelaki sekiranya perempuan itu tidak berhenti melakukan perbuatan tersebut setelah dia melarangnya, iaitulah dalam keadaan dia mengetahui perempuan ajnabiyyah itu sengaja menghalakan pandangannya ke arah kaum lelaki itu. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/195)
Keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa apa yang termaktub dalam kitab Zain ath-Thâlib itu tidaklah bercanggah dengan pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy- Syafi‘e bahawa aurat kaum lelaki itu ialah seluruh tubuh badannya dari sudut kaum perempuan yang ajnabiyyah ditegah untuk sengaja melihatnya.
Sekalipun hal ini tidak menyebabkan kaum lelaki dituntut untuk memakai sesuatu yang menuntup keseluruhan tubuhnya (sebagaimana keadaan kaum perempuan), namun masih terdapat tuntutan-tuntutan tertentu yang wajib dilakukan oleh kaum lelaki bagi mengelakkan aurat mereka daripada sengaja dilihat oleh kaum perempuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12231
